Isu Wahabi memang tidak kunjung padam.Semakin hari semakin ramai orang yang terpengaruh dengan dakyah mereka.Kalau diam membisu,maka akan semakin berleluasa sikap mereka ini.Sebelum ini saya telah berjanji untuk membincangkan berkenaan kitab al-Ibanah karangan al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah.Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut tentang kitab ini elok kiranya kita bincangkan dahulu tentang dakwaan golongan wahabi ini berkenaan al-Imam Asha’ari rahimahullah sebenarnya melalui tiga peringkat di dalam hidupnya selepas keluar daripada Mazhab Muktazilah.
Kata mereka peringkat pertama yang dilalui oleh al-Imam Asha’ari rahimahullah ialah berada di dalam mazhab Muktazilah.Beliau berada di dalam mazhab ini dan menjadi pendokongnya selama 40 tahun.
Manakala peringkat kedua ialah berada di bawah pengaruh Abdullah bin Kullab sebelum beliau melangkah sebenar-benarnya kedalaam mazhab ahlussunnah wal jamaah.
Peringkat ketiga ialah peringkat terakhir sebelum beliau meninggal dunia.Ketika inilah beliau benar-benar menganut fahaman Ahlussunnah sebenar.Kata golongan Wahabi lagi, setelah berada di dalam peringkat ketiga inilah beliau mula menulis kitab al-Ibanah dan lain-lainnya.
Saya amat berharap agar para pembaca dapat menilainya satu persatu.
Benarkah dakwaan yang dibuat ini?Terdapat dua perkara yang perlu diambil perhatian di sini.Pertama berkenaan peringkat yang dilalui oleh al-Imam dan yang kedua, bilamana golongan Wahabi membezakan diantara peringkat kedua dan ketiga yang dilalui oleh al-Imam Abu Hasan al-Asha’ari rahimahullah maka ini bermakna mereka ingin memburukkan peribadi al-Imam Abdullah bin Kullab rahimahullah.
Adakah bilamana al-Imam Abu Hasan al-Asha’ari kembali pada akhir hidupnya maka ini memberi makna bahawa Abdullah bin Kullab bukanlah termasuk di dalam ulama Ahlussunnah wal Jamaah?Perkara ini akan kita bincangkan satu persatu.Semoga semua pembaca dapat meniliti dengan baik.
PERINGKAT YANG DILALUI OLEH AL-IMAM ABU HASSAN AL-ASHA’ARI RAHIMAHULLAH
Seperti yang kita semua sedia maklum, al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah adalah merupakan salah seorang ulama Islam yang sangat memberikan kesan terhadap perkembangan ilmu.
Beliau juga merupakan tokoh yang mendapat perhatian semua pihak.Jika benarlah dakwaan golongan Wahabi yang mengatakan bahawa al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah benar-benar melalui tiga peringkat di dalam kehidupan beliau maka tentulah para pengkaji sejarah dan ulama di dalam bidang Tarikh Islami akan menyebutkan perkara ini terlebih dahulu.Mustahil para ulama Tarikh(Sejarah) akan mengabaikan perkara ini kerana ianya sangat penting bagi individu yang terkemuka seperti al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah.
Tetapi apa yang kita dapati daripada kitab-kitab Tarikh terdahulu, kesemuanya menceritakan tentang peristiwa al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah menaiki mimbar dan membuat pengumuman bahawa beliau berlepas diri daripada aqidah Muktazilah yang dipegangnya selama ini.Kemudian daripada itu, beliau terus membela ahlussunnah wal jamaah.Tiada pula kita dapati pernyataan daripada para ulama Sejarah terdahulu yang menceritakan bahawa al-Imam melalui tiga peringkat seperti yang didakwa oleh golongan Wahabi.
Al-Imam Abu Bakar bin Furak rahimahullah menyebutkan di dalam kitab Tabyin Kazbi al-Muftari mukasurat 127:
انتقل الشيخ أبو الحسن علي بن إسماعيل الأشعري رضي الله عنه من مذاهب المعتزلة إلى نصرة مذاهب أهل السنة و الجماعة بالحجج العقلية و صنَّف في ذلك الكتب..
Maksudnya: al-Imam Abu Hassan Ali bin Ismail al-Asha’ari radhiyallahu anhu telah berpindah daripada berpegang dengan Mazhab Muktazilah kepada memberikan pembelaan terhadap Mazhab Ahlussunnah wal Jamaah dari sudut hujah aqliyah (logik ) dan beliau juga ada menulis kitab-kitab bagi membela Mazhab Ahlussunnah wal Jamaah.
Ibn Khallikan rahimahullah juga menyebutkan berkenaan al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah di dalam kitabnya Wafayat al-A’yan 3/284:
هو صاحب الأصول و القائم بنصرة مذهب السنة ... و كان أبو الحسن أولاً معتزلياً ثم تاب من القول بالعدل و خلق القرآن في المسجد الجامع بالبصرة يوم الجمعة
Maksudnya: Al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah merupakan seorang yang pakar dalam Ilmu Usuluddin dan beliau juga merupakan pembela kepada Mazhab Sunnah(Ahlussunnah wal jamaah)…Abu Hassan pada mulanya bermazhab Muktazilah dan kemudian beliau bertaubat di Masjid Jami’ Basrah daripada membicarakan permasalahan al-Adl dan Al-Quran adalah makhluk.Peristiwa ini berlaku pada hari Jumaat.
Al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah menyebutkan di dalam Muqaddimah Ibn Khaldun mukasurat 853:
إلى أن ظهر الشيخ أبو الحسن الأشعري و ناظر بعض مشيختهم أى المعتزلة – في مسائل الصلاح و الأصلح , فرفض طريقتهم و كان على رأي عبدالله بن سعيد بن كلاب و أبي العباس القلانسي و الحارث المحاسبي من أتباع السلف و على طريقة السنة
Maksudnya: Sehinggalah munculnya al-Syeikh Abu Hassan al-Asha’ari dan beliau berdebat dengan sebahagian guru-gurunya dikalangan Muktazilah di dalam permasalahan Salah dan al-Aslah (Allah taala wajib melakukan kebaikan dan perkara yg lebih baik jika bertembung di antara dua kebaikan)dan beliau juga menolak pendapat yang dipegang oleh mereka(Muktazilah).Al-Syeikh Abu Hassan al-Asha’ari juga ketika itu berpegang dengan pendapat Abdullah bin Said bin Kullab, Abu Al-Abbas al-Qalanisi dan al-Harith al-Muhasibi.Mereka semua adalah pengikut manhaj ulama Salaf dan berada di dalam jalan sunnah.
Berdasarkan pendapat al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah ini maka jelas kita dapati bahawa al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah sebenarnya berada pada landasan kefahaman al-Imam Abdullah bin Kullab , al-Qalanisi dan al-Muhasibi rahimahumullah dan mereka semuanya berada di dalam manhaj para ulama Salaf.
Perkara ini juga turut diterangkan di dalam kitab-kitab Sejarah yang lain yang membincangkan tentang al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah seperti kitab Tarikh Baghdad oleh al-Imam Khatib al-Baghdadi,Tabaqat al-Syafieyah oleh al-Imam Subki, Syuzurat al-Zahab oleh Ibn Imad , al-Kamil oleh Ibn Athir, Tabyin Kazbi al-Muftari oleh Ibn Asakir, Tartib al-Madarik oleh al-Qadhi Iyadh , Tabaqat al-Syafieyah oleh Ibn Qadhi Syuhbah, Tabaqat al-Syafieyah oleh al-Imam Isnawi , Dibaj al-Mazhab oleh Ibn Farhun , Mir’ah al-Jinan oleh Al-Yafi’e dan lain-lain kitab.
Apa yang kita dapati, kesemua kitab-kitab ini membincangkan bahawa al-Imam sebenarnya setelah bertaubat daripada mazhab Muktazilah maka beliau kembali kepada Manhaj ulama Sunnah dan Salafussoleh.Tidak pula kita dapati terdapat peringkat kedua dan ketiga yang dilalui oleh al-Imam setelah bertaubat seperti yang didakwa oleh golongan Wahabi.
Lebih menghairankan kita ialah, dakwaan ini dibuat oleh golongan Wahabi yang memang terkenal dengan sikap tidak amanah mereka terhadap ilmu-ilmu Islam.Jika benar al-Imam melalui tiga peringkat seperti yang di dakwa, sepatutnya yang meriwayatkan perkara ini ialah anak-anak murid yang rapat dengan al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari sendiri serta para pengikutnya yang melazimi pendapat al-Imam.Mereka lebih mengenali hati budi dan peribadi al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari berbanding golongan Wahabi yang ada pada masa sekarang.
Perkara sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari rahimahullah merupakan tokoh hebat yang tidak dapat tidak perlu ketahui sejarah hidupnya secara terperinci.
Para ulama Ahlussunnah wal Jamaah seperti al-Imam al-Baqqillani rahimahullah(kitabnya al-Insof dan al-Tamhid) , al-Imam Ibn Furaq ,al-Imam Abu Bakar al-Qaffal , al-Imam Abu Ishaq al-Syirazi, al-Imam Abu Bakar al-Baihaqi dan lain-lain ulama Ahlussunnah wal Jamaah al-Asya’irah tidak pula menerangkan berkenaan tiga peringkat tersebut.Kesemua mereka cuma menyebutkan bahawa al-Imam melalui dua peringkat sahaja di dalam kehidupannya.Peringkat di dalam mazhab Muktazilah dan peringkat setelah bertaubat iaitu berada di dalam manhaj ahlussunnah wal jamaah.
Adakah dakwaan golongan Wahabi ini bermakna al-Imam sebenarnya merahsiakan peringkat kedua dan ketiganya kepada masyarakat?Mungkinkah perkara ini dilaksanakan secara rahsia sedangkan peristiwa yang kita jelas ketahui berkenaan sikap Sang Imam yang tidak akan merahsiakan kebenaran malah mengisyhtiharkan secara terang-terangan peristiwa taubat beliau daripada mazhab Muktazilah yang dianutinya selama 40 tahun?
Sudah terang lagi bersuluh, al-Imam sebenarnya cuma melalui dua peringkat sahaja di dalam hidupnya.Dakwaan golongan Wahabi sebenarnya semata-mata ingin membenarkan sikap kepura-puraan mereka yang kononnya ingin mengikut Manhaj Salaf.Kita sudah mengetahui bahawa golongan wahabi dahulunya tidak langsung menerima al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari..Namun setelah mendapati jalan mereka salah maka mereka mula mereka-reka cerita dan dongengan serta pengkhianatan terhadap ilmu demi membela pegangan yang ternyata salah.Mereka tidak dapat menghina al-Imam Abu Hassan al-Asha’ari maka mereka mula mencari individu yang lain yang boleh untuk mereka jadikan sasaran dengan harapan masyarakat awam tidak akan mengkaji siapakah individu yang mereka hina tersebut.
Oleh kerana itulah mereka menghina al-Imam Abdullah bin Kullab rahimahullah.Tuduhan demi tuduhan diberikan kepada Ibn Kullab rahimahullah .Walaupun para ulama muktabar mengiktiraf Ibn Kullab sebagai ulama ahlussunnah namun mereka tetap menafikannya.
Kita akan sama-sama menceritakan tentang peribadi al-Imam Abdullah bin Kullab rahimahullah pada keluaran yang akan datang.Doakan agar saya diberikan kesempatan oleh Allah taala untuk menerangkan dengan lebih lanjut.Semoga Allah taala memberikan taufiq dan hidayah kepada kita semua.Amin Ya Rabbal A’lamin.
Rujukan:
1.Ahlussunnah al-Asha'irah: Syahadah Ulama' al-Ummah wa Adillatuhum oleh Syeikh Hamdi Sinan dan Syeikh Fauzi al-Anjari hafizahumullah cetakan Darul al-Dhiya' .
Sumber : Http://nazrulnasir.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan