Adakah ijtihad dibolehkan dalam persoalan ibadah sepertimana ia berlaku di dalam mu'amalah?
Jawapan :
Terdapat segolongan umat Islam melarang secara mutlak menggunakan kaedah qiyas atau ijtihad di dalam persoalan ibadah. Mereka menghadkannya pada persoalan muamalah sahaja. Ini tidaklah tepat.
Kerana persoalan-persoalan ibadah itu; ada yang dapat diketahui maksudnya melalui akal, maka ia boleh dijadikan sebagai sandaran qiyas, dan ada yang tidak diketahui maksudnya melalui akal maka dilarang menggunakan qiyas dan ijtihad padanya.
Contoh-contoh persoalan yang tidak diketahui maksudnya :
a. Bilangan waktu solat fardhu.
b. Bilangan rakaat solat fardhu.
c. Rukuk hanya sekali, sedangkan sujud dua kali.
d. Bilangan pusingan tawaf.
e. Bilangan pusingan saie.
f. Bilangan melontar jumrah dengan anak batu.
g. Kebanyakan amalan yang berkait dengan haji.
h. Keseluruhan ibadah-ibadah yang terpokok.
Perkara-perkara tadi tidak diketahui dengan illahnya (sebab yang mewajibkannya). walaupun terdapat para ulama yang cuba memperkatakan rahsia atau hikmah yang terkandung disebaliknya.
Perkara-perkara tadi tidak diharuskan berijtihad padanya, tetapi kita melakukannya untuk berta'abbud (beribadah) kepada ALlah sepertimana ia didatangkan.
Manakala perkara-perkara yang diketahui maksudnya terlalu banyak. Kami akan menyebutkannya sebagai contoh, bukannya menghadkan setakat itu sahaja. Di antaranya ialah :
1. Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah menyamakan (qiyas) hukum menunaikan haji dan berpuasa untuk seorang yang telah mati dengan hutang terhadap hamba ALlah yang ia wajib tunaikan. (Fath al Bari, jld 4, m.s 64)
Walaupun ini tidak dianggap hukum yang telah ditetapkan oleh qiyas tetapi dengan nas, kerana RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam diberi kebenaran untuk mengeluarkan hukum, tetapi ini sebenarnya baginda telah membuka satu peluang atau laluan atau pintu kepada umatnya secara umum akan keharusan menggunakan qiyas. Terutama di dalam persoalan ibadah khusus kerana haji dan puasa adalah di antara bentuk ibadah.
2. Saidina Umar berpendapat bahawa tidak batal puasa seseorang yang berkucup dengan isterinya, kerana mengqiyaskan dengan berkumur-kumur ketika berpuasa. (Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al Baihaqi).
3. Dalam menetapkan satu miqad baru iaitu Zatu Irq bagi jemaah Haji atau Umrah yang datang dari sebelah Iraq, Saidina Umar mengqiyaskannya dengan tempat yang setentang dengannya iaitu Qarn al Manazil. Sedangkan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam hanya menetapkan empat tempat sahaja sebagai miqat tetapi Saidina Umar menambah satu lagi iaitu Zatu Irq (menjadi lima). (LIhat al Mughni, jld 3, m.s 3 258 dan Fath al Bari m.s 389)
4. Saidina Uthman mewujudkan azan dua kali (pertama dan kedua) pada hari Jumaat diqiyaskan dengan azan 2 kali pada solat subuh dengan alasan bahawa azan yang pertama pada Solat Subuh disyariatkan pada zaman RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur, maka begitu juga azan yang pertama pada solat Jumaat untuk mengingatkan mereka yang sedang sibuk berniaga di pasar dan yang bekerja (Nailul al Authar : 3/322)
5. Jumhur ulama mengharuskan dua solat sunat yang bersebab pada waktu yang makruh diqiyaskan dengan solat sunat selepas Zohor yang diqadha' oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam selepas Solat Asar ( Lihat al Nawawi, Syarah sahih Muslim: 6/111)
6. Sebilangan besar pada ulama berpendapat, menyapu tangan sampai ke siku ketika tayammum adalah wajib diqiyaskan dengan membasuh kedua tangan ketika berwudhuk. (Lihat Mughni al Muhtaj:1/99 dan al Mughni: 1/204)
7. Bagi ulama yang berpendapat bahawa solat sunat sebelum Solat Jumaat adalah sunat muakkad mengqiyaskan dengan solat sunat sebelum Zohor. Manakala sebilangan ulama lain di antaranya Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim berpendapat bahaya ia adalah sunat (sunat mutlak bukannya sunat muakkad) mengqiyaskannya dengan solat sunat hari raya yang tidak ada solat sunat (muakkad) sebelum solat tersebut. ((Al Fatawa: 24/194)
8. Sesetengah ulama bermazhab Hanafi mengqiyaskan air yang banyak yang tidak terjejas apabila jatuh najis ke dalamnya dengan air laut dari segi banyaknya. (al Mushili, al Ikhtiyar: 1/14)
9. Para ulama bermazhab Hambali mengharuskan ganti dengan memberi makanan sebagai kaffarat bunuh (yang tidak sengaja), kerana mengqiyaskannya dengan kaffarat zihar dan kaffarat jimak pada siang hari Ramadhan (Al Mughni: 8/97)
10. Menurut Imam Ahmad dalam satu riwayat daripadanya, dibasuh setiap benda yang terkena najis sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan air tanah, kerana beliau mengqiyaskannya dengan sesuatu yang terkena najis anjing atau babi (Al Mughni: 1/54-55)
11. Menurut Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya, diwajibkan berdiri sekadar yang termampu bagi sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna ketika solat samada kerana ketakutan atau kerana atap hendak roboh diqiyaskan dengan hukum berdiri seorang yang bongkok. (Al Mughni: 2/144)
12. Imam Malik berpendapat, diharuskan melewatkan solat bagi mereka yang ketiadaan air diqiyaskan dengan seorang perempuan yang kedatangan haid yang diharuskan melewatkan solatnya (al Mughni: 1/250)
13. Imam Abu Hanifah dan Imam asy Syafie berpendapat, sah tayammum bagi seorang yang berhadas besar dengan niat mengangkat hadas kecil diqiyaskan dengan sahnya wudhuk selepas membuang air kecil atau besar (walaupun tanpa niat untuk mengerjakan solat). (Al Mughni: 1/267)
14. Imam Malik membolehkan qadha' solat malam yang terluput, iaitu dikerjakannya selepas terbit fajar sebelum solat Subuh diqiyaskan dengan solat witir. Tetapi ini adalah salah satu pendapat Imam Malik berhubung dengan masalah ini. (al Mughni:2/120)
15. Imam Abu Hanifah, Ath Thauri dan Al Auza'ie membolehkan lewat solat bagi mereka yang tidak menemui air dan tanah sehinggalah menemuinya, kemudian mengqadha'nya diqiyaskan dengan melewatkan puasa bagi wanita yang kedatangan haid (Al Mughni: 1/267)
Ini hanya sebahagian kecil daripada sebilangan besar persoalan ibadah yang dikeluarkan hukumnya berdasarkan kaedah qiyas. Qiyas ini adalah ijtihad dan pandangan. Oleh itu, sesiapa yang melarang menggunakan qiyas di dalam ibadah secara mutlaq, maka pendapatnya tidak dapat diterima sebagaimana yang dinyatakan tadi.
Ibnu Umar radiyaLlahu anhu berpendapat, solat Sunah Dhuha tidak digalakkan di dalam syariat Islam melainkan bagi mereka yang tiba dalam permusafiran. Beliau hanya mengerjakannya ketika tiba di Masjid Quba. Ini diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Mauriq katanya :
"Aku pernah bertanya kepada Ibnu Umar RadiyaLlahu 'anhu." Adakah kamu bersolat Dhuha? Beliau menjawab "Tidak", Aku bertanya lagi "Adakah Umar mengerjakannya?" Beliau menjawab "Tidak". Aku bertanya lagi " Abu Bakar?" Jawabnya: "Tidak" Aku bertanya lagi: "RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam?" Jawabnya "Aku tidak pasti".
Menurut al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani:
"Sebab tawaqqufnya Ibnu Umar pada masalah itu kerana beliau pernah mendengar daripada orang lain bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah mengerjakannya tetapi beliau tidak begitu mempercayai perkara itu daripada seorang yang menyebut kepadanya.".
Maka, beliau menganggap solat Dhuha adalah di antara bid'ah yang baik sepertimana yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada beliau (Ibnu Umar).
Menurut Al A'raj:
“Aku pernah bertanya Ibnu Umar berkenaan Solat Sunah Dhuha? Beliau menjawab: “Ia adalah bid’ah dan sebaik-baik bid’ah”. (Fath al Bari: 3/52)
Sepertimana yang telah dinyatakan daripada Ibnu Umar tadi, membuktikan bahawa perkara-perkara yang baharu diwujudkan dalam ibadah memang berlaku dan diakui oleh pada sahabat RadiyaLlahu ‘anhum sendiri.
Sumber : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur
Salam tuan.
BalasPadamAdakah solat sunat dhuha itu bidaah?
saya cuma kurang pasti, tapi ada org cakap solat sunat dhuha membuka pintu rezeki. adakah hadis yg mendakwa spt itu?
Assalamu'alaikum tuan yang dirahmati Allah.
BalasPadamSolat Sunat Dhuha hukum melakukannya adalah sunnah, Sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Daqiq al Id dalam kitab beliau Zad Al Maad. Inilah hukum yang menjadi pegangan fuqaha' Hanafiyyah,Syafi'iyyah dan Hanabilah. Tetapi fuqaha' Malikiyyah mengatakan ia hanyalah mandub muakkad.
Imam al Hakim mengumpulkan 20 hadith dari para sahabat mengenai solat Dhuha dan menuliskannya dalam bab tersendiri.
Imam as Suyuthi mengatakan ramai para sahabat mengerjakan Solat Dhuha antaranya :
1. Aisyah radiyaLlahu 'anhu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Said bin manshur dan Ibnu Abi Syaibah.
2. Abu Sa'id al Khudri dan Sa'id bin Mansur sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal.
3. Abu Dzar al Ghifari sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah.
4. 'Abd Allah ibn Ghalib sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Nu'aim.
Dikhabarkan juga bahawa Sa'id bin Manshur meriwayatkan dalam kitab beliau as Sunan dari Ibnu Abbas radiyaLlahu 'anhu yang bermaksud :
"Aku mencari solat Dhuha dalam al quran, maka aku menemuinya dalam ayat (Surah Shad ; Ayat 18)
Sementara Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dalam kitab beliau al Mushannif dan al Baihaqi dalam Syu'b al Iman dari 'Abd Allah ibn Abbas yang bermaksud :
"Sesungguhnya solat Dhuha itu terdapat dalam al Quran, orang tidak akan menemukannya selain daripada orang-orang yang menyelami firman allah ta'ala yang termaktub dalam surah an Nur, ayat 36, yang berbunyi :
(Bertasbih kepada Allah (di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut namaNya di dalamnya) pada waktu pagi dan petang. (Surah al Israk : 25)
Sayyid Siddiq Khan mengatakan bahawa hadith-hadith mengenai solat Dhuha adalah mutawattir dari kalangan para sahabat.
Dalil Hadith yang menyokong :
Diriwayatkan dari Zaid bin arqam sebagai berikut (yang bererti) : RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam keluar menuju tempat ahli Quba', ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Lantas baginda bersabda : "Ini adalah solat awwabin (orang-orang yang kembali kepada Allah) iaitu ketika anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha (Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan al Turmudzi).
2. Hakim dan at Thabrani meriwayatkan dari Nuwas bin Sam'an bahawa Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Telah berfirman Allah ta'ala (dalam hadith qudsi) : "Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat pada permulaan siang (solat dhuha), nanti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya" (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad, al Turmudzi, Abu Daud dan al Nasa'i dari Nu'aim al Ghitfani dengan sanad yang baik)
3. Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu yang berbunyi :
"Aku diberi wasiat oleh kekasihku sallaLlahu 'alaihi wasallam dengan tiga perkara : Iaitu puasa tiga hari dalam sebulan, melakukan 2 rakaat solat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur.
Rujukan : Ibnu Muhammad El Fandhani, Panduan-panduan Solat-solat Sunat.
Alhamdulillah tuan, clear.
BalasPadamTerima kasih kerana bantu org awam mcm ana ni.
Jazakallah