Halaman

Rabu, 16 September 2009

Isu Rawatan Dan Berubat Ketika Berpuasa

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Artikel pendek ini seharusnya dibaca bersama posting saya yang lepas (ada di bawah posting ini). Saya didatangi perbincangan tidak formal berkaitan dengan fatwa ramai sarjana semasa yang mengatakan tidak batal puasa menggunakan ubat yang memasuki rongga-rongga badan (mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur). Mereka memberikan alasan-alasan berikut :

1. Yang dimaksudkan larangan makan dan minum apabila sampai ke perut.

2. Yang dilarang ialah memakan sesuatu yang sifatnya makanan atau menguatkan atau memberi tenaga pada tubuhغذاء).

3. Perkara-perkara membatalkan puasa terhad yang dinyatakan dalam nas iaitu makan, minum dan hubungan seks. Sekiranya tiada dalil, ia tidak membatalkan puasa.

Saya masih cenderung dengan tafsiran ulama-ulama silam yang membatalkan puasa apabila sesuatu itu melebihi had-had tertentu pada rongga-rongga badan kerana hujah-hujah mereka yang konsisten iaitu:

1. Saya tidak pernah mendengar makan dan minum apabila sesuatu itu sampai ke perut. Kalau dipegang pandangan ini, kita boleh katakan pada seseorang yang menelan makanan:
"Kamu belum makan lagi sehinggalah makanan itu jatuh ke perut"
Sebaliknya, umum menerima apabila seseorang itu menelan, sudah dikira makan atau minum, iaitu apabila sesuatu itu melebihi had kerongkong. Justeru, pandangan ulama-ulama silam lebih tepat dan berada dalam lingkungan nas yang melarang makan dan minum.

2. Larangan makan dan minum dalam nas Syarak tidak menyatakan jenis makanan samada mengenyangkan atau tidak. Sudah diterima (Thabit) dalam kaedah Syarak, sekiranya dilarang banyaknya sesuatu, sedikitnya juga dilarang (ma hurima kathiruhu, hurima qaliluhu).

3. Sesuatu yang dilarang dari ditelan ditakuti membatalkan puasa ialah sesuatu yang terasing dari badan contohnya air liur yang bercampur dengan rasa gula-gula. Ia masih dalam lingkungan tafsiran nas Syarak larangan makan dan minum.

4. Ulama-ulama silam berpegang dengan sikap ‘warak’ berwaspada takut-takut tidak ditunaikan hak-hak Allah SWT.

5. Ayat-ayat berkaitan puasa dalam posting yang lepas jelas menunjukkan bahawa Allah SWT membezakan orang sakit (maridh) dengan orang yang lemah (la yutiquna) tiada kekuatan untuk berpuasa. Orang sakit diharuskan berbuka dan qadha’, manakala orang yang lemah tiada harapan pulih bayar fidyah. Namun, kita seolah-olah mengatakan mereka yang terpaksa berubat itu sihat dan perlu berpuasa, atau kita mengatakan makanlah ubat tetapi kamu masih berpuasa sebab tidak dikira seseorang itu makan kecuali bila sampai ke perut!

Berdasarkan penelitian di atas, saya masih cenderung kepada pandangan yang dikeluarkan oleh JAKIM sebagaimana dalam posting saya yang lepas.

Wallahu a'lam.

Sumber : Dr Asmadi Mohamed Naim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan