Halaman

Ahad, 27 September 2009

Benarkah Ibnu Ishaq Adalah Seorang Syiah ? Bab 1

Insya ALlah, penjelasan di bawah ini sedikit sebanyak akan merungkai persoalan bahkan memberi keadilan kepada Imam Ibnu Ishaq (penulis sirah terkenal di dunia Islam) dari tohmahan dan juga jenayah ilmiyyah kepada Imam Ibnu Ishaq yang dituduh sebagai syiah dan ditolak hadith yang diriwayatkannya.

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Dialog Ilmiyah berkenaan al-Imam Muhammad Bin Ishak rahimahullah...Ikuti Dengan Teliti dan Lapang Dada..

Seorang murid bertemu gurunya menceritakan satu masalah yang dia hadapi ketika mengikuti sebuah pengajian yang disampaikan oleh seorang ustaz di sebuah surau.Permasalahannya adalah berkenaan al-Imam Muhammad bin Ishak rahimahullah.Ikuti perbincangannya dengan Tuan Gurunya tersebut.

*******

Ahmad : Assalamualaikum Tuan Guru.

Tuan Guru: Waalaikumussalam warahmatullah.Oh Ahmad. Masuklah. Duduk sekejap ya, saya nak minta ustazah buatkan teh untuk kita berdua.

Ahmad : Eh Tuan Guru tak perlu susah-susah. Lagipun saya datang sekadar ingin berbincang dengan Tuan Guru berkenaan satu masalah.

Tuan Guru : Tak mengapa, tak susahkan pun, memang ini yang Baginda sallallahu alaihi wasallam ajarkan. Tiga perkara yang perlu disegerakan , pertama : Bilamana jenazah telah hadir, maka perlu disegerakan pengkebumiannya, yang kedua: jika seorang anak dara telah tiba masanya maka perlu dipercepatkan perkahwinannya, dan yang ketiga: bilamana tetamu datang, perlu dipercepatkan hidangannya.

Ahmad tersenyum gembira.Inilah bahagianya bersama para ulama.Setiap gerak lakunya adalah ilmu dan bersandarkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Setelah minuman dihidangkan, Tuan Guru terus bertanya Ahmad.

Tuan Guru : Oh ya , kamu cakap tujuan kamu ke sini adalah untuk membincangkan satu masalah.Nampaknya macam agak berat sahaja.

Ahmad: Ya Tuan Guru.Baru-baru ini saya mengikuti sebuah pengajian Sirah di surau berdekatan dengan kampung saya.Cuma saya pelik, kenapa ustaz tersebut selalu benar mencerca dan mempertikaikan al-Imam Muhammad bin Ishak.Setahu saya , al-Imam Ibn Ishak ini merupakan salah seorang ulama sirah yang terkenal.Katanya para ulama menolak Ibn Ishak dan tidak menerima langsung hadis yang diriwayatkannya.Adakah ini benar Tuan Guru?Bolehkah Tuan Guru ceritakan siapakah sebenarnya al-Imam Muhammad bin Ishak ini?

Tuan Guru tersenyum mendengar permasalahan yang diceritakan oleh Ahmad.

Tuan Guru : Seseorang bilamana mendapat sesuatu perkara , jika tidak dikaji dengan benar maka beginilah jadinya.Rasa bangga dengan apa yang ada, terus ingin menunjukkan bahawa dirinya ada penyelamat kepada masyarakat.Kononnya pegangan sekarang tidak tepat.Maka dialah penyelamat bangsa dan agama.Inilah padahnya bila ilmu jiwa tidak diamalkan.Malah yang mengamalkannya dianggap sesat dan zindiq.

Beginilah Ahmad.Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak atau mempersalahkan.Jika dia hujahkan dengan ilmu. Maka kita juga perlu lakukan demikian.Kamu perlu ingat Ahmad, jangan dahulukan amarahmu bilamana berdepan dengan golongan sebegini.Nanti kamu yang kecundang.Mohon pertolongan sebanyak-banyaknya dengan Allah taala moga Dia memberikan petunjuk kepada kita di dalam menghadapi zaman fitnah sebegini.

Tuan Guru menyambung perbahasannya.

Tuan Guru : Sebelum saya lanjutkan perbahasan.Ingin saya jawab dahulu persoalan kamu secara ringkas.Jika kamu tanyakan adakah benar al-Imam Ibn Ishak ditolak semuanya oleh ulama? Maka saya jawab, ini terlalu berlebih-lebihan dan tidak dibina atas dasar ilmu.Ya benar , seseorang itu tidak lepas daripada kesalahan.Mana ada manusia yang maksum melainkan para anbiya dan Rasul Allah.Namun jika kamu ingin membahaskan tentang seorang ulama, perlu dahulukan adab dan merasakan diri ini kerdil di sisi mereka.Masalahnya sekarang, merasakan diri lebih besar berbanding para ulama dahulu.Maka adab sudah tiada lagi.

Ahmad : Bolehkah Tuan Guru ceritakan, bilakah al-Imam dilahirkan dan dengan siapakah beliau berguru?

Tuan Guru : al-Imam Ibn Ishak hidup diantara tahun 80H hingga 151H.Ini bermakna beliau sempat merasai zaman dua khilafah iaitu Khilafah Bani Umawiyyah dan Bani Abbasiah.Beliau juga sempat bersama dengan zaman 12 orang khalifah iaitu Abdul Malik Marwan,al-Walid bin Abd Malik, Sulaiman bin Abd Malik,Sayyidina Umar bin Abd Aziz,Yazid bin Abd Malik,Hisyam bin Abd Malik,al-Walid bin Yazid, Yazid bin al-Walid,Ibrahim bin al-Walid,Marwan bin Muhammad,Abu al-Abbas al-Saffah dan Abu Jaafar al-Mansur.

Al-Imam Ibn Ishak rahimahullah mula belajar sejak kecil lagi.Gurunya amat ramai sekali. Malah ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani rahimahullah di dalam kitabnya al-Tahzib.Beliau juga pernah bertemu dengan Sayyiduna Anas bin Malik radhiyallahu anhu dan beliau melihat Sayyiduna Anas memakai serban berwarna hitam dan beliau ketika kecil juga sempat bertemu dengan Sayyiduna Said bin Musayyab rahimahullah .Ini seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Khatib al-Baghdadi rahimahullah di dalam kitabnya Tarikh Baghdad.

Antara guru-guru beliau ialah ayahnya sendiri iaitu Ishak bin Yasar, bapa saudaranya iaitu Musa bin Yasar, Aban bin Uthman, Basyir bin Yasar, Said bin Abi Hind , Said al-Maqburi, Abbas bin Sahl bin Saad, Abdul Rahman bin Hurmuz, Muhammad bin Ibrahim al-Taimi, Abu Jaafar al-Baqir, Fatimah binti Munzir , Muhammad bin Syihab al-Zuhri , dan lain-lain rahimahumullahu taala.

Tuan Guru menarik nafas perlahan-lahan lalu menghelakannya dengan tenang.

Tuan Guru: Cuba kamu perhatikan betul-betul Ahmad.Betapa para ulama dahulu benar-benar bersungguh menuntut ilmu.Bukan seperti orang sekarang, baru setahun dua menuntut, terus pulang dan mendabik dada bahawa dirinya adalah ulama besar jentera perubah masyarakat.Pengemudi bahtera pembaharuan. Sedang diri sendiri tidak sedar bahawa dirinya langsung tidak sebanding dengan kasut al-Imam pada zaman tersebut.Jangankan diri al-Imam malah kasutnya juga lebih mulia berbanding golongan sebegini.

Ahmad tertawa lucu mendengar tamsilan yang diberikan oleh Tuan Guru.Pedih benar mendengarnya.

Ahmad : Betul cakap Tuan Guru.Bukan kasut sahaja, malah debu di tapak kasut al-Imam lebih baik jika dibandingkan dengan golongan sebegini.

Tuan guru tertawa mendengar sampukan Ahmad.

Ahmad: Tapi Tuan Guru , dalam pengajian tersebut, Sang Ustaz banyak benar menukilkan kalam-kalam para ulama besar yang memberi komentar terhadap peribadi al-Imam.Bagaimana ya?

Tuan Guru : Inilah kesalahan orang muda zaman sekarang.Suka benar ambil berita sebelah pihak.Mentang-mentanglah al-Imam telah meninggal dunia.Maka dikomen sesuka hati mereka. Ilmu itu amanah. Mengapa tidak diceritakan semuanya dengan jelas.Disebutkan kalam ulama yang menghina dan mencaci disamping menyebutkan kalam ulama yang memuji dan menyanjung.Ini tidak.Hanya kalam yang memberikan komentar sahaja dipaparkan.

Perlu diingat Ahmad.Masyarakat sekarang jenisnya pemalas dan cepat percaya dengan hanya melihat pangkat yang ada pada penyampai.Jika yang menyampaikannya ada gelar PHD dan Doktor maka akan terus dipercayai bulat-bulat tanpa usul periksa.Kononnya ilmu itu dengan pangkat PHD yang ada.Itulah pentingnya orang seperti kamu mengambil PHD dan mengambil tempat orang-orang ini dengan segera.Biar ilmu yang disampaikan itu benar dan jitu.Asli dan dipercayai sumbernya.

Saya pernah mendengar ada orang menyebutkan bahawa al-Imam Rafie rahimahullah mengatakan bahawa seseorang tersebut tidak akan dianggap berjaya melainkan setelah dipuji oleh gurunya sendiri.

Nah, ini kalam yang disebutkan oleh al-Imam Zuhri rahimahullah, guru kepada al-Imam Ibn Ishak kepada muridnya ini.Katanya :

لا يزال بالمدينة علم جم ما كان فيهم ابن إسحاق

Maksudnya: Kota Madinah akan senantiasa dipenuhi dengan ilmu pengetahuan jika Muhammad bin Ishak ada di dalamnya.


Al-Imam Khatib al-Baghdadi rahimahullah menukilkan kalam al-Imam Syafie rahimahullah ketika memuji al-Imam Ibn Ishak.al-Imam Syafie rahimahullah menyebutkan :

من أراد أن يتبحر في المغازي فهو عيال على محمد بن إسحاق

Maksudnya: Sesiapa yang ingin benar-benar mengetahui secara mendalam tentang ilmu sejarah peperangan maka dia berhajat @ memerlukan kepada Muhammad bin Ishak

Al-Imam Abu Zur’ah al-Dimasyqi rahimahullah juga menyebutkan:

ابن إسحاق رجل قد اجتمع الكبراء من أهل العلم على الأخذ عنه

Maksudnya: Ibn Ishak merupakan seorang ulama yang mana para ulama yang hebat di dalam ilmu turut mengambil faedah daripada beliau.


Ini cuma sebahagian pujian ulama tentang dirinya.Malah yang memuji ini bukanlah orang-orang picisan.Malah semuanya merupakan wali Allah taala dan para ulama yang bertaqwa serta dikenali keilmuan mereka.

Ahmad: Jadi komentar mereka terhadap al-Imam tidak benarlah ??

Tuan Guru: Setiap manusia tiada lepas daripada kesalahan.Semuanya pasti punya kelemahan.Tidak dinafikan al-Imam Ibn Ishak juga turut dikomentar oleh sebahagian ulama hadis.Ada yang menerimanya sebagai sandaran hujah dan ada yang tidak menerimanya.

Antara ulama yang mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak adalah seorang yang thiqah adalah al-Imam Ali bin al-Madini rahimahullah.Ini disebutkan di dalam kitab Ilalul hadis libni al-Madini.Antara ulama lain yang memuji dan mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak adalah thiqah dan boleh dibuat hujah adalah al-Imam Abu Muawiyah , al-Imam Ibn Uyaynah, al-Imam Ahmad ibn Hambal, al-Imam Ibn Idris al-Hafiz,al-Imam Ibn Saad, al-Imam Syu’bah, al-Imam Abdullah ibn Mubarak,dan al-Imam Ijli rahimahumullah.

Malah sebahagian ulama seperti al-Imam Ya’qub bin Syaibah ,Muhammad bin Abi Syaibah dan Ibn Mihraz rahimahumullah bertanya sendiri kepada al-Imam Ali ibn al-Madini berkenaan Muhammad bin Ishak maka al-Imam menjawab mengatakan bahawa beliau adalah thiqah dan hadis yang diriwayatkan olehnya Sahih dan boleh dibuat hujjah.

Ini semua kamu boleh rujuk di dalam kitab Sua’lat Ibn Abi Syaibah , Kitab Ma’rifatul al-Rijal dan Kitab Tabaqat al-Imam Ibn Saad.Maka kamu akan lebih jelas akan kata-kata mereka.

Sebab itulah saya hairan kenapa mereka-mereka yang mengaku membawa risalah agama ini suka benar mengatakan sesuatu tanpa menyebutkan dengan jelas akan perbahasan sebenar tentang al-Imam Ibn Ishak? Malah terus mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak langsung tidak diterima hadisnya disisi ulama hadis.Ini satu tohmahan malah satu fitnah kepada al-Imam Ibn Ishak.Malah bukan hanya fitnah kepada Imam Ibn Ishak, tetapi juga fitnah kepada para ulama hadis yang lain.Inilah masalahnya jika belajar dengan orang yang tidak dipastikan ilmunya.

Ahmad kena ingat, saya sebutkan disini hanya sebahagian ulama yang memuji al-Imam dan mengambil beliau sebagai sandaran dan mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang thiqah.
InsyaAllah esok kamu datang lagi ke sini, bawa catatan untuk kamu catat isi penting yang akan saya sampaikan. Tidak dapat dinafikan ada ulama yang memberikan kritikan keras terhadap al-Imam Ibn Ishak. Selanjutnya kita bincang esok ya.Kebetulan saya ada temujanji dengan seseorang diluar.Esok datang lagi ya Ahmad.Habiskan dulu teh itu, dah sejuk pun .

Tuan Guru tertawa sambil menghirup teh sejuk di atas meja.Ahmad juga turut tertawa dengan usikan Tuan Guru.Ahmad begitu gembira dengan pertemuan hari ini bersama Tuan Guru.Ilmu yang disampaikan secara bersahaja sedikit sebanyak menolak tohmahan dan sangka buruk beliau terhadap al-Imam Ibn Ishak.

P/S: Cerita ini saya adaptasikan daripada Kitab “ Muhammad bin Ishak Imam Ahlul Maghazi wa al-Siyar” karangan al-Syeikh Muhammad Abdullah Abu Shoailik hafizahullah salah seorang ulama daripada negara Jordan.Sengaja saya buat dalam bentuk perbincangan antara murid dan gurunya kerana kita mengetahui bahawa pembacaan berat agak sukar dibaca jika ditulis dengan bentuk karangan berbentuk fakta.Maka saya ubah caranya menjadi bentuk penulisan dialog moga senang dihayati dan diingati bersama.Terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Ibnu Nafis kerana sudi meminta saya membahaskan tentang perkara ini.Esok saya akan sambung semula perbahasan ini dalam perbincangan seterusnya diantara Ahmad dan Tuan Gurunya.Nantikan sambungnya..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Penuntut al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan