Halaman

Selasa, 29 September 2009

Siapakah Sayyid Ja'far al Barzanji ?

Keturunan dan Kelahirannya :

Nama beliau ialah Ja'afar ibn Hasan ibn Abdul Karim ibn Sayyid Muhammad ibn al Qutb al Arif Sayyid Rasul ibn Abdus Sayyid ibn Abdur Rasul ibn Qalandar ibn Abdus Sayyid ibn Isa ibn al Hussain ibn Bayazid ibn al Mursyid Abdul Karim ibn al Qutb al A'zam al Ghauth al Fard al Jami' Isa ibn Ali ibn Yusuf ibn Mansur ibn Abdul Aziz ibn AbduLlah ibn Ismail al Muhaddith ibn al Imam Musa al Kazim ibn al Imam Ja'afar al Sodiq ibn al Imam Muhammad al Baqir ibn al Imam Ali Zainal Abidin al Sajjad ibn al Imam al Syahid al Husain ibn al Imam Amirul Mukminin Ali ibn Abu Talib.

Tarikh Kelahiran

Pada hari Khamis awal bulan Zulhijjah 1126 Hijrah di Madinah al Munawwarah

Perkataan 'Barzanji' yang dinisbahkan kepada namanya diambil dari nama kampung asal keturunannya.

Latar Belakang Pendidikannya

Beliau dibesarkan di bawah didikan dan asuhan ayahandanya. Beliau mempelajari al Quran daripada Syeikh Ismail al Yamani radiyaLlahu 'anhu. Kemudian mempelajari ilmu tajwid daripada syeikh Yusuf al Sa'idi radiyaLLahu 'anhu dan Syeikh Syams al din al Misri radiyaLlahu 'anhu. Di antara guru-gurunya di Madinah ialah :

1. Sayyid Abdul Karim Haidar al Barzanji radiyaLlahu 'anhu

2. Sayyid Yusuf al Kurdi radiyaLLahu 'anhu

3. Sayyid 'AtiyyatuLlah al Hindi radiyaLlahu 'anhu

Setelah itu, beliau mendalami ilmunya dengan ulama' yang berada di Makkah dan menetap di sana selama 5 tahun. Di antara guru-gurunya di Makkah ialah :

1. Syeikh 'AtaiLlah ibn Ahmad al Azhari

2. Syeikh Abdul Wahhab al Tontowi al Ahmadi

3. Syeikh Ahmad al Asybuli dan lain-lain lagi.

Oleh kerana kepakarannya yang tinggi di dalam persada ilmu, beliau telah diijazahkan dengan sanad-sanad ilmu oleh masyaikh pada zamannya. Di antara guru-gurunya yang pernah menganugerahkan sanad kepadanya ialah :

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi

2. Sayyid Ahmad al Tobari

3. Syeikh Muhammad ibn Hasan al 'Ujaimi

4. Sayyid Mustafa al Bakari

5. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri

Beliau telah belajar daripada mereka pelbagai ilmu pengetahuan. Di antaranya ilmu saraf, nahu. mantiq, ma'ani, bayan, adab, fiqh, usul fiqh, faraidh, matematik, hadith, mustalah hadith, tafsir, dakwah, kejuruteraan, arudh, kalam, bahasa, sirah, qiraat, suluk, tasawwuf dan sebagainya.

Apa yang berlaku pada zaman mutakhir ini, sesetengah ahli masyarakat melemparkan tuduhan bahawa beliau bukan seorang ilmuwan Islam. Anggapan yang tidak berasas ini, menyebabkan kitab maulid karangannya yang selama ini diterimapakai di dalam Majlis Sambutan Maulid Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam di kebanyakan negara Islam dituduh mengandungi banyak perkara khurafat dan bertentangan dengan Al Quran dan Hadith.

Oleh kerana itu, untuk meneutralkan tanggapan negatif ini, adalah wajar diketengahkan sanad beliau yang menghubungkan ilmunya dengan dua buah kitab hadith yang muktabar; al Bukhari dan Muslim sehingga kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bagi membuka mata dan meyakinkan kita bahawa pengarang Kitab Maulid Barzanji yang kita baca selama ini bukanlah calang-calang ulama.

Sanad Jami' Al Sahih Imam Bukhari

Sayyid Ja'far al Barzanji belajar daripada,

1. Syeikh Muhammad Tayyib al Fasi, belajar daripada

2. Syeikh Ibrahim al Dir'i, belajar daripada

3. Syeikhah Fatimah binti SyukriLLah al Uthmaniyyah, bonda nendanya Sayyid Muhammad ibn Abdur Rasul, belajar daripada

4. Al Syams Muhammad ibn Ahmad al Ramli, belajar daripada

5. Syeikh al Islam al Qadhi Zakaria ibn Muhammad al Ansari, belajar daripada

6. al Hafiz Ahmad ibn Ali ibn Hajar al Asqalani, belajar daripada

7. Syeikh Ibrahim ibn Ahmad al Tanukhi, belajar daripada

8. Syeikh Abi al Abbas Ahmad ibn Abi Talib al Hajjar al Dimasyqi, belajar daripada

9. al Siraj al Husain al Mubarak al Zaibidi, belajar daripada

10. Abdil awwal ibn Isa al Harawi, belajar daripada

11. Abdir Rahman ibn Muzaffar al Dawudi, belajar daripada

12. Abi Muhammad AbduLLah ibn Hamawih al Sarkhasi, belajar daripada

13. Syeikh Abdi AbdiLlah Muhammad ibn Yusuf ibn Matar al Farabri, belajar daripada

Pengumpulnya, Amirul Mukminin al Imam al Hafiz al Hujjah Abu AbdiLLah Muhammad ibn Ismail al Bukhari.

Sanad Sohih Muslim

Sayyid Ja'far al Barzanji, belajar daripada

1. Syeikh AbduLlah al Syubrawi al Misri, daripada

2. Syeikh Muhammad Zurqani ibn Abdul Baqi al Maliki al Azhari, daripada

3. Al Hafiz Muhammad ibn 'Ala' al Babili, daripada

4. Syeikh Abi al Naja Salim ibn Muhammad al Sanhuri, daripada

5. Al Najm Muhammad ibn Ahmad al Ghaiti, daripada

6. Syeikh al Islam Zakaria ibn Muhammad al Ansari, daripada

7. Abi al Nu'aim Ridhwan ibn Muhammad, daripada

8. Syeikh Abi Tahir Muhammad ibn Muhammad, daripada

9. Abi al Faraj Abdur Rahman ibn Abdul Hamid al Maqdisi, daripada

10. Syeikh Abi al Abbas Ahmad ibn Abdud Daim al Nablusi, daripada

11. Syeikh Muhammad ibn Ali al Harani, daripada

12. Faqih al Haram Muhammad ibn al Fadhl al Farawi, daripada

13. Syeikh Abi al Husain Abdul Ghafir ibn Muhammad al Farisi, daripada

14. Abi Ahmad Muhammad ibn Isa al Jaludi, daripada

15. Syeikh Abi Ishaq Ibrahim ibn Muhammad ibn Sufyan al Zahid, daripada

Pengumpulnya al Imam al Hujjah Muslim ibn al Hajjaj al Qusyairi al Naisaburi.

Kepakarannya di dalam bidang keilmuwan telah menarik ramai orang datang menemuinya untuk mempelajari ilmu. Beliau mengikuti dan menyelami jalan ahli tasawwuf dan meninggalkan kerehatan dan tidur lebih dari 20 tahun sehingga beliau mempunyai kemahiran di dalam ilmu naqli (berasaskan al Quran dan Sunnah) dan aqli. Beliau pernah mengambil tariqat daripada Sayyid 'AtiyatuLlah al Hindi dan Sayyid Mustafa al Bakari.

Beliau telah mengarang banyak kitab yang menakjubkan dan bermanfaat. Di antaranya ialah kitab Maulid Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam yang tidak pernah ditulis oleh pengarang sebelumnya yang dinamakan dengan 'Iqd al Jauhar fi Maulid al Nabi al Azhar sallaLlahu 'alaihi wasallam.

Hubungan Sosial

Beliau juga mempunyai kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat sehingga dilantik sebagai Mufti Mazhab Syafie radiyaLLahu 'anhu di al Madinah al Munawwarah. Beliau memegang jawatan tersebut sehingga kewafatannya dan dianugerahkan dengan kebesaran yang tinggi sehingga kata-katanya diperkenankan dan dilaksanakan oleh raja-raja dan pemerintah-pemerintah di Haramain (Makkah dan Madinah), Mesir, Syam, Rom dan sebagainya.

Kata-katanya juga diterimapakai oleh Jemaah Menteri Kerajaan Uthmaniyyah dan pembesar-pembesar negara tersebut. Suaranya tersebar seperti burung yang berterbangan di seluruh pelusuk dunia hingga hampir tiada sesiapa yang tidak mengenalinya. Karyanya tersebar luas dan kelebihan kitabnya tiada tolok bandingnya pada zamannya.

Akhlaknya

Beliau mempunyai akhlak yang mulia, bersifat tawadhu', hati yang bersih, cepat memaafkan orang lain dan tidak mengabaikan hak orang lain. Beliau merupakan keturunan dari keluarga RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan di kalangan ketua yang menjadi tempat rujukan keturunan Baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam pada zamannya. Beliau juga merupakan seorang yang zuhud, wara', berpegang dengan al Quran dan Sunnah, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mengorbankan harta dan jiwa untuk melakukan kebaikan serta banyak bersedekah sehingga dikenali sebagai seorang dermawan.

Beliau juga mempunyai karamah yang dizahirkan oleh ALlah subahanahu wa Ta'ala. Di antaranya, beliau pernah dipanggil dari tempat solatnya pada Hari Jumaat menaiki mimbar RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Pada masa tersebut, sedang berlaku kemarau yang panjang. Maka orang bertawassul dengannya supaya diturunkan hujan. Dengan kehendak ALlah subahanahu wa Ta'ala, maka hujan pun turun dengan lebatnya dan tanah yang kering kontang menjadi subur. Ramai di kalangan ulama' yang memujinya sebagaimana yang dirakamkan di dalam syair gubahan mereka. Di antaranya :

سقى الفاروق بالعباس قدما
و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك وسيلة لهم وهذا
وسيلنا إمام العارفينا


"Dahulu sayyiduna Umar RadiyaLlahu 'anhu pernah bertawassul meminta hujan dengan Sayyiduna al Abbas radiyaLLahu 'anhu, dan kini kami bertawassul dengan Ja'far radiyaLlahu 'anhu, maka diturunkan hujan kepada kami"


Khalifah Umar ibn al Khattab radiyaLlahu 'anhu sepertimana yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim daripada Anas radiyaLlahu 'anhu pernah bertawassul dengan bapa saudara Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, iaitu Abbas ibn Abdul Muttalib ketika berlaku musim kemarau. Umar RadiyaLlahu 'anhu berdoa :

اللهم إنا كنا إذا قحطنا توسلنا إليك بنبينا فتسقنا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا محمد صلى الله عليه وسلم فاسقنا, قال : فيسقون


Ya ALlah! Sesungguhnya apabila kami menghadapi kemarau, kami bertawassul kepada Engkau dengan Nabi kami (Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam) maka Engkau menurunkan hujan kepada kami. Dan sekarang ini, kami bertawassul kepada Engkau dengan bapa saudara Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam, maka turunkanlah hujan jepada kami." Anas radiyaLlahu 'anhu menyebut, "Maka hujan pun diturunkan ke atas mereka."


Sila lihat di dalam Kitab Syifa' al Saqqam karangan Syeikh Taqiyuddin al Subki H:171.

Kewafatannya

Beliau wafat pada Hari Selasa selepas Asar 4 Sya'ban 1177 Hijrah.

Sumber Rujukan: Haji Muhammad Fuad Kamaluddin al Maliki, Al Bayan 8, Cet Pertama 2008, Sekretariat Menangani Isu-isu Akidah Dan Syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor. Malaysia.

Siapakah Golongan Mu'attilah ?

Penulis : Ustaz Al-Amin Daud

1. Seringkali kita terbaca di laman-lama wahhabi yang menyamakan akidah Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari dan Al-‘Ashaairah (ulama’ yang mengikuti manhaj Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari) Rahimahumullah dengan pandangan معطلة (mu’attilah) yang menafikan sifat bagi Allah.

2. Siapakah sebenarnya muattilah?

معطلة هم المعتزلة لأنهم نفوا الصفات القديمة عن الله وعلى رأسهم واصل بن عطاء

Mu’attilah mereka itu muktazilah kerana mereka menafikan sifat yang qadim daripada Allah dan dikepalai oleh Wasil Bin ‘Ato’. Kitab Al-Mu’jam As-Syaamil li mustolaahtil falsafah, Doktor Abdul Mun’iem Al-Hufni, mukasurat 817.

3. Golongan mu’attilah merupakan nama lain bagi golongan muktazilah yang menafikan adanya sifat bagi Allah. Pada pandangan mereka Allah mendengar dengan zat, berkata-kata dengan zat, melihat dengan zat dan sekalian daripada sifat ma’ani itu dinafikan oleh golongan muktazilah atau mu’attilah

4. Kenapa mereka menafikan sifat bagi Allah? Kerana mereka terpengaruh dengan konsep falsafah yang menyatakan ;

القديم لا يكون إلا واحدا في كل جهات

Sesuatu yang qadim tidak boleh ada kecuali satu sahaja pada setiap sudut.

5. Pada pandangan mereka, jika bagi Allah adanya sifat maka bertembung dua qadim. Pertama sifat yang qadim dan kedua zat yang qadim. Maka ini bercanggah dengan konsep falsafah yang dipegang oleh mereka. Oleh sebab itu mereka menafikan adanya sifat bagi Allah.

6. Adapun mazhab ahlissunnah yang dipelopori oleh Al-Imam Abu Hassan Al-‘Asyaari Rahimahullah dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi Rahimahullah mendahulukan nas di atas konsep falsafah dengan mengisbatkan sifat bagi Allah dengan sekalian banyak ayat yang menunjukkan bagi Allah adanya sifat. Ayat-ayat yang menyatakan Allah bersifat, ditakwilkan oleh muktazilah kepada makna yang lain. Inilah takwil yang dicela oleh syara’ kerana bercanggah dengan dalil naqli yang qaati’ dan dalil ‘aqli yang qaati’.

7. Oleh sebab yang demikian, kita akan dapati di dalam pengajian sifat 20, kedua-dua Imam ini mengisbatkan sifat bagi Allah yang diistilahkan sebagai sifat ma’aani. Jadi bagaimana wahabi boleh menyamakan mazhab ahli sunnah dengan muktazilah atau mu’attilah?

8. Golongan mu’attilah atau muktazilah menafikan sifat bagi Allah secara asal. Dengan perkataan yang lain. Sifat itu sendiri tidak ada bagi Allah. Yang ada hanya zat sahaja. Boleh rujuk kitab maqaalat islamiyyin wakhtilafil musollin karangan imam Abu Hassan Al-‘Ashaari sendiri yang menjelaskan fahaman muktazilah dengan perbahasan yang panjang di bawah tajuk wa haaza syarhu qaulil muktazilah fi at-tauhid wa ghairihi,

9. Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari R.H yang masyhur di dalam sejarahnya menentang fahaman muktazilah dan menjadi benteng akidah ahli sunnah wal jamaah tiba-tiba dikatakan golongan mu’attilah atau muktazilah oleh golongan wahhabi. Sungguh pelik pandangan mereka ini.

10. Sebagai bukti beliau menolak fahaman muktazilah dapat dilihat di dalam salah satu kitab yang dikarang oleh beliau bernama Risalah Ahli at-Thaghri. Kitab ini dikarang oleh beliau apabila diminta oleh orang ramai supaya menyebut tentang perkara-perkara usul yang menjadi pegangan ahli sunnah wal jamaah. Justeru, beliau telah menjawab persoalan mereka dengan menulis risalah ini pada tahun 297 H. Kitab ini menerangkan tentang kefasadan mazhab muktazilah, menolak fahaman mereka dan menyifatkan mereka sebagai golongan bidaah dan sesat.

11. Jadi, kesimpulannya Imam Abul Hassan Al-‘Ashaari R.H bukanlah mu’attilah atau muktazilah seperti dakwaan puak wahhabi bahkan beliau merupakan penentang kepada golongan muktazilah yang kita dapat lihat di dalam karya-karya beliau yang mencapai 300 buah sepertimana yang disebut oleh Khairuddin Az-Zirikli, Al-Aa’laam : Kamus Tarajim li Asyhuri Ar-Rijal wa an-Nisa’ wa al-musta’rabin wa al-mustasyriqin, Cetakan 7, Juzuk 4, Darul Ilmi Lil Malayin, Beirut – Lubnan 1986, m.s 263.

Sumber : Http://al-amindaud.Blogspot.Com

Isnin, 28 September 2009

Kepentingan Majaz Dalam Memahami Al Quran Dan Hadith

Majaz aqli atau kiasan iaitu memindahkan maksud ucapan kepada makna yang lain.

Prof Dr Sayyid Muhammad Alawi dan Dr Isa ibn AbduLLah Mani' al Himyari telah membahaskan perkara ini dengan panjang lebar di dalam kitab masing-masing.

Bahkan, penggunaan majaz adalah penting bagi memahami ayat-ayat al Quran. Imam Ibnu Qutaibah menyatakan :

Sekiranya majaz adalah dusta, maka kebanyakan kata-kata kita adalah fasid.


Imam al Zarkasyi radiyaLlahu 'anhu menyatakan :

Sekiranya majaz terjatuh dari al Quran, nescaya terjatuhlah sebahagian daripada kebaikan.


Prof Dr Sayyid Muhammad Ibn 'Alawi al Maliki RadiyaLlahu 'anhu menulis di dalam kitabnya Mafahim Yajibu an Tusohhah.

Tidak diragui lagi, bahawa majaz 'aqli sering digunakan, baik dalam al Quran mahupun hadith. Di antaranya, firman ALlah subahanahu wa ta'ala :

وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢)

Dan apabila dibacakannya kepada mereka ayat-ayatNya , menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
(Surah al Anfaal : Ayat 2)

Menyandarkan penambahan iman kepada ayat-ayat al Quran merupakan majaz 'aqli, kerana (pembacaan) ayat-ayat itu hanyalah sebab bertambahnya keimanan, sedangkan yang menambahkan keimanan mereka sebenarnya ialah ALlah subahanahu wa ta'ala.

Begitu juga dengan firman ALlah subahanahu wa ta'ala :

يَوۡمً۬ا يَجۡعَلُ ٱلۡوِلۡدَٲنَ شِيبًا (١٧)

Hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?
(Surah al Muzammil : ayat 17)

Sesungguhnya "hari yang menjadikan anak-anak itu beruban" hanyalah ungkapan majaz aqli, kerana hari Kiamat merupakan tempat kejadian anak-anak segera menjadi tua dan beruban. Kita mengetahui dengan pasti , bahawa yang menjadikan anak-anak itu beruban hanyalah ALlah Subahanahu wa Ta'ala".

Manakala contoh yang lain, firman ALlah subahanahu wa Ta'ala :

وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسۡرً۬ا (٢٣) وَقَدۡ أَضَلُّواْ كَثِيرً۬ا‌ۖ وَلَا تَزِدِ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا ضَلَـٰلاً۬ (٢٤)

Dari Yaguth dan Ya'uuq serta Nasr. Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia).
(Surah Nuh : ayat 23-24)

Kalimah (yang menyesatkan manusia adalah berhala-berhala) itu adalah majaz aqli, kerana berhala-berhala hanyalah menjadi sebab bagi sesatnya manusia. Padahal yang memberikan hidayah atau menyesatkan sebenarnya hanyalah ALlah Subahanahu wa Ta'ala.

Dalam perenggan yang lain beliau menyambung :

Dalam hadith Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam pun banyak ungkapan yang mengandungi majaz 'aqli, yang hanya dapat diketahui oleh orang yang ahli dalam ilmu Balaghah. Bagi orang yang mengerti ungkapan haqiqi dan majazi (kiasan), tentu tidak memerlukan penjelasan yang panjang lebar berkenaan dengan masalah ini.

Ulama'mengatakan,
"Jika penyandaran ini keluarnya daripada ahli Tauhid, sudah cukup memahami ucapan tersebut sebagai penyandaran majazi".
Ini kerana, i'tiqad yang sohih ialah i'tiqod bahawa Pencipta hamba-hamba ALlah subahanahu wa Ta'ala dan perbuatan mereka ialah ALlah subahanahu wa Ta'ala, Tiada selainNya yang mempunyai pengaruh dan kesan; baik yang masih hidup mahupun yang telah mati. I'tiqad ini adalah tauhid yang murni dan selain itu adalah syirik. - Terjemahannya terdapat di dalam kitab kami bertajuk Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan H:202-204.

Sumber : Haji Muhammad Fuad Kamaluddin al Maliki, Al Bayan 8, Cet Pertama 2008, Sekretariat Menangani Isu-isu Akidah Dan Syariah, Majlis Agama Islam Negeri Johor. Malaysia.

Ahad, 27 September 2009

Benarkah Ibnu Ishaq Seorang Syiah ? Bab Akhir

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Dialog al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu Siri Terakhir..Semoga Bermanfaat


Ahmad : Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak ustazah. Susahkan ustazah pulak terpaksa masak untuk kami.

Ustazah Ummu Muhammad : Eh, tak mengapa. Memang tugas ustazah pun. Lagipun seronok juga dapat dengar perbincangan kamu dengan Tuan Guru.Baguslah, muda-muda lagi dah bersemangat menuntut ilmu.

******

Selesai makan mereka menuju ke ruang tamu untuk menyambung perbincangan dengan Tuan Guru.Masakan tengah hari itu memang benar-benar menyelerakan. Udang goreng tepung masakan ustazah di tambah pula dengan masak lemak cili api menyebabkan Ahmad dan Ibrahim tidak segan-segan menambah sebanyak 3 kali.Kalau diikutkan hati mahu sahaja mereka minta Ustazah Ummu Muhammad bungkuskan untuk bawa pulang ke rumah.Patutlah Tuan Guru benar-benar sayang akan isterinya ini. Serba serbi lengkap .

*****

Tuan Guru : Di mana perbincangan kita tadi ya ?

Ibrahim : Kalau tidak salah saya, kita terhenti setakat jawapan terhadap pandangan kritikan daripada al-Imam Malik radhiyallahu anhu.

Tuan Guru : Baiklah, kesimpulan daripada perbincangan kita tadi, maka sepatutnya bagi seorang pengkaji perlu menilai dengan baik akan perkara ini. Bagi saya, pendapat al-Imam al-Zahabi seperti yang disebutkan di dalam kitabnya yang terkenal iaitu Siyar al-A’lam al-Nubala’ perlu untuk kita ketengahkan buat golongan ini.

Imam al-Zahabi rahimahullah sendiri mengatakan bahawa pendapat para ulama di dalam ilmu Jarah wa al-Ta’dil ( ilmu kritikan dan pujian terhadap Rawi) terkadang tidak terlepas daripada kesalahan.Namun kita perlu mengambil sikap sederhana di dalam permasalahan ini.

Peristiwa yang berlaku di antara al-Imam Malik radhiyallahu anhu dengan al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu perlulah dinilai dengan sebaiknya.

Malah al-Imam al-Zahabi mengatakan bahawa kedudukan al-Imam Ibn Ishak di dalam ilmu sirah tidak dapat dinafikan kehebatannya dan penerimaan ulama terhadapnya.Cuma di dalam permasalahan hadis hukum, ianya perlu dinilai semula.Bukanlah semuanya ditolak, malah ada yang sampai peringkat al-Hasan (juga boleh dibuat hujjah) dan jika beliau bertentangan dengan para ulama yang lebih thiqah daripadanya maka hadisnya akan dihukumkan sebagai Syaz.Maka hadis Syaz termasuk di dalam jenis yang dhoif dan tidak boleh dibuat hujah hukum.

Kalau kamu pelajari ilmu mustalah al-hadis maka tentu kamu akan memahami perkara ini dengan baik.Malah istilah Syaz yang digunakan oleh ulama Hadis bukanlah istilah yang biasa.Maksud sebenar syaz ialah seorang perawi yang thiqah yang meriwayatkan hadis , yang mana hadis tersebut bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang lebih Thiqah daripadanya dan kedua-dua hadis tersebut tiada kemungkinan untuk digabungkan.

Jelas di sini para ulama khususnya al-Imam Zahabi sendiri mengiktiraf bahawa al-Imam Ibn Ishak adalah termasuk dikalangan rawi yang thiqah.Saya hairan bagaimana golongan “pemurni sirah “ ini mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak ini adalah seorang yang tidak boleh diterima langsung hadisnya.

Ini jelas khianat terhadap ilmu hadis malah terhadap ulamanya.Saya tidak tahu bagaimana mereka ini akan berhadapan dengan al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu di Mahsyar kelak? Moga Allah taala memberikan ruang untuk mereka sedar akan kesalahan mereka.Aminn.

Ahmad dan Ibrahim : Aminn.Moga mereka berubah menjadi lebih baik.

Ahmad : Tuan Guru, jika tidak salah pengamatan saya, al-Imam Khatib al-Baghdadi rahimahullah pernah menyebutkan di dalam kitabnya Tarikh al-Baghdad jilid 1, antara sebab kenapa periwayatan hadis daripada al-Imam Ibn Ishak dikaji dengan teliti oleh para ulama adalah kerana beliau tasyayyu’ @ lebih ke arah Syiah. Malah beliau juga dikatakan seorang yang berfahaman Qadariyah. Jadi bagaimana dengan permasalahan ini Tuan Guru?

Tuan Guru : Pertama kamu perlu fahami dengan teliti peredaran zaman pada waktu tersebut.Seperti mana yang kita bincangkan sebelum ini, kita sedia maklum bahawa al-Imam Ibn Ishak hidup pada zaman pemerintahan Umawiyah dan Abbasiah. Kita sedia maklum pada zaman tersebut , para pemerintah cukup bermusuh dengan Saidina Ali karramallahu wajhah. Maksudnya siapa sahaja yang menyokong perjuangan Saidina Ali akan dihukumkan sebagai Syiah. Malah istilah Tasyayyu’ dan Syiah adalah merupakan dua istilah yang cukup berbeza.

Pembacaan kitab turath perlu kita selarikan dengan zaman pada ketika hukum tersebut dikeluarkan.

Saya masih teringat ketika saya belajar bersama Tuan Guru saya di Mesir iaitu Syaikhuna Murabbi Dr Yusri hafizahullah, pernah saya tanyakan berkenaan permasalahan kenapakah para ulama Syafieyah mengeluarkan hukum boleh dipecat imam-imam solat yang selalu benar membaca Surah al-Lahab ketika solat? Syaikhuna hafizahullah menjawab, ini perlunya ilmu sirah dan tarikh Islam.Fiqh berubah berdasarkan zaman dan tempat.Pada zaman tersebut , seseorang yang ingin rapat dengan pemerintah perlu malah wajib bagi mereka untuk menghina dan mencaci maki Saidina Ali karramallahu wajhah.Jadi ketika solat, para imam akan membacakan surah al-Lahab kerana kita sedia maklum bahawa Abu Lahab adalah bapa saudara Saidina Ali karramallahu wajhah. Di dalam al-Quran tidak terdapat ayat yang menghina Saidina Ali, maka dibacakan ayat ini seolah-olah ingin menghina ahli keluarga Saidina Ali.Maksudnya , tak dapat hina Saidina Ali, dapat hina ahli keluarganya pun jadilah. Oleh sebab itulah para ulama ketika tersebut mengeluarkan hukum sedemikian.

Tetapi sekarang, perkara tersebut berlaku lagi atau ianya sudah berakhir?Tentu sekali sudah berakhir.Mana ada seorang pun ulama dikalangan Ahlussunnah wal Jamaah Asya’irah dan al-Maturidiyah yang membenci Saidina Ali.Maka tiadalah masalah untuk membacakan ayat surah al-Lahab walaupun secara kerap.

Inilah fiqh yang sebenar.Kita bukan hanya membaca malah mengkaji pemikiran para ulama.Ini tidak akan kita dapati melainkan jika duduk dan belajar dengan para ulama.

Masalah beliau dituduh Qadariyah pula, maka ianya perlukan penjelasan dan dalil.Sekadar dituduh maka ini masih tidak jelas.Berapa ramai ulama pada zaman tersebut yang dituduh sebagai berfahaman Qadariyah.Maka ini perlu bukti dan pengkajian.Bukan sekadar menerima tuduhan tanpa bukti.

Ahmad : MasyaAllah, banyak betul perkara yang saya dapat pada hari ini.Malah ini lebih menambahkan rasa kerdil saya berbanding para ulama terdahulu.Umat zaman sekarang pula terlalu cepat menghukum.Malah menerima bulat-bulat kalam guru-guru mereka yang kononnya pemurni sirah. Bila kita menyebutkan kalam guru-guru kita , dituduhnya kita taasub membuta tuli. Tetapi jika mereka pula yang keluarkan kalam-kalam guru mereka tidak pula mereka mengatakan kelompok mereka juga taasub membabi buta.Pelik kan??

Ibrahim: Tuan Guru, sebelum kita tamatkan perbincangan kita pada hari ini, bolehkah Tuan Guru sebutkan para ulama Hadis yang meriwayatkan hadis daripada al-Imam Ibn Ishak?

Tuan Guru : Cukup ramai para ulama yang meriwayatkan daripadanya. Antara yang boleh saya sebutkan disini ialah, al-Imam al-Bukhari sendiri di dalam kitab Sahihnya. Namun hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Ishak di dalam Sahih Bukhari diriwayatkan di dalam bentuk Muallaq. Muallaq ini maksudnya dibuangkan seluruh sanad hadis tersebut dan hanya dimasukkan matannya sahaja.Kita sedia maklum bagaimana manhaj yang digunakan oleh al-Imam Bukhari di dalam kitabnya. Setiap hadis yang beliau tidak ambil daripada perawinya sendiri atau perawi tersebut bukanlah gurunya maka beliau akan meriwayatkan dalam bentuk Muallaq.Muallaq di dalam Sahih Bukhari juga adalah Sahih.

Al-Imam Muslim juga meriwayatkan sebahagian hadis daripada al-Imam Ibn Ishak.Tetapi hadis tersebut diletakkan sebagai penguat kepada hadis yang lain.Maksudnya bukanlah sebagai sandaran utama, cuma sekadar penguat. Pentingnya, al-Imam Muslim turut mengiktiraf dan memasukkan di dalam kitabnya.

Antara ulama hadis yang lain yang meriwayatkan daripada al-Imam Ibn Ishak adalah al-Imam Abu Daud, al-Imam Tirmizi, al-Imam Nasa’ie, al-Imam Ibn Majah, al-Imam Ahmad Ibn Hambal, al-Imam Ibn Hibban, al-Imam Abu Ya’la, al-Imam al-Hakim al-Naisaburi,al-Imam Ibn Jarud, al-Imam Dara Quthni, al-Imam Thabrani, dan al-Imam al-Baihaqi.

Nah kamu perhatikan betul-betul. Kebanyakkan ulama hadis muktabar mengambil daripadanya.Bagaimana mereka boleh mendakwa kesemua riwayatnya ditolak mentah-mentah tanpa dikaji terlebih dahulu.

Menghukum tanpa mengkaji dengan teliti akan menjadikan otak seseorang tersebut sempit dan payah untuk menerima kebenaran.

Ibrahim: Allahu Akbar.Semakin bertambah tidak faham saya kepada golongan yang menuduh semberono ini.Sudahlah merosakkan pemikiran masyarakat. Malah semakin parah, masyarakat pula menganggap mereka sebagai orang yang pakar di dalam bidang sirah ini melebihi para ulama terdahulu.Terima kasih banyak Tuan Guru.

Tuan Guru: Alhamdulillah, selesai perbincangan kita pada hari ini.Pesanan saya, jangan berpada dengan apa yang saya sampaikan kepada kamu.Perlu untuk kamu melihat sendiri kepada kitab-kitab yang saya sebutkan sepanjang perbahasan.

Sikap yang patut dibuang bagi seorang penuntut ilmu adalah merasa cukup dengan apa yang ada. Perlu tamak di dalam menuntut ilmu.Teruskan pengkajian kamu. Moga kamu berdua dapat menjadi mata rantai penerus perjuangan para ulama salafussoleh terdahulu.

Ahmad dan Ibrahim : Terima kasih Tuan Guru. Kami berdua amat terhutang budi dengan Tuan Guru dan Ustazah.Moga Allah jua yang membalasnya.Doakan moga kami juga dapat mejadi seperti Tuan Guru.

Tuan Guru tersenyum sambil menjawab.

Tuan Guru: Jangan jadi macam saya. Mohonlah kepada Allah taala moga menjadi lebih daripada saya. Kalau kamu ingin menjadi seperti saya rugilah. Sebab saya sendiri memohon kepada Allah taala moga menjadi seperti al-Imam Syafie radhiyallahu anhu.

Mereka semua tertawa gembira dengan gurauan daripada Tuan Guru.Hari itu merupakan hari yang sangat berharga buat dua anak muda ini. Mereka mencium tangan dan dahi Tuan Guru sebelum berpisah.Di dalam hati mereka mendoakan moga Allah taala senantiasa memberikan kesihatan dan kekuatan kepada Tuan Guru sekeluarga.

P/S : Alhamdulillah tamat sudah perbahasan berkenaan al-Imam Ibn Ishak radhiyallahu anhu.Moga kita semua dapat mengambil manfaat daripada kisah perbincangan ini. Saya bukanlah yang terbaik di dalam menyampaikan penerangan ini.Hakikatnya , Allah taala jualah yang memberikan kefahaman kepada kita semua.Doakan semoga kita semua dapat bertemu para ulama yang soleh ini di syurga kelak.Aminn.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah, Mesir

Benarkah Ibnu Ishaq Seorang Syiah ? Bab 2

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Dialog Ilmiyah Siri Ke-2 .. Ikuti Dengan Teliti Semoga Mendapat Manfaat


Ahmad tidak sabar-sabar menanti fajar esok menyinsing.Pertemuan semalam bersama Tuan Guru benar-benar memberikan faedah yang tiada tolok bandingnya.Teringat kata-kata seorang ulama “ Kalaulah para raja mengetahui apa yang kami rasai(manisnya ilmu)maka tentulah mereka akan memerangi kami untuk mendapatkannya”.

Setelah tiba waktu yang dijanjikan , Ahmad bergerak ke rumah Tuan Guru.Kali ini ditemani seorang kawannya iaitu Ibrahim yang turut berminat di dalam pengkajian ilmu sirah Islamiyah ini.Sebelum sampai di rumah Tuan Guru , Ahmad memberhentikan kenderaaannya buat membeli sedikit ole-ole buat Tuan Guru yang dikasihi.

********

Ahmad : Assalamualaikum…

Tuan Guru : Waalaikumussalam warahmatullah, Ahmad.. Tepat seperti yang dijanjikan semalam ye.Kebetulan Ustazah kamu masakkan nasi goreng istimewa pagi ini.Marilah kita makan dahulu sebelum sambung perbincangan kita yang tertangguh semalam.

Ahmad berbisik kepada Ibrahim : Rasa segan pula, setiap kali datang terasa seperti menyusahkan Tuan Guru sahaja.

Mereka makan sambil berbual-berbual ringan berkenaan isu semasa yang berlaku di negara Malaysia.Memang tidak dapat dinafikan betapa ilmu Tuan Guru menggunung.Bukan hanya isu agama dapat dikupasnya malah isu semasa negara juga dapat dikupasnya dengan menarik dan berlandaskan syarak.Selesai makan mereka bergerak ke ruang tamu.Sambil minum teh o panas yang dibuat oleh Ustazah (Isteri kepada Tuan Guru) mereka duduk-duduk sambil menghirup udara pagi yang benar-benar segar.

Tuan Guru : Baiklah,Bagaimana dengan perbincangan kita semalam?

Ahmad : Alhamdulillah Tuan Guru, perbincangan ringkas yang sangat padat.Tak sabar saya menanti hari ini.Rasa menyesal semalam tidak bawa perakam suara.Sebab itu hari ini saya bawa perakam suara untuk merakam perbualan kita.

Tuan Guru tersenyum melihat keletah Ahmad.Jauh disudut hatinya tersimpan rasa kagum kepada anak muda yang benar-benar mencintai agama.Ya, Allah taala juga pernah berfirman di dalam hadis QudsiNya melalui kalam Baginda sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud : “Allah taala turut kagum(pandangan Rahmat ) dengan seorang pemuda yang mana tidak terpengaruh dengan syahwatNya pada ketika masih muda

Tuan Guru : Perbincangan kita terhenti di mana ye?

Ahmad : Semalam kita hanya sempat bincang sehingga kepada para ulama yang mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak rahimahullah boleh dibuat sandaran hujah @ Thiqah.

Tuan Guru : Baiklah , ada apa-apa yang perlu saya terangkan lagi kepada kamu Ahmad?Atau ada perkara yang kamu rasakan kurang jelas ?

Ahmad : Boleh Tuan Guru terangkan para ulama yang memberikan kritikan kepada al-Imam Ibn Ishak?

Tuan Guru : Memang terdapat sebahagian ulama yang mengkritik al-Imam.Ini perkara yang biasa bagi seorang ulama.Bagaimana kita akan menjadi seorang yang berketerampilan jika tidak pernah dikritik?Hanya Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan para anbiya yang lain sahaja tidak boleh dikritik.Itupun, para anbiya’ terdahulu tetap diberikan teguran dan kritikan oleh Allah taala.Kritikan hakikatnya jika kita melihat daripada sudut positif maka akan menjadi positif.Sebaliknya yang suka mencari kelainan daripada para ulama umumnya akan meletakkan kritikan ini sebagai satu senjata menjatuhkan al-Imam Ibn Ishak.Ini jelas bertentangan dengan prinsip ilmu Islam.

Berbalik kepada persoalan kamu, antara ulama yang mengkritik al-Imam Ibn Ishak ialah al-Imam Yahya bin Said al-Qattan, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Sufyan, Imam Hammad bin Salamah, al-Imam Saadi,al-Imam Yazid ibn Zari’, al-Imam Nasa’ie dan al-Imam Jauzajani rahimahumullah.Ini semua kamu boleh rujuk daripada kitab al-Kamil fi Dhuafa’ al-Rijal , Kitab al-Dhuafa’ linnasa’ie, Kitab al-Dhuafa’ Li Abi Zur’ah al-Razi,Tarikh Uthman al-Darimi, Su’alat al-Burqani dan Kitab Ahwal Rijal.

Maka kamu perlu mengambil sedikit masa untuk mencari dan menkaji secara terperinci berdasarkan kitab-kitab yang saya sebutkan.

Ibrahim : Tapi Tuan Guru , saya pernah terbaca berkenaan kritikan-kritikan tersebut daripada tulisan seorang Ustaz ini.Hujahnya dilihat agak kuat seolah-olah al-Imam Ibn Ishak terus dianggap sebagai seorang penipu di dalam ilmu hadis.Tuduhan menipu @ Kazzab ini adalah tuduhan berat Tuan Guru.

****

Tuan Guru tersenyum sambil memanggil isteri kesayangannya.Ustazah Ummu Muhammad memang terkenal sebagai pendamping setia kepada Tuan Guru.Malah Ustazah Ummu Muhammad juga dalam diam turut merupakan salah satu gudang ilmu milik Tuan Guru.Isteri kesayangannya dipanggil untuk membantunya mengambilkan sebuah kitab karangan al-Imam Abi Ahmad bin Adiy al-Jurjani rahimahullah iaitu kitab al-Kamil fi Dhuafa’ al-Rijal.

*****

Ustazah Ummu Muhammad : Jilid berapa ya bang?

Tuan Guru : Jilid enam ya Ummu Muhammad.

Sebentar kemudian Ummu Muhammad menyerahkan kitab tersebut kepada suaminya yang tercinta.

Tuan Guru menyambung semula perbahasan setelah menyelak helaian kitab turath tinggalan ulama silam ini.satu demi satu helaian diselaknya dengan berhati-hati.Setiap gerak langkah Tuan Guru diperhatikan oleh kedua-dua anak muda yang penuh dengan adab Islam ini.

Tuan Guru: Benar Ibrahim, memang ada ulama yang menyebutkan bahawa al-Imam Ibn Ishak itu dituduh sebagai Kazzab @ penipu. Namun jika kamu sebagai seorang Qadhi, tidak boleh kamu jatuhkan hukuman setelah mendengar penjelasan sebaik-baiknya.Betul atau tidak? Atau kamu sekadar mendengar satu pihak mengeluarkan tuduhan manakala satu pihak lagi terkontang kanting tidak diberikan peluang.

Kenapa saya ambil kitab ini?Tidak lain untuk saya menunjukkan kepada kalian nas sebenar yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Adiy rahimahullah tentang mengapa sebahagian ulama mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak sebagai Kazzab.Jika kita kaji dengan teliti, kalam para ulama yang mengkritik dengan mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak ini adalah seorang Kazzab akan kembali kepada al-Imam Malik dan Imam Hisyam bin Urwah.

Cuba kamu tengok dengan jelas kalam ini.

أخرج ابن عدى بسنده عن سليمان بن داود قال : قال لى يحيى بن سعيد القطان : أشهد أن محمد بن إسحاق كذاب قال : قلت : ما يدريك؟ قال : قال لى وهيب بن خالد أنه كذاب قال : قلت لوهيب : ما يدريك ؟ قال : قال لى مالك بن أنس : أشهد أنه كذاب , قلت لمالك : ما يدريك ؟ قال هشام بن عروة : أشهد أنه كذاب , قلت لهشام : و ما يدريك ؟ قال : حدث عن امرأتى فاطمة بنت المنذر, و أدخلت عليّ و هى بنت تسع , و ما رآها رجل حتى لقيت الله

Maksudnya : Telah dikeluarkan oleh Ibn Adiy daripada sanadnya yang diriwayatkan daripada Sulaiman Bin Daud katanya : Yahya bin Said al-Qattan telah berkata kepadaku : Aku bersaksi bahawa Muhammad bin Ishak adalah seorang penipu@ kazzab.Aku bertanya ( Sulaiman) : Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Kata Yahya : Wuhaib bin Khalid yang mengatakan kepadaku bahawa Muhammad bin Ishak adalah kazzab. Aku bertanya( Sulaiman ) pula kepada Wuhaib: Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Maka kata Wuhaib : Malik bin Anas yang mengatakan sedemikian. Maka aku bertanya pula kepada Malik bin Anas tentang perkara ini : Maka kata Malik : Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Maka jawab Malik : Hisyam bin Urwah mengatakan bahawa aku bersaksi Muhammad bin Ishak adalah kazzab. Maka aku bertanya pula kepada Hisyam : Apa yang menyebabkan kamu berkata sedemikian? Kata Hisyam : Muhammad bin Ishak mengatakan bahawa dia telah meriwayatkan hadis daripada isteriku Fatimah binti Munzir.Sedangkan Fatimah berkahwin denganku ketika berumur 9 tahun dan beliau tidak pernah dilihat oleh mana-mana lelaki sehinggalah beliau meninggal dunia.

Nah Ibrahim, cuba kamu perhatikan dengan teliti perbahasan ini.Apa sebab yang menyebabkan sebahagian ulama mengatakan Muhammad bin Ishak adalah Kazzab?Hanya kerana al-Imam Hisyam bin Urwah menafikan periwayatan hadis Muhammad bin Ishak daripada isterinya Fatimah binti Munzir rahimahallah.

Malah al-Imam Ahmad bin Hanbal turut memberikan pembelaan kepada Muhammad bin Ishak dengan mengatakan bahawa mungkin al-Imam Muhammad bin Ishak mengambil riwayat daripada Fatimah binti Munzir melalui belakang pintu atau ketika Saidatina Fatimah binti Munzir keluar menuju ke Masjid untuk solat. Dan mungkin juga Muhammad bin Ishak datang meminta izin untuk bertemu Fatimah binti Munzir untuk meriwayatkan hadis sedangkan Hisyam tidak mengetahui perkara ini.

Al-Imam Ibn Hibban menyebutkan di dalam kitab al-Thiqaat oleh al-Imam Ijli rahimahullah : Perkara ini ( meriwayatkan tanpa melihat orang tersebut) bukanlah sesuatu yang menjatuhkan seorang ulama di dalam ilmu hadis.Ada di kalangan Tabien seperti al-Aswad dan Alqamah yang meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah radhiyallahu anha tanpa melihat kepadanya.Bahkan hanya mendengar suara Saidatina Aisyah.Begitu jugalah dengan Ibn Ishak, beliau hanya mendengar suara daripada Fatimah tanpa melihatnya.

Ahmad : Tuan Guru, bagaimana pula dengan kalam Imam Malik yang mengatakan bahawa Ibn Ishak itu kazzab?

Tuan Guru : Ahmad, jika kita pelajari dengan teliti ilmu Jarah wa Ta’dil (ilmu komentar tentang perawi hadis) maka kita akan dapat ketahuinya secara teliti.Permasalahan Imam Malik mengkritik al-Imam Ibn Ishak ini termasuk di dalam permasalahan komentar @ kritikan daripada sesama ulama sezaman atau di dalam bahasa Istilah para ulama hadis ialah al-Aqran.

Al-Imam Bukhari rahimahullah juga turut memberikan pendapat di dalam permasalahan ini di dalam kitabnya al-Qiraah Khalfa al-Imam dengan mengatakan bahawa tidak akan selamat seseorang tersebut daripada tohmahan orang lain kepadanya.Tohmahan sebegini tidaklah menjatuhkan kredebilitinya sebagai seorang ulama hadis.Kritikan tersebut perlu dengan hujah ilmu dan dalil yang menguatkannya.Malah al-Imam Ibrahim pernah mengkritik al-Sya’bi sepertimana al-Sya’bi mengkritik Imam Akramah.Ini tidaklah menjatuhkan kredebiliti mereka sebagai ulama hadis terkemuka.al-Imam Ibn Abdil Bar rahimahullah juga turut memberikan pendapat yang hampir sama dengan al-Imam Bukhari rahimahullah.Ini disebutkan didalam kitabnya Jami’ Bayan al-Ilm.

Jadi kesimpulannya, tohmahan daripada al-Aqran ( ulama sezaman) tidak memberikan kesan jika tiada bukti kukuh di atas tuduhan dan tohmahan tersebut.

Malah jika kamu kaji dengan teliti al-Imam Malik bukanlah marah kepada Muhammad bin Ishak kerana beliau tidak pandai di dalam bidang Hadis. Malah al-Imam Malik marah kepada al-Imam Muhammad bin Ishak kerana beliau selalu mengambil cerita-cerita peperangan Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada cucu cicit Yahudi yang telah masuk Islam.Maka beliau sering bertemu dengan mereka mengambil cerita-cerita pelik daripada cucu cicit Yahudi tersebut. Maksudnya al-Imam Malik marah disebabkan perkara ini.Bukannya semua perkara Imam Malik mengkeji al-Imam Ibn Ishak.al-Imam Ibn Ishak juga mengambil ilmu tersebut untuk pengetahuan dirinya bukan sebagai sandaran hujah. Ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Adiy di dalam kitabnya al-Thiqaat jilid ke 7.

Ibrahim : MasyaAllah, banyak benar perkara yang baru sekarang saya mendapatkan pencerahan.Selama ini saya merasakan segala tulisan yang ditulis oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai “pemurni sirah” ini adalah benar belaka.Rupanya banyak perkara yang mereka sembunyikan hanya sekadar ingin membenarkan pihak mereka dan mempersalahkan ulama lain.

Tuan Guru: Sebab itulah ilmu ini perlu berguru wahai Ibrahim.Tidak cukup dengan hanya membaca semata-mata.Jika hanya membaca tanpa berguru maka akhirnya diri rasa syok sendiri.Merasakan dirinya sudah lengkap, tidak boleh ditegur.Adab juga telah lenyap.Terus meletakkan sangka buruk kepada para ulama terdahulu.Seolah-olah para ulama dahulu yang menerima kitab al-Imam Ibn Hisyam dan Ibn Ishak rahimahumallah adalah golongan yang tidak mengkaji seperti mereka.Sedang jika dibandingkan masa belajar para ulama dengan mereka jauh panggang dari api.Entah bilalah golongan ini mahu sedar.Moga Allah taala membantu mereka dan memberikan sinar hidayah.

Ketika ditamatkan perbualan azan zohor telah berkumandang di Masjid berdekatan rumah Tuan Guru.Maka mereka berhenti berbincang sebentar dan bersiap-siap menuju ke Masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Tuan Guru : Lepas solat nanti kita makan nasi, Ustazah Ummu Muhammad dah masakkan masakan istimewa untuk kita.Jadi selepas itu bolehlah kita sambung semula perbincangan kita yang tertangguh.Masih banyak yang perlu kita terangkan tentang al-Imam Ibn Ishak.

Ahmad dan Ibrahim mengangguk setuju.Mereka mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Guru di atas pengorbanan masa dan tenaga hanya semata-mata untuk berbincang tentang perkara ini.

*******

P/S : akan di sambung perbahasannya pada esok hari ..Nantikan ye..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Masjid al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Kaherah Mesir..

Benarkah Ibnu Ishaq Adalah Seorang Syiah ? Bab 1

Insya ALlah, penjelasan di bawah ini sedikit sebanyak akan merungkai persoalan bahkan memberi keadilan kepada Imam Ibnu Ishaq (penulis sirah terkenal di dunia Islam) dari tohmahan dan juga jenayah ilmiyyah kepada Imam Ibnu Ishaq yang dituduh sebagai syiah dan ditolak hadith yang diriwayatkannya.

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Dialog Ilmiyah berkenaan al-Imam Muhammad Bin Ishak rahimahullah...Ikuti Dengan Teliti dan Lapang Dada..

Seorang murid bertemu gurunya menceritakan satu masalah yang dia hadapi ketika mengikuti sebuah pengajian yang disampaikan oleh seorang ustaz di sebuah surau.Permasalahannya adalah berkenaan al-Imam Muhammad bin Ishak rahimahullah.Ikuti perbincangannya dengan Tuan Gurunya tersebut.

*******

Ahmad : Assalamualaikum Tuan Guru.

Tuan Guru: Waalaikumussalam warahmatullah.Oh Ahmad. Masuklah. Duduk sekejap ya, saya nak minta ustazah buatkan teh untuk kita berdua.

Ahmad : Eh Tuan Guru tak perlu susah-susah. Lagipun saya datang sekadar ingin berbincang dengan Tuan Guru berkenaan satu masalah.

Tuan Guru : Tak mengapa, tak susahkan pun, memang ini yang Baginda sallallahu alaihi wasallam ajarkan. Tiga perkara yang perlu disegerakan , pertama : Bilamana jenazah telah hadir, maka perlu disegerakan pengkebumiannya, yang kedua: jika seorang anak dara telah tiba masanya maka perlu dipercepatkan perkahwinannya, dan yang ketiga: bilamana tetamu datang, perlu dipercepatkan hidangannya.

Ahmad tersenyum gembira.Inilah bahagianya bersama para ulama.Setiap gerak lakunya adalah ilmu dan bersandarkan sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Setelah minuman dihidangkan, Tuan Guru terus bertanya Ahmad.

Tuan Guru : Oh ya , kamu cakap tujuan kamu ke sini adalah untuk membincangkan satu masalah.Nampaknya macam agak berat sahaja.

Ahmad: Ya Tuan Guru.Baru-baru ini saya mengikuti sebuah pengajian Sirah di surau berdekatan dengan kampung saya.Cuma saya pelik, kenapa ustaz tersebut selalu benar mencerca dan mempertikaikan al-Imam Muhammad bin Ishak.Setahu saya , al-Imam Ibn Ishak ini merupakan salah seorang ulama sirah yang terkenal.Katanya para ulama menolak Ibn Ishak dan tidak menerima langsung hadis yang diriwayatkannya.Adakah ini benar Tuan Guru?Bolehkah Tuan Guru ceritakan siapakah sebenarnya al-Imam Muhammad bin Ishak ini?

Tuan Guru tersenyum mendengar permasalahan yang diceritakan oleh Ahmad.

Tuan Guru : Seseorang bilamana mendapat sesuatu perkara , jika tidak dikaji dengan benar maka beginilah jadinya.Rasa bangga dengan apa yang ada, terus ingin menunjukkan bahawa dirinya ada penyelamat kepada masyarakat.Kononnya pegangan sekarang tidak tepat.Maka dialah penyelamat bangsa dan agama.Inilah padahnya bila ilmu jiwa tidak diamalkan.Malah yang mengamalkannya dianggap sesat dan zindiq.

Beginilah Ahmad.Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak atau mempersalahkan.Jika dia hujahkan dengan ilmu. Maka kita juga perlu lakukan demikian.Kamu perlu ingat Ahmad, jangan dahulukan amarahmu bilamana berdepan dengan golongan sebegini.Nanti kamu yang kecundang.Mohon pertolongan sebanyak-banyaknya dengan Allah taala moga Dia memberikan petunjuk kepada kita di dalam menghadapi zaman fitnah sebegini.

Tuan Guru menyambung perbahasannya.

Tuan Guru : Sebelum saya lanjutkan perbahasan.Ingin saya jawab dahulu persoalan kamu secara ringkas.Jika kamu tanyakan adakah benar al-Imam Ibn Ishak ditolak semuanya oleh ulama? Maka saya jawab, ini terlalu berlebih-lebihan dan tidak dibina atas dasar ilmu.Ya benar , seseorang itu tidak lepas daripada kesalahan.Mana ada manusia yang maksum melainkan para anbiya dan Rasul Allah.Namun jika kamu ingin membahaskan tentang seorang ulama, perlu dahulukan adab dan merasakan diri ini kerdil di sisi mereka.Masalahnya sekarang, merasakan diri lebih besar berbanding para ulama dahulu.Maka adab sudah tiada lagi.

Ahmad : Bolehkah Tuan Guru ceritakan, bilakah al-Imam dilahirkan dan dengan siapakah beliau berguru?

Tuan Guru : al-Imam Ibn Ishak hidup diantara tahun 80H hingga 151H.Ini bermakna beliau sempat merasai zaman dua khilafah iaitu Khilafah Bani Umawiyyah dan Bani Abbasiah.Beliau juga sempat bersama dengan zaman 12 orang khalifah iaitu Abdul Malik Marwan,al-Walid bin Abd Malik, Sulaiman bin Abd Malik,Sayyidina Umar bin Abd Aziz,Yazid bin Abd Malik,Hisyam bin Abd Malik,al-Walid bin Yazid, Yazid bin al-Walid,Ibrahim bin al-Walid,Marwan bin Muhammad,Abu al-Abbas al-Saffah dan Abu Jaafar al-Mansur.

Al-Imam Ibn Ishak rahimahullah mula belajar sejak kecil lagi.Gurunya amat ramai sekali. Malah ini disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani rahimahullah di dalam kitabnya al-Tahzib.Beliau juga pernah bertemu dengan Sayyiduna Anas bin Malik radhiyallahu anhu dan beliau melihat Sayyiduna Anas memakai serban berwarna hitam dan beliau ketika kecil juga sempat bertemu dengan Sayyiduna Said bin Musayyab rahimahullah .Ini seperti yang dinukilkan oleh al-Imam Khatib al-Baghdadi rahimahullah di dalam kitabnya Tarikh Baghdad.

Antara guru-guru beliau ialah ayahnya sendiri iaitu Ishak bin Yasar, bapa saudaranya iaitu Musa bin Yasar, Aban bin Uthman, Basyir bin Yasar, Said bin Abi Hind , Said al-Maqburi, Abbas bin Sahl bin Saad, Abdul Rahman bin Hurmuz, Muhammad bin Ibrahim al-Taimi, Abu Jaafar al-Baqir, Fatimah binti Munzir , Muhammad bin Syihab al-Zuhri , dan lain-lain rahimahumullahu taala.

Tuan Guru menarik nafas perlahan-lahan lalu menghelakannya dengan tenang.

Tuan Guru: Cuba kamu perhatikan betul-betul Ahmad.Betapa para ulama dahulu benar-benar bersungguh menuntut ilmu.Bukan seperti orang sekarang, baru setahun dua menuntut, terus pulang dan mendabik dada bahawa dirinya adalah ulama besar jentera perubah masyarakat.Pengemudi bahtera pembaharuan. Sedang diri sendiri tidak sedar bahawa dirinya langsung tidak sebanding dengan kasut al-Imam pada zaman tersebut.Jangankan diri al-Imam malah kasutnya juga lebih mulia berbanding golongan sebegini.

Ahmad tertawa lucu mendengar tamsilan yang diberikan oleh Tuan Guru.Pedih benar mendengarnya.

Ahmad : Betul cakap Tuan Guru.Bukan kasut sahaja, malah debu di tapak kasut al-Imam lebih baik jika dibandingkan dengan golongan sebegini.

Tuan guru tertawa mendengar sampukan Ahmad.

Ahmad: Tapi Tuan Guru , dalam pengajian tersebut, Sang Ustaz banyak benar menukilkan kalam-kalam para ulama besar yang memberi komentar terhadap peribadi al-Imam.Bagaimana ya?

Tuan Guru : Inilah kesalahan orang muda zaman sekarang.Suka benar ambil berita sebelah pihak.Mentang-mentanglah al-Imam telah meninggal dunia.Maka dikomen sesuka hati mereka. Ilmu itu amanah. Mengapa tidak diceritakan semuanya dengan jelas.Disebutkan kalam ulama yang menghina dan mencaci disamping menyebutkan kalam ulama yang memuji dan menyanjung.Ini tidak.Hanya kalam yang memberikan komentar sahaja dipaparkan.

Perlu diingat Ahmad.Masyarakat sekarang jenisnya pemalas dan cepat percaya dengan hanya melihat pangkat yang ada pada penyampai.Jika yang menyampaikannya ada gelar PHD dan Doktor maka akan terus dipercayai bulat-bulat tanpa usul periksa.Kononnya ilmu itu dengan pangkat PHD yang ada.Itulah pentingnya orang seperti kamu mengambil PHD dan mengambil tempat orang-orang ini dengan segera.Biar ilmu yang disampaikan itu benar dan jitu.Asli dan dipercayai sumbernya.

Saya pernah mendengar ada orang menyebutkan bahawa al-Imam Rafie rahimahullah mengatakan bahawa seseorang tersebut tidak akan dianggap berjaya melainkan setelah dipuji oleh gurunya sendiri.

Nah, ini kalam yang disebutkan oleh al-Imam Zuhri rahimahullah, guru kepada al-Imam Ibn Ishak kepada muridnya ini.Katanya :

لا يزال بالمدينة علم جم ما كان فيهم ابن إسحاق

Maksudnya: Kota Madinah akan senantiasa dipenuhi dengan ilmu pengetahuan jika Muhammad bin Ishak ada di dalamnya.


Al-Imam Khatib al-Baghdadi rahimahullah menukilkan kalam al-Imam Syafie rahimahullah ketika memuji al-Imam Ibn Ishak.al-Imam Syafie rahimahullah menyebutkan :

من أراد أن يتبحر في المغازي فهو عيال على محمد بن إسحاق

Maksudnya: Sesiapa yang ingin benar-benar mengetahui secara mendalam tentang ilmu sejarah peperangan maka dia berhajat @ memerlukan kepada Muhammad bin Ishak

Al-Imam Abu Zur’ah al-Dimasyqi rahimahullah juga menyebutkan:

ابن إسحاق رجل قد اجتمع الكبراء من أهل العلم على الأخذ عنه

Maksudnya: Ibn Ishak merupakan seorang ulama yang mana para ulama yang hebat di dalam ilmu turut mengambil faedah daripada beliau.


Ini cuma sebahagian pujian ulama tentang dirinya.Malah yang memuji ini bukanlah orang-orang picisan.Malah semuanya merupakan wali Allah taala dan para ulama yang bertaqwa serta dikenali keilmuan mereka.

Ahmad: Jadi komentar mereka terhadap al-Imam tidak benarlah ??

Tuan Guru: Setiap manusia tiada lepas daripada kesalahan.Semuanya pasti punya kelemahan.Tidak dinafikan al-Imam Ibn Ishak juga turut dikomentar oleh sebahagian ulama hadis.Ada yang menerimanya sebagai sandaran hujah dan ada yang tidak menerimanya.

Antara ulama yang mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak adalah seorang yang thiqah adalah al-Imam Ali bin al-Madini rahimahullah.Ini disebutkan di dalam kitab Ilalul hadis libni al-Madini.Antara ulama lain yang memuji dan mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak adalah thiqah dan boleh dibuat hujah adalah al-Imam Abu Muawiyah , al-Imam Ibn Uyaynah, al-Imam Ahmad ibn Hambal, al-Imam Ibn Idris al-Hafiz,al-Imam Ibn Saad, al-Imam Syu’bah, al-Imam Abdullah ibn Mubarak,dan al-Imam Ijli rahimahumullah.

Malah sebahagian ulama seperti al-Imam Ya’qub bin Syaibah ,Muhammad bin Abi Syaibah dan Ibn Mihraz rahimahumullah bertanya sendiri kepada al-Imam Ali ibn al-Madini berkenaan Muhammad bin Ishak maka al-Imam menjawab mengatakan bahawa beliau adalah thiqah dan hadis yang diriwayatkan olehnya Sahih dan boleh dibuat hujjah.

Ini semua kamu boleh rujuk di dalam kitab Sua’lat Ibn Abi Syaibah , Kitab Ma’rifatul al-Rijal dan Kitab Tabaqat al-Imam Ibn Saad.Maka kamu akan lebih jelas akan kata-kata mereka.

Sebab itulah saya hairan kenapa mereka-mereka yang mengaku membawa risalah agama ini suka benar mengatakan sesuatu tanpa menyebutkan dengan jelas akan perbahasan sebenar tentang al-Imam Ibn Ishak? Malah terus mengatakan bahawa al-Imam Ibn Ishak langsung tidak diterima hadisnya disisi ulama hadis.Ini satu tohmahan malah satu fitnah kepada al-Imam Ibn Ishak.Malah bukan hanya fitnah kepada Imam Ibn Ishak, tetapi juga fitnah kepada para ulama hadis yang lain.Inilah masalahnya jika belajar dengan orang yang tidak dipastikan ilmunya.

Ahmad kena ingat, saya sebutkan disini hanya sebahagian ulama yang memuji al-Imam dan mengambil beliau sebagai sandaran dan mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang thiqah.
InsyaAllah esok kamu datang lagi ke sini, bawa catatan untuk kamu catat isi penting yang akan saya sampaikan. Tidak dapat dinafikan ada ulama yang memberikan kritikan keras terhadap al-Imam Ibn Ishak. Selanjutnya kita bincang esok ya.Kebetulan saya ada temujanji dengan seseorang diluar.Esok datang lagi ya Ahmad.Habiskan dulu teh itu, dah sejuk pun .

Tuan Guru tertawa sambil menghirup teh sejuk di atas meja.Ahmad juga turut tertawa dengan usikan Tuan Guru.Ahmad begitu gembira dengan pertemuan hari ini bersama Tuan Guru.Ilmu yang disampaikan secara bersahaja sedikit sebanyak menolak tohmahan dan sangka buruk beliau terhadap al-Imam Ibn Ishak.

P/S: Cerita ini saya adaptasikan daripada Kitab “ Muhammad bin Ishak Imam Ahlul Maghazi wa al-Siyar” karangan al-Syeikh Muhammad Abdullah Abu Shoailik hafizahullah salah seorang ulama daripada negara Jordan.Sengaja saya buat dalam bentuk perbincangan antara murid dan gurunya kerana kita mengetahui bahawa pembacaan berat agak sukar dibaca jika ditulis dengan bentuk karangan berbentuk fakta.Maka saya ubah caranya menjadi bentuk penulisan dialog moga senang dihayati dan diingati bersama.Terima kasih kepada al-Fadhil Ustaz Ibnu Nafis kerana sudi meminta saya membahaskan tentang perkara ini.Esok saya akan sambung semula perbahasan ini dalam perbincangan seterusnya diantara Ahmad dan Tuan Gurunya.Nantikan sambungnya..

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu 10,
Penuntut al-Azhar dan Masjid al-Asyraff,
Kaherah Mesir

Rabu, 23 September 2009

Hukum Ciuman Menurut Sunnah

Penulis : Ustaz Taha Hassan

:: Masalah Ciuman ::


“Saat saya menziarahi makam wali Allah saidatina Nafisah r.a (cicit Rasulullah s.a.w) di masjidnya, seorang lelaki tua ‘SOLEH’ telah bertemu saya bertanyakan asal usul saya. Setelah selesai berborak, kami bersurai. Sebelum kami bersurai, saya bersalaman sambil mencium tangannya yang lembut itu. Ciuman hanya sekadar menghormati orang tua yang lebih banyak mengenali erti hidup dan seorang yang banyak melakukan amalan kebaikan daripada saya. Semoga keberkatan amalan baiknya dikurniakan kepada saya.

Selang beberapa minit kemudian, datang seorang pemuda bertemu saya untuk bertanyakan satu masalah. Saya terus memintanya untuk mengajukan persoalan tersebut. Ternyata soalan yang diajukan adalah berkaitan perbuatan saya ketika bersalaman dengan orang tua di hadapan makam tadi. Katanya amalan bercium ketika bersalaman itu lebih kepada ‘SYIRIK’ kerana saya ‘TUNDUK’ kepada makhluk apabila mencium tangannya. Saya sedikit tersenyum. Sedikit perdebatan ilmiah berlangsung secara sederhana antara saya dan pemuda tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah bersalaman dengan cara begitu. Beliau memberi tahu saya hanya bersalaman yang betul ketika bertemu adalah mencium antara 2 bahu.

Saya minta daripadanya dalil yang menyokong keterangan tersebut. Tetapi, pemuda tersebut gagal memberikannya. Saya mengatakan kepadanya bahawa saya tidak jumpa lagi dalil bercium bahu ketika bertemu seseorang. Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya mempunyai dalil lain yang lebih ‘KUAT’ daripada apa yang saya lakukan ketika bersalaman sambil mencium tangan di makam tadi. InsyaAllah, di bawah tajuk ini akan saya susun dan kemukan dalil-dalil yang sahih untuk tatapan pembaca sekalian. Apa yang nyata, saya tetap berpegang dengan dalil yang saya pelajari.

Sebelum perdebatan selesai, saya menimbulkan satu masalah yang lebih besar dari perbuatan saya tadi kepada pemuda tersebut bahawa masyarakat Islam hari ini lebih cenderung kepada pembawakan budaya Nasrani dan Yahudi ketika bertemu dan berpisah. Saya menjelaskan kepadanya bahawa istilah ‘BYE-BYE’ sambil melambai, begitu juga ketika bertemu, bercakap dan menegur seseorang dengan mengucapkan lafaz ‘HAI’ atau ‘HELLO’ tidak kepada doa dan memberi salam kepadanya serta cara simbol bersalaman yang pelik seperti menumbuk di antara 2 tangan yang dilakukan oleh sebahagian pemuda pemudi Islam hari ini adalah bukan datang dari ajaran Islam yang sebenar, malah ianya datang daripada kaum KAFIR yang nyata menentang Islam.

Sewajarnya mengapa masalah ini tidak dibangkitkan? Mengapa perbuatan yang ada dalilnya mesti dan perlu dipertikai? Terus saya melihat pemuda tersebut terdiam dan akhirnya saya menyatakan kepadanya sekiranya ingin saya menghormati hujahnya, seharusnya beliau juga harus menghormati hujah dan keterangan saya. Saya memintanya untuk menegur kesilapan dalil-dalil saya kiranya berlaku kekeliruan. Bukan hanya terlalu ta’asub dan jahil kerana menerima ajaran daripada seseorang guru yang Allah s.w.t BUTAkan MATA HATInya”.

Perbincangan

1. Hukum mencium tangan dan selainnya menurut Syariat Allah;


Hukum mencium kerana untuk mendapat redha Allah serta niat yang baik kerananya samada mencium kepala, kedua belah tangan, kaki, kedua lutut dan selainnya adalah HARUS. Dalam hal ini, imam Nawawi telah mengarang satu bahagian khas tentang perbincangan ini. Begitu juga ulama lain seperti al-Hafiz ibn al-Muqri, al-Hafiz ibn al-A’rabi, al-Hafiz Abu al-Fadl al-Ghumari dan beberapa ulama ahli ilmu lain yang menjelaskan hakikat keharusan bercium berdasarkan dalil dari Sunnah nabi yang Sahih lagi Thabit daripada baginda.

2. Dalil;


i. Daripada Zaari’ berkata: “Sewaktu kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba (bersegera) dari perjalanan kami lantas kami mencium tangan nabi s.a.w.” - Hadith dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dan Abu Daud (5225).

ii. Daripada Ka’ab bin Malik r.a: “Sesungguhnya sewaktu beliau ditimpa keuzuran, nabi s.a.w tiba maka beliau terus mengambil tangan baginda s.a.w kemudian menciumnya.” – Dikeluarkan oleh imam At-Tabarani di dalam kitabnya Mu’jam al-Kabir (19/95, no. 186).

iii. Daripada Abdullah bin Umar r.a berkata: “Kami telah menghampiri kepada nabi s.a.w, kemudian terus mencium tangannya”. – Dikeluarkan oleh imam Abu Daud (5223).


3. Dalil mencium TANGAN dan KAKI;


i. Daripada Buraidah r.a.: “Sesungguhnya seorang lelaki telah datang kepada nabi s.a.w lantas mencium tangan dan kaki baginda s.a.w.” – Hadith dikeluarkan oleh imam al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak. Beliau mensahihkan hadith ini.

ii. Daripada Safwan r.a (menceritakan) tentang kisah 2 orang Yahudi yang bertanya kepada nabi s.a.w berkenaan 9 ayat keterangan, maka baginda menjawabnya. Lantas kedua-dua orang Yahudi tersebut mencium TANGAN dan KAKI baginda nabi s.a.w. – Dikeluarkan oleh imam An-Nasa’i (no. 4078), ibn Majah (3705) dan Tirmizi, berkata Hadith Hasan Sahih (2733 & 3144) serta disahihkan juga oleh imam al-Hakim.

iii.
Sesungguhnya saidina Ali r.a mencium TANGAN dan KAKI saidina Abbas r.a.
- Hadith dikeluarkan oleh imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad dengan sanad yang sahih (no. hadith 976).

Dalil ini menunjukkan bahawa mencium TANGAN dan KAKI bukanlah KHUSUSIAT NABI s.a.w seorang (perkara-perkara khusus yang dilakukan oleh nabi s.a.w sahaja).


iv. Dikeluarkan oleh imam Ibn Jarir dan ibn Abi Hatim daripada As-Saddi berkenaan firman Allah s.w.t :

يأيها الذين ءامنوا لا تسئلوا عن أشياء إن تبدلكم تسؤكم وإن تسئلوا عنها حين ينزل القران تبدلكم عفا الله عنها والله غفور حليم

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada nabi s.a.w) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu,”
Al-Maidah :101.

Setelah (saidina Umar r.a mendengar) ayat ini, beliau bangun menuju kepada nabi s.a.w dan terus mencium KAKI baginda.


v. Dikeluarkan oleh imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad, imam Ahmad, Abu Daud, Ibn al-A’rabi di dalam juzunya serta imam al-Baghawi di dalam Mu’jamnya, bahawa sewaktu utusan Abd Qais tiba di Madinah, mereka mencium TANGAN dan KAKI baginda s.a.w.

Dalil ini telah dicantikkan lagi oleh ibn Abdul Bar, dibaikkan (disokong dalil lain) oleh al-Hafiz ibn Hajar dan dikeluarkan juga oleh imam Abu Ya’la, Tabarani serta al-Baihaqi dengan sanad yang bagus (Jayyid).


vi. Daripada Ibn Umar r.a:
“Sesungguhnya nabi s.a.w menyatukan hubungan di antara sepasang suami isteri, maka datang wanita tersebut kepada baginda lantas mencium KAKInya s.a.w.
– Dikeluarkan oleh imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Dalail an-Nubuwwah.

Bayangkan, seorang wanita yang mencium kaki baginda nabi s.a.w.


4. Dalil mencium KEPALA dan 2 LUTUT;

i. Di dalam kitab ‘Sorim al-Maslul’ oleh ibn Taimiyyah (bayangkan ibn Taimiyyah) daripada apa yang dikeluarkan oleh ibn al-A’rabi dan al-Bazzar:
“Sesungguhnya seorang lelaki menyaksikan berkenaan ‘mukjizat sebatang pokok’ yang datang kepada Rasulullah s.a.w, kemudian kembali ke tempatnya semula. Lelaki itu berkata sambil berdiri kemudian terus mencium KEPALA, TANGAN dan KAKI Rasulullah s.a.w.


Menurut riwayat ibn al-A’rabi:
“Lelaki tersebut meminta izin nabi s.a.w untuk menciumnya, maka nabi s.a.w pun mengizinkan. Maka lelaki tersebut mencium KEPALA dan KAKI baginda s.a.w.”


Dalam hadith yang thabit ini, pengharusan mencium KEPALA juga berkait rapat dengan KEIZINAN Rasulullah s.a.w, maka jadilah ia sebagai satu perkara yang SUNAT atau GALAKAN untuk melakukannya.


ii. Daripada Ka’ab bin Malik r.a berkata:
“Sewaktu aku (selesai) melaksanakan ibadat taubatku, aku datang kepada nabi s.a.w kemudian aku mencium TANGAN dan kedua LUTUT baginda s.a.w.”
Dikeluarkan oleh Abu Syeikh dan ibn Mardawih.

Menurut hadith ini, termaktub pensyariatan untuk mencium kedua LUTUT.


Sudah pasti nabi adalah insan yang lebih utama di sisi orang-orang yang beriman daripada diri mereka dan isteri-isteri banginda s.a.w. Baginda adalah bapa kepada setiap orang Islam. Oleh yang demikian, jelas hukumnya bagi kebenaran mencium TANGAN kedua ibubapa, KEPALA dan KAKI mereka. Tidak lain hanyalah sebagai pengiktirafan kemuliaan dan memenuhi hak-hak mereka.


5. Dalil nabi s.a.w mencium para sahabat dan memeluk mereka;


i.
Sesungguhnya nabi s.a.w menCIUM zaid bin Harithah r.a ketika tiba di Madinah selepas meMELUKnya.
– Hadith dikeluarkan oleh imam Tirmizi (no. 2732), imam Tirmizi berkata: “Hadith ini Hasan Gharib”.

ii.
Sesungguhnya nabi s.a.w menCIUM sepupunya saidina Ja’far bin Abi Talib r.a di antara kedua belah matanya.
– Dikeluarkan oleh imam Abu Daud dan Baihaqi di dalam kitabnya Syua’b al-Iman (6/477).

iii.
Sesungguhnya nabi s..a.w menCIUM saidina Abu Bakar r.a selepas meMELUKnya di sisi saidina Ali r.a dan para sahabat r.a yang lainnya.
– Hadith ini dinaqalkan oleh ibn A’bid al-Ansari di dalam kitabnya al-Majmu’.

Sebagai kesimpulan dari dalil-dalil ini, bahawa MEMELUK seseorang kepada saudaranya yang lain di samping menCIUMnya adalah dikira sebagai salah satu amalan daripada sunnah nabi s.a.w yang mulia. Padanya terkait sifat kasih sayang, menguatkan lagi kemesraan dan pertemuan, yang diakui sebagai sebaik-baik cara dan sikap kesantunan serta penghormatan diri. Dengan cara ini, lenyaplah perasaan sifat dengki, mengeratkan lagi ukhwah sesama Islam, menambahkan pahala dan sempurna Qudwah Hasanah terhadap nabi s.a.w dan sahabatnya r.a.


6. Dalil sahabat r.a dan selain mereka berciuman antara satu sama lain:


i. Daripada Yahya bin al-Harith r.a dengan satu sanad, berkata Haithami: Rijalnya (perawi-perawi sanad) adalah Thiqat (dipercayai). Berkata Yahya bin al-Harith:
“Aku bertemu Wathilah bin al-Asqa’, maka aku berkata: Kau membai’ah tanganmu ini pada Rasulullah s.a.w? Wathilah berkata: Ya. Aku berkata: Berikan tanganmu itu, aku ingin menCIUMnya. Maka, beliau pun memberikan tangannya itu kepadaku dan aku terus menCIUMnya.”
Maksud mencium tangan di sini adalah untuk memperoleh keberkatan di atas bai’ah Wathilah kepada Rasulullah s.a.w secara bersalaman dan mencium tangan baginda s.a.w. Begitu juga mencium tangan orang-orang yang soleh dan ulama. Dikeluarkan oleh imam at-Tabarani di dalam kitabnya al-Kabir (22/94, no. 226)

ii. Dinaqalkan oleh al-Hafiz ibn Hajar di dalam kitabnya al-Isabah dan ulama yang lain daripada as-Sya’bi r.a: Sesunggguhnya zaid bin Thabit r.a menCIUM tangan ibn Abbas r.a ketika ibn Abbas r.a mengambil binatang tunggangannya. Dan zaid berkata:
“Beginilah cara kita disuruh untuk melakukan kepada ahli bait nabi kita.”
Yakni bertujuan untuk menghimpunkan di antara kemuliaan dan kebaikan.

iii. Dinaqalkan oleh as-syeikh al-Ansari bahawasnya imam Muslim bin al-Hajjaj menCIUM di bahagian antara 2 mata imam Bukhari dan beliau juga cuba untuk mencium KAKInya. Bertujuan sebagai menghormati ilmu, kemuliaan dan kebaikan gurunya. Dinyatakan oleh imam Nawawi di dalam kitab ‘Tahzhib al-Asma’ (88/1).

iv. Dinaqalkan oleh imam At-Tabari di dalam kitabnya al-Riyad, daripada Abi Raja’ al-A’toridi: Sesungguhnya beliau datang ke Madinah lantas melihat saidina Umar r.a menCIUM kepala saidina Abu Bakar r.a di perhimpunan orang ramai untuk menunjukkan perasaan gembiranya terhadap kejayaan (kaum muslimin) dalam tempuran peperangan al-Riddah.


Pengajaran yang boleh diambil dari hasil dalil yang dinyatakan dan seumpamanya bahawa sahabat r.a sering bertukar-tukar CIUMAN TANGAN antara satu sama lain. Sesungguhnya mereka disuruh untuk melakukan perkara tersebut seperti yang jelas dinyatakan oleh zaid bin Thabit r.a bertujuan untuk memperoleh keberkatan, begitu juga tujuan untuk ilmu dan dakwah serta kemuliaan nabi s.a.w di samping melatih diri untuk lebih bersikap tawadduk dan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t. Begitu juga mereka sering menCIUM kepala antara satu sama lain (sebagai tanda kasih dan hormat).

Dikeluarkan oleh imam ibn al-A’rabi dan ibn al-Maqri di dalam kedua-dua juzu mereka, Abdul Razak di dalam kitabnya al-Musannaf, al-Kharaaeti di dalam al-Makarim, al-Baihaqi dan ibn Asakir dengan isnad berdasarkan syarat imam Muslim (sanad tersebut berdasarkan syarat imam Bukhari dan Muslim) :
Sesungguhnya Abu U’baidah r.a menCIUM tangan saidina Umar r.a ketika kepulangannya dari Syam. Adapun Tamim bin salamah menganggap menCIUM tangan ahli al-Fadl (orang-orang yang mendapat kemuliaan) adalah SUNAT.
Perhatikanlah wahai orang-orang yang memiliki akal.


7. Mencium tangan kedua ibubapa dan anak-anak:


i. Dikeluarkan oleh Abu Daud bahawa nabi s.a.w menCIUM perut saidina Hasan bin Ali r.a (cucu nabi s.a.w). Begitu juga thabit dari hadith bahawa baginda s.a.w menCIUM saidina Hussien r.a. Baginda juga menCIUM puterinya saidatina Fatimah r.a, menjadi keaiban bagi siapa yang tidak melakukan sedemikian rupa.

ii. Dikeluarkan oleh Abu Daud bahawa saidina Abu Bakar r.a menCIUM anaknya saidatina A’isyah r.a ketika beliau mendapati bahawa anaknya itu demam. Ciuman bukan khusus untuk anak-anak lelaki sahaja. (Hadith no. 5222).

iii. Dikeluarkan oleh Abu Daud bahawa apabila saidatina Fatimah r.a mendapati nabi s.a.w masuk bertemunya, beliau akan berdiri dan mengambil tangan baginda s.a.w dan terus menCIUMnya. (Hadith no. 5217)

Menurut riwayat imam Tirmizi bahawa apabila saidatina Fatimah r.a masuk bertemu Rasulullah s.a.w, baginda s.a.w terus berdiri dan mengambil tangan puterinya dan menciumnya serta duduk bersamanya di dalam satu majlis. (Hadith no. 3872). Bayangkan, nabi s.a.w mencium tangan puterinya.

Yakni CIUMAN anak pada kedua belah tangan ibubapa adalah kerana pengiktirafan mereka terhadap kemuliaan darjat ibubapa dan ciuman ibubapa kepada anak-anak pula adalah hak kasih sayang mereka oleh ibubapa.

Pengajaran yang boleh diambil berdasarkan hadith yang dinyatakan adalah bertukar-tukar CIUMAN antara ibubapa dan anak-anak adalah merupakan sunnah nabi s.a.w yang mulia. Setiap tindakan bijaksana yang wajib dilakukan oleh ahli keluarga adalah lebihan cinta, kasih sayang dan kemesraan terhadap keluarga.

Dalam satu hadith yang dinyatakan, bahawa seorang lelaki bercerita di dalam satu majlis nabi s.a.w, bahawa beliau tidak menCIUM anak-anaknya. Lalu baginda s.a.w bersabda:
“Apa yang dapat saya nyatakan bahawa Allah s.w.t telah melenyapkan rahmat daripada hati kamu”
. (Dikeluarkan oleh imam Bukhari no. 5998).

Begitu juga tentang kisah saidina umar r.a mengasingkan seorang lelaki dari sebuah negeri kerana mengingkari CIUMAN saidina Umar r.a terhadap anaknya. Kisah yang begitu mashyur.


8. Dalil-dalil jenis ciuman yang lain;

i. Sesungguhnya saidina Abu Bakar mencium muka nabi s.a.w selepas kewafatan baginda. Hadith dikeluarkan oleh imam Ahmad dan Bukhari (no. 1241).

ii. Sesungguhnya nabi s.a.w mencium saidina Uthman bin Maz'un selepas kewafatannya. Hadith dikeluarkan oleh imam Ahmad (56/6), Abu Daud (3163), Tirmizi (989) berkata: Hadith Hasan Sahih, Ibn Majah (1456). Hadith ini juga disandarkan kepada imam al-Bukhari.

iii. Dikeluarkan oleh ibn al-A’rabi daripada Jabir: Sesungguhnya bapanya mati syahid ketika peperangan Uhud, maka tersingkap wajahnya dan beliau menCIUMnya.


9. Kesimpulan;

i. Beginilah seperti yang pembaca saksikan setiap hadith atau athar yang dinyatakan lagi Thabit (tetap) terhimpun bahawa ianya tidak bertentangan antara satu sama lain terhadap perbuatan menCIUM kedua belah tangan ibubapa kerana hak penghormatan kepada mereka, kedua belah tangan syeikh (guru) kerana mendapat keberkatan, kedua belah tangan ulama kerana kemuliaan mereka dan kedua belah tangan orang-orang soleh kerana amal kebaikan mereka. Dan yang hanya berhak untuk menilai mereka semua adalah hakim lagi adil Allah s.w.t bagi mengiktiraf kemuliaan mereka.

ii. Adapun ciuman terhadap orang MUNAFIQ yang mempunyai harta, menyanjung orang yang berkuasa dan orang yang memiliki kedudukan, sikap merendahkan diri (tadzallul) demi untuk kepentingan, terlibat dalam keadaan kecurangan dan muslihat untuk tunduk (hormat) atau sebagainya, maka ia dianggap sebagai sujud kecil (terhadap makhluk kerana kebatilan mereka). Jelas hukumnya adalah di larang dan haram. Kerana itu adalah sampah kemanusiaan, tindakan kelakuan sembrono untuk mendapat kedudukan yang tinggi, memainkan agama serta mencampurkan antara perkara baik dan buruk.

Pengecualian perkara tersebut boleh diambil kira, sekiranya ia berdiri di atas konsep menolak kemudaratan yang pasti boleh merosakkan, maka ianya termasuk di bawah hukum keterpaksaan. Firman Allah s.w.t:

فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه إن الله غفور رحيم

Bermaksud :
“Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
– Surah al-Baqarah : 173.

Adapun lelaki yang suka kedua belah tangannya diCIUM, maka gugur (rahmat) daripada pandangan Allah s.w.t dan pandangan mata manusia (penghormatan). Sesungguhnya orang-orang Soleh apabila diCIUM tangan-tangan mereka, pasti mereka tidak menyukainya di samping sering memohon keampunan serta takut keburukan akan timpa ke atas diri mereka.


10. Hadith-hadith larangan dari berCIUMAN.


i. Diriwayatkan oleh imam Tirmizi: Dikatakan,
“Wahai Rasulullah adakah harus seseorang itu membongkokkan (tunduk ruku’) kepada saudaranya?" Baginda menjawab: "Tidak". Lelaki itu berkata lagi: "Adakah mesti seseorang itu memeluk dan menciumnya?" Nabi s.a.w menjawab: "Tidak". Berkata lagi: "Adakah seseorang itu mengambil tangan saudaranya dan hanya bersalaman dengannya?" Nabi s.a.w menjawab: "Ya".
Hadith dikeluarkan oleh imam Tirmizi (no. 2728), dan berkata: Hadith Hasan.

Ulasan:

Hadith ini telah dilemahkan oleh imam Ahmad dan al-Baihaqi seperti yang dinaqalkan oleh al-Iraqi di dalam kitabnya al-Mughni. Di dalam sanadnya ada seorang perawi yang bernama Hanzalah. Imam Ahmad, Nasa’i dan Ibn Mai’n telah menetapkan bahawa lelaki tersebut adalah ‘Daif’ (lemah). Imam Ahmad menambah dengan katanya:
“Sesungguhnya (Hanzalah) meriwayatkan banyak hadith yang Mungkar, maka jangan beramal dengan hadithnya.”


Maka gugurlah hadith ini.


ii. Hadith imam at-Tabarani dan Abu Ya’la dan ibn A’ddi: Sesungguhnya nabi s.a.w menarik tangannya bagi orang yang ingin menciumnya.

Ulasan:

Larangan terhadap hadith ini adalah dusta. Hadith ini ada dinaqalkan oleh ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudua’at. Maka jangan mengambilnya.

Kalau sekiranya kedua-dua hadith ini SAHIH sekalipun, maka ciuman yang dimaksudkan di sini adalah bertujuan untuk tunduk, mengagungkan dan menyucikan (makhluk) bukan kerana untuk kasih sayang, penghormatan dan mengambil keberkatan.

Adapun dalil-dalil hadith yang dikemukakan ke semuanya tiada penentangan antara satu sama lain terhadap kebenaran ciuman tersebut. Begitu juga taraf kedudukan hadith yang dinyatakan, ianya sampai ke peringkat had mutawatir. Ia juga tidak bertentangan dari segi ukuran besar dan halus antara hadith-hadith Sahih dan Hasan.

Berhujah dengan 2 hadith yang gugur (lemah) adalah ditolak di sisi orang yang berilmu. Ia bertujuan untuk memelihara dari berlakunya fitnah dan kerosakan.


Wallahu a’lam.

Selasa, 22 September 2009

Apakah Hukum Suatu Perkara Yang Tidak Terdapat Nas Bagi Menunjukkan Haram Atau Halalnya Perkara Tersebut ?

Jawapan :

Hukum tersebut adalah harus dan tidak bid'ah, kerana ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman :


وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ (٧)

ertinya : Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
(Surah al hasyr : Ayat 7)

ALlah Subahanahu wa ta'ala tidak berfirman, "Apa yang ditinggalkan, maka hendaklah kamu tinggalkan". Sebaliknya RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam menjelaskan melalui riwayat daripada Abu Darda' radiyaLlahu 'anhu yang bererti :


"Apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Apa yang diharamkan oleh ALlah, maka ia adalah haram. Apa yang disenyapkan (didiamkan) darinya (yang tidak disebut hukumnya), maka ia adalah dimaafkan (diharuskan). Terimalah daripada ALlah akan kemaafanNya (keharusanNya) kerana sesungguhnya ALlah tidak pernah melupai sesuatu. Kemudian Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam membaca (firman ALlah yang bermaksud:) Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa"


Diriwayatkan oleh al Bazzar dan disohihkan oleh al Hakim.


Menurut jumhur ulama' "halal" itu adalah hukum asal sedangkan yang "haram" adalah sesuatu yang memiliki nas kerana sedikitnya, oleh kerana itu, ia harus diteliti dengan saksama.


Di sebut dalam Matan al Arba'in li Imam an Nawawi : Hadith RasuluLlah yang bererti :
"Sesungguhnya ALlah subahanahu wa ta'ala telah menetapkan kepadamu beberapa kefardhuan maka janganlah kamu melalaikannya dan menetapkan untukmu beberapa batasan maka janganlah kamu melampauinya dan mengharamkan atas kamu beberapa perkara , maka janganlah kamu melanggarnya dan juga telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untukmu, bukan kerana lupa. Maka janganlah kamu membicarakannya."


Al Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al Fath : Riwayat ini dikeluarkan oleh Daraquthi dari hadith Abi Tsa'labah dan dia memarfu'kannya kemudian dia berkata : Riwayat ini asalnya ada dalam al Bukhari.

Sumber rujukan :

1. Quran Explorer

2. Al Allamah Abu AbduLLah 'Alawi al Yamani, Intabih diinuka Fi Khatrin, Agamamu Dalam Bahaya, Terjemahan Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Cetakan Kedua, Sofa Production, Selangor.

3. Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, Al Firqah An Najiah Hia al Ummatul Islamiyah Kulluha, Terjemahan Abu Al Fayadi, Cetakan Pertama 2008, Mutiara Ilmu, Surabaya.

Jumaat, 18 September 2009

Hukum Memakan Haiwan Jallalah

Penulis : Ustaz Nazrul Nasir

Terima kasih kepada saudara yang bertanya tentang hukum memakan binatang yang makanan asasinya bersumberkan najis.Perkara ini sudah dibincangkan oleh para ulama terdahulu dengan terperinci.

Haiwan yang menjadikan najis sebagai makanan asasinya disebut sebagai الجلالة .Para ulama berbeza pendapat di dalam meletakkan takrif bagi Jallalah.

Maksud Jallalah

Menurut para ulama Hanafiyah radhiyallahu anhum: Jallalah adalah merupakan binatang yang hanya menjadikan najis sebagai makanan asasinya tanpa memakan makanan yang lain.Bau dagingnya juga akan berubah disebabkan pemakanannya yang sedemikian.

Manakala para ulama Malikiyah, Syafieyah dan Hanabilah radhiyallahu anhum pula berpendapat bahawa maksud jallalah ialah binatang yang selalunya menjadikan najis sebagai makanannya tetapi turut memakan makanan yang lain selain daripada najis.

Hukum Memakan Jallalah

Para ulama Malikiyah seperti yang disebutkan di dalam kitab Syarhul Kabir dan Bidayatul Mujtahid mengharuskan untuk umat Islam memakan Jallalah.

Para ulama Hanafiyah, Syafieyah , Imam Malik sendiri, dan al-Imam Ahmad di dalam salah satu pendapatnya mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh untuk dimakan.Makruh di sini menurut al-Syeikh Dr Muhammad Zuhaili seperti yang disebutkan di dalam kitabnya al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie adalah merupakan Makruh Tanzih.

Manakala para ulama Hanabilah mengharamkan daging jallalah untuk dimakan.Ini seperti disebutkan di dalam kitab Kasyful Qhina’ dan al-Mughni li Ibn Qudamah al-Maqdisi.

Bagaimana boleh berlakunya khilaf di dalam permasalahan ini?

Seseorang yang mempelajari ilmu perbezaan pendapat di kalangan para ulama tidak akan memandang perkara ini sebagai sesuatu yang janggal.Malah ikhtilaf @ perbezaan pendapat di kalangan para ulama itu sendiri merupakan satu rahmat daripada Allah taala kepada makhlukNya di muka bumi.

Kesemua para ulama berbeza pendapat berdasarkan pemahaman mereka terhadap hadis Baginda sallallahu alaihi wasallam yang berbunyi :

نهى النبي صلى الله عليه و سلم عن أكل الجلالة و ألبانها

Maksudnya: Baginda sallallahu alaihi wasallam melarang seseorang tersebut daripada memakan daging Jallalah dan susunya.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Abu Daud dan al-Imam Tirmizi rahimahumullahu taala.

Para ulama Hanabilah mengambil berdasarkan zahir hadis tersebut dengan meletakkan setiap larangan tersebut maka ianya memberi maksud haram.

Manakala para ulama yang lain meletakkan bahawa larangan di sini bukanlah bermakna haram secara mutlak malah ianya hanya menunjukkan larangan yang membawa maksud makruh sahaja.

Adakah terdapat cara untuk membersihkan Jallalah ini?

Para ulama meletakkan tempoh tertentu untuk membersihkan Jallalah ini dengan cara memberikan makanan yang baik dan bukan najis kepada Jallalah ini.

Menurut para ulama Hanafiyah : Jika daging binatang tersebut telah bertukar baunya disebabkan pemakanan sedemikian maka jika binantang tersebut kecil seperti ayam perlulah diberikan makanan yang baik selama 3 hari sebelum boleh diproses untuk dimakan.Manakala kambing pula perlu untuk dikuarantinkan selama 4 hari dan lembu serta unta perlulah dikuarantinkan selama 10 hari .

Menurut para ulama Syafieyah : Binatang seperti ayam perlu dikuarantinkan selama 3 hari.Binatang seperti kambing perlulah dikuarantinkan selama 7 hari , manakala unta dan lembu perlulah dikuarantinkan selama 40 hari.

Menurut para ulama Hanabilah: Binatang seperti ayam erlu dikuarantinkan selama 3 hari ,manakala unta ,lembu dan sebagainya perlulah dikuarantinkan selama 40 hari.

Al-Imam Ahmad Ibn Hanbal rahimahullah berpendapat mengatakan bahawa binatang hanya perlu dikuarantinkan selama 3 hari sahaja sama ada jenis burung dan sebagainya.

KESIMPULANNYA

Setelah kita meneliti pendapat para ulama di atas maka jelaslah kepada kita bahawa jumhur para ulama berpendapat bahawa daging haiwan Jallalah hanyalah makruh sahaja.Hanya para ulama Hanabilah sahaja yang berpendapat mengatakan bahawa ianya Haram dimakan.

Penduduk Malaysia beramal dengan Mazhab al-Imam Syafie radhiyallahu anhu maka tiadalah permasalahan yang besar padanya.Hukumnya jelas makruh sahaja.Bagi mengelakkan perkara tersebut menjadi makruh maka lakukan sepertimana yang telah disebutkan oleh para ulama iaitu dengan dikuarantinkan selama tempoh tertentu.

Jika ikan keli maka kita berpendapat ianya sama hukum seperti ayam.Maka tempoh kuarantinnya juga adalah selama 3 hari.Maka di dalam tempoh tersebut ikan tersebut perlulah diberi makan dengan makanan yang halal dan bersih.

Sebaiknya, bagi para peniaga mengelakkan menggunakan makanan yang haram untuk sumber pemakanan binatang tersebut.Bagi para pembeli pula perlulah berhati-hati di dalam memilih makanan yang hendak dimakan kerana ianya akan menjadi darah daging kita kelak.

Wallahu a’lam.

Rujukan

1. Fiqh al-Islami wa Adillatuhu oleh Syeikh Dr Wahbah Zuhaili hafizahullah jilid ke 4 mukasurat 2597-2599 cetakan Darul Fikr Dimasyk

2. Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Dr Muhammad Zuhaili hafizahullah jilid ke 2 mukasurat 558-559 cetakan Darul Qalam Dimasyk

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Rumah Kedah Hayyu Asyir,
Kaherah Mesir