Halaman

Selasa, 25 Ogos 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 14

Penjelasan Tentang Hadith Iftiroqul Ummah

Terhadap hadith iftirooqul ummah itu terdapat 2 pendapat tentang ummat mana yang dimaksudkan, apakah umat dakwah atau ummat ijabah?

Ummat Dakwah adalah ummat yang terkena kewajiban untuk beriman terhadap apa yang didakwahkan oleh Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi wasallam dan dakwah beliau itu meliputi seluruh manusia yang ada di muka bumi kerana khitob (perintah) al Quran itu memang tertuju kepada mereka tanpa kecualli. ALlah subahanahu wa ta'ala berfirman :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَـٰكَ إِلَّا ڪَآفَّةً۬ لِّلنَّاسِ بَشِيرً۬ا وَنَذِيرً۬ا وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ (٢٨)

Ertinya : "Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) kecuali kepada seluruh ummat manusia sebagai pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(Surah As Saba' : 28)

Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti :
"Dan saya diutus kepada ummat manusia seluruhnya".
(Hadith riwayat Muslim)

Dengan demikian maka siapa yang beriman dia adalah ummat ijabah. Dan siapa yang tidak beriman maka dia adalah ummat dakwah.

Banyak ulama yang berpendapat bahawa "perpecahan" itu akan terjadi pada ummat dakwah iaitu mereka yang belum masuk Islam dan masih tetap dalam kekafiran. Berdasarkan pendapat ini maka di antara kaum Muslimin itu tidak ada jema'ah tertentu yang boleh mengaku dirinya sebagai Firqah Najiah melainkan seluruh kaum Muslimin itu adalah Najun iaitu orang-orang yang selamat dengan izin ALlah subahanahu wa ta'ala.

Sedangkan apabila (dikatakan) bahawa perpecahan itu terjadi pada ummat ijabah iaitu mereka yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah dan telah masuk Islam maka yang tergolong sesat adalah mereka yang keluar dari agama dengan sebab melakukan sesuatu yang secara ijmak telah menyebabkan mereka kafir, seperti mengingkari salah satu rukun di antara rukun-rukun Islam atau rukun-rukun iman.

Seperti inilah sebenarnya keadaan kebanyakan firqah yang menisbahkan diri kepada Islam padahal mereka telah melakukan sesuatu yang menyebabkan mereka kafir secara ijmak. Begitu juga dengan orang-orang yang berpendapat bahawa ALlah itu bertempat (hulul) pada manusia. Kelompok-kelompok seperti yang disebutkan ini jumlahnya boleh sahaja melebihi 70. Mereka itu di tengah-tengah pengakuannya sebagai orang Islam. Sebenarnya adalah orang-orang kafir secara ijmak sebagaimana dinyatakan oleh Lembaga-lembaga Fiqh Moden yang berada di bawah Rabitah al A'lam al Islami kerana telah nyata pengingkaran mereka terhadap sebahagian rukun Islam dan rukun iman dan dari segi jumlah, mereka ini termasuk minoriti.

Adapun selain mereka adalah kaum Muslimin yang merupakan majoriti dan semua mereka itu adalah Mukmin yang bertauhid serta dijanjikan akan masuk syurga sesuai dengan nas-nas yang qot'ie dan mutawattir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan