BATASAN-BATASAN SYARAT BERUBAT
DENGAN JAMPI DAN TANGKAL(BILANGAN 157 BAHAGIAN PERTAMA)
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Para ulama secara prinsipnya tidak berbeza pandangan mengenai ketetapan harus berubat dengan jampi dan tangkal. Terdapat beberapa jumlah dalil terdiri daripada ayat Al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang dijadikan sebagai sandaran untuk menyokong ketetapan hukum tersebut, di mana sebahagiannya akan disebutkan kemudian.
Namun begitu, ketetapan hukum tersebut bukanlah secara mutlak tanpa terikat kepada batasan-batasan tertentu. Islam tidak membiarkan penganutnya bebas begitu saja tanpa meletakkan batas tertentu. Tujuannya ialah bukan untuk mengongkong, tetapi adalah demi mempastikan mereka tidak tergelincir dari landasan syariat yang sebenar dan memelihara kesucian Islam dari bercampur dengan anasir-anasir yang berlawanan dengan syariat Allah Subhanahu wa ta‘ala, umpamanya anasir syirik, sihir, khurafat dan sebagainya.
Jadi, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga sehingga dengan itu berubat dengan jampi dan tangkal tidak dianggap sesuatu yang bertentangan dengan hukum syara‘?
Sebelum itu, perlu dijelaskan bahawa batasan-batasan syara‘ dalam konteks ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu:
1) Batasan-batasan syara‘ khusus bagi jampi dan tangkal.
2) Batasan-batasan syara‘ khusus bagi penjampi.
3) Batasan-batasan syara‘ khusus bagi orang yang dirawat.
BATASAN-BATASAN SYARAK KHUSUS BAGI JAMPI ATAU TANGKAL :
1) Hendaklah bersumber daripada Al-Qur’an atau Sunnah Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam:
Para ulama fiqh bersepakat mengatakan bahawa tangkal dan jampi yang dibenarkan hendaklah bersumber daripada Al-Qur’an atau Sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, ataupun tidak bercanggah dengan kehendak kedua-dua sumber tersebut. Oleh itu, harus berubat dengan jampi dan tangkal yang mengandungi ayat-ayat Al-Qur’an, nama-nama dan sifat-sifatNya Allah yang Maha Mulia, zikir-zikir dan doa-doa yang terdapat di dalam Al-Qur’an dan Sunnah Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam.
Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadits diriwayatkan daripada Jabir Radhiallahu ‘anhu beliau berkata yang maksudnya :
“Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam melarang daripada jampian. Lalu keluarga ‘Amr bin Hazm datang kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami mempunyai jampi yang boleh kami gunakan untuk menjampi sengatan kala, sedangkan engkau melarang jampian.”
Jabir berkata:
“Kemudian mereka pun memperlihatkan jampi mereka kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Lantas Baginda bersabda: “Aku tidak nampak ianya menjadi apa-apa, barangsiapa di antara kamu yang boleh menolong saudaranya maka tolonglah dia.”
(Hadits riwayat Muslim)
Perbuatan keluarga ‘Amr bin Hazm memperlihatkan jampi mereka kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadits di atas tujuannya ialah untuk memperlihatkan Baginda adakah jampi mereka bercanggah dengan syariat Islam ataupun tidak? Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam membenarkannya.
Maka dengan sebab itu, setiap jampi atau tangkal yang hendak diamal atau dipakai itu tidak boleh bersumber daripada selain Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam ataupun yang bercanggah dengannya.
2) Tidak mengandungi syirik:
Syirik ialah suatu perbuatan menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain iaitu menyembah selain Allah, atau percaya kepada sesuatu benda mempunyai kuasa menyembuh, menyelamatkan daripada malapetaka, mendatangkan keuntungan atau sebagainya juga merupakan perbuatan syirik.
Dosa syirik merupakan sebesar-besar dosa sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
(Surah An-Nisaa’, ayat 48)
Firman Allah Ta‘ala di dalam ayat yang lain yang tafsirnya :
“Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua) maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
(Surah An-Nisaa’, ayat 116)
Sehubungan dengan itu, jampi mentera dan tangkal yang mengandungi apa-apa jua unsur syirik adalah dilarang menurut hukum syara‘. Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik Al-Asyja‘e, beliau berkata yang maksudnya :
“Kami pada zaman jahiliah dahulu mengamalkan jampi, lalu kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu mengenai hal itu?” Maka Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Perlihatkan kepada ku jampi-jampi kamu itu, tidak menjadi apa-apa mengamalkan jampi selama mana tidak mengandungi di dalamnya syirik.”
(Hadits riwayat Muslim dan Abu Daud)
Maka berdasarkan hadits di atas jelas bahawa berubat menggunakan jampi atau tangkal yang mengandungi unsur syirik adalah tidak diharuskan, walaupun jampi atau tangkal seumpama itu memberi kesan yang positif kepada pemakainya, pesakit yang dijampi atau seumpamanya. Begitu juga halnya jampi dan tangkal yang mengandungi perkataan-perkataan kufur.
Menurut Al-Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala, para ulama secara ijma‘ mengatakan bahawa mengamalkan sihir itu hukumnya adalah haram. Maka dalam hal ini, tidak hairanlah jika para ulama bersepakat menegaskan tentang larangan berubat dengan jampi dan tangkal yang mengandungi unsur-unsur sihir.
Apa yang dimaksudkan dengan sihir di dalam konteks ini ialah orang yang menjampi atau pembuat tangkal itu meminta bantuan kepada jin atau syaitan dalam jampi menteranya.
Di antara dalil-dalil yang diboleh dikemukakan sebagai sandaran untuk menegaskan tentang larangan sihir itu sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya :
“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.”
(Surah Thaha, ayat 69)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Nabi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam Baginda bersabda yang maksudnya :
“Jauhilah tujuh perkara maksiat.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, apakah itu?”. Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Mensekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan pertempuran perang dan menuduh berbuat zina kepada perempuan-perempuan yang baik-baik dan beriman yang tidak terfikir untuk melakukan maksiat.”
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Orang yang mengamalkan sihir tidak akan mendapat pertolongan daripada syaitan untuk menunaikan hajatnya melainkan setelah dia mempertaruhkan atau menggadaikan agamanya dan aqidahnya, dan merosakkannya demi menjunjung ketaatan kepada perintah syaitan, seterusnya berbuat dosa kepada Allah dan menyembah selain Allah.
Diceritakan suatu kisah berlaku pada awal abad ini mengenai seorang ahli sihir yang tinggal di bahagian sebelah atas negeri Mesir. Di antara kepandaiannya, beliau pernah meminta beberapa orang supaya mencampakkan cincin mereka ke dalam laut. Apabila mereka mencampakkannya beliau akan mengembalikannya semula kepada mereka. Selain itu, beliau juga boleh melakukan banyak perkara-perkara lain yang aneh dan luar biasa. Pada suatu hari beliau pun meninggal dunia. Setelah itu, anaknya ingin mengikut jejak langkah bapanya untuk melakukan pekerjaan sebagaimana yang dilakukan oleh bapanya sebelum ini. Akan tetapi ibunya membantah dan melarangnya daripada berbuat demikian. Lalu si anak pun bertanya kepada ibunya, apakah gerangan sebab dia dilarang mengikut jejak langkah bapanya? Kemudian ibunya membuka almari dan mengeluarkan patung daripada almari tersebut sambil berkata: “Sesungguhnya bapa mu dulu menyembah patung ini supaya syaitan memberi pertolongan kepadanya untuk melakukan sesuatu yang luar biasa. Oleh itu, jangan engkau menjadi kafir sebagaimana bapa mu telah menjadi kafir.”
Oleh yang demikian, nyatalah bahawa sihir itu boleh menyebabkan pengamalnya terseret kepada perbuatan dosa yang amat besar, dan dengan itu juga orang yang meminta pertolongan dengan pengamal ilmu sihir akan sama-sama mendapat dosa. Jadi, berubat dengan jampi mentera atau tangkal yang mengandungi unsur sihir itu adalah ditegah oleh syara‘.
Bersambung...
Sumber : Mufti Brunei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan