Halaman

Rabu, 22 Julai 2009

REJAB KEMBALI, SYA'BAN MENANTI, RAMADHAN DIRINDUI


Oleh: Dr. Asmadi Mohamed Naim

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان، وبلغنا رمضان


Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada Rejab dan Sya'ban, dan jadikan kami berjumpa dengan Ramadhan.

Rejab datang lagi, dan kerap kali perbincangan mengenai menambahkan amalan-amalan dalam bulan Rejab menjadi perdebatan. Kerap kali amalan-amalan berpuasa dalam bulan Rejab dan Sya'ban dipertikaikan. Persoalan dan perdebatan berkisar kepada isu-isu di bawah:


i. Benarkah bulan Rejab tidak ada keistimewaannya berbanding bulan-bulan lain dan mengatakannya mempunyai kelebihan akan jatuh sesat?


ii. Benarkah melakukan amalan-amalan kebaikan di bulan ini tidak ada bezanya dengan melakukannya pada bulan-bulan lain?


iii. Benarkah mengkhususkan melakukan kebaikan pada bulan ini adalah satu yang 'sesat' atau bid'ah?

Disebabkan masa yang terhad, saya tidak bercadang memberikan penghuraian secara menyeluruh merangkumi penghujahan setiap pihak yang menyokong dan menolak. Saya lebih menjurus kepada melihat kepada penghujahan ulama yang membenarkannya secara ringkas untuk melihat samada adakah amalan-amalan ini rekaan mereka semata-mata atau mereka mempunyai hujah dan pentafsiran yang memuaskan hati kita untuk beramal dengannya.

Method saya dalam berdepan dengan amalan-amalan ibadah masyarakat Islam terdahulu khususnya yang dipelopori oleh ulama-ulama (yang tidak bertentangan dengan nas nyata al-Quran dan al-sunnah) ialah husn al-dzan bahawa ulama-ulama tersebut mempunyai hujah yang membolehkan amalan itu diamalkan. Perbincangan saya menjurus kepada soalan-soalan yang saya lontarkan di atas dan saya ulangkan sekali lagi secara satu persatu:

Benarkah bulan Rejab tidak ada keistimewaannya berbanding bulan-bulan lain dan mengatakannya mempunyai kelebihan akan jatuh sesat?


Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 36:

Bermaksud:

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketentuan Allah (di Luh mahfuz) pada hari Dia menjadikan langit-langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka jangan kamu menzalimi diri kamu di dalamnya (bulan-bulan tersebut). Perangilah orang-orang kafir keseluruhannya sebagaimana mereka memerangi kamu keseluruhannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bertakwa.

Ayat tersebut mengkhususkan empat bulan sebagai bulan-bulan haram iaitu tiga bulan yang berturut iaitu Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram; dan satu bulan yang bersedirian iaitu bulan Rejab.

Menurut Imam al-Razi RH:
Maksud al-haram (samada bulan haram atau tempat haram) ialah maksiat padanya dibalas dengan balasan yang lebih berat, dan ketaatan dibalas dengan pahala yang lebih besar
(al-Razi, jil.16, ms. 53).

Imam al-Qurtubi menjelaskan (Jilid 8, ms. 67):

خص الله تعالى الأربع الأشهر الحرم بالذكر، ونهى عن الظلم فيها تشريفا لها، وإن كان منهيا في كل زمان.
Bererti: Allah Taala mengkhususkan empat bulan dengan menyebutnya, dan melarang kezaliman dilakukan di dalam bulan-bulan ini adalah untuk memuliakannya (bulan-bulan ini), walaupin kezaliman tersebut sememangnya dilarang pada setiap masa.


Imam Ibn Kathir mengaitkan ayat di atas dengan ayat selepasnya dengan berkata:


"ذلك الدين القيم" هذا هو الشرع المستقيم من امتثال أمر الله فيما جعل من الأشهر الحرم والحذو بها على ما سبق من كتاب الله، الأول قال تعالى: فلا تظلمون فيهن أنفسكم" أي في هذه الأشهر المحرمة لأنها آكد وأبلغ في الإثم من غيرها كما أن المعاصي في البلد الحرم تضاعف لقوله تعالى: "ومن يرد فيه بإلحاد ظلم نذقه بعذاب أليم". وكذا الشهر الحرام تغلظ فيه الآثام ولهذا تغلظ الدية في مذهب الشافعي وطائفة كثيرة من العلماء.


Bererti: "Itulah jalan yang lurus" Inilah dia Syarak yang lurus daripada kepatuhan kepada suruhan Allah Taala pada apa yang diberikan pada bulan-bulan haram, dan mempraktikannya sebagaimana dinyatakan dalam kitab Allah

Pertama, Allah Taala berfirman: Maka jangan kamu menzalimi diri kamu padanya, iaitu pada bulan-bulan haram kerana lebih pasti dan lebih berat dosa berbanding dosa dalam bukan bulan-bulan haram, sebagaimana maksiat dalam negeri haram (Mekah dan Madinah) berlipat ganda dosanya berdasarkan firman Allah (yang bermaksud): Dan sesiapa yang mahu mendatangkan padanya (masjid haram) kezaliman, Kami merasakannya dengan azab yang pedih!" (al-Hajj: 25)
Demikian juga bulan-bulan haram, lebih berat dosa yang dilakukan di dalamnya, sebagaimana mazhab Imam Shafie dan ramai kumpulan ulama mengatakan 'diyah mughallazah' (terhadap pembunuhan dan kecederaan) yang dilakukan dalam bulan haram.



Berkata Imam Ibn kathir dalam tafsirnya berkaitan ayat di atas:


وقال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس قوله: "إن عدة الأشهر عند الله" الآية فلا تظلمون فيهن أنفسكم في كلها ثم اختص من ذلك أربعة أشهر فجعلهن حراما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيها أعظم والعمل الصالح فيها أعظم.

Berkata Ibn Kathir lagi: Berkata Ali bin Abi Talhah dari Ibn Abbas: Sesungguhnya bilangan-bilangan bulan di sisi Allah... al-ayat.. Maka janganlah kamu menzalimi pada bulan-bulan tersebut diri-diri kamu pada keseluruhan bulan, kemudian dikhususkan darinya empat bulan dan Allah menjadikannya sebagai bulan-bulan haram,dan menambah kemuliaannya dan Dia menjadikannya berbuat dosa padanya lebih berat dan amal soleh padanya lebih hebat pahalanya.


Subhanallah, maha suci Allah SWT, penerangan oleh ulama-ulama muktabar ini jelas menunjukkan bahawa menganggap bulan Rejab sebagai bulan yang istimewa tidak ada cacat celanya berdasarkan al-Quran dan sunnah. Bahkan menganggap amalan-amalan yang dilakukan lebih besar pahalanya juga adalah bersesuaian dengan penafsiran ayat di atas dan bukanlah dari perbuatan bid'ah. Apabila Allah SWT meletakkan sebagai bulan istimewa, ia menunjukkan satu motivasi supaya umat Islam menambahkan amalan dalam bulan ini bersesuaian pahalanya dilipatkali gandakan.


• Benarkah melakukan amalan-amalan kebaikan di bulan ini tidak ada bezanya dengan melakukannya pada bulan-bulan lain?

Saya ingin mengulangi kembali petikan yang saya tulis di bahagian di atas yang menjhelaskan persoalan ini.

Lihat kembali huraian Imam Ibn kathir dalam tafsirnya berkaitan ayat di atas:


وقال علي بن أبي طلحة عن ابن عباس قوله: "إن عدة الأشهر عند الله" الآية فلا تظلمون فيهن أنفسكم في كلها ثم اختص من ذلك أربعة أشهر فجعلهن حراما وعظم حرماتهن وجعل الذنب فيها أعظم والعمل الصالح فيها أعظم.

Berkata Ibn Kathir lagi: Berkata Ali bin Abi Talhah dari Ibn Abbas: Sesungguhnya bilangan-bilangan bulan di sisi Allah... al-ayat.. Maka janganlah kamu menzalimi pada bulan-bulan tersebut diri-diri kamu pada keseluruhan bulan, kemudian dikhususkan darinya empat bulan dan Allah menjadikannya sebagai bulan-bulan haram,dan menambah kemuliaannya dan Dia menjadikannya berbuat dosa padanya lebih berat dan amal soleh padanya lebih hebat pahalanya.


Ibn Abbas RA melalui nukilan Imam Ibn Kathir mengakui amal soleh dalam bulan haram ini lebih besar pahalanya.

Lihat pula bagaimana tafsiran Imam al-Qurtubi (Jilid 8, ms. 67):
:


خص الله تعالى الأربع الأشهر الحرم بالذكر، ونهى عن الظلم فيها تشريفا لها، وإن كان منهيا في كل زمان.
Bererti: Allah Taala mengkhususkan empat bulan dengan menyebutnya, dan melarang kezaliman dilakukan di dalam bulan-bulan ini adalah untuk memuliakannya (bulan-bulan ini), walaupun kezaliman tersebut sememangnya dilarang pada setiap masa.



Justeru, mengkhususkan amalan pada bulan ini, bukan bererti kita menafikan melakukan kebaikan pada bulan-bulan lain, sebagaimana melarang kezaliman dilakukan pada bulan-bulan haram bukan bererti melakukan kezaliman pada bulan-bulan yang lain.

Penafsiran bahawa bulan Rejab dan bulan-bulan haram mempunyai keistemewaan apabila meninggalkan kejahatan dan melakukan amal soleh adalah bertepatan dengan ayat-ayat di atas. Justeru, adalah sesuatu yang amat-amat gopoh apabila sesorang mengklasifikasikan pandangan yang masih dalam ruang lingkup ayat ini sebagai satu perbuatan sesat.

Benarkah mengkhususkan melakukan kebaikan pada bulan ini khususnya puasa adalah satu yang 'sesat' atau bid'ah?

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Sahih Muslim satu hadith dari Uthman bin Hakim berkata:

Aku berkata: Aku bertanya Sa'id bin Jubair mengenai puasa bulan Rejab, kami pada waktu itu di bulan Rajab. Dia berkata: Aku mendengar Ibn Abbas RA berkata: Adalah Rasulullah SAW berpuasa, sehingga kami menyangka dia tidak berbuka; dan bila dia berbuka, sehingga kami menyangkanya tidak berpuasa.

Hadith tersebut menyebut bagaimana puasa juga menjadi amalan Rasulullah SAW dalam bulan Rejab.

Imam Nawawi mensyarahkan hadith di atas dengan berkata (Syarh Sahih Muslim, Jil.8, ms.225):


الظاهر أن مراد سعيد بن جبير بهذا الاستدلال أنه لا نهي ولا ندب فيه لعينه، بل له حكم باقي الشهور، ولم يثبت في صوم رجب نهي ولاندب لعينه، ولكن أصل الصوم مندوب أليه. وفي سنن أبي داود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم ندب إلى الصوم من الأشهر الحرم، ورجب أحدها. والله أعلم.


Bermaksud: Yang nyata bahawasanya maksud Sa'id bin Jubair ialah menunjukkan bahawa tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan). Dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah antaranya.



Walaupun Imam Nawawi mensyarahkan hadith-hadith puasa Rasulullah SAW yang menunjukkan baginda berpuasa penuh hanya pada bulan Ramadhan, namun Imam Nawawi tidak melihat hadith bulan Rejab ini berlawanan dengan hadith-hadith sebelumnya.

Berkaitan hadith riwayat Abu Daud adalah seperti berikut (Aun al-ma'bud, Jil.4, 507):


((صم من الحرم واترك، صم من الحرم واترك، صم من الحرم واترك)) وقال بأصابعه الثلاثة فضمها ثم أرسلها.
Bererti: Berpuasalah dari bulan haram kemudian tinggal, bulan haram kemudian tinggal, bulan haram kemudian tinggal. Dia berkata dengan menunjukkan tiga jarinya dan dirapatkan kemudian dilepaskan (tidak dirapatkan).


Imam Nawawi telah menukilkan hadith ini dalam kitabnya Riyadh al-Salihin. Beberapa pengarang semasa antaranya Dr. Mustafa Bugha dan rakan-rakannya mensyarahkan hadith ini berkata (Nuzhah al-Muttaqin, Jil.2, ms.130):

Sesungguhnya puasa sunat adalah digalakkan kerana ianya ketaatan yang Allah SWT dan Rasulnya menyukainya lebih-lebih lagi dalam bulan haram. Makruh berpuasa berterusan (siyam al-dahr iaitu puasa setahun selain hari raya) kepada sesiapa yang ditakuti mendapat mudarat, atau menyebabkan hak yang wajib atau sunat terabai sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim: "Tidak ada puasa bagi sesiapa yang berpuasa berterusan". Namun sesiapa yang tidak memudaratkan dia dengan berterusan puasa dan tidak menyebabkannya terabai menunaikan hak yang wajib atau sunat, tidak makruh bagi pihaknya, bahkan mustahab (digalakkan), dan yang paling afdhal berpuasa selang sehari.


Golongan yang menolak

Walaupun begitu, syarahan oleh para Imam dan pengarang semasa ditolak oleh pihak yang berlawanan kerana beberapa sebab, antaranya:

i. mereka menjadikan hadith umum sebagai dalil utama seolah-olah bertaraf qat'i: Setiap yang baru itu bid'ah, dan setiap yang bid'ah itu sesat! Sekiranya tidak ada galakan dari syarak, maka haram melakukannya dan boleh jatuh bid'ah dan sesat.

Imam Nawawi juga menukilkan hadith tersebut (hadith larangan bid'ah) dalam kitabnya Riyadh al-Salihin (ms. 88), tetapi tafsirannya bukan sebegitu. Justeru beliau masih boleh mengatakan: "Tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan)".


Imam Nawawi tidak pula mengatakan "Apabila tidak ada galakan, maka melakukannya adalah bid'ah dan sesat"!

Ini menunjukkan sebahagian besar juga ulama-ulama ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dahulu berpegang sekiranya tidak ada dalil yang khusus samada melarang atau menyuruh, perkara tersebut kembali kepada hukum asal ibadah tersebut. Dalam kes puasa rejab, andainya tiada dalil yang menggalakkannya dan melarangnya, ia kembali kepada dalil umum galakan berpuasa, dan dalil umum kelebihan meninggalkan kezaliman dan melakukan amalan taat di bulan-bulan haram.

ii. Perbezaan metodologi iaitu mereka mengatakan hadth-hadith dhaif tidak boleh digunakan untuk beramal, sedangkan sebahagian ulama yang lain membenarkan beramal dengan hadith-hadith dhaif yang ringan selama ianya tidak bertentangan dengan nas-nas yang qat'i dan nyata pada syara' serta tidak menyalahi kaedah-kaedah syarak. Justeru, kelebihan puasa Rajab tidak berlawanan dengan kelebihan bulan-bulan haram yang dinyatakan di awal perbincangan.

Kesimpulan:

Perbincangan ini membuat kesimpulan bahawa:

Saya berharap pembaca dapat berlapang dada menerima perbezaan pendapat dan membuang sifat taksub samada menerima atau menolak perbincangan ini. Perlu diingatkan bahawa persoalan 'menambah amalan dalam bulan rajab' dan persoalan puasa padanya adalah permasalahan furu' (cabang dalam agama). Ia tidak akan menjadikan seseorang yang menerima atau menolaknya menjadi sesat.

Penerangan oleh ulama-ulama muktabar jelas menunjukkan bahawa menganggap bulan Rejab sebagai bulan yang istimewa tidak ada cacat celanya berdasarkan al-Quran dan sunnah. Bahkan menganggap amalan-amalan yang dilakukan lebih besar pahalanya juga adalah bersesuaian dengan penafsiran ayat di atas dan bukanlah dari perbuatan bid'ah. Apabila Allah SWT meletakkan sebagai bulan istimewa, ia menunjukkan satu motivasi supaya umat Islam menambahkan amalan dalam bulan ini bersesuaian pahalanya dilipatkali gandakan.

Penafsiran bahawa bulan Rejab dan bulan-bulan haram mempunyai keistemewaan apabila meninggalkan kejahatan dan melakukan amal soleh adalah bertepatan dengan ayat-ayat di atas. Menjadi satu kegopohan apabila sesorang mengklasifikasikan pandangan yang masih dalam ruang lingkup ayat ini sebagai satu perbuatan sesat dan bid'ah. Ditakuti tuduhan sesat akan kembali kepada penuduhnya. Melakukan bid'ah melarang masyarakat menambah ibadah dan amalan kebaikan sama buruknya atau lebih buruk daripada mereka yang mereka-reka (bid'ah) ibadah.

Perbincangan ini juga menunjukkan bahawa tidaklah dilarang dan tidaklah disunatkan berpuasa Rejab (kerana bulannya), bahkan untuk puasa Rejab adalah sama hukum sunat dengan bulan-bulan yang lain. Tidak sabit juga larangan dan galakan untuknya secara sendirian. Sebaliknya asal hukum puasa ialah mandub (digalakkan). Manakala dalam Sunan Abi Daud, Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram dan Rejab adalah antaranya.

Pada saya, bersempena dengan kedatangan Ramadhan yang semakin hampir, kita merasakan bahawa barakah Ramadhan dan kemuliaannya, kita dimotivasikan untuk menambahkan amalan-amalan kita. Puasa secara khususnya merupakan amalan-amalan yang digalakkan. Meneruskan puasa sepanjang Rajab dan sya'ban, tidak memasukkan kita dalam golongan siyam al-dahr kerana siyam al-dahr yang dimakruhkan ialah mereka yang berterusan berpuasa selama setahun kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa sahaja. Walaupun begitu, mereka yang berpuasa kena memastikan bahawa mereka dapat menunaikan hak-hak yang wajib dan sunat yang mereka perlu penuhi.

Selain itu marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan lain seperti solat-solat sunat, sedekah dan sebagainya. Semoga kita dirahmati Allah. Bertuahlah saudara-saudari yang dapat menambah amalan bersempena dengan motivasi al-Quran berkaitan dengan kelebihan dan besarnya pahala di bulan-bulan haram, dan rasa syukur dekatnya kita dengan Ramadhan. Semoga penulisan ini mendapat saham apabila bertambahnya keyakinan saudara saudari untuk menambahkan amalan kita di bulan ini.

Wallahu a'lam.

Al-haqir ilallah,

Sumber : Asmadi MN

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum..

    Minta izin share artikel ini bersama sahabat2..

    BalasPadam
  2. Wa'alaikumussalam warahmatuLlah, dipersilakan ^_^

    BalasPadam