Halaman

Rabu, 29 Julai 2009

Apakah Maksud Ummiy Yang Disandarkan Kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam??



Saya telah diminta oleh seorang sahabat untuk memerhatikan perbahasan berkenaan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam digelar al-Ummiy yang diterangkan oleh Doktor Mashitah Ibrahim dan Ustaz Hj Ashaari Muhammad(Pengasas al-Arqam).

Setelah saya telitikan maksud perbahasan mereka berdua di dalam link [klik di sini], kesimpulan yang dapat saya berikan ialah kedua-duanya menunjukkan adab dan rasa ta’dzim yang tinggi pada Baginda sallallahu alaihi wasallam. Ini merupakan pujian yang patut diberikan kepada mereka berdua di dalam membahaskan perkara ini.

Sedikit kritikan saya terhadap jawapan yang diberikan oleh Ustaz Hj Ashaari Muhammad ialah berkenaan penafiannya terhadap maksud Ummiy itu ialah tidak pandai membaca dan menulis secara total. Seolah-olah beliau mengatakan bahawa orang yang berpandangan sedemikian menganggap bahawa baginda sallallahu alaihi wasallam sebagai seorang yang bodoh dan tidak pandai. Penafsiran Ustaz Hj Ashaari Muhammad tentang ummiy dengan mengatakan maksud sebenarnya ialah orang yang belajar dengan cara yang luar biasa, tidaklah menjadi masalah. Tetapi mempersalahkan dan melabelkan maksud ummiy seperti yang diterangkan oleh para ulama Islam adalah salah adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh beliau. Ini seolah-olah tidak meraikan khilaf yang baik dalam memberikan sesuatu pendapat.

Kita perlu memahami bahawa membandingkan Baginda sallallahu alaihi wasallam dengan manusia biasa maka sebenarnya satu perbandingan yang tidak tepat. Mana mungkin kita ingin menyamakan ketidakpandaian kita membaca dan menulis dengan sifat ummiy yang ada pada baginda sallallahu alaihi wasallam.

Ini yang dipegang oleh jumhur ulama Islam. Tiada seorang pun yang mengatakan bahawa sifat Ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam melambangkan kebodohan. Malah sepakat para ulama mengatakan sesiapa yang mengatakan sedemikian maka boleh dihukumkan kafir.

Sifat Ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah merupakan satu tanda kebesaran Allah taala kepada kekasihNya. Ini dapat mengelakkan daripada tohmahan bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam yang menulis al-Quran, atau menukilkan daripada kitab-kitab terdahulu seperti Taurat dan Injil. Firman Allah taala di dalam surah al-Ankabut ayat 48:

وَمَا كُنْتَ تَتْلُوا مِنْ قَبْلِهِ مِنْ كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ

Maksudnya: “Dan kamu (Muhammad) tidak pernah membaca satu kitab pun sebelumnya dan tidak pernah menulis satu kitab pun dengan tangan kananmu”


Firman Allah taala lagi di dalam surah al-A’raf ayat 157:


الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آَمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang mengikuti Rasul, seorang nabi yang ummi yang mereka temukan (namanya) tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka kepada yang maaruf dan melarang mereka dari yang mungkar, yang menghalalkan bagi mereka semua yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya, dan mengikuti cahaya yang diturunkan kepadanya. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.”


Ayat pertama yang kita sebutkan menjadi dalil bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam sebelum diturunkan wahyu merupakan seorang yang Ummiy iaitu tidak pandai menulis dan membaca.

Manakala ayat kedua menjadi dalil bahawa golongan ahlul kitab yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani mengenali Baginda sallallahu alaihi wasallam melalui sifat sebegini melalui kitab-kitab mereka. Maksudnya, jika benar nabi yang diutuskan selepas Saidina Musa dan Saidina Isa alaihimassalam bersifat sedemikian maka tiada alasan untuk mereka mengingkari Baginda sallallahu alaihi wasallam.

ADAKAH TERDAPAT PENDAPAT ULAMA YANG MENGATAKAN BAHAWA BAGINDA SALLALLAHU ALAIHI WASSALAM PANDAI MEMBACA DAN MENULIS SELEPAS DITURUNKAN WAHYU?

Menurut Syeikhuna Atiyyah Saqr rahimahullah dan Syeikhuna Murabbi Yusri Rusydi hafizahullah, terdapat sebahagian ulama yang berpendapat sedemikian. Antaranya ialah al-Imam Baaji al-Maliki rahimahullah. Tiga dalil yang digunakan oleh ulama-ulama yang berpendapat sedemikian ialah:

1. Baginda sallallahu alaihi wasallam memadamkan perkataan Muhammad Rasulullah kepada Muhammad bin Abdullah ketika peristiwa Sulh Hudaibiyah(perjanjian damai antara Kaum Muslimin dan Kafir Quraisy)tetapi tidak berupaya menulisnya. Ini disebutkan oleh al-Imam Bukhari di dalam Kitab Sahihnya.

2. Baginda sallallahu alaihi wasallam membacakan lembaran perjanjian yang termeterai tersebut kepada Uyainah bin Hisni dan menerangkan maksudnya.

3. Baginda sallallahu alaihi wasallam menerangkan tentang sifat Dajjal dengan menyebutkan bahawa di tulis di antara kedua matanya dengan perkataan KAFIR. Ini bermakna Baginda sallallahu alaihi wasallam pandai membaca perkataan tersebut.

Jumhur ulama menjawab semula dalil-dalil yang digunakan oleh para ulama yang berpendapat sedemikian dengan mengatakan bahawa :

1. Menurut Syeikh al-Allamah Muhammad Said Ramadhan al-Buti hafizahullah di dalam kitabnya Fiqh Sirah, Baginda sallallahu alaihi wasallam meminta Saidina Ali karramallahu wajhah untuk memadamkan perkataan Rasulullah. Tetapi Saidina Ali tidak mahu melakukannya. Al-Imam Muslim radhiyallahu anhu menerangkan lagi dengan jelas bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam meminta agar Saidina Ali menunjukkan dimanakah perkataan Rasulullah itu tertulis. Maka ditunjuk perkataan mulia itu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam dan Baginda memadamnya dengan tangannya yang mulia. Ini dalil yang jelas bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam tidak tahu membaca dan menulis.

2. Dalil kedua yang digunakan oleh mereka adalah daripada hadis yang tidak Sahih. Maka Hadis yang Dhoif tidaklah boleh untuk menafikan hadis yang Sahih yang bertentangan dengannya.

3. Dalil ketiga yang digunakan oleh mereka dijawab oleh para ulama jumhur dengan mengatakan bahawa pengetahuan Baginda sallallahu alaihi wasallam terhadap sebahagian huruf tidaklah menafikan bahawa Baginda tetap ummiy.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN UMMIY?

Menurut Profesor Dr Abdul Shobur Marzuq, perkataan ummiy di sini kemungkinan disandarkan kepada perkataan الأمية yang bermaksud tidak pandai membaca dan menulis. Mungkin juga ianya disandarkan kepada perkataan الأممية . Berdasarkan istilah yang digunakan oleh golongan Yahudi laknatullah, perkataan الأممية dilabelkan kepada sesiapa yang bukan daripada bangsa mereka.

Jika perkataan Ummiy disandarkan kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam di ambil daripada salah satu atau kedua-duanya maka tetap tidak menjadi suatu keaiban kepada baginda sallallahu alaihi wasallam dengan hikmah yang telah kita terangkan sebelum ini. Al-Imam Fakhruddin al-Razi rahimahullah menerangkan di dalam Tafsirnya bahawa sifat ummiy yang ada pada baginda sallallahu alaihi wasallam ini merupakan mukjizat yang sangat besar kerana Baginda sallallahu alaihi wasallam mengajarkan kepada para sahabat ayat al-Quran secara berkali-kali tanpa berlakunya perubahan walaupun satu huruf. Ini merupakan perkara yang luar biasa. Jika seseorang tersebut membacakan sesuatu dihadapan pendengar secara berkali-kali, maka tentulah akan berlaku sedikit perubahan. Ini berbeza dengan al-Quran yang dibacakan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam. Walaupun dibacakan dan diajarkan berkali-kali, tetap tidak berlaku berubahan walaupun satu huruf padanya.

Menurut al-Imam Qurtubi, Ibn Hajar al-Asqallani, Abu Hayyan, Ibn Atiyyah, al-Alusi dan lain-lain ulama rahimahumullah perkataan Ummiy tersebut disandarkan kepada Ummah Ummiyah yang bermaksud Kaum yang tidak pandai membaca dan menulis. Ini disebutkan oleh baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadisnya yang mulia:

إنا أمة أمية لا نكتب و لا نحسب

Maksudnya: Sesungguhnya kami berasal daripada kaum yang Ummiy yang tidak pandai menulis dan tidak pandai melakukan pengiraan bintang (untuk menilik).


(hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasa’ie dan Ahmad bin Hambal rahimahumullah)

Ramai yang salah menterjemahkan perkataan لا نحسُب dengan memberikan maksud tidak pandai ilmu kira-kira (ilmu hisab). Ini jelas bertentangan dengan pendapat para ulama Muhaqqiqin. Al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani dan al-Imam Manawi rahimahumallah menerangkan bahawa maksud sebenar perkataan itu ialah tidak pandai melakukan perkiraan bintang.

Al-Nuhhas rahimahullah mengatakan bahawa perkataan Ummiy tersebut disandarkan kepada Ummul Qura iaitu Makkah tempat baginda sallallahu alaihi wasallam.

Terdapat juga para ulama yang mengatakan bahawa perkataan Ummiy ini disandarkan kepada Ummi(ibu) yang membawa maksud disandarkan kepada keadaan Baginda yang tidak pandai membaca dan menulis seolah-olah seperti baru dilahirkan oleh Ibunya yang mulia.

KESIMPULAN

Kesimpulan yang dapat saya berikan, sifat Ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam tidaklah menjadi suatu keaiban pada Baginda kerana ianya merupakan satu mukjizat dan bukti bahawa Baginda sallallahu alaihi wasallam adalah benar-benar utusan Allah taala.

Sesiapa yang mengatakan ummiy yang ada pada Baginda sallallahu alaihi wasallam itu merupakan satu kebodohan, jika yang mengatakan itu seoarang yang jahil maka perlulah ditunjuk jalan yang benar. Jika yang mengatakan perkara tersebut seorang yang mengetahui bahaya perkataannya, maka jelaslah bahawa dia telah jatuh kafir.

Kritikan saya terhadap perkataan Ustaz Hj Ashaari Muhammad bukanlah bermaksud saya menafikan seratus peratus pendapatnya. Sikap taasub membuta tuli dan tidak boleh menerima pendapat orang lain bukanlah prinsip yang kita pelajari daripada para ulama kita di al-Azhar al-Syarif. Kebenaran itu lebih berhak diikuti. Wallahu a’lam.

Rujukan:

1. Tafsir al-Qurtubi jilid 9 cetakan Muassasah Risalah.

2. Tafsir Ruhul Ma’ani oleh al-Imam Alusi rahimahullah jilid 9 cetakan Darul Ihya’ Turaths al-Arabi


3. Tafsir Bahrul Muhith oleh al-Imam Abu Hayyan al-Andalusi rahimahullah jilid 4 cetakan Darul Kutub Ilmiyah.

4. Tafsir Mafatihul al-Ghaib oleh al-Imam Fakhruddin al-Razi rahimahullah jilid 15 cetakan Darul Fikr Beirut

5. Tafsir Muharrar al-Wajiz oleh al-Imam Ibn Atiyyah rahimahullah jilid 2 cetakan Darul Kutub Ilmiyah

6. Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqallani jilid 3 cetakan Maktabah Abikan

7. Faidhul Qadir Syarah al-Jami’ al-Shagir oleh al-Imam Manawi jilid 2 cetakan Darul Kutub Ilmiyah

8. Fiqh Sirah al-Nabawiyah oleh Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti hafizahullah cetakan Darul Salam Kaherah

9. Haqa’iq al-Islam fi Muwajahah Shubuhat al-Musyakkikin cetakan kedua di bawah seliaan Kementerian Keagamaan Mesir.

10. Fatawa Ahsanul Kalam oleh Syeikhuna Al-Allamah Atiyyah Saqr rahimahullah jilid 1 cetakan Maktabah Taufiqiyah.

MOHD NAZRUL ABD NASIR ,
RUMAH KEDAH HAYYU 10,
KAHERAH, MESIR

Sumber : Ustaz Nazrul Nasir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan