Halaman

Isnin, 22 Jun 2009

Perbincangan Tentang Hadith Dhoief Bab 3 (Akhir)

Ulama Sufi dan Hadith Dhoief

Mudah-mudahan para saudara kita di kalangan penulis dan pembimbing selepas ini mengambil sikap warak (berhati-hati) daripada menghamburkan pandangan secara pukul rata sehingga sampai menganggap palsu terhadap hadith-hadith dhoief. Seolah-olahnya hadith dhoief itu tidak boleh diambil manfaat, tidak perlu dihormati dan tidak boleh dinukilkan dan tidak boleh langsung berjinak-jinak dengan lafaz dan pengertiannya.

Kemungkaran yang paling teruk ialah apabila kemelut yang dihadapi oleh saudara-saudara kita ini tidak berkurangan sampaikan mereka sanggup mempertikaikan orang-orang Sufi hanya kerana berpegang kepada hadith dhoief, walaupun dalam hal-hal yang disepakati oleh para ulama hadith timur dan barat bahawa hadith dhoief sunat diamalkan. Di kalangan ulama-ulama sufi tidak kurang ramainya mereka yang terdiri dari kalangan ulama besar dalam bidang hadith.

Ibn Abdul Barr berkata :
Hadith-hadith yang berkaitan dengan fadhilat-fadhilat, maka kami tidak perlukan orang yang layak untuk dijadikan hujjah.


Ibn Mahdi menyebutkan dalam kitab al Madkhal :

Apabila kami meriwayatkan daripada Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam tentang halal haram dan hukum-hakam, maka kami akan memperketatkan sanad-sanadnya dan kami akan membuat kritikan (pemeriksaan) terhadap rijalnya (nama-nama perawi yang terdapat dalam sanad). Tetapi apabila kami meriwayatkan hal-hal yang berkaitan fadhilat, ganjaran pahala dan seksa, maka kami mempermudahkan sanad-sanadnya dan kami ebrtolak ansur dengan rijalnya.


Imam al Ramli menyebutkan :

Hadith-hadith yang terlalu dhoief (iaitu hadith yang dinamakan al wahiah) apabila sebahagiannya bergabung dengan sebahagian yang lain, maka ia boleh dijadikan hujjah dalam bab ini (iaitu bab fadhilat, perkara yang menambat hati, nasihat, ketatasusilaan, sejarah dan seumpamanya).
Berdasarkan inilah maka al Mundziri dan para pentahqiq yang lain mengumpulkan hadith-hadith terbabit dalam kitab al Targhib wa al Tarhib (menggemar dan membimbangkan).

Pendekatan yang diambil oleh golongan terdahulu yang membuat pengkhususan dalam bidang hadith ini samalah dengan pendekatan yang diambil oleh sesetengah fuqaha' dan ulama tasawuuf. Dan dengan pendekatan inilah kami berpegang. Dalam matan hadith dhoeif kita banyak menemui hukum-hakam, ilmu pengetahuan, perkara yang menambat hati, dan adab yang kesemuanya ada kaitan dengan wahyu kenabian. Ilmu pengetehuan itu adalah barang orang Mukmin yang hilang.

Inilah pendekatan yang diambil oleh ulama terdahulu seperti at Thauri, Ibn Uyainah, Ibn Hanbal, Ibn al Mubarak, Ibn Mahdi, Ibn Mu'in dan al Nawawi. Ibn 'Adiy meletakkan satu bab berkaitan hal ini (penerimaan hadith dhoief) dalam kitabnya yang berjudul al Kamil. Begitu juga yang dilakukan oleh al Khatib dalam kitab al Kifayah.

Pada masa kini kita dapat melihat (amat mendukacitakan) ada golongan yang menolak hadith-hadith al Bukhari kerana tidak sejajar dengan kefahaman yang dipeganginya, dan tidak bersesuaian dengan kecenderungan atas nama menolong sunnah.

Malah ada orang yang menulis buku berkaitan hal ini sedangkan dia bukan orang yang berkelayakan. Ada puluhan musuh-musuh Islam yang membantunya untuk mencetak buku berkenaan dan mengagihkan secara percuma di merata-rata tempat walau pun menelan kos yang besar yang didorong oleh kepentingan mendapatkan keuntungan material dan niat yang buruk.

Kalau tidak dengan rahmat ALlah, dan langkah-langkah yang diambil oleh Majalah Muslim (iaitu majalah yang diasaskan oleh penulis) dan sesetengah ulama hadith (untuk menangkis usaha tersebut), nescaya akan menyebabkan timbul keraguan terhadap semua hadith yang diriwayatkan oleh al Bukhari, apatah lagi riwayat oleh imam-imam hadith yang lain.

Tentunya (jika tidak ada usaha yang diambil oleh sesetengah ulama dalam menangkis golongan terbabit) maka sunnah Nabi yang telah sabit secara ilmiyah terdedah kepada fitnah (semoga ALlah melindunginya) yang ditimbulkan oleh golongan yang mendakwa sebagai penegak sunnah, kononnya mereka yang lebih mengetahui daripada orang lain tentang ilmu sunnah.

Al Nasa'ie telah mengeluarkan nama-nama perawi yang ditidak diketepikan begitu sahaja, iaitu nama perawi yang sesuatu hadith itu hanya bersumberkan daripadanya, asalkan jangan dia dikenal pasti sebagai seorang pembohong.

Apa yang berlaku kepada kami (iaitu hadith-hadith yang diamalkan oleh kami) yang diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar sufi tidak terdapat di dalam sanadnya perawi yang pembohong. Cukuplah ini sebagai dalil keharusan beramal dengan hadith yang dhoief pada tempatnya. Dan inilah pendirian yang diambil oleh ulama-ulama tasawwuf.

Kami memohon keampunan kepada ALlah dan bertaubat kepadaNya. Dialah jua yang memberikan taufiq dan tempat untuk meminta pertolongan.

Sumber : As Shiekh al Hafiz Abu al Fadl AbduLlah al Siddiq al Ghumari, Makna Sebenar Bid'ah Satu Penjelasan Rapi, Cetakan 2007, Middle East Global (M) Sdn. Bhd, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan