Halaman

Khamis, 21 Mei 2009

Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat) ? Bab 10

*Sila memulakan pembacaan dari Bab 1 hingga bab yang terkini, klik : Siapakah Firqatun Najiah (Golongan Yang Selamat)

3. Pada halaman 65, penulis kitab itu telah mendustakan ALlah dan RasulNya kerana menyatakan bahawa kaum Muslimin akan ditanya di dalam kuburnya tentang kenapa mereka itu mengikuti mazhab yang empat. Selengkapnya dia berkata :
"Saya bertanya kepadamu - Demi ALlah yang Maha Agung - wahai Muslim yang berakal lagi insaf : "Sesungguhnya manusia itu jika mati nanti apakah dia akan ditanya di dalam kubur atau pada hari perhitungan kerana dia tidak bermazhab dengan mazhab si fulan? Atau kerana dia tidak memasuki tarekat si fulan? Demi ALlah sesungguhnya engkau sama sekali tidak akan ditanya tentang yang demikian itu bahkan engkau akan ditanya kenapa engkau berpegang dengan mazhab si fulan ..? Atau kenapa engkau menempuh tarekat si fulan ? Kerana yang seperti ini, sudah tidak diragukan lagi termasuk menjadikan para imam dan pendeta sebagai Tuhan yang selain ALlah dan juga kerana mazhab-mazhab yang tertentu ini dan tarekat-tarekat yang sudah mahsyur itu termasuk bid'ah dalam agama sedangkan tiap-tiap bid'ah adalah sesat".
Maka perhatikanlah wahai saudaraku para pambaca yang budiman, bagaimana penulis kitab itu mengkafirkan para pengikut mazhab yang empat dengan pengkafiran yang betul-betul terang dan jelas laksana terangnya matahari di siang hari, kerana dia menganggap para pengikut mazhab yang empat itu "termasuk di antara orang-orang yang menjadikan para imam mereka sebagai Tuhan selain ALlah" dan siapa yang melakukan demikian maka dia tergolong KAFIR.

4. Pada halaman 71, penulis kitab itu berkata :
"Hal yang aneh dari para muqallid mazhab -mazhab bid'ah yang sudah mahsyur itu dan dari orang-orang yang fanatik terhadapnya adalah adanya seseorang di antara mereka yang selalu mengikut apapun yang dinisbahkan kepada mazhabnya walaupun jauh dari dalil dan beri'tiqad seakan-akan imam mazhabnya itu adalah nabi yang diutus. Ini adalah sesuatu yang jauh dari kebenaran."
5. Pada halaman 79 dia (Sheikh Khajandi) berkata lagi :
"Apabila anda betul-betul mendalami masalah ini maka nampaklah bagi anda bahawa mazhab-mazhab tersebut sengaja dihiasi dan disebarluaskan oleh para musuh Islam untuk mencerai-beraikan kaum Muslimin dan mengoyak persatuan di antara mereka atau sengaja dilahirkan oleh orang-orang bodoh kerana hendak menyerupai orang-orang Yahudi dan Nasrani".


6. Di halaman 89, Sheikh Khajandi menyerupakan para pengikut Mazhab yang empat mulai dari kalangan hakim sampai kepada orang-orang yang dihakimi, dari kalangan ulama hinggalah orang-orang awam dengan keldai! (himar).

Selengkapnya dia berkata :
"Para muqallid yang jumud itu telah menjadikan pemahaman imamnya sebagai agama dan mazhab. Seandainya anda mengemukakan pada mereka seribu dalil dari al Quran mahupun Hadith tidaklah mereka akan memperhatikan bahkan mereka akan berlari sekencang-kencangnya bagaikan keldai liar yang berlari ketakutan kerana melihat singa."

7. Di halaman 98, penulis kitab itu berkata
" Sesungguhnya kelompok taqlid itu telah menyalahi perintah ALlah dan RasulNya. Juga menyalahi petunjuk para sahabat Nabi dan hal ehwal imam-imam mereka. Mereka telah menempuh jalan yang berlawanan dengan jalan para ahli ilmu. Orang-orang khalaf itu telah bertentangan dengan ulama salaf serta membolak-balikkan tujuan agama. Mereka tidak segan memalsukan KitabuLlah dan Sunnah RasulNya serta perkataan para Khulafa' ar Rasyidin dan para sahabat yang lainnya."

Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali menyatakan - ini jelas merupakan tuduhan dan pengkafiran kepada para pengikut mazhab. Mereka dituduh memalsukan KitabuLlah dan Sunnah RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam.

8. Di halaman 102, penulis kitab itu berkata :
"Akan tetapi para pemuka taqlid itu telah membuat satu jurang di antara kaum Muslimin dengan KitabuLlah kerana mereka menyangka bahawa para Imam yang boleh dijadiktan ikutan telah punah".


9. Sheikh Khajandi berkata pada halaman yang sama :
"Kemudian datang para ulama yang bertaqlid dan mereka menjadikan ucapan mufti terhadap orang awam memiliki kedudukan laksana dalil. Kemudian datang lagi generasi berikutnya yang lebih tenggelam di lautan taqlid. Mereka melarang orang-orang mengambil hukum apapun dari Al Quran dan Sunnah dan menganggap siapapun yang ebrusaha memahami al Quran dan Sunnah serta mengamalkan keduanya sebagai orang yang sesat. Ini adalah puncak pembangkangan dan kerugian serta musuh agama. Ulama-ulama seperti ini telah memiliki banyak pengikut sehingga jadilah mereka semua sekutu-sekutu selain ALlah dan sebahagian mereka akan berlepas diri dari sebahagian yang lain sebagaimana dikhabarkan oleh ALlah subahanahu wa ta'ala.

Sesungguhnya penulis kitab ini telah melakukan pembohongan kepada para Imam, kerana mereka tidak pernah melarang siapapun untuk memahami Al Quran dan Sunnah atau mengambil hukum dari keduanya. Asalkan orang tersebut memang memiliki keahlian untuk melakukannya. Larangan mereka hanyalah ditujukan kepada orang-orang jahil yang sama-sama tidak memiliki ilmu dan keahlian.

10. Di halaman 105, penulis kitab itu berkata :
"Maka taqlid terhadap mazhab itu telah menjadi penyakit yang kronik dan bencana besar yang melanda alam ini."

11. Di halaman 106, penulis kitab itu berkata :
"Wahai hamba-hamba ALlah! Wahai para pengikut Muhammad bin AbduLlah! Kenapa kamu meninggalkan Quran dan Sunnah lalu berpaling ke orang-orang sepertimu dalam hal peribadatan kepada ALlah. Kamu telah melakukan amalan dengan menggunakan pendapat-pendapat mereka yang tidak didasarkan dengan kebenaran dan tidak pula didukung dengan dasar agama serta dalil-dalil dari al Quran dan Sunnah. Dengan suara tinggi dan lantang kamu menyerukan sesuatu yang bersalahan serta bertentangan dengan kebenaran."

Saya berkata : Ini adalah pembohongan yang nyata dan penuduhan yang besar. Sesungguhnya mereka yang bertaqlid itu tidak pernah meninggalkan Quran dan Sunnah lalu mengikuti pendapat para Imam. Yang mereka lakukan adalah mengikut al Quran dan Sunnah dengan pemahaman pada Imam. Perbezaan di antara dua perkara ini sudah sangat jelas dengan pertanyaan : "Apakah kita diperintahkan mengikuti al Quran dan Sunnah ataupun mengikuti mazhab-mazhab yag empat" tidak perlu diajukan. Kerana kalau pertanyaan ini diajukan maka sama sahaja penuduhan yang pedas terhadap para imam mazhab yang empat bahawa mereka telah meninggalkan al Quran dan Sunnah atau berdalil dengan pendapat mereka sendiri. Ini jelas sesuatu yang sangat merbahaya.

Pertanyaan yang semestinya diajukan adalah : "Apakah kita diperintahkan untuk mengikuti Quran dan Sunnah dengan pemahaman kita atau dengan pemahaman orang yang lebih alim dari kita?" Jawabnya - tentulah mengikuti ahli feqh dan orang-orang yang mendalam ilmunya tentang al Quran dan Sunnah adalah lebih utama berbanding mengikut fahaman sendiri yang cetek. Dan tentunya tidak diragukan lagi bahawa Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah adalah orang-orang yang lebih alim tentang al Quran dan Sunnah berbanding dengan kita. Dan merekalah yang lebih utama untuk diikuti ijtihad dan pemahamannya berbanding yang lain.

Pemahaman tentang mazhab-mazhab yang berbeza dengan apa yang saya paparkan ini adalah pemahaman yang sakit dann menyimpang serta keluar dari al Jama'ah dan dari as Sawadul al A'zham.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan