Halaman

Isnin, 18 Mei 2009

Perbincangan Tentang Hadith Dhoief - Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim Bab 1

Pendahuluan

Antara perkara bid'ah yang agak buruk yang sering terhambur melalui kata-kata mereka yang terlalu ghairah mendakwa sebagai pejuang sunnah, tauhid dan tajdid ialah keterlaluan dalam mempertikaikan hadith dhoief sehingga menimbulkan tanggapan bahawa hadith dhoief adalah hadith batil dan dusta. Mereka menganggap hadith dhoief sebagai perkara yang keji dan fasik.

Disiplin ilmu sebenarnya bukan begitu. Ini kerana hadith dhoief ada ruang dan peranannya yang diterima dari sudut syarak. Meletakkan hadith dhoief bagaikan seperti hadith maudhu' (palsu) termasuk dalam ertikata kezaliman terhadap ilmu dan agama. Ini kerana hadith dhoief ialah hadith yang tidak memenuhi dengan lengkap syarat-syarat hadith sahih. Dengan kata lain, ada kesahihan dalam hadith tersebut akan tetapi ia tidak sempurna. Oleh kerana itulah para ulama memasukkannya dalam senarai hadith yang maqbul (diterima), bukannya hadith yang ditolak dalam segenap segi. Lantaran itu sesetengah ulama menggalakkan beramal dengan hadith dhoief pada tempatnya.

Saya tahu kenyataan ini tidak disenangi oleh sesetengah orang. Namun mencari redha ALlah lebih berkewajipan walaupun tidak disenangi oleh orang ramai.

Kitab-kitab yang memuatkan hadith sahih amat banyak. Hadith-hadith sahih bukanlah semata-mata hadith yang dikumpulan oleh Imam al Bukhari atau Imam Muslim sahaja.

Saya tidak menemui adanya nas dalam agama ALlah atau pun isyarat menunjukkan pembatasan hadith sahih terhadap kedua-dua kitab ini sahaja. Membataskan penerimaan hadith setakat kedua-dua kitab ini sahaja merupakan satu bentuk kefanatikan dan keraguan terhadap ilmu tanpa berdasarkan ilmu pengetahuan.

Dalam kitab Huda al Abrar 'Ala Tal'ati al Anwar dan kitab Idha'ah al Halik yang ditulis oleh Imam Ibn al Hajj al 'Alawi, kitab al Jami' oleh Safiyuddin al Hindi dan kitab al Minhal al Latif serta kitab-kitab lainnya ada menyebutkan: Kitab-kitab yang mana kesemua hadith yang termuat di dalamnya dinisbahkan sebagai hadith sahih menurut kesepakatan jumhur ahli hadith ialah :

1. Sahih Al Bukhari
2. Sahih Muslim
3. Al Muwatta' oleh Imam Malik
4. Al Muntaqa oleh Ibn al Jarun
5. Sahih Ibn Khuzaimah
6. Sahih Ibn 'Awwanah
7. Sahih Ibn al Sakan
8. Sahih Ibn Hibban
9. Al Mustadrak al Hakim (setelah dibuat pengesahan melalui hafalan semula oleh al Dzahabi dan al Iraqi). Sebahagian mereka turut memasukkan Musnad Ahmad.
10. Kitab al Mustakhrajat yang sedia dimaklumi di kalangan ulama.

Kesemua kitab ini yang sedia dimaklumi di kalangan ulama hanya memuatkan hadith yang sahih. Selain daripada kitab-kitab ini, terdapat hadith yang sahih, hasan dan dhoief.

Menurut kaedah (ahli hadith) dalam menisbahkan sesuatu hadith kepada perawinya tidak boleh didahulukan nama lain selain al Bukhari (jika hadith terbabit ada diriwayatkan oleh al Bukhari). Jika hadith tersebut ada dimuatkan dalam al Bukhari dan Muslim, mereka turut menyebutkan nama Muslim disebabkan ketelitiannya dalam menyaring lafaz yang benar-benar diucapkan oleh Nabi.

Oleh itu, pandangan yang memestikan berpegang dengan hadith yang terdapat dalam sahih Bukhari dan Muslim semata-mata dengan anggapan hanya kedua-dua kitab ini sahaja yang memuatkan hadith yang sahih, bukannya pandangan yang bersandarkan ilmu atau agama.

Pembahagian Hadith

Ahli hadith bersepakat bahawa ada tiga pembahagian hadith yang paling penting iaitu:

1. Hadith Sahih : Berada pada kedudukan teratas.
2. Hadith Hasan : Berada di kedudukan pertengahan.
3. Hadith Dhoief : Berada pada kedudukan paling bawah kerana ia tidak mencukupi syarat-syarat hadith hasan.

Adapun hadith maudhu' (palsu) maka ia terkeluar daripada skop yang kita bincangkan, kerena ia adalah suatu kekejian. Ia tidak boleh diterima dengan kesepakatan semua ulama.

Hadith Dhoief Terbahagi Kepada Dua :

Pertama

Kedhoiefan boleh ditampung (diperkuatkan) apabila terdapat hadith dhoief yang sama tetapi melalui jalan-jalan periwayatan yang lain. Syaratnya perawi yang dhoief itu lemah dari sudut daya hafalannya, atau kedhoiefan disebabkan periwayatan secara mursal (iaitu tidak disebutkan nama sahabat Nabi dalam rangkaian sanad).

Dalam hal ini, apabila terdapat hadith yang sama kandungannya melalui jalan-jalan periwayatan yang lain, maka hadith tersebut naik martabatnya kepada hadith hasan lighairih (iaitu bertaraf hasan disebabkan adanya riwayat yang lain). Oleh itu, ia termasuk dalam senarai hadith maqbul (diterima) dan boleh dibuat hujah sehinggakan dalam soal hukum-hakam.

Kedua

Kedhoiefannya tidak boleh ditampung, walaupun terdapat banyak jalan periwayatannya. Ia dinamakan sebagai al-wahi (sangat lemah). Hal ini berlaku sekiranya perawi itu ternyata seorang yang fasik atau dituduh berbohong.

Para ulama mengatakan :

Hadith yang seperti ini, jika diperkukuhkan dengan bukti-bukti dan riwayat-riwayat yang lain, maka tarafnya naik melebihi daripada taraf hadith munkar atau hadith yang tidak ada asalnya. Pada ketika itu ia tidak boleh diamalkan dalam hal-hal aqidah dan hukum-hakam. Sesetengah ulama mengatakan ia juga tidak boleh dijadikan rujukan untuk penafsiran al Quran.

Dengan itu, menerima pakai hadith dhoief dalam segala jenis amalan yang berbentuk menggemar dan menakutkan, dalam soal adab, sejarah, ketatasusilaan, kisah tauladan dan seumpamanya adalah dibolehkan.

Perkara ini telah disepakati (ijma') oleh para ulama seperti yang dinukilkan oleh Imam al Nawawi, Ibn Abdul Barr dan selain mereka. Malah Imam An Nawawi menukilkan pandangan ulama bahawa dalam hal-hal tersebut disunatkan beramal dengan hadith dhoief. (Perkara yang sunat termasuk dalam himpunan Usuluddin dan hukum hakam syarak).

Kami mengatakan :

Penerimaan hadith dhoief dalam perkara-perkara terbabit bersyaratkan jangan terlalu kuat kedhoiefannya. Ia hendaklah dijadikan sebagai asas yang termasuk dalam kaedah syarak yang menyeluruh, dan jangan pula hadith tersebut bercanggah dengan hadith yang sahih. Ini merupakan pandangan Ibn Hajar, al Sakhawi dan selainnya.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum;

    Alhamdulillah ! Jazakumullah khairan al-jaza' kerana perkongsian ini.

    BalasPadam