Halaman

Selasa, 5 Mei 2009

Hukum Penggunaan Air Yang Dikitar Semula - NEWater

1. Air adalah keperluan asasi yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Pelbagai usaha juga sedang dijalankan bagi mencari alternatif sumber air semulajadi. Antaranya adalah dengan mengitar semula air terpakai melalui proses penyulingan

2. Mungkin timbul pertanyaan dan persoalan dari sesetengah masyarakat Islam mengenai kesucian air sulingan ini.

3. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) air sulingan ini terjamin bersih dan selamat diminum.

4. Isu sulingan air ini telah pun dibincangkan oleh Ulama masakini termasuk Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura. Untuk pengetahuan, secara dasarnya isu ini bukan merupakan perkara baru dari sudut Fiqh Islam.

5. Dari segi Fiqh, air terpakai hari ini boleh dikategorikan kepada air Musta’mal (sudah digunakan) atau air mutanajjis (bernajis). Air Musta’mal membawa sifat suci tetapi tidak menyucikan. Manakala air mutanajjis tidak membawa sifat suci dan menyucikan.

Untuk menjadikan air mutanajjis suci lagi menyucikan, maka proses perubahan “التغير” (At-taghayyur) dipakai guna oleh Ulama bagi menghilangkan najis dan mengekalkan semula sifat asal air yang suci lagi menyucikan. Proses perubahan ini dapat dilakukan dengan tiga cara:
i. Perubahan dengan secara sendiri (semulajadi) iaitu dengan perubahan zaman, matahari atau tiupan angin.
ii. Perubahan dengan ditambah air ke atasnya.
iii. Perubahan dengan dikeluarkan najis tersebut daripada air.

6. Perubahan-perubahan tersebut akan mengembalikan ciri-ciri kesucian sekiranya baki air setelah melalui proses perubahan tersebut adalah dua kolah (lebih kurang 270 liter) atau lebih. Seperti air mutanajjis (bernajis) yang boleh disucikan dengan cara-cara di atas, proses yang sama juga boleh mengembalikan ciri-ciri kesucian air musta’mal.

7. Dengan menjangkakan keperihatinan masyarakat Islam terhadap isu ini, maka pertanyaan serupa mengenai proses pensulingan air ini diajukan kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura yang telah memfatwakan pada 22 Mei 2001 bahawa air yang telah diproses secara pensulingan dikira air suci lagi menyucikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab Al-Majmuk jilid 1 muka surat 132 dalam mensyarahkan kitab Al-Muhazzab oleh Imam As-Syirazi.
Ertinya :
“ Jika hendak dibersihkan air yang najis hendaklah dilihat (keadaannya), sekiranya kenajisan air tersebut kerana berlakunya perubahan (warna, bau atau rasa) dan ianya melebihi dua kolah, maka ianya dikira suci disebabkan perubahan itu hilang dengan sendirinya atau disebabkan dengan ditambah air kepadanya atau diambil sebahagiannya, kerana kenajisan itu disebabkan perubahan (warna, bau atau rasa), sedangkan perubahan pula berlakunya tersebut sudah tiada”

8. Oleh itu, rancangan Pemerintah di mana air yang telah diproses itu akan dicampurkan terlebih dahulu di dalam kolam air sebelum kegunaan awam adalah bertetapan dengan hukum Fiqh. Dan air yang akan digunakan itu adalah suci.


Negara asal : Singapore

Badan yang mengisu fatwa : majlis ugama islam singapore

Tiada ulasan:

Catat Ulasan