Halaman

Ahad, 19 April 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab Akhir

Ringkasan Kesimpulan Menyeluruh

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini bahawasanya, hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan banyak jalan dengan pelbagai lafaz yang berbeza-beza. Ia mengundang kepada suatu petunjuk bahawasanya lafaz hadith tersebut adalah kembali kepada pengaruh atau olahan perawi-perawi hadith dalam menyampaikan maksud tentang situasi tersebut.

Latar belakang keilmuan seseorang perawi turut mempengaruhi olahan lafaz tersebut. Adapun lafaz aina Allah yang datang daripada riwayat Mu'awiyyah bin Al-Hakam dari satu riwayat (iaitu riwayat Imam Muslim) mengundang pelbagai persoalan kerana ianya bercanggah dengan lafaz hadith yang sama dengan jalan sanad riwayat yang lebih banyak dan kuat.

Sehinggakan, sebahagian ulama' meletakkan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz aina Allah tersebut sebagai tafarrud (terasing) dan syaz (terasing lagi menyalahi riwayat yang lebih banyak dan kuat) yang tidak boleh dibuat berhujah dengan lafaz aina Allah tersebut. Ini kerana, dalam perbandingan dari sudut sanad sahaja, hadith Al-Jariyyah riwayat Imam Muslim ini, walaupun tidak mencemarkan kesahihan sanadnya, namun tetap marjuh (lemah matanya berbanding riwayat-riwayat lain yang lebih kuat). Bahkan, sebahagian ulama' hadith menilainya sebagai mudthorib (yang menyalahi yang lebih kuat) dari sudut matan.

Dari suatu sudut yang lain, kajian secara perbandingan dari sudut matan juga didapati, lafaz aina Allah juga adalah marjuh berbanding lafaz pertanyaan tentang kalimah syahadah yang terkandung dalam riwayat yang lebih kuat dan banyak.

Ini jika dibandingkan dengan nas-nas daripada hadith-hadith yang lain yang mencapai darjat mutawatir untuk menilai keislaman seseorang adalah melalui pertanyaan kalimah syahadah. Malah, pertanyaan aina Allah itu sendiri tidak membawa kepada pertanyaan tentang tauhid kerana pegangan orang-orang musyrikin pada ketika itu adalah Allah di langit. Jadi, pertanyaan aina Allah tidak membawa kepada penilaian terhadap tauhid.

Oleh yang demikian, lafaz pertanyaan kalimah syahadah sebenarnya adalah lebih kuat berbanding lafaz aina Allah berdasarkan kajian terperinci dari sudut kehendak usul Islam itu sendiri. Jumhur ulama' menguatkan riwayat kalimah syahadah dan sebahagian yang lain menguatkan pendapat bahawasanya hadith ini diriwayatkan dengan makna oleh perawi kerana hamba perempuan tersebut seorang yang bisu.

Hadith Al-Jariyyah ini juga dengan lafaz aina Allah merupakan hadith ahaad yang tidak boleh dijadikan dalil dalam masalah aqidah tambahan pula kerana ianya bertentangan dengan prinsip asas penilaian keislaman seseorang yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai hadith yang mutawatir.

Pun begitu, ramai ulama' cuba membahaskan hadith Al-Jariyyah ini dengan lafaz yang diriwayatkan oleh Imam Muslim secara majazi dengan mengembalikan hadith Al-Jariyyah dengan pertanyaan aina Allah kepada nas-nas mutasyabihat. Hal ini diakui sendiri oleh Imam An-Nawawi r.a. dalam syarah beliau.

Malah, ramai juga dari kalangan ulama' hadith yang mensyarahkan makna lafaz aina Allah dan fi as-sama' dalam hadith Al-Jariyyah riwayat Imam Muslim ini dengan syarah dan ulasan yang menepati aqidah murni Islam iaitu dengan menta'wilkannya daripada makna zahirnya yang membawa kepada menisbahkan tempat bagi Allah s.w.t. yang dipegang oleh golongan mujassimah.

Dalam kajian yang lebih mendalam juga, berbezanya lafaz-lafaz hadith tersebut mengundang kepada kedudukan hadith itu sebagai zhonni (mempunyai ruang yang tidak meyakinkan) yang secara jelas tidak boleh dijadikan hujah dalam masalah aqidah, apatah lagi cuba menetapkan aqidah berdasarkan lafaz yang marjuh (iaitu aina Allah).

Malah, Imam Muslim sahaja tidak meriwayatkan hadith tersebut dalam bab iman atau aqidah, sebaliknya dalam bab diharamkan berkata-kata di dalam solat. Hal ini jelas menunjukkan bahawasanya, Imam Muslim sendiri tidak bermaksud menjadikan hadith tersebut sebagai dalil dalam masalah aqidah.

Lebih kuat lagi adalah, Imam Al-Baihaqi menjelaskan bahawasanya dalam naskhah sahih Muslim yang beliau miliki, tidak mengandungi kisah Al-Jariyyah tersebut sebagaimana yang telah dibahaskan sebelum ini. Malah, Imam Al-Bukhari juga tidak meriwayatkan hadith ini dalam kitab sahihnya, walaupun ada meriwayatkannya dalam juz'u khalq af'aal namun tanpa kisah Al-Jariyyah juga.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi bahawasanya, hadith Al-Jariyyah dengan lafaz aina Allah dan fi as-sama' bukan sahaja tidak digunakan sebagai hujah dalam masalah aqidah, malahan juga lafaz tersebut tidak bersesuaian secara zahirnya (atau secara hakikinya) dengan aqidah Islam yang menunjukkan ianya suatu kiasan atau mutasyabihat. Oleh yang demikian, hanya mereka yang mengikut hawa nafsu sahaja cuba mengikuti zahir daripada nas-nas mutasyabihat untuk tujuan menyebarkan fitnah terhadap agama itu sendiri.

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil

Penulis : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

'AmalahuLlahu bi althofiHi Al-Khafiyyah

23 Disember 2008, Selangor

Rujukan


Al-Qur'an Al-Karim

Sahih Al-Bukhari oleh Imam Al-Bukhari

Sahih Muslim oleh Imam Muslim

Sunan An-Nasa'ie oleh Imam An-Nasa'ie

Sunan At-Tirmizi oleh Imam At-Tirmizi

Al-Muwatho' oleh Imam Malik

Al-Musnad oleh Imam Ahmad

Al-Musonnaf oleh Imam Abdul Razzak

Sahih Ibn Hibban oleh Imam Ibn Hibban

As-Sunan Al-Kubra oleh Imam Al-Baihaqi

Al-Asma' wa As-Sifat oleh Imam Al-Baihaqi (dengan ta'liqat Al-Kauthari)

Tuhfah Al-Asyraf oleh Imam Al-Hafiz Al-Mizzi

Kasyf Al-Astar oleh Imam Al-Bazzar

Tarikh At-Tabari oleh Imam At-Thobari

Muqoddimah Ibn Sholah oleh Imam Ibn Sholah

Siyar A'laam An-Nubala oleh Imam Az-Zahabi

Al-Muqizhoh oleh Imam Az-Zahabi

Al-Mizan oleh Imam Az-Zahabi

Syarh Muslim oleh Imam An-Nawawi

Tafsir Ibn Kathir oleh Imam Ibn Kathir

Fath Al-Bari oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani

Hady As-Sari oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani

At-Takhlish Al-Khabir oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani

Tahzib At-Tahzib oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqollani

As-Saif As-Saqiloleh Imam As-Subki

tobaqot As-Syafi'iyyah Al-Kubra oleh Imam As-Subki

Al-Mufhim oleh Imam Abu Al-Abbas Ahmad bin Ibrahim Al-Qurthubi

Al-Jami'e As-Shoghir oleh Imam As-Suyuti

Majma' Az-Zawa'id oleh Imam Ibn Hajar Al-Haithami

Al-firaq bainal Firaq oleh Imam Al-Baghdadi

hilyatul Auliya’ oleh Imam Abu Nu'aim

Ittihaf Saadah Al-Muttaqin oleh Imam Az-Zabidi

Risalah Al-Qusyairiyah Imam Al-Qusyairi

Al-Fiqh Al-Absath himpunan risalah-risalah Imam Abu Hanifah

Al-Aqidah At-Tohawiyyah oleh Imam At-Tohawi

Tabyiin Kazbul Muftari oleh Imam Ibn 'Asakir

Risalah Aqidah An-Nasafiyyah oleh Imam Am-Nasafi

Shoid Al-Khatir oleh Ima Ibn Al-Jauzi

Daf Syubah At-Tasybih oleh Imam Ibn Al-Jauzi

An-Nihayah fi Gharib Al-Hadith

Torh At-Tathrib oleh Imam Al-Muhaddith Al-Hafiz Ahmad Al-Iraqi

'Umdah Al-Qari oleh Imam Al-Muhaddith Badruddin Mahmud bin Ahmad Al-'Aini Al-Hanafi (855 H)

syarh At-Tayyibi 'ala Misykat Al-Masobih 6/340) oleh Imam Husein bin Muhammad At-Tayyibi (743 H)

syarh Sunan At-Tirmizioleh Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi

Ikmal Al-Mu'allim syarh sahih Muslim oleh Imam Muhammad bin Khalifah Al-Ubbi

Mukammil Ikmal oleh Imam Muhammad As-Sanusi Al-Hasani

Al-Fatawa Al-Hadithiyyah oleh Imam Ibn Hajar Al-Haitami

Asas At-Taqdis oleh Imam Fakhruddin Al-Razi

Najm Al-Muhtadi oleh Imam Ibn Al-Mu'allim

Hasyiyah Ad-Dasuki 'ala Ummil Barahin oleh Imam Ad-Dasuki

Syarh Fiqh Al-Akbar oleh Imam Al-Mulla 'Ali Al-Qari

Al-Fatawa Al-Hindiyyah

Qowa'id Al-Izz bin Abdil Salam oleh Imam Al-Izz bin Abd As-Salam

Fatwa Al-Ramli oleh Imam Al-Ramli

Al-Bahr Al-MuhithImam Az-Zarkasyi

Kifayah Al-Akhyar oleh Imam Al-Hishni

Al-Asybah wa An-Nazho'ir oleh Imam As-Suyuti

Al-Minhaj Al-Qowim oleh Imam Ibn Hajar Al-Haitami

Fath Al-Mu'inoleh Al-Allamah Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari).

Hadith Al-Jariyyah oleh Dr. Umar Abdullah Kamil

Nazm Al-Mutanathir oleh Imam Al-Kattani

Penulis : Mukhlis 101

2 ulasan:

  1. untuk menafikan hadis ini anda terpaksa menulis begitu banyak helah,sedangkan makna hadis itu sangat jelas.
    =================================
    Ketika Mu’awiyah Bin al-Hakam as-Sulamy ingin memerdekakan hambanya (Jariyyah/hamba wanita) , beliau membawanya kepada Rasulullah s.a.w.;

    Rasulullah bertanya kepada hamba tersebut: “Di manakah Allah (aina Allah)?” Jawab hamba itu: “Allah di langit (fis samaa’).” Baginda Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Jawab hamba itu lagi: “Engkau adalah Rasulullah.” Dan kemudian baginda Rasulullah bersabda, “Merdekakanlah dia, kerana dia seorang mukminah (wanita yang beriman). (Hadis Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Kitab al-Janaiz wa Mawadhi’ as-Sholat, bab “Tahrimil Kalam fi Sholat wa Naskh Ma Kana Min Ibahah” (537) (33) dari Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami. Juga diriwayatkan sekalian Jema’ah ahli Hadis, antaranya Imam Malik, Abu Daud, ad-Darimi, an-Nasai’e).

    BalasPadam
  2. Assalamu'alaikum tuan ammal,

    teruskan belajar, ilmu kita masih sedikit...

    Penjelasan hadith jariyah dinilai dari pelbagai sudut dan jalan periwayatan. Bagi saya inilah yang terbaik.

    Cuba lihat apa yang anda tulis sendiri iaitu hadith tersebut diletakkan di dalam kitab bab : Kitab al-Janaiz wa Mawadhi’ as-Sholat, bab “Tahrimil Kalam fi Sholat wa Naskh Ma Kana Min Ibahah”

    - Ia tidak termasuk dalam perkara aqidah kan ?

    Anda sendiri yang ada jawapannya

    WaLlahua'lam.

    BalasPadam