Halaman

Sabtu, 11 April 2009

Cara Menghormati Guru Bab Akhir

10. Jika mereka ingin menjumpai guru di luar daripada waktunya mengajar sedangkan di waktu itu guru tersebut sedang bersembahyang, berzikir, menulis atau membaca lalu dia terhenti (terganggu) ketika terlihat mereka atau tidak menegur mereka, maka mereka akan memberi salam kemudian cepat-cepat pergi dari sana kecuali jika disuruh oleh guru itu untuk menunggu di sana.

11. Mereka tidak meminta daripada guru untuk mengajar di waktu yang menyukarkan baginya atau jika difikirkan akan menyusahkannya ataupun bukan waktu yang biasa bagi guru tersebut untuk mengajar. Begitu juga pada ketika guru itu sedang letih, bosan, dukacita, mengantuk dan sebagainya kerana ini akan menyusahkannya dan menjadi penghalang kepadanya daripada melaksanakan pengajarannya dengan sempurna.

12. Apabila mereka duduk di hadapan guru ketika belajar, mereka duduk dengan penuh tawadhu‘, khusyu‘ dan tenang. Memandang guru ketika dia bercakap dengan penuh perhatian dan memikirkan secara mendalam akan kata-katanya dan tidak memandang ke arah lain tanpa keperluan, begitu juga tidak bermain-main dengan tangan, kaki atau anggota-anggota yang lain ataupun bermain-main dengan pen, pakaian serta lain-lain perbuatan yang boleh mengganggu konsentrasi mereka terhadap guru.

Sesungguhnya ulama-ulama salaf sangat memuliakan majlis-majlis ilmu. Mereka duduk diam dengan penuh rasa hormat dan takzim terhadap guru mereka dan tidak akan bercakap kecuali ketika menjawab soalan guru mereka sehingga diumpamakan duduk mereka ketika belajar itu seolah-olah ada burung di atas kepala mereka. Perumpamaan ini bermaksud mereka duduk diam tanpa bergerak-gerak kerana burung pada kebiasaannya tidak akan hinggap kecuali di atas sesuatu yang tidak bergerak-gerak.

Mereka juga tidak menyandarkan tangan mahupun badan pada dinding dan seumpamanya ketika kehadiran guru dan tidak sekali-kali membelakanginya. Mereka juga mengurangkan percakapan tanpa keperluan dan tidak ketawa terbahak-bahak ketika kehadiran guru.


13. Mereka sentiasa menjaga sopan santun ketika bercakap dengan guru dan tidak menggunakan bahasa-bahasa yang boleh menyinggung perasaannya dan tidak memutus percakapannya apatah lagi di waktu ketikanya sedang mengajar kecuali jika disuruh atau diizinkan untuk bercakap oleh guru tersebut.

14. Mereka tidak malu untuk bertanya jika ada kemusykilan mengenai sesuatu yang diajarkan oleh guru dan apabila bertanya mereka akan menjelaskan persoalan mereka itu dengan terang dan jelas.

Imam Abu Hanifah sering menyerukan untuk menuntut ilmu tanpa rasa segan dan malu, dan dalam hal ini hendaklah dia mengajukan pertanyaan-pertanyaannya dengan cara yang baik. Beliau berkata:
Bertanya dengan baik adalah separuh dari ilmu.


Jika ditanyakan oleh guru "adakah kamu faham"?, maka mereka tidak sekali-kali akan berkata "ya" kecuali jika benar-benar jelas maksud apa yang diajarkannya itu supaya mereka dapat memahami dengan lebih jelas dan sempurna dan tidak dikira berdusta kepada guru.

Mereka tidak sekali-kali malu untuk berkata "aku belum faham" kerana dengan perkataan ini dia akan beroleh berbagai bentuk kebaikan yang akan diperolehi sama ada pada waktu tersebut mahupun untuk masa depannya.

15. Jika guru mereka berlaku kasar ataupun marah, maka merekalah yang akan terlebih dahulu meminta maaf dengan menunjukkan bahawa merekalah yang patut dipersalahkan. Ini akan memberikan manfaat yang lebih bagi mereka sebagai pelajar di dunia dan akhirat serta ini akan lebih membersih dan menyenangkan hati guru.

16. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah matinya atas jasa serta segala pengorbanan yang telah dicurahkannya kerana jasa-jasa pewaris para nabi yang tidak ternilai ini tidak akan dapat dibalas.

Pengarang kitab Al-Fawaid Al-Makiyyah iaitu As-Sayyid ‘Alawi berkata:
Antara adab pelajar itu ialah tidak lupa mendoakannya setiap masa sepertimana dia tidak lupa untuk mendoakan ibu bapanya dan berbuat baik kepadanya sepertimana dia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.


Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Aku tidak pernah lupa mendoakan Imam Asy-Syafi‘e ketika bersembahyang semenjak empat puluh tahun lalu. Kerana banyaknya doa Imam Ahmad bin Hanbal untuk Imam Asy-Syafi‘e ini, anaknya bertanya kepadanya: Siapakah dia Asy-Syafi‘e ini sehingga engkau pohonkan segala doa-doa ini untuknya!? Imam Ahmad pun menjawab: Anakku, Imam Asy-Syafi‘e umpama matahari bagi dunia ini dan merupakan kesejahteraan bagi seluruh umat manusia.


Pengajaran Daripada Adab Nabi Musa ‘Alaihissalam Terhadap Gurunya

Al-Qur‘an menceritakan bagaimana tingginya peradaban dan akhlak Nabi Musa ‘alaihissalam ketika Baginda ingin menuntut ilmu daripada seorang hamba Allah yang dikurniakan ilmu yang tinggi (menurut kebanyakan riwayat, hamba Allah yang dimaksudkan itu ialah Nabi Khidir ‘alaihissalam) dalam firman Allah Ta‘ala dalam Surah al-Kahfi ayat 66:

Tafsirnya:
“Nabi Musa ‘alaihissalam berkata kepadanya (Nabi Khidir ‘alaihissalam): "Bolehkan aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu (oleh Allah), ilmu yang menjadi pertunjuk bagiku?”

(Surah Al-Kahfi: 66)




Mengikut Imam Fakhrur Razi, ayat ini mengandungi adab serta tatacara yang banyak dan halus bagi seorang pelajar ke atas gurunya, antaranya:


1. Menjadikan dirinya sebagai pengikut Nabi Khidir ‘alaihissalam kerana Baginda mengatakan "bolehkah aku mengikutimu"?.

2. Meminta kebenaran untuk mengikutinya dengan meminta izin terlebih dahulu dengan katanya "bolehkan aku mengikutimu"? dan bukannya berkata dengan kata-kata yang menunjukkan pembebanan ke atas Nabi Khidir ‘alaihissalam seperti kata-kata "aku ingin mengikutimu". Ini kerana dengan kalimat yang diucapkan Baginda itu, tiada pihak yang merasa dibebani oleh yang lain. Bahkan, sang muridlah yang harus mengerti kedudukan guru sebagai orang yang patut dihargai.

3. Baginda berkata "supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar" yang menunjukkan pengakuan kejahilan Baginda di hadapan gurunya.

4. Baginda berkata "di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu" dengan menggunakan perkataan "di antara" yang membawa maksud “sebahagian” yang menunjukkan permintaan Nabi Musa ‘alaihissalam agar Nabi Khidir ‘alaihissalam mengajarinya sebahagian daripada ilmu yang diajarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini juga mengisyaratkan rasa rendah diri yang seolah-olah Baginda mengatakan, "saya tidak meminta agar kamu mengajariku semua ilmumu, akan tetapi sebahagian dari ilmumu". Seperti juga halnya seorang fakir yang meminta sedikit dari harta sikaya.

5. Kata-kata Baginda "ilmu yang telah diajarkan kepadamu" merupakan pengakuan bahwasanya Allah Subhanahu wa Ta‘alalah yang mengajari ilmu itu.

6. Kata Baginda "ilmu yang menjadi pertunjuk bagiku" seolah-olah Baginda mengharap petunjuk daripada ilmu Nabi Khidir ‘alaihissalam kerana tanpa irsyad serta petunjuk maka akan terjerumuslah ke lembah kesesatan.

7. Sabda Baginda "ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu (oleh Allah)" menunjukkan bahawa Baginda meminta Nabi Khidir ‘alaihissalam memperlakukan Baginda seperimana Nabi Khidir ‘alaihissalam diperlakukan oleh Allah Ta’ala. Di dalamnya ada isyarat agar dirinya diberi nikmat sebagaimana Nabi Khidir ‘alaihissalam diberi nikmat ilmu oleh Allah. Untuk itu ada pepatah mengatakan, "saya adalah hamba bagi siapa saja yang mengajariku satu huruf".

8. "Mengikuti" menunjukkan sikap menurut dan mencontohi guru tanpa membantah, ini membawa erti bahawa seorang pelajar itu harus mengikuti gurunya hanya kerana guru tersebut berbuat demikian. Ini juga menunjukkan bahawa seorang pelajar harus menyerahkan dirinya terhadap irsyad seseorang guru tanpa membantah sedikitpun.

9. Dalam satu riwayat, Nabi Khidir ‘alaihissalam telah diberitahukan bahawa Nabi Musa ‘alaihissalam adalah Nabi Bani Israel yang diturunkan kepadanya kitab Taurat dan yang pernah berkata-kata secara langsung dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dengan kemuliaannya ini, Baginda meminta agar Nabi Khidir ‘alaihissalam untuk mengajarnya. Ini menunjukkan bahawa Nabi Musa ‘alaihissalam benar-benar mempunyai keperibadian yang luhur serta tawadhu‘. Hal ini sangat sesuai dengan dirinya yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan sehingga dengan ilmunya itu dia mengerti tatacara yang tinggi dan halus dalam menghormati ahli ilmu.



Penutup

Guru adalah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, pendek kata guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Sewajarnyalah setiap pelajar mencontohi para ulama salaf dalam menjaga tingkah laku, sopan santun serta akhlak terhadap guru, tidak kira siapapun gurunya itu, sungguhpun lebih muda ataupun lebih rendah darjat daripadanya. Ini kerana dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi, semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan menjaga peradaban dan rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi.

Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan:

Catat Ulasan