Halaman

Sabtu, 11 April 2009

Cara Menghormati Guru Bab 1

BAGAIMANA MENGHORMATI GURU

(BILANGAN 231 BAHAGIAN PERTAMA)


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Tiada seorang pun dalam kehidupan insan, selain daripada kedua ibubapa yang lebih berjasa dan layak dihormati melebihi daripada guru. Tetapi guru adalah pewaris ilmu dan pewaris ilmu ialah ulama, sementara ulama pula adalah pewaris para nabi. Begitulah kedudukan ilmu, guru dan ulama adalah saling berkaitan. Mari renungkan firman Allah ini:

Tafsirnya:
“Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Surah ali-‘Imran:18))


Perhatikan dalam ayat ini, bagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala memulakan dengan nama-Nya, kemudian dengan para malaikat-malaikat-Nya dan kemudiannya dengan ahli ilmu – ini sudah cukup membuktikan betapa tingginya martabat ilmu dan ahli ilmu itu.

Imam At-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Abu ’Umamah al-Bahili Radhiallahu ‘anhu telah berkata: Bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Kelebihan orang alim (ulama) atas ahli ibadat adalah seperti kelebihanku ke atas orang yang paling rendah di antara kamu. Kemudian Baginda bersabda lagi: Sesungguhnya para malaikat dan penduduk langit dan bumi hinggakan semut dalam lubangnya berserta ikan bersalawat (berdoa) untuk orang-orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.”


(Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Abu al-Aswad berkata:
Tiada suatu pun yang lebih mulia daripada ilmu; raja-raja adalah pemimpin bagi rakyat sedangkan para ulama adalah pemimpin kepada raja.


Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhuma pula berkata:
Nabi Sulaiman ‘alaihissalam diberikan dua pilihan antara harta dan kekuasaan, Baginda memilih ilmu lalu Baginda pun dikurniakan juga dengan harta serta kekuasaan.

Kelebihan Mengajar Ilmu Yang Bermanfaat


Dalam Islam, mengajarkan ilmu yang bermanfaat itu adalah suatu amalan yang dipandang tinggi, sangat mulia dan satu kerjaya yang suci di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala serta Rasul-Nya.

Firman Allah Ta‘ala dalam Surah An-Nahl ayat 43 dan Surah Al-Anbiya’ ayat 7:

Tafsirnya: “Maka bertanyalah kamu kepada Ahlu'dz Dzikri jika kamu tidak mengetahui.”


(Surah An-Nahl: 43 dan Al-Anbiyaa’: 7)


Ahlu'dz Dzikri bermaksud orang-orang yang mengetahui tentang Kitab-Kitab Allah. Ayat ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang tidak mengetahui sesuatu perkara hendaklah bertanya kepada orang-orang yang mengetahuinya.

Imam Ath-Thabarani meriwayatkan dalam kitabnya Al-Kabir bahwasanya Mu‘awiyyah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya:
“Wahai manusia! Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan feqh itu dengan mempelajari ilmu feqh. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan untuknya, nescaya diberikannya kefahaman dalam agama, dan sesungguhnya di antara hamba Allah yang takutkan Allah hanyalah para ulama.”


(Hadits riwayat Ath-Thabarani)


Abu Sa‘ed al-Khudri Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya:
“Akan datang kepada kamu beberapa kaum untuk mencari ilmu, maka apabila kamu melihat mereka hendaklah kamu katakan kepada mereka: Selamat datang, selamat datang, mengikut wasiat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan hendaklah kamu mengajar mereka.”


(Hadits riwayat Ibnu Majah)

Amirul Mukminin Sayyidina Umar Ibnu Al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu pula berkata:
Kematian seribu ahli ibadat yang bangun beramal ibadat sepanjang malam dan berpuasa sepanjang siang lebih ringan dari kematian seorang alim yang mahir tentang apa yang Allah Ta‘ala halalkan dan apa yang diharamkan olehNya.


Yahya bin Mu‘az berkata:
Para ulama lebih menyayangi umat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ayah-ayah serta ibu-ibu mereka. Lalu ditanyakan kepadanya: Bagaimana pula begitu? Lalu Yahya menjawab: Ibu-bapa menjaga anak-anaknya daripada neraka (kesusahan) dunia, sedangkan para ulama menjaga mereka daripada neraka akhirat.

Sebahagian ulama berkata: Para ulama umpama pelita zaman. Tiap seorang daripada mereka merupakan pelita yang menyinari ahli zamannya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan