Halaman

Sabtu, 14 Mac 2009

Keagungan Dakwah Golongan Sufi Di Sisi Imam Hasan Al-Banna

Keagungan Dakwah Golongan Sufi Di Sisi Imam Hasan Al-Banna

Imam Hasan Al-Banna r.h.l. berkata:

Takkala berkembangnya Kerajaan Islam pada awal kurun pertama, banyaknya pembukaan-pembukaan kota Islam, takkala seluruh dunia menghadapkan wajah mereka kepada umat Islam di setiap tempat, takkala melimpahnya harta umat Islam, sehinggakan khalifah pada ketika itu seolah berkata kepada awam yang membawa hujan: "Di Timurku atau Baratku, di mana sahaja turunnya titisan hujanmu, pasti akan datang hasilnya kepadaku" (gambaran keluasan kerajaan Islam pada ketika itu), maka secara tabiatnya, umat Islam mula bersenang lenang dengan kenikmatan dunia dan mengecapi kemanisannya dan kebaikannya, samada secara berekonomi ataupun berlebih-lebihan dari sudut yang lain. Hal ini membawa kepada perubahan sosial dalam umat Islam, namun secara tabi'ienya bagi umat Islam itu, sejak zaman kenabian sehinggalah pada ketika itu, akan ada golongan orang soleh, golongan orang yang bertaqwa, golongan ulama' yang mulia dan golongan pendakwah yang mengutamakan zuhud daripada kesenangan kehidupan dunia. Mereka ini berperanan dalam mengingatkan umat Islam akan keabadian kesenangan akhirat kelak, berbanding kesenangan duniawi yang melalaikan tersebut.

Antara orang pertama yang saya (Imam Al-Banna) tahu dalam kalangan mereka yang menjalankan usaha dakwah ini adalah Imam Agung Hasan Al-Basri r.a., lalu diikuti oleh ramai orang lain dari kalangan para pendakwah yang soleh. Maka, golongan ini dikenali di sisi manusia dengan dakwah mereka kepada zikir kepada Allah dan mengingati hari akhirat. Mereka juga menyeru ke arah zuhud dan tarbiah jiwa dalam rangka mentaati Allah s.w.t. dan bertaqwa kepadaNya.

Berlaku pada hakikat ini sebagaimana yang berlaku dalam hakikat-hakikat ilmu Islam yang lain, di mana ilmu ini disusun dalam rangka untuk membentuk peribadi manusia, dan perjalanan kerohanian mula disusun dengan manhajnya yang khusus seperti: peringkat zikir, ibadah, mengenal Allah dan seterusnya sampai kepada syurga dan keredhaan Allah s.w.t. yang merupakan penghujung perjalanan seseorang.

Ini merupakan cabang daripada ilmu tasawwuf, yang mana namanya dikenali sebagai ilmu tarbiah wa suluk. Tidak syak lagi bahawasanya, ianya adalah nadi bagi agama Islam dan jatidiri Islam itu sendiri. Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai mertabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi). Tidak syak lagi bahawasanya mereka membawa manusia dengan uslub (jalan atau metodologi) ini berjalan di atas suatu garis panduan ilmiah dalam menunaikan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan menjauhi kederhakaan terhadapNya. Mereka juga membawa manusia kepada kejujuran hati kepada Allah s.w.t., sehingga terkadang membawa kepada sesuatu yang berlebih-lebihan kerana terkesan dengan persekitaran semasa yang mencabar bagi dakwah ini, seperti berlebih-lebihan dalam berdiam diri, lapar, berjaga malam dan beruzlah… yang mana semuanya itu pada hakikatnya ada sandarannya daripada agama. Berdiam diri sandarannya adalah daripada saranan syarak terhadap berpaling dari perkara yang melalaikan. Berlapar diri juga pada asalnya adalah daripada saranan syarak terhadap memperbanyakkan puasa sunat. Adapun berjaga malam itu pula asalnya adalah qiyamullail. Uzlah pula asalnya adalah menjaga diri daripada menyakiti diri sendiri dan menjaga diri sendiri. Kalaulah perlaksanaan secara praktikal berlandaskan batasan-batasan syarak, maka ia adalah sangat baik.

Akan tetapi, idea dakwah sufiyyah ini tidak terhenti kepada konteks suluk dan tarbiah sahaja, yang mana kalau ianya berdiri di atas konteks tersebut semata-mata, maka ia benar-benar membawa kebaikan kepada manusia. Akan tetapi, idea dakwah sufiyyah ini telah mengalami perkembangan berbanding generasi yang awal, iaitu dalam meluahkan perasaan-perasaan hati dan kehadiran hati, sehingga membawa kepada menggunakan bahasa yang terkandung dalam ilmu falsafah, mantiq dan sebagainya yang diwarisi daripada umat-umat terdahulu dan pemikiran mereka. Maka, timbul percampuran antara yang dari agama dan yang bukan dari agama. Perkara ini membuka ruang yang luas bagi orang zindiq, athies dan orang sesat dari sudut pandangan dan aqidah, untuk memasuki perbahasan-perbahasan tersebut (perbahasan zauqi/perasaan hati) atas nama tasawwuf, dakwah kepada zuhud dan kehendak untuk mencapai natijah kerohanian yang tinggi. Ini menyebabkan setiap buku yang ditulis dan setiap perkataan mereka yang diungkap perlu diniai dengan penilaian yang mendalam bagi mereka yang mendalami ilmu agama Allah dan menjaga keaslian agama Islam tersebut.

Setelah itu, datang zaman di mana timbul pembentukan amali (manhaj tarbiah sufi yang lebih tersusun dan teliti), maka timbullah kelompok-kelompok dalam golongan sufi, yang mana setiap daripada mereka berpegang dengan manhaj dan uslub masing-masing dalam tarbiah. Kemudian, masuk pula campur tangan golongan politik dalam pergerakan-pergerakan sufit tersebut. Maka, ada daripada mereka yang dibentuk semata-mata untuk golongan askar, dan sebahagiannya untuk persatuan tertentu. Maka, berlalulah perubahan demi perubahan dalam manhaj dakwah sufi, sehinggalah apa yang dapat kita lihat sekarang di Mesir, daripada para sheikh tarikat sufiyyah, para pengikutnya dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan bahawasanya tasawwuf dan tarikat-tarikat sufi merupakan antara faktor terbesar dalam penyebaran Islam di banyak negara asing, yang mana, tidakkan pernah sampai Islam ke tempat-tempat tersebut melainkan dengan tangan golongan pendakwah sufi tersebut. Ia sepertimana yang berlaku di negara-negara Afrika, dan negara-negara di Asia (India, Malaysia, Indonesia, Filipina dan sebagainya).

Tidak syak lagi bahawasanya dengan berpegang kepada kaedah-kaedah tasawwuf dalam bidang tarbia dan suluk membawa kesan yang sangat kuat dalam jiwa dan hati seseorang. Bahkan, kata-kata para sufi dalam bab tarbiah ini mempunyai kesan yang sangat mendalam, yang tidak akan didapati daripada kata-kata selain daripada golongan sufi…

Tetapi, percampuran di dalam golongan sufi (ada yang sekadar mendakwa sufi tetapi tidak ikut manhaj sufi) merosakkan banyak manfaat yang sepatutnya dapat diambil daripadanya. Adalah kewajipan bagi golongan musleh (pembaiki masyarakat) memikirkan sesuatu untuk memurnikan semula golongan sufi (daripada para pendakwa sufi yang tidak mengikut manhaj sufi sebenar). Adapun pengislahan dalam kelompok sufi adalah sangat mudah, kerana di sisi mereka (para sufi) ada persediaan yang sempurna dalam perlaksanaan untuk mengislahkan golongan sufi itu sendiri. Bahkan, boleh jadi, para sufilah (yang sebenar) yang paling hampir dengan mereka (para pendakwa sufi, kerana mereka memahami kekeliruan para pendakwa sufi) jika mereka boleh berdepan dengan mereka yang terkeliru tersebut dengan cara yang sesuai. Hal ini (untuk mengislahkan manhaj sufi dan seterusnya mengembalikan kesan manhaj sufi dalam segenap masyarakat) hanya memerlukan sebilangan kecil daripada para ulama' solihin 'amilin, para pendakwah yang jujur lagi ikhlas dalam membuat penyelidikan terhadap masalah masyarakat, sehingga membawa kepada revolusi praktikal (gabungan ulama' dan para pendakwah yang jujur dan ikhlas) sehingga dapat memurnikan semula golongan sufi khususnya daripada kesamaran yang ditimbulkan oleh segelintir pihak di dalamnya, seterusnya memimpin masyarakat dalam negara dengan pimpinan yang baik.

Saya masih ingat bahawasanya Sayyid Taufiq Al-Bakri r.a. juga turut melahirkan pemikiran sebegini (islah manhaj sufiyyah dalam membentuk masyarakat Islam umumnya), dan beliau juga sudahpun membuat banyak penyelidikan secara ilmiah dan praktikal dengan berjumpa para pimpinan tarikat, lalu beliau juga telahpun mengarang buku dalam bab (tajdid manhaj dakwah sufiyyah) ini, tetapi tidak sempurna idea tersebut dan tidak diambil berat setelah itu oleh para sheikh yang lain. Saya juga masih ingat, antara mereka (golongan sufi) yang juga mencetuskan pemikiran ini adalah Sheikh Abdullah 'Afifi r.a. yang sangat mementingkan persoalan ini, sehingga membawa masalah islah ini kepada para ulama' Al-Azhar dan ulama' Islam yang lain. Akan tetapi, setakat ini (setakat zaman Imam Al-Banna), ia sekadar suatu pemikiran secara teori, tanpa diterjemahkan dalam bentuk praktikal. Jika Allah s.w.t. kehendaki kebaikan (bagi umat Islam), jika Al-Azhar mengabungkan kekuatan ilmiah yang ia miliki dengan kekuatan kerohanian tarikat-tarikat sufi, serta digabungkan pula dengan kekuatan jamaah-jamaah Islam yang melaksanakan praktikalnya, maka umat Islam ini sudah tidah ada tolok bandingannya lagi. Umat Islam akan memberi cabaran, bukan dicabar, memimpin dan bukan dipimpin, memberi kesan dan bukan terkesan dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat sesat kepada kebenaran.



(Sebahagian tulisan Imam Hasan Al-Banna dalam buku Muzakkirat fi Ad-Da'wah wa Ad-Du'at)

Penulis : Mukhlis 101

Tiada ulasan:

Catat Ulasan