Halaman

Khamis, 5 Februari 2009

Perkara Berkaitan Solat : Perbezaan Perempuan Dan Lelaki (Akhir)

PERKARA-PERKARA BERKAITAN SEMBAHYANG:
PERBEZAAN PEREMPUAN DENGAN LELAKI
( Bilangan 274 Bahagian Akhir)

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

i. Cara Mengangkat Tangan Ketika Takbirah al-Ihram Dan Takbir al-intiqalat

Takbirah al-ihram ialah mengucapkan “ الله أكبر ” pada permulaan sembahyang dan merupakan salah satu daripada rukun sembahyang. Ia dilakukan beriringan dengan niat sembahyang.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إذا قُمْتَ ِإَلى الصَّ َ لاةِ َف َ كبِّرْ
(رواه البخاري ومسلم)

Maksudnya: “Apabila engkau berdiri untuk sembahyang, makabertakbirlah.”

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Takbir al-intiqalat pula ialah mengucapkan “ الله أآبر ” pada setiap kali hendak melakukan ruku‘ dan sujud, dan ketika hendak bangkit daripada sujud dan tasyahhud awwal. Mengangkat kedua tangan ketika takbirah al-ihram, ketika hendak ruku‘ dan ketika bangun daripadanya serta ketika bangkit dari tasyahhud awwal adalah disunatkan. Perbuatan sedemikian adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah Ta‘ala, mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam dan memohon ganjaran pahala daripada Allah Ta‘ala.

Inilah jawapan Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah ketika beliau ditanyakan tentang perbuatannya mengangkat kedua tangan ketika hendak ruku‘ dan sujud. Cara mengangkat kedua tangan yang disunatkan pula ialah dengan mengangkat kedua tangan separas bahu iaitu sekira-kira hujung jari sejajar dengan atas telinga dan kedua ibu jari pula sejajar dengan bawah telinga serta kedua telapak tangan dihadapkan ke kiblat dan jari-jari dipisah-pisahkan dengan jarak yang sederhana.

Menurut ulama mazhab Syafi‘e, tidak ada perbezaan cara mengangkat kedua tangan yang disunatkan ketika takbirah alihram dan takbir al-intiqalat antara lelaki dan perempuan.

Walau bagaimanapun, Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah mengatakan bahawa adalah lebih disukainya bagi seorang perempuan itu ketika sujud untuk merapatkan sebahagian anggotanya dengan anggota yang lain dan merapatkan perut dengan kedua belah paha. Perbuatan seperti inilah yang disukai pada seorang perempuan ketika ruku‘, duduk dan pada keseluruhan sembahyang.

Berdasarkan pendapat Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah itu, maka lebih disukai bagi seorang perempuan ketika bersembahyang merapatkan sebahagian daripada anggotanya seperti merapatkan kedua belah siku dengan rusuk ketika ruku‘ dan sujud, malahan dalam keseluruhan sembahyangnya. Begitu juga ketika mengangkat kedua tangan pada takbirah alihram dan takbir al-intiqalat iaitu dengan merapatkan kedua belah siku pada rusuk kerana dengan cara sedemikian akan lebih melindunginya.

ii. Suara Ketika Sembahyang Jahriyyah Dan Sirriyah

Sunat menjaharkan suara pada tempat-tempat yang disunatkan meninggikan suara iaitu pada sembahyang jahriyyah (yang disunatkan meninggikan suara) dan mengisrarkan suara pada
tempat-tempat yang disunatkan memperlahankan suara iaitu pada sembahyang sirriyah (yang disunatkan merendahkan suara).

Menurut ulama Syafi‘eyah perempuan yang sembahyang berseorangan, atau dengan kehadiran perempuan lain atau dengan kehadiran mahramnya sama ada sembahyang berjemaah dengan perempuan-perempuan lain atau bersendirian adalah dibolehkan dia menjaharkan bacaannya (iaitu dalam sembahyang jahriyyah). Sebaliknya jika ada lelaki asing (yang bukan mahramnya) di tempat dia bersembahyang itu, maka hendaklah perempuan itu mengisrarkan bacaannya.

Walau bagaimanapun, jika perempuan itu menjaharkan bacaannya dalam sembahyang jahriyyah dengan kehadiran lelaki asing di tempat dia bersembahyang itu, tidaklah membatalkan sembahyangnya kerana menurut pendapat yang ashah bahawa suara perempuan itu bukanlah aurat. Kadar bacaan jahr bagi perempuan itu perlahan sedikit daripada bacaan jahr bagi lelaki. Menurut al-Bandaniji Rahimahullah bahawa hendaklah bacaan jahr bagi perempuan itu lebih ringan atau perlahan daripada bacaan jahar bagi lelaki.

Adapun bagi khuntsa, hukumnya adalah sama seperti perempuan iaitu hendaklah mengisrarkan bacaan sembahyang dengan kehadiran perempuan bersama lelaki asing dan membaca dengan jahar jika sembahyang berseorangan atau bersama mahramnya.

iii. Menepuk Tangan Apabila Terjadi Kepadanya Sesuatu Perkara Di Dalam Sembahyangnya

Apabila terjadi kepadanya sesuatu perkara di dalam sembahyang seperti ketika mengingatkan imam yang terlupa bacaan, memberi keizinan kepada orang yang meminta izin masuk, memberi peringatan kepada orang buta yang ditakuti tertimpa perkara buruk jika tidak diberi amaran, maka disunatkan bertasbih bagi lelaki dengan menyebut ucapan SubhanaLlah dengan tujuan zikir atau dengan tujuan zikir serta pemberitahuan.

Manakala bagi perempuan pula, disunatkan menepuk tangan iaitu dengan menepuk perut tapak tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri apabila terjadinya sesuatu perkara di dalam sembahyang atau sebaliknya iaitu memukul perut tapak tangan kiri ke atas belakang tapak tangan kanan atau menepuk belakang tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri atau
sebaliknya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

التَّسِْبيحُ لِلرِّجَا ِ ل وَالتَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Bertasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk perempuan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)


Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini Rahimahullah, jika dia menepuk perut tapak tangan kanan ke atas perut tapak tangan kiri atau sebaliknya dengan tujuan bermain-main, maka batal
sembahyangnya. Adapun bagi khuntsa, caranya adalah serupa dengan perempuan iaitu menepuk tangan sebagaimana yang diterangkan di atas apabila terjadi ke atsanya sesuatu perkara di dalam sembahyang.

Begitulah serba sedikit penerangan tentang beberapa perkara mengenai dengan perempuan ketika bersembahyang. Semoga ia dapat memberi pengetahuan khususnya kepada golongan
perempuan tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian ketika melaksanakan ibadah sembahyang.

Sumber : Mufti Brunei

Tiada ulasan:

Catat Ulasan