Halaman

Ahad, 15 Februari 2009

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah Bab 6

Kajian Dari Sudut Perbandingan Ad-Dilalah (Petunjuk) dalam Riwayat-riwayat Tersebut

Perbahasan sebentar tadi sudah jelas menunjukkan bahawasanya dari sudut sanad sahaja, lafaz hadith Aina Allah adalah marjuh. Kini, kita akan membincangkan pula dari sudut makna antara lafaz-lafaz hadith tersebut, yang mana yang lebih dekat dengan usul aqidah Islam.

Sebagaimana yang difahami daripada hadith-hadith Al-Jariyyah tersebut, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan tujuan untuk menilai samada dia seorang yang beriman ataupun tidak.

Tujuan dan maksud Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada Al-Jariyyah tersebut demi untuk menilai adakah hamba perempuan tersebut seorang yang perpegang dengan aqidah Islam yang murni.

Berdasarkan daripada tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. inilah, dapat kita fahami lafaz yang manakah lebih mendekati maksud tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. tersebut, iaitu untuk menilai keislamannya.

- Lafaz Aina Allah (di mana Allah) Atau Lafaz Bertanyakan Kalimah Syahadah?

- Lafaz "Aina Allah (Di Mana Allah)"

Jika kita menjadikan lafaz hadith riwayat Imam Muslim tersebut sebagai lafaz yang tetap daripada Rasulullah s.a.w., bukan daripada pengaruh perawi, maka ia tidak adil kerana masih ada lagi riwayat yang lain dengan lafaz yang berbeza yang mempunyai jalan sanad yang lebih banyak dan kuat.

Namun, untuk lebih adil dalam menilai, tanpa pengaruh hawa nafsu dan kepentingan taasub kepada kesesatan, kita juga sewajarnya menilai lafaz dalam matan Imam Muslim dan membandingkannya dengan lafaz-lafaz yang lain bagi sampai kepada kehendak soalan Rasulullah s.a.w. tersebut.

Persoalannya, adakah pertanyaan "di mana Allah" membawa kepada tauhid ataupun menetapkan "Allah di atas langit" suatu yang membezakan antara Islam dengan pegangan jahiliyyah orang Arab musyrik pada ketika itu?

Imam Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari menjelaskan bahawasanya:

"Sesungguhnya Nabi s.a.w. menjelaskan rukun-rukun Iman dalam hadith Jibril (Sahih Al-Bukhari) menyebut: "Iman adalah kamu beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan beriman dengan Qadha dan Qadar", lalu tidak menyebut pula aqidah bahawasanya Allah berada di atas langit.

"Sesungguhnya, aqidah Allah berada di atas langit tidak pernah menetapkan konsep tauhid sama sekali dan tidak juga menafikan syirik itu sendiri. Bagaimana Rasulullah s.a.w. mengetahui keislamannya daripada aqidah tersebut sedangkan orang-orang musyrikinlah yang berpegang dengan aqidah bahawa Allah berada di langit dalam masa yang sama mensyirikkan Allah dalam penyembahan mereka dengan menjadikan tuhan-tuhan di bumi."
(Fath Al-Mu'in: 29)


Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Ibn 'Utbah (atau Ibn 'Ubaid) yang musyrik: "Berapa tuhan yang kamu sembah?". Dia menjawab: "Enam tuhan di bumi dan satu tuhan di langit" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Huzaimah).

Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil berkata: "Bukankah ada golongan yang menyembah bulan, bintang, matahari dan sebagainya yang berada di langit? Maka, kepercayaan tuhan di langit tidak membawa kepada keislaman itu sendiri" (hadith Al-Jariyyah: 9)

Bahkan, aqidah Fir'aun juga percaya Tuhan kepada Nabi Musa a.s. berada di langit dalam masa yang sama dia seorang kafir bahkan mendakwa ketuhanan diri. Jadi, soalan di mana Allah tidak membawa kepada maksud untuk mengetahui samada seseorang itu beriman atau tidak dan aqidah Allah di langit tidak menggambarkan keimanan atau keislaman seseorang itu sendiri.

Dari sudut ini juga sudah menjauhkan lafaz hadith riwayat Imam Muslim daripada kehendak sebenar pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut berbanding lafaz hadith riwayat Imam Malik dan sebagainya.

- Adakah Persoalan di mana Allah Sesuai bagi Allah Itu Sendiri?

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a. berkata:

فلا يتوجه على حكمه – سبحانه – لِمَ ولا كيف؛ كما لا يتوجه عليه في وجوده أين وحيث

Maksudnya: Tidak boleh mensasarkan perkataan "kenapa" atau bagaimana kepada ketentuan Allah sebagaimana tidak boleh mensasarkan perkataan "di mana" dan "bagaimana" untuk membahaskan tentang wujud Allah".
(Fath Al-Bari 1/221)



Imam As-Subki ada menyebut dalam As-Saif As-Saqil m/s 94:

أقول : أما القول : فقوله صلى الله عليه وآله وسلَّم للجارية أين الله؟ قالت : في السماء وقد تكّلم الناس عليه قديما وحديًثا

Maksudnya: "Aku berkata: Adapun perkataan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut dengan lafaz di mana Allah, lalu hamba perempuan tersebut berkata: Allah di langit", maka ianya telah diperkatakan oleh ramai ulama' dahulu dan terkini mengenainya (dinilai).




Imam Ibn Rusd Al-Jadd Al-Maliki ada berkata juga:

فلا يقال أين ولا كيف ولا متى لأنه خالق الزمان والمكان

Maksudnya: "Tidak boleh ditanyakan kepada Allah dengan soalan di mana, bagaimana dan bila kerana Allah s.w.t. adalah pencipta masa dan tempat".
Al-Madkhal: Nasa'ih Al-Murid 3/181)


Imam Abu Al-Abbas Ahmad bin Ibrahim Al-Qurthubi berkata dalam kitab Al-Mufhim (syarah Sahih Muslim):

وأين ظرف يسأل به عن المكان كما أن متى ظرف يُسأل به عن الزمان ...وهو لا يصحُّ إطلاقه على الله تعالى بالحقيقة إذ الله تعالى منـزه عن المكان كما هو منـزه عن الزمان بل هو خالق الزمان والمكان ولم يـزل موجودا ولا زمان ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

Maksudnya: "Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa… (Adapun pertanyaan dengan aina (di mana) tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya kerana Allah s.w.t. tidak bertempat sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Diala pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud sejak azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali. (rujuk Al-Mufhim pada komen terhadap hadith tersebut)



Demikianlah sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama' yang muktabar bahawasanya perkataan ataupun persoalan aina (di mana) Allah s.w.t. itu sendiri tidak layak ditujukan kepada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, Imam Al-Kauthari menjelaskan bahawasanya, ianya (lafaz aina) kembali kepada Mu'awiyah itu sendiri yang bukanlah dari kalangan sahabat yang terkenal dalam keilmuannya. Bahkan, dalam hadith tersebut juga menggambarkan kedudukan Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam yang masih baru dalam memeluk Islam sehinggakan masalah bercakap dalam solat tidak dibenarkan juga tidak diketahui olehnya (rujuk ta'liqat Al-Kauthari 'ala As-Saif As-Saqil dan dalam ta'liqat Al-Kauthari 'ala Al-Asma' wa As-Sifat 532)

Nota ini merupakan salah satu nota utama yang menunjukkan betapa lafaz aina Allah ini adalah marjuh (lemah berbanding riwayat lain) kerana ianya tidak layak ditujukan kepada Allah s.w.t..

Ia juga kembali kepada pengaruh perawi dalam matan hadith Al-Jariyyah in yang menjadi perbahasan utama sejak di awal perbahasan mengenai hadith ini.

- Lafaz Aina Allah Tidak Langsung Membawa Kepada Penilaian Tauhid

Dalam aqidah Islam yang sejahtera, sudah jelas dalam hadith Jibril bahawasanya rukun Iman yang asasi ada enam perkara iaitulah beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat dan Qadha' dan Qadar Allah.

Oleh yang demikian, bertanyakan tentang salah satu daripada rukun-rukun iman tersebut merupakan lebih utama untuk mengetahui seseorang itu beriman ataupun tidak.

Fahaman tuhan berada atau bertempat di atas langit dianuti oleh Yahudi, Kristian, Budha, Hindu dan sebagainya. Bahkan, orang-orang Musyrik di Makkah dan Arab Jahiliyyah juga ada yang mempercayai fahaman tuhan di langit tersebut.

Maka, pertanyaan tersebut tidak pula membawa kepada maksud daripada apa yang ingin dinilai oleh Rasulullah s.a.w. tersebut, iaitu keislaman hamba perempuan tersebut sama sekali.

- Pertanyaan tentang Kalimah Syahadah:

Adapun bertanya tentang kalimah syahadah ("adakah kamu mengakui (bersaksi) bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah?") merupakan suatu lafaz yang lebih dekat maksudnya kepada apa yang ingin ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut di samping sanadnya lebih banyak daripada hadith tersebut dengan lafaz aina Allah.

- Syawahid: Hadith-hadith Menceritakan Asas Ukuran Keislaman Seseorang Adalah Kalimah Syahadah

Rasulullah s.a.w. telah memberi suatu kaedah umum untuk membuktikan keislaman dan keimanan seseorang terhadap aqidah Islam dengan konsep kalimah syahadah. Hal ini berdasarkan banyak hadith-hadith tentang makna tersebut antaranya:

Pertama: Rasulullah s.a.w. bersabda:

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأني رسول الله

Maksudnya: "Aku diperintahkan agar memerangi manusia (menyebarkan risalah Islam) sehinggalah mereka bersaksi (mengakui) bahawasanya tiada tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah "
(Hadith riwayat Al-Bukhari dalam sahihnya 1/497 dan Muslim dalam sahihnya 1/51-52)

Imam As-Suyuti menyebut dalam kitab Al-Jami'e As-Shoghir (no 1630) setelah meriwayatkan hadith ini dengan berkata: "hadith ini mutawatir".

Adapun Imam Al-Munawi dalam syarahnya menjelaskan tentang hadith ini bahawa ianya mutawatir kerana diriwayatkan oleh lima belas orang sahabat. Imam Al-Muhaddith Al-Kattani dalam buku nazm al-mutanathir mengatakan, Imam Az-Zabidi menjelaskan bahawasanya hadith ini mutawatir kerana diriwayatkan oleh enam belas orang sahabat sebagaimana juga dikatakan oleh Imam Al-Iraqi.

Kedua: Saidina Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawasanya ketika Rasulullah s.a.w. ingin mengetahui adakah Ibn As-Shoyyad samada dia islam ataupun tidak, maka Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Adakah kamu bersaksi (mengetahui) bahawasanya aku adalah utusan Allah?".
Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (6/171)

Hadith ini merupakan asas bagi penilaian keislaman seseorang yang digambarkan sendiri oleh Saidina Rasulullah s.a.w.. Penilaian terhadap keislaman seseorang jelas adalah berdasarkan ucapan kalimah syahadah sebagaimana yang menjadi pegangan utama umat Islam berdasarkan dalil-dalil mutawatir tersebut.

Hadith Ketiga: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Saidina Mu'az r.a. ketika mengutuskannya dalam berdakwah:

إنك تأتي قوما من أهل الكتاب فأدعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله وأني رسول الله

Maksudnya: "Bahawasanya kamu datangi kaum ahli kitab dan mengajak mereka kepada syahadah bahawasanya tiada tuhan selain daripada Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah…"
(hadith riwayat Imam Muslim 1/50)


Hadith Keempat: Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:

"…sesiapa sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan terhadap maknanya, maka khabarkanlah syurga baginya…"
(hadith riwayat Imam Muslim 1/60)


Demikianlah hujah-hujah (syawahid) bahawasanya lafaz syahadah adalah lebih tepat yang ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut kerana ianya berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan sebentar tadi. Rasulullah s.a.w. sendiri mengajarkan akan asas ukuran keislaman dan keimanan seseorang adalah dengan lafaz kalimah syahadah yang mana ianya difahami oleh para sahabat r.a. yang sudah lama bersahabat dengan Rasulullah s.a.w..

­- Riwayat-riwayat Pertanyaan Kalimah Syahadah Dalam Kisah yang Berbeza

Di samping syawahid (hujah-hujah dalam membela lafaz hadith kalimah syahadah tersebut) secara prinsip Islami (iaitu kalimah syahadah adalah ukuran keislaman seseorang), terdapat juga syawahid (hujah-hujah penguat) bagi hadith Al-Jariyyah dengan lafaz pertanyaan kalimah syahadah berdasarkan situasi-situasi yang hampir sama dengan kisah Al-Jariyyah tersebut di mana dalam situasi-situasi tersebut juga, Rasulullah s.a.w. bertanyakan kalimah syahadah untuk menilai keislaman seseorang.

Antaranya:-


Hadith Pertama:


عن الشريد بن سويد الثقفي قال قلت يا رسول الله إن أمي أوصت أن نعتق عنها رقبة وعندي جارية سوداء قال: ادع بها فجاءت فقال: من ربك؟ قالت: الله ، قال: من أنا ؟ قالت: أنت رسول الله ، قال: أعتقها فإنها مؤمنة

Maksudnya: Daripada As-Syarid bin Suwaid As-Saqofi bahawasanya beliau berkata: "Saya berkata: "Wahai Rasul Allah. Sesungguhnya ibuku telah mewasiatkan kepadaku untuk memerdekakan bagi pihaknya seorang hamba sahaya dalam masa yang sama saya mempunyai hamba perempuan yang berkulit gelap." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawakan dia ke mari".

Setelah hamba perempuan tersebut datang lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Siapa tuhan kamu?" Hamba perempuan itu menjawab: "Allah". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Siapa pula aku?" Hamba perempuan itu menjawab: "Kamu adalah utusan Allah". Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Merdekakanlah dia kerana sesungguhnya dia seorang yang beriman".


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban dalam sahihnya (1/418-419).

Hadith Kedua: Juga lafaz hadith yang sama dengan riwayat Imam Ibn Hibban tentang kisah As-Syarid dengan hamba perempuannya tersebut yang diriwayatkan juga oleh Imam An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra 6/252.

Hadith Ketiga: Juga dengan lafaz hadith yang sama dengan riwayat Imam Ibn Hibban dan An-Nasa'ie yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya.

Hadith Keempat: Hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Darimi dalam sunannya daripada kisah As-Syarid juga dengan lafaz pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba tersebut:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu bersaksi (mengakui) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah?".


Sekian hadith ini juga menunjukkan kuatnya lafaz pertanyaan kalimah syahadah dalam hadith Al-Jariyyah versi Mu'awiyyah bin Al-Hakam yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan sebagainya.

Kesimpulan dan Tarjih

Berdasarkan sekurang-kurangnya lima jalan riwayat hadith Al-Jariyyah dengan lafaz kalimah syahadah atau siapa tuhan kamu (iaitu tawabie': jalan-jalan riwayat yang lain yang menguatkan sesuatu jalan), ditambahi pula dengan sekurang-kurangnya empat hadith yang menunjukkan asas ukuran keislaman dan keimanan seseorang adalah dengan kalimah syahadah (iaitu syawahid) dan empat riwayat yang menunjukkan kisah hamba perempuan As-Syarid r.a. yang menggunakan lafaz pertanyaan kalimah syahadah ataupun siapa tuhan kamu, menjadikan hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan kalimah syahadah adalah lebih kuat daripada hadtih Al-Jariyyah versi pertanyaan aina Allah (di mana Allah).

Berdasarkan penilaian ilmiah, tanpa ta'asub dengan kesesatan fahaman mujassimah, pasti seseorang pengkaji secara jelas mengetahui bahawasanya hadith Al-Jariyyah versi aina Allah (di mana Allah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim adalah marjuh (lemah dari sudut matannya walaupun sahih sanadnya) jika dibandingkan dengan sekian banyak hadith dengan banyak jalan riwayat yang menguatkan hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan tentang kalimah syahadah.

Di hamparan pengkajian ilmiah ini, justeru tiada lagi hujah bagi golongan mujassimah untuk menggunakan lafaz hadith Al-Jariyyah versi Aina Allah ini kerana jelas marjuh lagi syaz (bercanggah dengan riwayat yang lebih banyak lagi kuat) atau mudthorib (hampir sama maknanya dengan syaz dari sudut matan), melainkan berdasarkan faktor mengikut hawa nafsu mereka semata-mata untuk bersikap keras kepala dalam terus menjaja hadith Al-Jariyyah ini dalam menetapkan kesesatan fahaman Allah wujud bertempat ini.

Mereka sering bukan sahaja menggunakan hadith-hadith mengikut hawa nafsu mereka tanpa mizan (neraca) ilmiah yang sejahtera, malah turut menggunakan perkataan-perkataan sebahagian ulama' dengan kefahaman yang berbeza sebagaimana dengan kefahaman sebenar ulama' tersebut.

Sememangnya sudah jelas, lafaz Aina Allah itu sendiri menurut sebahagian besar ulama' ahlus-sunnah, merupakan suatu yang tidak layak ditujukan kepada Allah dengan makna hakiki, malah, lafaz aina Allah juga bercanggah dengan asas ukuran keislaman seseorang yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith mutawatir. Hadith riwayat Imam Muslim ini sekurang-kurangnya berdarjat ahad (diriwayatkan oleh tidak lebih tiga orang dalam satu peringkat masa) yang tidak boleh digunakan sebagai hujah setelah bertentangan dengan hadith mutawatir (yang diriwayatkan oleh lebih tiga orang dalam satu peringkat masa).

Imam Al-Kauthari membuat suatu kesimpulan yang menyeluruh dalam penelitian terhadap hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وراوي هذا الحديث عن ابن الحكم هو عطاء بن يسار وقـد اختلفت ألفاظه فيه ففي لفظ له: فمد النبي صلى الله عليه وسلم يده إليها وأشار إليها مستفهما مَن في السماء ... الحديث ، فتكون المحادثة بالإشارة على أن اللفظ يكون ضائعا مع الخرساء الصماء فيكون اللفظ الذي أشار إليه الناظم والمؤلف لفظ أحد الرواة على حسب فهمه لا لفظ الرسول صلى الله عليه وسلم ومثل هذا الحديث يصح الأخذ به فيما يتعلق بالعمل دون الاعتقاد حيث اشتمل على تشميت العاطس في الصلاة ومنع النـبي صـلى الله عليه وسلم عن ذلك ولم يخرجه البخاري في صحيحه وأخرج في جزء خلق الأفعال ما يتعلق بتشميت العاطس من هذا الحديث مقتصرا عليه دون ما يتعلق بكون الله في السماء وبدون أي إشارة إلى أنه اختصر الحديث.

Maksudnya: "Perawi hadith ini daripada Ibn Al-Hakam adalah 'Atho' bin Yasar. Lafaz hadith tersebut berbeza-beza. Ada lafaz yang berbunyi: "Rasulullah menunjukkan tangannya kepada perempuan tersebut lalu menunjuk isyarat kepadanya dengan membawa maksud siapa di langit… sehingga akhir hadith. Maka, terzahir bahawasanya dialog berlaku secara bahasa isyarat kerana penggunaan lafaz gugur dengan sebab berinteraksi dengan seorang hamba perempuan yang bisu. Maka lafaz yang digunakan oleh penulis hadith adalah lafaz yang diolah oleh salah seorang perawi hadith ini berdasarkan kefahamannya terhadap situasi tersebut, bukan lafaz Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

"Hadith sebegini hanya boleh digunakan dalam masalah amal, bukan masalah aqidah. Ini kerana, dalam hadith ini mengandungi perbuatan mengucapkan ucapan kepada orang yang bersin di dalam solat lalu Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan tersebut.

"Imam Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari walaubagaimanapun, ada meriwayatkan hadith tentang tasymit (ucap yarkamkaLlahi) bila seseorang bersin tanpa meriwayatkan sebarang penambahan hadith yang menceritakan tuhan di langit, dalam juz'u khalq al-af'alnya (risalah himpunan hadith-hadith dalam perkara cabang iaitu berkaitan penciptaan perbuatan makhluk yang dihimpunkan oleh Imam Al-Bukhari) tanpa sedikitpun menunjukkan hadith tersebut dipendekkan". (Ta'liqat Al-Kauthari 'ala As-Saif As-Saqil pada komennya terhadap hadith Al-Jariyyah tersebut).

Di sini, Imam Al-Kauthari telah membuat suatu kesimpulan yang ringkas dan padat yang mencakupi hampir kesemua perbahasan dalam risalah ini.

Pertama: Beliau menguatkan pendapat bahawasanya hamba perempuan tersebut seorang yang bisu. Maka, kemungkinan bagi beliau, dialog antara Rasulullah s.a.w. dengan hamba perempuan tersebut adalah dengan isyarat.

Ataupun, dialog tersebut berlaku dengan lafaz daripada Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut dan hamba perempuan tersebut menjawabnya dengan isyarat.

Jika kemungkinan yang kedua ini (iaitu Rasulullah s.a.w.) berinteraksi dengan hamba perempuan tersebut dengan lafaz, maka lafaz yang paling rajih (kuat) yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah lafaz pertanyaan tentang kalimah syahadah (adakah kamu mengakui tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah?) berbanding lafaz aina Allah berdasarkan banyak hujah yang disebutkan sebelum ini.

Pendirian Imam Al-Kauthari dan sebahagian ulama' lain bahawasanya kedua-dua pihak (Rasulullah s.a.w. dengan hamba perempuan) tersebut berinteraksi dengan isyarat untuk membuat kesimpulan bahawasanya lafaz hadith yang berbeza-beza daripada sanad yang berbeza-beza tersebut adalah olahan semula perawi-perawi hadith dalam menggambarkan perisitiwa tersebut.

Saidina Mu'awiyyah yang meriwayatkan peristiwa ini dengan lafaz di mana Allah adalah berdasarkan kefahamnnya terhadap situasi yang berlaku tersebut, dalam masa yang sama beliau sendiri masih baru memeluk Islam dan tidak mahir dalam penggunaan lafaz yang sesuai bagi Allah s.w.t., sebagaimana yang dinilai oleh Imam An-Nawawi yang akan dibincangkan kemudian.

Kedua: Walaupun situasi yang berlaku adalah dialog, iaitu hamba perempuan tersebut tidak bisu, maka yang rajih tetap adalah pertanyaan kalimah syahadah berdasarkan tawabi'e (riwayat-riwayat yang saling menguatkan dalam konteks yang sama) dan syawahid (hujah-hujah daripada hadith-hadith yang laing yang menguatkan konteks atau bentuk hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan kalimah syahadah tersebut).

Ketiga: Kesimpulan oleh Imam Al-Kauthari juga mencakupi perbahasan di mana hadith Al-Jariyyah ini hanya sesuai dijadikan panduan dalam masalah syariat sahaja, iaitu tidak boleh berkata-kata dalam solat, dan tidak boleh dijadikan hujah dalam masalah aqidah.

Hal ini kerana, dalil yang digunakan dalam masalah aqidah mestilah qat'ie yang membawa kepada keyakinan, sedangkan kedudukan hadith Al-Jariyyah ini, tidak membawa kepada keyakinan, terutamanya lafaz aina Allah tersebut. Hal ini kerana:

- Banyak mengandungi lafaz yang saling bercanggah antara satu sama lain membuatkan ianya kembali kepada pengaruh perawi dalam hadith tersebut.

- Hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim dikatogorikan sebagai muttharrib (iaitu menyalahi yang lebih kuat) dari sudut matannya.

- Hadith Al-Jariyyah adalah hadith ahaad yang bertentangan dengan konsep yang disebutkan dalam hadith-hadith mutawatir.

Keempat: Imam Al-Kauthari menyebutkan bahawasanya, Imam Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dalam kitab sahihnya. Kalaulah hadith ini sangat penting untuk dijadikan dalil dalam masalah aqidah, pasti Imam Al-Bukhari sendiri akan meriwayatkannya.

Menurut Imam Al-Kauthari lagi, Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan sebahagian daripada hadith ini, iaitu tentang larangan terhadap berkata-kata atau mengucap yarhamkallah ketika solat dalam juzu' khalq al-af'al, suatu risalah kecil yang menghimpunkan hadith-hadith mengenai sesuatu bab yang cabang. Ia dikatakan oleh sebahagian ulama', sebagai bahagian yang dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari daripada kitab sahihnya.

Pun begitu, menurut Imam Al-Kauthari, Imam Al-Bukhari tidak meriwayatkan pun mengenai kisah Al-Jariyyah tersebut yang membawa kepada kepercayaan tuhan bertempat di langit dalam juzu' tersebut. Ini menunjukkan bahawasanya, hadith Al-Jariyyah tersebut bukanlah sandaran dalam masalah aqidah itu sendiri.

Bahkan, Imam Muslim sendiri tidak meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dalam bab Al-Iman, tetapi dalam باب تحريم الكلام في الصلاة"" (bab Haram Berkata-kata dalam Solat) dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawasanya Imam Muslim sendiri menggunakan hadith ini dalam masalah amal, bukan dalam masalah aqidah kerana hadith Al-Jariyyah ini sememangnya diketahui mempunyai banyak lafaz yang berbeza-beza yang tidak boleh dijadikan dasar bagi masalah aqidah.

Hanya mereka yang jahil tentang manahij Imam Muslim sahaja terlalu sibuk berhempas-pulas menjadikan hadith Al-Jariyyah ini dalam menetapkan tempat bagi Allah s.w.t. yang melibatkan masalah aqidah.

Oleh yang demikian, kesimpulannya, aqidah Islam itu sendiri menyucikan Allah s.w.t. daripada "bertempat" dan hadith Al-Jariyyah yang mempunyai pelbagai penilaian dari pelbagai sudut yang akhirnya dinilai sebagai marjuh tidak boleh dijadikan dalil untuk menetapkan fahaman Allah bertempat ini. Ini kerana, selain daripada matannya muttharrib dan syaz menurut sebahagian ulama', ianya juga hadith ahaad yang tidak boleh dijadikan sandaran dalam masalah aqidah terutamanya jika bersifat zhonni. Ini suatu manhaj ilmiah yang jelas di sisi ahli ilmu. Hanya mereka yang jahil dan ta'asub sahaja cuba mengingkarinya.

Ditulis Oleh : Mukhlis 101

Tiada ulasan:

Catat Ulasan