Halaman

Rabu, 7 Januari 2009

Kepentingan Sanad dalam Sistem Pembelajaran Islami dan Periwayatan Warisan Islam (Turath Islami) Bab 2

Perkataan Para Ulama' Tentang Kepentingan Sanad

Perkataan Imam Az-Zuhri r.a. (124 H)

روى الأمام احمد بسنده عن عتبة بن أبي حكيم قال : سمع الزهري إسحاق بن عبد الله يقول : قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم ) : فقال الزهري : ( قاتلك الله يا بن أبي فروة ، ما أجرأك على الله إلا تسند حديثك ؟ تحدثنا بأحاديث ليس لها خطم ولا أزمة ) (معرفة علوم الحديث للحاكم : ص6).

Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya, daripada 'Utbah bin Abi Hakim yang berkata bahawasanya Az-Zuhri mendengar Ishaq bin Abdillah bin Abi Furah berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w.." Maka Az-Zuhri berkata: "Binasalah kamu wahai Ibn Abi Furah. Tergamakkah kamu melampaui ke atas Allah, melainkan hendaklah kamu menyandarkan hadith kamu tersebut (dengan sanadnya). Kamu meriwayatkan hadith tanpa sebarang rujukan dan sumbernya. (Makrifah Ulum Al-Hadith: 6)


Perkataan Imam Abdullah bin 'Aun r.a.:

روى ابن أبي حاتم الرازي بسنده عن عبد الله بن عون ، انه كان يقول ( لا يؤخذ هذا العلم إلا عمن شهد له بالطلب )( الجرح والتعديل : 1/قسم 1 ، ص28).

Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengansanadnya kepada Abdullah bin 'Aun bahawasanya beliau berkata: "Tidak boleh diambil ilmu ini (ilmu hadith dan ilmu agama) melainkan daripada orang yang telah diakui pernah menuntut sebelum itu (pernah meriwayatkan ilmu dari gurunya secara bersanad juga). (Al-Jarh Wa At-Ta'dil 1/ 28)


Perkataan Imam Al-Auza'ie r.a. (m: 157 H)

روى ابن عبد البر عن إلاوزاعي انه قال ( ما ذهاب العلم إلا ذهاب
الإسناد )( التهميد: 1/ 314).

Ibn Abdil Bar meriwayatkan daripada Imam Al-Auza'ie bahawasanya beliau berkata: "Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut). (At-Tamhid 1/314)

Perkataan Imam Syu'bah bin Al-Hajjaj (m: 160 H):

روى ابن أبي حاتم الرازي بسنده عن شعبة يقول : ( كنت انظر إلى فم قتادة، فإذا قال بالحديث : حدثنا ، عنيت به فوقفته عليه ، وإذا لم يقل حدثنا لم اعن به)( الجرح والتعديل : 1/قسم 1 ،ص32)

Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengan sanadnya kepada Syu'bah bahawasanya beliau berkata: "Aku melihat kepada mulut Qotadah. Jika dia membacakan hadith dengan menyebut: Haddathana (maksudnya, membaca hadith dengan menyebut sanadnya), maka aku akan menumpukan perhatian kepada apa yang sedang diriwayatkan. Namun, jika dia tidak menyebut haddathana (tidak menyebut sanad hadith), maka aku tidak akan menumpukan kepada apa yang sedang disebutnya. (Al-Jarh wa At-Ta'dil 1/32)


Perkataan Abu 'Ali Al-Jiyyani

Beliau berkata:
Allah s.w.t. mengkhususkan kepada umat ini (umat Islam) akan tiga perkara yang dia tidak pernah berikan kepada umat terdahulu iaitu: isnad (sanad ilmu dan hadith), penjagaan nasab dan kaedah tatabahasa Arab yang agung.

Perkataan Ibn Mubarak r.a.:

Imam Abdullah bin Al-Mubarak berkata:

قال عبد الله بن المبارك : " الإسناد عندي من الدين ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء ، فإذا قيل له من حدثك ؟ بقي "

"Isnad (sanad) menurutku adalah agama. Kalaulah tanpa sanad, sesiapa sahaja akan bercakap apa sahaja (dalam urusan agama). Jika ditanya kepadanya "siapa yang menyampaikan kepadamu (meriwayatkan kepadamu hadith-hadith dan ilmu agama), nescaya dia akan kebingungan (tidak mengerti kerana tidak pernah mempuyai sanad).


Beliau berkata lagi:

وقال أيضاً : " بيننا وبين القوم القوائم " يعني الإسناد

Antara kami dengan kaum (para ulama' yang meriwayatkan ilmu dan hadith) adalah ikatan, iaitulah sanad.


Perkataan Ibn Sirin

Dalam Muqoddimah Sahih Muslim (1/15), Imam Muslim meriwayatkan dari Muhammad bin Sirin rahimahullah, “Isnad itu sebahagian dari agama, jika tidak kerana isnad, maka sesiapa akan berkata apa saja yang dikehendaki (dalam urusan agama tanpa ilmu mendalam tentangnya)”

Beliau berkata lagi:

"
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم ".

Ilmu itu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu (ilmu agama tersebut).


Perkataan Imam Sufiyan At-Thauri r.a.:


وقال الثوري : " الإسناد سلاح المؤمن ، إذا لم يكن معه سلاح فبأي شيء يقاتل ".

Ibnu Hibban menukilkan dari Sufyan at-Thauri dalam Muqoddimah Al-Majruhin 1/27: “Isnad adalah senjata bagi orang beriman, jika tanpa senjata, bagaimana dia mempertahankan diri?”

Keagungan Tradisi Ilmu Islam

Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan menjadikan sistem talqqqi sebagai nadi bagi penyebaran ilmu Islam. Ilmu-ilmu Islam disebarkan secara talaqqi di mana seorang murid mengambil ilmu tersebut dengan kaedah "pertemuan" dengan gurunya dalam rangka untuk mewarisi ilmu-ilmu Islam secara riwayah dan dirayah.

Sistem talaqqi ini bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi di mana Baginda s.a.w. mengambil Al-Qur'an secara bertalaqqi kepada malaikat Jibril a.s.. Lalu, para sahabat meriwayatkan ajaran dan panduan dalam memahami Al-Qu'ran daripada hadith-hadith Nabi s.a.w. yang diriwayatkan secara talaqqi daripada Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Al-Qur'an diriwayatkan secara mutawatir iaitu diriwayatkan secara beramai-ramai sehingga tidak ada keraguan lagi dalam keaslian teks Al-Qur'an yang diriwayatkan melalui ramai para huffaz (penghafaz Al-Qur'an tersebut).

Namun, hadith-hadith Rasulullah s.a.w. kebanyakkannya diriwayatkan secara perorangan (individu-individu tertentu) sehingga terkadang boleh membawa kepada keraguan dalam isi hadith yang diriwayatkan oleh perawi hadith tersebut. Maka, timbullah kaedah penelitian terhadap sanad-sanad periwayatan hadith dalam meneliti keadaan perawi hadith itu sendiri bagi memastikan ketulenan hadith-hadith Nabi s.a.w..

Setelah itu, munculnya zaman pembukuan hadith-hadith dan ilmu Islam, maka para musnid (ulama' yang membukukan hadith-hadith dalam buku-bukunya) menghimpunkan hadith-hadith yang diriwayatkan secara bersanad lalu ditulis di dalam musnad mereka (kitab himpunan hadith mereka) lelu menyebarkan musnad mereka kepada murid mereka dengan kaedah periwayatan hadith yang muktabar dalam ilmu mustolah hadith.

Murid-murid kepada ulama' yang menghimpunkan hadith-hadith dalam buku mereka meriwayatkan kepada murid-murid mereka pada generasi seterusnya dengan penuh teliti terhadap keaslian isi kandungan musnad-musnad guru mereka tersebut, samada meriwayatkannya secara "guru membaca kepada murid" ataupun murid membaca dan guru menyemak bacaan tersebut".

Setelah itu, pembukuan ilmu-ilmu Islam yang lain turut berkembang dalam pelbagai bidang ilmu yang lain seperti ilmu aqidah, tafsir, fiqh dan sebagainya. Namun, tradisi meriwayatkan buku-buku tersebut tetap tidak terlepas daripada manhaj talaqqi secara bersanad, bagi memastikan murid-murid mendapat isi kandungan asli buku-buku tersebut dan memastikan murid-murid tersebut memahami isi kandungan buku-buku tersebut, dengan melalui syarahan ulama'-ulama' penulis buku-buku tersebut.

Sistem talaqqi terus dipelihara dan dijadikan manhaj tradisi ilmu Islam dalam memelihara keaslian warisan ilmiah Islam (turath). Para ulama' salafus-soleh amat mengambil berat tradisi mewariskan turath Islami secara bersanad melalui manhaj talaqqi dalam tradisi pembelajaran dalam umat Islam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan