Halaman

Ahad, 18 Januari 2009

Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 8

PERBAHASAN KEEMPAT

LINTAH DALAM PEMAKANAN


Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;

1) Makanan dan Minuman di dalam Islam

2) Khasiat yang diperoleh daripada lintah

3) Produk Lintah yang dihasilkan

4) Hukum Memakan Lintah (Pendapat Fuqaha)

5) Binatang yang boleh dimakan

6) Memakan Lintah yang berubah unsur

7) Kesimpulan Perbahasan



Makanan dan Minuman di dalam Islam

1) Firman Allah Taala[65]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ .إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Semua manusia di mana-mana sahaja bersepakat mengenai kewajipan memelihara tatacara pemakanan, minuman, berpakaian dan lain-lain lagi yang menjadi satu fitrah kepada manusia dalam mengaturnya. Bagi setiap individu ada makanan yang dimakannya dan ada yang perlu ditinggalkannya. Setiap kelompok masyarakat mempunyai cara tersendiri untuk menilai makanan dan minuman yang memberi manfaat dan membawa kemudaratan kepada mereka. Ada yang menjadikan agama masing-masing sebagai penilai, ada yang menjadikan pengalaman dan kajian, ada yang menjadikan perubatan dan bermacam-macam lagi penilai untuk mencapai matlamat masing-masing untuk mendapat makanan dan minuman yang baik untuk kehidupan masing-masing.

Segala usaha dan penilaian yang menyibukkan ini akan menjadikan manusia melupai Allah sedikit atau banyak. Kesannya akan menyebabkan hati dicemari dengan kekotoran dan terputus hubungannya dengan Allah Taala. Racun yang memasuki hati ini wajib diubati. Oleh sebab itu maha bijaksana Allah apabila memerintahkan untuk mensyukuriNya selepas memperoleh segala makan minum yang diinginkan. Allah juga mengkhususkan makanan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dimanfaatkan oleh manusia kerana sebahagian daripada binatang-binatang yang dimakan akan memberi kesan kepada akhlak emosi seseorang insan. Perkara tersebut telah diakui oleh tokoh-tokoh perubatan sendiri mengenai akhlak manusia yang memakan khinzir, monyet dan sebagainya. Bagi orang yang beriman, penilaian yang diberikan oleh Allah dan Rasulnya merupakan penilaian yang paling tepat dan wajib untuk ditaati[66].

Oleh itu, peranan khalifah Allah yang dipertanggungjawab oleh Allah kepada manusia di muka bumi ini bukan hanya semata-mata urusan solat, puasa, haji, zakat dan seumpamanya yang merupakan ibadat itu sendiri akan tetapi menjadikan pelaksanaan setiap inci kehidupan di muka bumi Allah ini mengikut neraca yang Allah inginkan juga merupakan satu kewajipan. Jika hati dan dada kita diberi petunjuk untuk memahami dan menghayati isi dan ajaran Al-Quran itu sendiri. Maha benar apa yang Allah firmankan[67];

مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Khasiat yang diperoleh daripada lintah

Kebanyakan minuman atau makanan yang dihasilkan melalui lintah adalah bertujuan khasiat kebatinan bagi mereka yang telah berumah tangga.

Produk Lintah (Contoh Malaysia)

1) Tapa Cafe

2) Minyak Lintah Tapa

3) DDslim

4) Tapa Teruna Juice

5) Ekstrak serbuk

6) Ekstrak serbuk

7) Ekstrak cecair


Hukum memakan lintah (Pendapat Ulama dan Fuqaha)

Perbahasan di sini dipecahkan kepada dua bahagian;



i) Haiwan yang boleh dimakan dan diharamkan

Para Fuqaha memberikan kaedah untuk menilai makanan yang diharamkan untuk dimakan oleh kaum Muslimin. Kaedah ini dikeluarkan daripada firman Allah dan sunah baginda Nabi ;

1) Makanan memberi mudarat kepada tubuh.

2) Memberi mudarat kepada akal.

3) Sesuatu yang jijik pada pertimbangan mereka yang sihat emosinya.

Berkata Ibn Qudamah: “Apa yang dikata elok oleh Arab maka ianya halal kerana firman Allah[68];

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik

Iaitu apa yang dianggap baik dan elok oleh mereka selain daripada yang telah dihalalkan. Juga beralasan dengan dalil lain[69];

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang Dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,

Jika Allah ingin maksudkan makanan yang telah dihalalkan, maka ayat ini tidak menjadi jawapan kepada persoalan.

Juga sesuatu yang dianggap jelik oleh Arab hukumnya haram. Berdasarkan firman Allah Taala;

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: dan mengharamkan kepada mereka Segala benda yang buruk;

Mereka yang diiktiraf dan diguna pakai untuk diterima tanggapan baik dan jeliknya sesuatu ialah bangsa Arab Hijaz yang tinggal di kota. Ini kerana Al-Quran mula-mula diturunkan kepada mereka dan mula-mula mendapat mendengar hadis Nabi, maka dirujuk setiap ucapan Al-Quran dan Sunah kepada adat dan uruf mereka tidak selain mereka. Tidak boleh menilai perasaan Penduduk Hijaz yang tinggal di kampung-kampung kerana disebabkan darurat atau kelaparan mereka makan apa sahaja yang mereka temui”.

4) Benda-benda Najis

5) Daging binatang buas yang berkaki empat dan juga burung

6) Haiwan jinak yang mempunyai kuku. Seumpama keldai

7) Haiwan-haiwan yang dituntut oleh syarak untuk membunuhnya

Ini merupakan tujuh kaedah dalam menentukan sesuatu makanan halal dimakan atau tidak. Berhubung tentang hukum memakan lintah, Imam Dumairi berkata: “Haram memakan lintah”[70]

ii) Memakan lintah yang berubah unsur

Berubah Unsur (الاستحالة): “Perubahan sesuatu kepada sesuatu yang lain pada sudut hakikat atau sifatnya”. Contohnya arak yang bertukar menjadi cuka. Arak haram. Cuka halal.

Di dalam istilah ahli kimia: “Tindak balas kimia mengubah satu unsur kepada unsur yang lain”. Seumpama minyak dan lemak bertukar menjadi sabun.

Proses perubahan unsur ini boleh berlaku dalam lima keadaan;

1) Perubahan dari unsur dengan sendirinya. Seumpama arak menjadi cuka.

2) Larut di dalam bahan lain (الاستهلاك): Seumpama arak masuk ke dalam benda cecair yang lain. Unsur arak hilang sama sekali, terlarut di dalam cecair tersebut[71]. Jika seseorang meminum air tersebut, dia tidak dikatakan meminum arak.

3) Perubahan unsur dengan api. Contoh najis yang dibakar sehingga menjadi debu.

4) Perubahan disebabkan kelamaan atau bercampur dengan bahan-bahan lain. Contoh seperti najis binatang yang menjadi tanah.

5) Perubahan unsur dengan tindak balas kimia. Contoh seperti minyak najis dijadikan sabun, tulang bangkai dijadikan krim.

Di dalam situasi ini, maksud perubahan unsur ialah, lintah diproses dijadikan bahan di dalam makanan tertentu atau minuman tertentu.

Hukum Syarak mengenainya

Terdapat beberapa contoh yang dibawakan oleh Fuqaha berhubung perubahan unsur daripada haram kepada halal yang menjadi kesepakatan mereka. Contohnya;

i) Arak bertukar dengan sendirinya menjadi cuka

ii) Darah kijang menjadi kasturi

iii) Darah manusia bertukar menjadi susu ibu

iv) Kulit bangkai menjadi bersih dengan disamak dan lain-lain.

Terdapat beberapa perkara menjadi khilaf di kalangan fuqaha seumpama;


i) Asap dari najis itu bersih di sisi Hanafiah, tidak pada Syafieyah.

ii) Bangkai tikus, khinzir atau apa-apa binatang jatuh ke dalam garam dan menjadi garam. Halal di sisi Hanafiah tidak pada syafieyah.

iii) Minyak najis yang bertukar menjadi sabun. Bersih di sisi Hanafiah tidak pada syafieyah.

iv) Krim daripada bangkai binatang. Bersih pada kebanyakan fuqaha.

v) Susu daripada haiwan yang memakan najis. Bersih mengikut jumhur ulama kerana telah berlaku perubahan unsur dari makanan yang najis kepada darah kepada susu.

vi) Tanah yang najis dibuat tembikar atau bata.

Apa yang boleh disimpulkan di sini. Sesungguhnya terdapat perselisihan di kalangan Fuqaha berhubung perubahan unsur benda najis selain arak kepada unsur lain.

Hanafiah, Malikiah dan Ahmad pada satu riwayat: Benda-benda najis menjadi bersih dengan proses perubahan unsur.

Syafieyah, Ahmad pada pendapat terkuat dan Abu Yusuf: Benda-benda najis tidak akan menjadi bersih dengan proses perubahan unsur kecuali arak sahaja. Itu pun jika arak berubah menjadi cuka dengan sendirinya. Begitu juga pengecualian kepada kasturi dan darah menjadi susu.

Pendapat Terkuat[72] di dalam masalah ini adalah pendapat hanafiah. Ini kerana perkara ini bukan perkara ibadat akan tetapi perkara adat. Jika begitu segala hukum ada berputar pada paksi hakikat perkara tersebut sama ada masih mengekalkan unsur najis atau tidak[73].

Hujah yang dipegang di dalam mempertahankan pendapat tersebut;

i) Hadis riwayat at-Tirmizi berkenaan telaga al-Bidoa’h yang dilempar di dalamnya tuala haid wanita, anjing dan kotoran;

الْمَاء طَهُور لَا يُنَجِّسهُ شَيْء

Maksudnya: Air yang bersih, tidak suatu apa pun yang mampu menjadikannya najis.

Jika arak yang dikatakan sebagai ibu segala kotoran mampu menjadi bersih dengan perubahan unsur. Maka lebih patut dengan hukum tersebut kepada selain arak. Tidak menjadi masalah sama ada perubahan itu dengan sendirinya atau dengan faktor yang lain. Ini kerana hakikatnya telah berubah sama sekali.

Di dalam masalah lintah, hakikat perubahan unsur atau tidak wajib diserahkan kepada mereka yang berkeahlian dalam soal tersebut. Jika benar berlaku perubahan unsur dari lintah kepada makanan. Maka ia menjadi halal mengikut pendapat Hanafiah, Malikiah, Hanabilah dan Ulama kontemporari yang mempertahankan pendapat ini. Allahu A’lam

Masalah yang seumpama ini yang pernah dibahaskan oleh Ulama ialah menggunakan darah binatang di dalam makanan dan perubatan, Dari sel darah merah itu diambil proteinnya untuk dimasukkan ke dalam semua jenis makanan seumpama roti, susu dan menambahkan kualiti dan khasiat kepada makanan-makanan lain. Hukum mengenainya jelas halal jika secara pasti perubahan unsur itu berlaku. Jika tidak, haram untuk memakannya[74].

Kesimpulan Perbahasan

1) Haram memakan lintah

2) Harus memakan lintah yang di ekstrak jika secara pasti berlaku proses perubahan unsur kepada makanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan