Halaman

Khamis, 1 Januari 2009

Adakah Hanya Mahir llmu Hadith Sudah Boleh Berfatwa? 2

Al-Qodhi 'Iyadh r.h.l. meriwayatkan, Ibn Wahab r.h.l. juga pernah berkata:

"Andai Allah s.w.t. tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan Al-Laith r.h.l., nescaya saya akan sesat."
Beliau ditanya: "Mengapa begitu?" Beliau menjawab: " Saya telah menghafal banyak hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian, saya pergi ke Imam Malik dan Al-Laith untuk bertanya mengenainya, maka mereka berkata kepada saya: "Hadis ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah, dan hadis yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya)."[5]


Sufian bin 'Uyainah pernah berkata:
"Hadis itu menyesatkan kecuali kepada Al-Fuqoha' (ulama' ahli Fiqh). Kadangkala, suatu hadis itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta'wilannya. Kadangkala, sesuatu Hadis itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga Hadis yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam Fiqh (kefahaman)."[6]


Ibn Rusyd r.h.l. pernah ditanya tentang kata-kata: "
Hadis itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh". Beliau ditanya lagi: "Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai Hadis terlebih dahulu.?!" Beliau menjawab: "Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah (sallallahu'alaihi wasallam), ia merupakan kata-kata Ibn 'Uyainah r.h.l. dan ahli-ahli Fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadangkala, sesuatu hadis itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga Hadis yang Nasikh dan Hadis yang Mansukh (tidak digunakan lagi). Kadangkala pula, ada hadis yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (Tasybih). Ada juga hadis yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli Fiqh sahaja. Barangsiapa yang hanya mengumpul hadis tetapi tidak memahaminya tidak dapat membezakan antara hadis yang maksudnya umum atau khusus. Oleh kerana itu, ahli Fiqh (Faqih) itu bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tdak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadis mahupun Fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli Fiqh (Faqih), walaupun dia mengumpul banyak Hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin 'Uyainah.[7]


Abdullah bin Mubarak r.h.l. pernah berkata mengenai fiqh Imam Abu Hanifah r.h.l.:
"Jangan kamu katakan fiqh ini (mazhab Imam Abu Hanifah) merupakan pendapat beliau, tetapi katakanlah, ia (mazhab Abu Hanifah) merupakan tafsiran bagi hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam).[8]


Sebahagian orang, hanya membaca matan-matan hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) sahaja, tanpa menghiraukan ulasan-ulasan ahli-ahli Fiqh yang bergiat secara khusus dalam mengkaji hadis-hadis tersebut, mengenai hadis-hadis tersebut.. Mereka berfatwa dan mengemukakan hadis-hadis yang diragui kesahihannya disisi Imam-imam terdahulu yang 'Alim, dalam masalah hukum dan percakapan mereka.

Kadangkala, mereka menolak ulasan-ulasan ulama'-ulama' yang 'Alim, mengenai kedudukan hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), dan bersangka buruk pula kepada ulama'-ulama' tersebut. Ada dikalangan mereka pula, yang melemparkan tohmahan yang buruk keatas ulama'-ulama' muktabar tersebut serta pengikut-pengikut mereka dan mengatakan bahawa mereka (ulama'-ulama' terdahulu dan pengikut-pengikutnya) jahil tentang hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam). Amat buruklah tohmahan mereka itu!

Imam Ahmad bin Hanbal r.h.l. pernah bekata (seperti yang diriwayatkan oleh anaknya Soleh r.h.l.):
"seseorang yang ingin memberi fatwa perlulah terlebih dahulu memahami keseluruhan Al-Qur'an, mengetahui sanad-sanad hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) dan mengetahui Sunnah-sunnah.[9]


Abdullah bin Ahmad bin Hanbal r.h.l. berkata,
"saya pernah bertanya kepada ayah saya (Ahmad bin Hanbal r.h.l.), tentang seorang pemuda yang memiliki banyak kitab-kitab mengenai hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam) dan himpunan kata-kata paa sahabat r.a. dan para tabi'in r.h.l., tetapi tidak mengetahui tentang kedudukan sesuatu hadis tersebut samada sahih atau sebaliknya, adakah dia boleh beramal sesuka hatinya? Ataupun, adakah dia layak memilih hadis mana yang dia mahu gunakan, dan memberi fatwa atau beramal dengannya? Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: "Tidak! Sehinggalah dia bertanya kepada ulama' mengenai hadis mana yang boleh digunakan. Kemudian, barulah dia boleh beramal dengannya (hadis yang disahkan kesahihannya oleh ulama' yang ditanya mengenainya)."[10]


Imam As-Syafi'e r.h.l. pernah menegaskan:
"Seseorang tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali dia mengetahui keseluruhan Al-Qur'an dan ilmu-ilmunya seperti nasikh dan mansukh, ayat muhkam dan mutasyabih, ta'wil dan tanzil, ayat makkiyah atau madaniyyah. Dia juga perlu mengetahui tentang hadis-hadis Nabi (sallallahu'alaihi wasallam), serta ilmu-limunya ('ulumul hadis) seperti nasikh dan mansukh, dan lain-lain. Setelah itu, dia juga pelu menguasai Bahasa Arab, Sya'ir-sya'ir Arab, dan sastea-sasteranya (kerana Al-Qur'an dan Hadis dalam Bahasa Arab dan mengandungi kesasteraannya. Setelah itu, dia juga pelu mengetahui perbezaan Bahasa Arab di kalagan setiap ahli masyarakat Arab. Jika dia sudah menguasai keseluruhan pekara-perkara tersebut, barulah dia layak memberi fatwa mengenai halal dan haram. Jika tidak, dia tidak layak untuk memberi fatwa."[11]


Khalaf bin Umar r.h.l. telah berkata:
"Saya mendengar Malik bin Anas (r.h.l.) berkata: "Saya tidak pernah duduk untuk memberi fatwa sehinggalah saya bertanya terlebih dahulu kepada orang yang lebih 'alim dari saya tentang kelayakan saya untuk berfatwa. Saya pernah bertanya terlebih dahulu kepada Rabi'ah (r.h.l.) dan Yahya bin Sa'id, sedangkan mereka menyuruh saya untuk berfatwa. Maka, saya menegaskan: "Wahai Aba Adullah, adakah tidak mengapa untuk saya berfatwa sedangkan kamu ada di sini?" Beliau menjawab: "Saya tidak layak berfatwa. Tidak layak bagi seseorang itu, menganggap dirinya layak untuk sesuatu perkara, sehinggalah dia bertanya kepada seseorang yang lebih mengetahui darinya."[12]

Maka, jelaslah berdasarkan kata-kata ulama'-ulama' salaf yang dinukilkan oleh Sheikh Habib Al-Kairanawi r.h.l., telah menolak pendapat orang-orang mewajibkan setiap orang untuk berijtihad. Kemungkinan, mereka tersalah faham terhadap perkataan-perkataan sesetengah ulama' dalam karangan-karangan mereka, padahal kefahaman yang salah itu, amat bercanggah dengan kefahaman jumhur ulama'. Kemudian, golongan tersebut memperjuangkan kefahaman yang salah ini, dan mengajak seluruh umat Islam mengikuti pendapat tersebut (walaupun pada hakikatnya amat bercanggah dengan kefahaman yang sebanar). Akhirnya, tejadilah kekacauan dan pertelingkahan dikalangan umat Islam, disebabkan oleh perjuangan terhadap fahaman yang salah ini (yang mewajibkan setiap orang berijtihad). Na'uzubillah min zalik.

Salah faham ini sebenarnya membawa kepada pepecahan dikalangan penuntut-penuntut ilmu dan akhirnya membawa kepada permusuhan dan saling jauh menjauhi antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan terputusnya tali persaudaraan yang Allah s.w.t. menyuruh umat Islam menyambungkannya (tali persaudaraan Islam).

Kita perlulah mempelajari ilmu dari ahli ilmu yang muktabar dari sudut ilmunya, bukan sekadar membaca buku-buku imiah tanpa dibimbingi oleh seseorang guru yang alim. Ini kerana, barangsiapa yang tiada guru yang membimbingnya dalam mendalami samudera ilmu Islam dalam kitab-kitab, maka syaitanlah yang akan menjadi pembimbingnya. Bahkan, para ulama' muktabar turut menyeru agar ilmu agama dipelajari oleh kaedah isnad, di mana kefahaman tentang agama Islam diambil dari para ulama' yang jelas sanad ilmunya bersambung kepada Rasulullah s.a.w.

Nas-nas di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah bagaikan bahan mentah bagi Syariat Islam. Ia perlulah diadun dengan acuan-acuan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu Asbabun Nuzul, Asbabul wurud, ilmu rijal, ulumul Qur'an, ulumul Hadis, usul Fiqh dan sebagainya. Sheikhuna As-Syarif, Al-Habib Yusuf Al-Hasani h.f.l. pernah menyebut bahawa "sesiapa yang tidak menguasai ilmu-ilmu tersebut, namun cuba mengamalkan hadis-hadis yang dibacanya tanpa bimbingan guru-guru yang alim, bagaikan mengambil daging mentah dari peti sejuk dan memakannya begitu sahaja. Bukankah ianya memudaratkan diri sendiri"

Jika kita dikalangan orang awam, bukan ahli ilmu, maka bertanyalah kepada orang yang 'alim, dan janganlah beijtihad sendiri terhadap nash-nash. Allah telah berfirman:


(( فسئلوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون))


Maksudnya: Bertanyalah kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui (akan sesuatu perkara).

Wallahu'alam



[1] Kitab "Tibyiidh As-Shohafiyyah" m/s 16
[2] Kitab "Jawahir Al-Mudhiyah" jilid 1 m/s 31
[3] Ibn Hibban, muqoddimah Kitab "Al-Majruhin"
[4] Ktab "Al-Intiqa' fi Fadhail Al-A'immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'" m/s 27-28
[5] Kitab "Tartib Al-Madarik" jilid 2 m/s 427
[6] Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, "Al-Jami'" m/s 118
[7] Abu 'Abbas Al-Wansyarishi "Al-Mi'yar Al-Mu'rab" jilid 12 m/s 314
[8] Kitab "Manaqib Al-Muaffaq Al-Makki" m/s 234
[9] Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah, "I'lamul Muaqi'iin", jilid 2 m/s 252
[10] Al-Faqih Shiekh Habib Ahmad Al-Kairanawi m/s 5, dipetik dari "I'lamul Muaqi'iin"
[11] Ibid m/s 6 dipetik dari kitab "Al-Faqih wal Mutafaqqih" karangan Al-Khatib Al-Baghdadi.
[12] Ibid m/s 6, dipetik dari kitab "Tazyiin Al-Mamalik" karangan Imam As-Suyuti m/s 7-8

Sumber : Http://Mukhlis101.Blogspot.Com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan