Halaman

Sabtu, 20 Disember 2008

Hukum Menggunakan Biji Tasbih

Hukum Menggunakan Biji Tasbih :


Soalan :

Adakah menggunakan biji tasbih dikira sebagai suatu yang bid'ah di dalam Islam atau ia sesuatu yang digalakkan oleh Syarak ?


Jawapan :

Membawa biji tasbih bukanlah satu ibadah, tetapi ia adalah sebahagian daripada adat. Tetapi membilang bacaan tasbih dan zikir dengan benda tersebut bukanlah sesuatu yang bid'ah, kerana RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam mengakui perlakuan seorang yang membilang bacaan tasbih dengan menggunakan anak batu atau biji tamar,

Biji tasbih termasuklah dalam kategori-kategori benda-benda itu, bahkan ia lebih baik daripada yang lain kerana kebersihan, penjagaan dan tidak mencemarkan suasana. Oleh itu, membawanya dan menjadikannya sebagai alat untuk mengira bacaan zikir adalah lebih baik daripada menggunakan benda-benda yang terkena najis atau kekotoran.

Untuk itu, saya ingin mengemukakan sebilangan dalil berhubung masalah ini :

1. sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At Tirmidzi daripada Safiyyah katanya : RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam pernah masuk untuk menemuiku dan di hadapan ku ada empat ribu biji-biji tamar yang aku gunakan untuk membilang tasbih dengannya, lalu baginda bersabda : "Engkau bertasbih dengan benda ini? Mahukah aku ajarkan kamu sesuatu yang lebih banyak daripada apa yang kamu jadikan untuk membilang tasbih dengannya?" Sofiah berkata: "Ajarkanlah daku". Maka RasuluLLah menyambung : Ucapkanlah :

SubhanaLLah 'adada kholqiHi

Yang boleh dijadikan dalil di sini ialah RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam tidakpun menegah perempuan tersebut daripada mengunakan biji-biji tamar itu untuk mengira tasbih, tetapi baginda hanya mengajar sesuatu yang lebih afdhal daripada itu. Sesuatu yang bukan afdhal bukan semestinya dikira bid'ah.

2. Abu Sofiyah , seorang bekas hamba yang dibebaskan oleh RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam dihampar untuknya hamparan dan dibawakan kepadanya satu bekas yang berisi anak-anak batu, lalu dia bertasbih dengan menggunakan anak-anak batu itu sehingga ke tengahari, kemudian diangkat hamparan. Apabila dia mengerjakan solat (zuhur), dibakan semula lalu dia bertasbih dengannya sehinggalah ke petan." Kisah diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitabnya Zuhud.

3. Ibnu Saad juga meriwayatkan di dalam kitabnya 'At Thabaqat bahawa Fatimah binti Husain bin Ali bin Abi Talib radiyaLLahu 'anhu pernah bertasbih dengan menggunakan benang yang disimpul padanya.

4. Imam Ahmad juga meriwayatkan di dalam kitabnya az Zuhud bahawa Abu Hurairah mempunyai seutas benang yang padanya terdapat dua ribu simpulan. Beliau tidak tidur sehingga beliau bertasbih (sebanyak itu).

Athar-athar (kata-kata dan perlakuan sahabat) berhubuung dengan masalah ini terlalu banyak. Tetapi ini sudah cukup untuk menyekat peluang supaya tidak menghukumkannya sebagai satu bid'ah.

Ibnu Taimiyyah menyatakan dalam Majmu' Fatawanya Jili 5, Hal 225 :

Adapun menghitung zikir dengan biji-biji tamar dan anak-anak batu dan yang sepertinya, maka itu suatu amalan yang baik. Sesungguhnya telah ada sebahagian sahabat RadiyaLlahu 'anhum yang mengamalkan cara ini. RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri telah melihat Ummu Mukminin radiyaLlahu 'anhum iaitu isteri-isterinya bertasbih dengan anak-anak batu, lalu Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam memperakuinya. Sebagaimana diriwayatkan sesungguhnya Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu telah bertasbih dengan anak-anak batu.


Di dalam athar : Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam kitabnya Tarikh al Kabir jilid 9, hal 99 ertinya :

Berkenaan Abu Sofiah, khadam RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam : "Diriwayatkan daripada Yunus bin Ubaid, beliau berkata kepada ibunya : "Apakah yang pernah engkau tengok mengenai amalan Abu Sofiah?" Jawab ibunya: "Aku telah melihat Abu Sofiah yang merupakan salah seorang sahabat RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dari golongan muhajirin, bertasbih dengan biji-biji tamar".
(Diriwayatkan juga oleh Imam Muslim, Imam Ibnu Abdul Barri, Imam Abu Hatim al Raazi, Al Hafiz Ibn Hajar al Asqolani dan Ibnu sa'ad)


Rujukan :

1. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

2. Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al Hafiz, Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadith Dan Ulama'Muktabar, Cetakan Pertama 2008, D'nonce Sdn Bhd, Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan