Halaman

Khamis, 18 Disember 2008

Adab Dalam Khilaf Ulamak 8

1 (Khilaf Yang Diterima)

Perbezaan yang berlaku dalam perkara-perkara yang disyariatkan itu berbagai-bagai, cuma ulama’ berbeza pendapat tentang yang lebih afdal dan patut diutamakan sahaja seperti haji Qiran, Tamaatu’ dan Ifrad. Setiap jenis haji ini sah dilakukan walaupun mereka berselisih pendapat tentang yang lebih afdal. Demikian juga menyaringkan Basmalah dan Memperlahankannya, kedua-duanya harus yakin tidak membatalkan solat walaupun sebahagian ulama’ mengatakan sunat membaca nyaring dan sebahagian ulama’ lain
menganggapnya makruh.

الخلاف المذموم . 2
(Khilaf Yang Dicela)

Terdapat khilaf yang keji lagi dicela. Ini berpunca daripada empat
sebab:

• Kejahilan
• Kezaliman dan penderhakaan
• Mengikut hawa nafsu
• Menyalahi manhaj nabawi dalam penerimaan hukum Syara’
dan cara mengamalkannya

الخلاف الساثغ المعقول . 3

(Khilaf Yang Harus Dan Dapat Diterima Akal)

Khilaf ini ialah perbezaan yang berlaku di kalangan ulama’ mujtahidin dalam masalah ijtihadiyyah iaitu masalah yang tidak terdapat nas qat’iy. Namun demikian khilaf ini dapat diterima dengan syarat-syarat berikut:

a. Hendaklah khilaf itu berlaku di kalangan ulama’ fiqh dan orang yang berkelayakan dalam agama

b. Hendaklah ijtihad dan khilaf mereka itu dalam masalah far’iyyah yang tiada dalil-dalil qat’iy berhubung dengan hukumnya

c. Hendaklah tujuan masing-masing untuk mencapai kebenaran dan yang betul

d. Setiap orang faqih itu telah mencurahkan seluruh tenaganya bagi mencapai kebenaran Khilaf seperti ini juga berlaku di kalangan para sahabat dan tabi’in, namun demikian tidak ada seorang pun dikalangan mereka dicela kerana perbezaan yang berlaku itu, ini disebabkan masing-masing bekerja unutk mencari kebenaran, kalau tersalah ketika menuntut dan mencari kebenaran itu mereka tidak dipersalahkan bahkan dimaafkan. Ini jelas daripada sabda baginda s.a.w :

“ إذا حكم فاجتهد ثم أصاب فله أجران ، واذا حكم فاجتهد ثم
أخطاء فله أجر “ ﴿حديث رواه البخارى مسلم﴾


Ertinya : “Apabila seorang hakim hendak menjatuhkan huku man, lalu ia berijtihd dan betul ijtihadnya, nescaya mendapat dua pahala, apabila tersalah ijtihadnya maka ia mendapat satu pahala”.

SEBAB-SEBAB KHILAF

Walaupun wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mujtahidin dan masing-masing menjelaskan hujah yang menjadi sandaran kepada setiap masalah yang dihasilkan oleh ijtihad mereka, tetapi perbezaan itu tidak sedikitpun membawa kepada pulau memulau, benci mereka tanpa mengetahui dalil-dalil sandaran hukum yang mereka ijtihadkan. Dalam pada itu mereka saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berlapang dada serta bertolak ansur dalam masalah yang mereka tidak boleh bersatu. Ini disebabkan tabiat masalahmasalah yang dalilnya tidak qat’iy, maka pasti akan berlaku khilaf.

Faktor-faktor khilafiyyah adalah seperti berikut:

Pertama : التفاوت فى العقل والفهم ولقدرة على تحصيل العلم
(Kemampuan Menguasai Ilmu Tidak Sama Dari Segi Akal Fikiran Dan Kefahaman)

Manusia berbeza sesama mereka dari segi paras rupa dan warna kulit dengan perbezaan yang nyata dan ketara. Mustahil terdapat dua orang yang serupa seratus peratus dalam semua keadaan walaupun mereka itu adalah sepasang adik-beradik kembar. Perbezaan ini sebenarnya adalah di antara tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t sepertimana firmanNya:

ومن ءايته خلق السموات والأرض واختلاف ألسنتكم وألوانكم، إن فى ذلك
﴾ لأيت للعالمين. ﴿سورة الروم : ٢٢


Ertinya : “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu” dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”.

Perbezaan sesama manusia tidaklah setakat rupa paras dan warna kulit sahaja bahkan perbezaan itu menjangkau jauh lebih daripada itu kepada bakat semulajadi, persediaan, kecenderungan, aliran, akal, kecerdikan, kepintaran, tabiat, naluri dan lain-lain sifat yang membentuk hakikat batin manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan