Halaman

Sabtu, 21 Disember 2019

ADAKAH BACAAN AL-FATIHAH DENGAN SUARA BERBISIK TIDAK SAH SOLATNYA ?


Jawapan oleh : Ustaz Syed Shahridzan


Mengenai bacaan al-Fatihah dengan suara berbisik, terdapat nukilan dari kitab ‘Hasyiah Al-Syubramullisi ‘ala al-Nihayah’ iaitu salah satu rujukan utama fiqh mazhab Syafi’ie:

( ﻗﻮﻟﻪ : ﻭﻳﺸﺘﺮﻁ ﺃﻥ ﻳﺴﻤﻊ ﻧﻔﺴﻪ ‏) ﺃﻱ ﻓﻠﻮ ﻫﻤﺲ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚ ﻟﻢ ﻳﺴﻤﻌﻪ ﻟﻢ ﻳﻌﺘﺪ ﺑﻪ ﻓﺘﺠﺐ ﺇﻋﺎﺩﺗﻪ .

Maksudnya: “Kata beliau: Disyaratkan mendengarkan dirinya (rukun qauli), iaitu jika dia berbisik dengan suaranya yang mana tidak memperdengarkan dirinya maka ia tidak dikira (sah), hendaklah dia mengulanginya.”

Menurut zahir kata-kata Sheikh Syubramullisi, jikalau bacaan al-Fatihah berbisik yg tidak didengari telinga sendiri maka tidak sah. Ini bermakna jikalau suara berbisik yang didengar di telinga sendiri hukum fatihahnya tetap sah.

Kesimpulannya menurut mazhab Syafi’ie, bacaan al-Fatihah di dalam solat dengan suara bisikan tetap sah, asalkan bacaan dengan suara bisikan itu didengari oleh telinga.

Fakta yang sama juga disebut dalam kitab Hasyiah al-Syarwani ‘ala al-Tuhfah dan Hasyiah al-Jamal ‘ala al-Manhaj. Oleh itu, fakta yg disebutkan dalam video ini adalah kurang tepat, ia memerlukan penjelasan yang lebih terperinci.

Walaubagaimana pun usaha al-Fadhil Ustaz Mohammad Asraff al-Hafiz memberi penjelasan dan kesedaran kepada ummah tentang betapa pentingnya bacaan al-Fatihah di dalam solat amatlah terpuji dan perlu diteruskan.

Saya sangat mengharapkan supaya lebih banyak video dari beliau agar kesedaran tentang kepentingan ilmu tajwid dan cinta al-Quran dapat dipupuk dalam jiwa masyarakat kita.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Sumber : https://m.facebook.com/582894800/posts/10157711395969801/?d=n

Sabtu, 7 Disember 2019

KOMPILASI JAWAPAN ISU KANAK-KANAK DALAM SAF SOLAT



1. Jawapan daripada Dr Khafidz Soroni :

https://m.facebook.com/sawanih/photos/a.558069754360335/600968816737095/?type=3

- Ada dalil yang sahih susunan saf untuk lelaki dewasa, kanak-kanak lelaki, wanita.

لِيَلِيَنِّي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ. (أخرجه مسلم وأبو داود والنسائي في الكبرى وابن ماجه)

"Hendaklah berdiri di belakangku dari kalangan kamu orang-orang yang matang/baligh dan faham/berakal, kemudian orang-orang yang hampir dengan mereka, kemudian orang-orang yang hampir dengan mereka”.

Bahkan ada diriwayatkan hadis dengan sanad hasan yang menyebut secara jelas susunan saf tersebut iaitu:

عَن أبي مَالك الْأَشْعَرِيّ قَالَ: أَلَا أُحَدِّثُكُمْ بِصَلَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقَامَ الصَّلَاةَ، وَصَفَّ الرِّجَالَ وَصَفَّ خَلْفَهُمُ الْغِلْمَانَ، ثُمَّ صَلَّى بِهِمْ. (رَوَاهُ أَبُو دَاوُد وَالْبَيْهَقِيّ بِإِسْنَاد حسن، قاله النووي في خلاصة الأحكام)

Daripada Abu Malik al-Asya‘ri RA katanya: “Mahukah aku khabarkan kamu tentang solat Nabi SAW, iaitu baginda mendirikan solat dan menyusun saf kaum lelaki dan menyusun di belakang mereka saf kanak-kanak, kemudian baru baginda mengimami mereka”. Dalam versi lain:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلِيهِ فِي الصَّلَاةِ الرِّجَالُ، ثُمَّ الصِّبْيَانُ، ثُمَّ النِّسَاءُ. (رَوَاه الْبَيْهَقِيُّ في السنن الكبرى وضَعَّفَهُ)

"Telah berdiri di belakang Rasulullah SAW di dalam solat, kaum lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian perempuan”. Sanad hadis ini daif, namun DIKUATKAN dengan hadis-hadis di atas.

- kanak-kanak lelaki (mumayyiz) hadir terlebih dahulu dan berada dalam saf dari orang lelaki dewasa.

- pandangan daripada ulamak muktabar mazhab asy Syafie seperti Imam An Nawawi (mujtahid fatwa mazhab Asy Syafie), Imam arRamli, Imam Ibnu Hajar al Haithami, Syeikhul Islam Zakariya al Ansari dan lainnya beserta kitab-kitab mereka.

2. Jawapan daripada Ustaz Syed Shahridzan
(ditujukan juga untuk adik yang bertanya dalam surat)

https://youtu.be/nKzGSXP6N4I

- kanak-kanak lelaki yang mumayyiz terlebih dahulu berada di saf hadapan memang berhak berada di situ.

- mendahulukan lelaki dewasa lebih utama untuk berada di saf hadapan (disertakan hadis sahih dan juga syarah dari Imam An Nawawi), ini juga sunnah.

- Dalam mazhab Asy Syafie dalam PANDANGAN MUKTAMAD - ketika iqamah dan kanak-kanak lelaki MUMAYYIZ dah berada di saf pertama maka tiada hak untuk keluarkan kanak-kanak itu dari safnya. Namun sunnah yang lebih utama adalah untuk lelaki dewasa.

- mengasingkan kanak-kanak lelaki BELUM MUMAYYIZ dari saf dewasa memang berlaku menurut pandangan ulamak dalam Kitab Fathul Bari oleh Ibnu Rajab (bukannya tiada) ini amalan sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.

- makruh meletakkan dudukkan sekali kanak-kanak BELUM MUMAYYIZ dan lelaki dewasa dalam satu saf.

- kena jaga bab taharah (kebersihan) di bahagian kemaluan bagi lelaki yang belum bersunat/berkhatan.

3. Jawapan daripada Ustaz Azhar Idrus

- Hukum bawa anak kecil ke masjid
https://youtu.be/esJVsDdBcQc

- Anak buat bising dalam masjid siapa yang salah ?
https://youtu.be/vswNzLhDgBE

4. Jawapan daripada Ustaz Abdul Somad

- Hukum membawa anak solat ke masjid
https://youtu.be/tawIPZ8RHeY

- Anak-anak bermain dalam masjid
https://youtu.be/C196DbriMxY

Selasa, 3 Disember 2019

Qasidah dan Syair memuji Rasulullah SAW – Dibolehkan atau Dilarang?



1-      Kita sedia maklum bagaimana orang-orang Arab sejak zaman Jahiliyah lagi tak dapat dipisahkan dengan bentuk kesenian dan kesusasteraan mereka seperti Syair dan Qasidah. Ini jelas apabila kita mempelajari sejarah Arab bahkan dalam Sirah Nabawiyyah juga ada disebutkan tentang perkara ini.

2-      Malah di dalam Al-Quran sendiri berulang perkataan ‘Syair’ dan sebuah surah dinamakan dengan as-Syu’ara yang bermaksud ‘para penyair’. Bermula dari ayat 224 di dalam surah tersebut kita dapati Allah SWT menyebut bahawa terdapat penyair yang beriman dan beramal soleh dan ada juga penyair yang tidak beriman dan berdusta.

3-      Maka jelas bahawa terdapat perbezaan di antara penyair dan syairnya yang diterima oleh Islam dengan penyair dan syairnya yang tidak diiktiraf di dalam Islam.

4-      Kita dapati para sahabat bersyair dan melantunkan qasidah di hadapan Baginda SAW dan Baginda akan mendengar, terkadang tersenyum dan terkadang memuji syair yang baik. Manakala Baginda akan membetulkan kalau ada syair yang salah dan tidak tepat.

5-      Zaman berzaman juga kita dapati para ulama begitu kreatif dan hebat dalam mengarang syair-syair dan qasidah yang memuji Rasulullah SAW. Ia bukanlah satu perkara yang pelik kerana syair dan qasidah yang memuji Rasulullah SAW telah pun ada pada zaman Baginda SAW sendiri.

6-      Kitab-kitab Hadith dan Sirah sendiri mengumpulkan pelbagai syair pujian terhadap Baginda SAW dikarang dan dideklamasikan oleh para Sahabat seperti Sayyiduna Hassan Bin Thabit RA, Abdullah Bin Rawahah RA, Abu Bakr as-Siddiq RA, Umar Bin al-Khattab RA, Ka’ab Bin Malik RA, Ka’ab Bin Zuhair RA, al-Abbas Bin Abd. Muttolib dan lain-lain.

7-      Syair dan qasidah yang memuji Baginda SAW ini dibacakan di hadapan Baginda SAW dan Baginda SAW tidak memarahi atau melarang. Bagaimanakah pula kita pada hari ni tidak suka atau melarang bacaannya?

8-      Oleh itu para ulama zaman berzaman mengambil contoh perbuatan para Sahabat RA dengan memuji Rasulullah SAW dalam bentuk syair dan qasidah. Syair dan qasidah ini dibukukan dan dibacakan malah disebarkan kepada masyarakat.

9-      Ada pihak yang kita dapati mempunyai ‘alahan’ dan tidak suka syair dan qasidah memuji Rasulullah SAW. Ada pula yang melarang dengan membawa dalil daripada  sebuah Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH:
لا تطروني كما أطرت النصارى ابن مريم
Maksudnya:
‘Jangan berlebihan memujiku sebagaimana orang-orang Kristian memuji berlebihan kepada Isa Bin Maryam AS’. 

10-   Sedangkan maksud Hadith di atas adalah – jangan memuji Rasulullah SAW dengan pujian yang salah iaitu mengangkat Baginda sehingga mencapai tahap ketuhanan seperti yang kita lihat di dalam terjemahan Hadith di atas iaitu potongan ‘sebagaimana orang-orang Kristian memuji berlebihan kepada Isa Bin Maryam AS’.

11-   Seeloknya kita pelajari maksud syair dan qasidah yang memuji Baginda SAW dan menghayati bagaimana para ulama memilih perkataan yang indah dan berirama untuk memuji manusia yang paling indah – Rasulullah SAW.



Adlan Abd Aziz
Timbalan Pengerusi ISLAMI Kebangsaan
*Tirmidhi Centre*

Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=438010053564599&id=173690323329908

BEZA SOLAT ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Jawapan diberikan oleh Ustaz Adlan Aziz

Sila rujuk : http://alitantawi.blogspot.com/2010/12/ulasan-tambahan-berkaitan-sifat-solat.html?m=1

1-Pertama, saya ingin ringkaskan pandangan yang disebut oleh Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam bukunya al-Majmu' yang merupakan antara rujukan utama dalam Fiqh Mazhab al-Syafie dan juga fiqh perbandingan dengan mazhab lain. Dalam buku ini kita dapati al-Nawawi telah menyebut tentang perbezaan solat lelaki dan solat perempuan. Beliau telah menukilkan pandangan Imam al-Syafie (wafat 204H). Mari kita lihat kesimpulan yang ada dalam buku al-Majmu' ini :

a-Secara keseluruhannya solat lelaki adalah sama saja dengan solat perempuan dari segi pergerakan solat.

b-Namun begitu terdapat beberapa perbezaan yang digalakkan menurut pandangan Imam al-Syafie iaitu:

-perempuan merapatkan dan tidak merenggangkan ketika dalam solat.
-ketika sujud, dirapatkan perut dan pehanya.
-merendahkan suaranya.
-menebalkan jilbabnya.
-merenggangkan jilbabnya ketika ruku' dan sujud untuk mengelakkan daripada dilihat bentuk badan dengan jelas.
-jika terganggu atau berlaku apa-apa, perempuan menepuk tangannya.
[al-Majmu', jilid 3, m.s. 495, cetakan Maktabah al-Irsyad, Jeddah]

2-Kedua, terdapat beberapa hadith yang sememangnya dhaif berkaitan perkara ini. Itu tidak menjadi soal kerana kedhaifan hadith tidak semestinya bermaksud perkara itu sesuatu yang salah. Pengkaji dan penuntut ilmu-ilmu Islam harus sedar bahawa para ulama mengeluarkan hukum dan cadangan serta fatwa bukan semata-mata berdasarkan hadith-hadith sahih, tetapi melihat pelbagai maklumat antaranya ialah - fatwa dan amalan generasi awal dari kalangan sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka.

3-Ketiga, oleh itu kita dapati persoalan perbezaan antara perbuatan lelaki dan perempuan dalam solat telah pun diungkapkan oleh sebahagian tokoh-tokoh ilmuan Islam terkemuka malah dari generasi awal. Saya ingin membawa analisis ringkas tentang apa yang disebutkan oleh Imam Abd. Razzaq al-Son'ani dalam bukunya yang terkenal - al-Musannaf - dalam jilid 3, m.s. 137 dan 138 [cetakan al-Maktab al-Islami, tahun1983]:

- Imam Abd. Razzaq telah menulis satu bab berkaitan 'cara wanita mengangkat tangan ketika takbir, juga cara wanita berdiri, rukuk dan sujud ketika solat'.

- Beliau telah membawa sejumlah 8 riwayat yang menunjukkan pendapat daripada : Saidina Ali Bin Abi Tolib, Ataa' Bin Abi Rabah, al-Hasan al-Basri, Qatadah dan Ibrahim iaitu dari kalangan para sahabat dan tabiin yang menunjukkan terdapat - beberapa perbezaan antara cara solat lelaki dan wanita.

- Ini menunjukkan bahawa para ulama selepas mereka yang membawa idea yang sama sebenarnya berpunca daripada generasi yang lebih awal. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, kita perlu hormati fatwa dan amalan generasi awal.

- Kita juga dapat melihat pandangan ini dibawa oleh Imam al-Syafie sebagaimana dinyatakan di atas tadi melalui buku al-Majmu' karya al-Nawawi.

4- Keempat, terdapat sebuah buku yang boleh kita jadikan sumber rujukan dalam hal berkaitan ini iaitu - al-Jami' Li Ahkam al-Nisaa' oleh Syeikh Mustafa al-Adwi. [Rujuk jilid 1, bermula muka surat 371, cetakan Dar al-Sunnah, tahun 1992], beliau telah menyenaraikan pelbagai hadith dan fatwa sahabat serta ulama tentang perbezaan solat antara wanita dan lelaki. Walaupun beliau menyatakan kedhaifan hadith-hadith yang berkaitan, namun beliau telah menilai sahih riwayat-riwayat dari tabiin dan ahli ilmu lain tentang perbezaan keadaan pergerakan solat lelaki dan wanita. Malah beliau menyatakan pula fatwa ulama terkemuka berkaitan hal ini, antaranya dari:

-Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.
-Ibn Qudamah dalam al-Mughni.
-al-Son'ani dalam Subul al-Salam.

Lalu syeikh Mustafa al-Adwi menyimpulkan bahawa terdapat 2 pandangan yang beliau temui berkaitan pergerakan solat wanita. Pertama, ia sama sahaja dengan lelaki. Kedua, ia berlainan pada beberapa tempat dan ini juga adalah diriwayatkan daripada para tabiin. Beliau menerima keduanya.

5-،Kelima, apabila direnungkan sepintas lalu apa yang telah dinyatakan di atas, adakah anda sanggup untuk menyatakan bahawa 'sesiapa yang membezakan solat lelaki dan wanita telah melakukan pembohongan dan berdusta ke atas Rasulullah s.a.w.'? Ini adalah satu sikap yang melampau dan keluar daripada topik perbincangan. Adakah ulama kita yang terdahulu begitu sekali sifatnya dan sikapnya?

Apa yang ditegaskan oleh sebahagian ulama ialah -

-sememangnya secara umumnya lelaki dan wanita sama sahaja dari segi pergerakannya dalam solat.

-namun mereka mencadangkan beberapa cara untuk wanita berdasarkan wanita perlu memelihara dirinya dari pandangan umum ketika solat. Ini termasuk ketika menunaikan solat di masjid-masjid sejak dulu hingga kini.

-tindakan dan pandangan mereka ini tidak langsung ada kaitan dengan istilah 'pembohongan' ke atas Rasulullah s.a.w. dan amat jauh sekali daripada maksud hadith yang disebut oleh penulis.

Semoga Allah SWT menyelamatkan ahli ilmu dan pencinta ilmu daripada sikap melampau. Amin.