CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Selasa, 27 Oktober 2015

BUBUR ASYURA


BUBUR ASYURA'

KEUTAMAAN ASYURA'

Tersebut di dalam kitab Mukasyafah al-Qulub hal.263 susunan Imam al-Ghazali disebutkan:

"Dan telah datang athar yang banyak pada keutamaan hari Asyura', antaranya (adalah kerana - pada hari tersebut):

Diterima taubat Nabi Adam عليه السلام; diciptakan Nabi Adam; Adam عليه السلام dimasukkan ke dalam syurga; ‘arasy, kursi, langit, bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang diciptakan; Nabi Ibrahim عليه السلام dilahirkan dan diselamatkan daripada api Raja Namrud; selamatnya Nabi Musa عليه السلام dan pengikutnya dari (dikejar fir’aun); tenggelamnya fir’aun dan tenteranya; Nabi ‘Isa عليه السلام dilahirkan dan diangkatkan ke langit; Nabi Idris عليه السلام diangkat ke tempat yang tinggi; berlabuhnya bahtera Nabi Nuh عليه السلام di atas bukit Judi; dikurniakan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام sebuah kerajaan yang besar; dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan; dikembalikan penglihatan Nabi Ya’kub (yang kabur sebelumnya); dikeluarkan Nabi Yusuf عليه السلام dari telaga; disembuhkan penyakit Nabi Ayyub عليه السلام dan hujan yang pertama diturunkan dari langit ke bumi.

Manakala di dalam Kitab Hasyiah I’anah al-Tolibin karangan Sayyid Bakri al-Syato hal.417/2, antara peristiwa-peristiwa yang terjadi pada hari Asyura' adalah ;

"Nabi Adam عليه السلام bertaubat kepada Allah dan taubat baginda diterima; Nabi Idris عليه السلام diangkat oleh Allah ke tempat yang tinggi; Nabi Nuh عليه السلام diselamatkan Allah keluar dari perahunya; Nabi Ibrahim عليه السلام diselamatkan Allah dari api Raja Namrud; Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa عليه السلام; Nabi Yusuf عليه السلام dibebaskan dari penjara; Penglihatan Nabi Yaakub عليه السلام yang kabur dipulihkan Allah kembali; Nabi Ayyub عليه السلام disembuhkan Allah dari penyakitnya; Nabi Yunus عليه السلام selamat keluar dari perut ikan Nun; Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah; Nabi Sulaiman عليه السلام dikurniakan kerajaan yang besar; Hari pertama Allah menciptakan alam; Hari pertama Allah menurunkan rahmat ke bumi; Hari pertama Allah menurunkan hujan dari langit; Allah menjadikan ‘arasy; Allah menjadikan Luh Mahfuz; Allah menjadikan qalam; Allah menjadikan malaikat Jibril عليه السلام; Nabi Isa عليه السلام diangkat ke langit ………"

ASAL-USUL BUBUR 'ASYURA' MASYARAKAT MELAYU

Salah satu tradisi yang diadakan di kampung-kampung setiapkali menjelang bulan Muharram adalah membuat bubur Asyura'.

Adapun mengenai tradisi ini ada disebut di dalam Kitab Risalah al-Musalsal al-Amiriyyah yang dicetak bersama-sama syarahannya pada halaman 26;


“Begitu juga apa yang dilakukan oleh sebahagian orang daripada memasak bubur (pada hari Asyura) adalah merupakan suatu perkara bidaah. Asal-usulnya adalah bersandarkan kepada apa yang berlaku kepada Nabi Nuh عليه السلام tatkala baginda keluar dari kapal pada hari ‘Asyura’, orang-orang yang bersama baginda telah mengadu kelaparan. Lalu dikumpulkan saki baki bekalan mereka yang terdiri daripada pelbagai bijiran-bijiran seperti beras, kacang dal dan sebagainya. Setelah itu mereka pun memasak bijiran-bijiran tersebut di dalam periuk lalu mereka pun makan sehingga ia menyenyangkan mereka. Oleh itu, ia adalah merupakan makanan yang pertama dimasak di atas muka bumi selepas berlakunya taufan. Maka berdasarkan peristiwa ini, manusia telah menjadikan ianya sebagai suatu anjuran pada hari tersebut (Asyura’). Hal ini TIDAK MENGAPA dilakukan terutamanya perbuatan memberi makan kepada orang-orang faqir dan miskin adalah merupakan sebahagian tausi’ah (meluaskan belanja) bagi mereka yang mampu dan tidak mampu. Maka perluaskankanlah akhlaknya bersama kaum kerabat dan keluarga serta maafkanlah orang-orang yang menzaliminya kerana terdapat athar berkaitan hal tersebut.”


Hal ini juga telah disebutkan di dalam Kitab Jam'u al-Fawaid wa Jawahir al-Qalaid yang dikarang oleh al-‘Allamah Syeikh Daud bin ‘Abdullah al-Fatani pada halaman 132:

“(Dan kata) Syeikh Ajhuri dan aku lihat bagi orang yang lain nasnya bahawasanya (Nabi) Nuh (عليه السلام) tatkala turunnya dari safinah (bahtera) dan orang yang sertanya mengadu kepadanya dengan lapar dan telah habis segala bekal mereka itu. Maka menyuruh akan mereka itu bahawa mendatangkan dengan barang yang lebih daripada bekal mereka itu. Maka mendatangkan ini dengan segenggam gandum, dan ini dengan kacang ‘adas dan ini dengan kacang ful (pol) dan ini dengan setapak tangan kacang himmasun (kacang kuda) hingga sampai tujuh biji-bijian bagi jenisnya dan adalah ia pada hari Asyura', maka mengucap Nabi Nuh عليه السلام dengan bismillah dan dimasakkan dia, maka sekaliannya dan kenyang mereka itu dengan berkat Sayyiduna Nuh عليه السلام . Firman Allah Taala:

قيل يا نوح اهبط بسلام منا وبركات عليك وعلى أمم ممن معك وأمم سنمتعهم

(Maksudnya) Dikatakan: Hai Nuh, turunlah olehmu dengan sejahtera daripada kami dan berkat atasmu dan atas umam (umat-umat) sertamu dan umam (umat-umat) yang kami sukakan mereka itu. (Surah Hud: 48)

(Dan) adalah demikian ini pertama-tama makanan yang dimasakkan di atas muka bumi kemudian daripada taufan. Maka mengambil segala manusia akan dia sunat pada hari Asyura' dan adalah padanya itu pahala yang amat besar bagi orang yang mengerjakan yang demikian itu dan memberi makan segala fuqara (orang-orang yang faqir) dan masakin (orang-orang yang miskin), maka dinamakan bubur Asyura'. Dan jika bidaah sekalipun, (maka ia) bidaah hasanah dengan qasad itu."

Disebutkan dalam kitab:

1. Hasyiah I'anah al-Tolibin (al-Sayyid al-Bakri hal.417/2)

2. Nihayah al-Zain (Syeikh Nawawi Banten hal.192)

3. Nuzhatul Majalis (Syeikh Abdul Rahman al-Usfuri hal.172)

4. Jam'ul Fawaid ( Syeikh Daud al-Fatani hal.132);

"Bahawasanya tatkala bahtera Nabi Nuh alaihissalam berlabuh di bukit Judi pada hari Asyura', maka berkatalah baginda kepada umatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih. Maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak"

Maka berkata Nabi Nuh alaihissalam; "Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang."

Maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin menjadikan makanan mereka itu daripada biji bijian yang dinamakan BUBUR ASYURA' (bubur yang dimasak sempena hari kesepuluh dalam bulan Muharam). Itulah masakan yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan taufan yang melanda bumi.

Syeikh Ibn Hajar al-'Asqolani bersyair dengan katanya;

في يوم عاشوراء سبع تهرس بر أرز ثم ماش عدس
وحمص ولوبيا والفول هذا هو الصحيح والمنقول
"Pada Hari Asyura' terdapat tujuh yang dimakan iaitu Gandum (tepung), Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang dal).
Dan Kacang Himmas (kacang putih) dan Kacang Lubia ( sejenis kacang panjang) dan kacang Ful. Inilah kata-kata yang sohih dan manqul (yang dinukil daripada kata-kata ulamak)."

Daripada apa yang dibahaskan di atas, maka difahami bahawa sejarah BUBUR ASYURA' ini diambil daripada peristiwa arahan dan perintah Nabi Nuh as kepada umatnya ketika dahulu.

Oleh itu, adakah salah bagi kita mengambil apa yang dilaksanakan oleh umat terdahulu dan apa yang diarahkan oleh Nabi Nuh alaihissalam kepada umatnya untuk kita pula laksanakannya?

Perkara ini bukanlah termasuk dalam hukum hakam yang ada nasakhnya dalam Syariat Islam. Ianya hanya sekadar kisah dan peristiwa yang perlu diambil iktibar dan dihayati oleh umat manusia dan seterusnya beriman dan menghampirkan diri kepada Allah Taala dengan sebenar-benar taqwa.

Andai arahan tadi merupakan suatu perintah, maka kita mengatakan ia merupakan al-Syar'u Man Qablana iaitu perkara syariat yang berlaku pada zaman dan umat terdahulu yang tidak dinasakhkan untuk menjadikan iktibar dan panduan hidup berterusan umat akan datang.

Maka BUBUR ASYURA' merupakan salah satu daripada perkara yang disebutkan sebagai al-Syar'u Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita dan ia tidaklah di anggap sebagai suatu BIDAAH atau perkara yang bertentangan dengan kehendak syariat.

Tanggapan sebahagian orang yang mengatakan perkara ini BIDAAH dan adat semata-mata adalah tidak benar. Adat juga boleh menjadi ibadah andai perkara seperti memasak BUBUR ASYURA' ini kita jadikan sebagai amalan untuk mengingati dan menghayati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh alaihissalam. Kerana kelalaian dan lupa dengan tuntutan beragama, dan disebabkan menuruti kehendak nafsu yang rakus, maka Allah tenggelamkan mereka sehingga tiada suatu pun yang tinggal dan disimpan untuk dimakan melainkan sedikit sahaja.

Maka tidak salah kita adakan Majlis Memasak BUBUR ASYURA' dengan penghayatan tersebut dan bertujuan untuk memberi makan kepada keluarga, faqir miskin yang sangat memerlukan dan menjamu orang yang berbuka puasa dan sebagainya. Ia akan dihitung sebagai Ibadah yang mulia di sisi Allah Taala Insya Allah.

Hal ini juga bertepatan dengan riwayat Imam al-Tabarani dan Imam al-Baihaqi yang telah meriwayatkan daripada Sayyidina Abu Sa`id al-Khudri, Sayyidina Abu Hurairah, Sayyidina Jabir dan Sayyidina Ibn Mas`ud r.'anhum bahawa Junjungan solallahu alaihi wa sallam bersabda:

"Sesiapa yang memberi keluasan / kelapangan (keluasan rezeki) kepada keluarganya pada hari Asyura`, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun tersebut."

Berhubung hadis ini, para muhaddisin berbeza pendapat berkaitan statusnya, ada yang mensabitkannya dan ada yang mendhaifkan. Imam al-Suyuti dalam "al-Durar al-Muntathirah" halaman 186 menyatakan hadis ini sebagai thabit dan sahih.

Imam Ibn Rejab al-Hanbali menulis dalam "Latoif al-Ma’arif" halaman 113, bahawa Imam Sufyan bin 'Uyainah berkata:

"Kami telah mengamalkan hadis ini selama 50 atau 60 tahun, maka tidak kami lihat melainkan kebaikan.”

اليسع
والله أعلم


Sumber : Madrasah Sunni Online

Isnin, 26 Oktober 2015

Hukum Khatam Al Quran dan Doa Bersama



Soalan : 

Terdapat anggapan yang mengatakan bahawa mengadakan acara khatam al Quran dan membaca doa khatam al Quran pada acara itu adalah bid'ah sesat.

Jawapan : 

Anggapan yang mengatakan bid'ah mengadakan acara khataman al Quran dan berdoa bersama adalah anggapan yang salah. pada salafunasmsoleh apabila khatam al Quran akan mengumpulkan keluarganya, lalu berdoa bersama dala acara khatam al Quran tersebut.

Terdapat sejumlah riwayat yang menerangkan bahawa pada salafussoleh mengadakan khatam al Quran. Di antaranya adalah :

Daripada Qatadah at Tabi'i al Jalil al Imam Shohib Anas radiyaLlahu 'anhu berkata : Adalah Anas ibnu Malik radiyaLlahu 'anhu apabila khatam al Quran mengumpulkan keluarganya dan membaca doa bersama 


(Hadith riwayat Ibnu Abu Daud dengan sanad sahih (Al Adzkar m/s 88)

Diriwayatkan dengan sanad sahih dari al Hakim ibnu Utbah al Tabi'i al Jalil al Imam ia berkata :


Diutus kepada kami Mujahid dan Abdah ibnu Abi Lubabah, ia berkata : Kami mengutus kepadamu kerana kami ingin agar anda mengkhatamkan al Quran, bahawa doa mustajab pada saat khatam al Quran" 

Dalam sebahagian riwayat dikatakan :

Bahawa rahmat turun pada saat mengkhatamkan al Quran"

(al Adzkar :88) Hadith ini sahih. Diriwayatkan Ibn Abi Syaibah dalam al Musannaf (no 10089), Abu Ubaidah dalam Fadha'il al Quran(8), Ibn ad Durais dalam Fadha'il al Quran (1/75), al Faryabi dalam Fadhai'il al Quran (88-92) dan ad Darimi (II/470)

Diriwayatkan dengan sanad sahih dari Mujahid ia berkata :

"Adalah mereka mengadakan perkumpulan pada waktu mereka khatam atau mengkhatamkan al Quran dan mengatakan : Bahawa rahmat Allah turun pada waktu acara khatam al Quran"

 (Al Adzkar m/s 88, hadith ini sahih disebutkan dalam Sahih Kitab al Adzkar wa Dhaifuh. no 227)

Sumber : Drs Kyai Haji M.Sufyan Raji Abdullah Lc, Menyikapi Masalah-masalah Yang Dianggap Bid'ah, Pustaka Al Riyadl, Cet Pertama 2010, Jakarta



BACA JUGA :

Amalan Salafussoleh Mengkhatamkan Al Quran di Bulan Ramadhan 

Sabtu, 17 Oktober 2015

STATUS HADITH 15 AZAB MENINGGALKAN SOLAT









*Penyelewengan kempen semak status hadis


Status hadith ini dinyatakan PALSU tanpa melihat jalur periwayatan yang lain dan disebarkan dalam facebook, whatsapp dan telegram (lihat gambar)

PENJELASAN :

Oleh - Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni

Dari Group MSO - D1 Bicara Hadith - Ustaz Dr.Khafidz Soroni (KUIS)

Pengkritik2 hadis menyebut ia diriwayatkan oleh Ibn an Najjar dlm kitab Tarikh Baghdad dgn sanad sampai kpd Abu Hurairah RA. Namun, sanadnya dikatakan palsu. Kata al-Hafiz az-Zahabi dlm al-Mizan; “Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abbas telah mereka-reka ke atas Abu Bakr bin Ziyad an-Naisaburi satu hadith batil ttg org yang meninggalkan solat”. Ini dipersetujui oleh al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam as Suyuti dlm Zailul La’ali.

Hadith ini telah direkodkn dlm banyak kitab, antaranya; kitab Qurrotul ‘Uyun dan Tanbihul Ghafilin oleh Imam Abu al Laith as Samarqandi, al-Kaba’ir yang dinisbahkan kpd al-Hafiz az-Zahabi, al-Munabbihat yang dinisbahkan kpd al-Hafiz Ibn Hajar dan az Zawajir oleh Imam Ibn Hajar al Haitami. Juga dinukilkan dalam kitab Daqa’iq al-Akhbar dan dlm kitab Fadhilat Solat oleh Syaikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi (hlm. 42).

Imam Abu al Laith as Samarqandi selepas merekodkan hadis ini hanya memberi isyarat bhw ia mempunyai jalan riwayat drp Abu ad-Darda’ RA dan Abu Zar RA. Katanya: (وَقَدْ رُوِيَ عَنْ أبي الدرداء نَحْوَ هَذَا وعن أَبِي ذَرٍّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.).

Bagaimanapun, hadis tersebut diriwayatkan dengan sanad sahih oleh Imam al-Khallal dalam kitab al-Majalis al-‘Asyarah drp riwayat Sayidina Ali RA. Ia berbeza dgn jalur riwayat drp Abu Hurairah RA yg dihukum sebagai palsu oleh al-Hafiz az-Zahabi, al-Hafiz Ibn Hajar, al-Hafiz as-Suyuti, al-Muhaddith Ibn ‘Arraq dll.

Teks riwayat Sayidina Ali RA:

أخرج الحسن بن محمد الخلال (ت 439 هـ) في المجالس العشرة قال: ثنا عمر بن أحمد بن عثمان الواعظ (ابن شاهين الحافظ) رحمه الله، ثنا أبو الفضل جعفر بن محمد الصندلي (ثقة ويقال إنه من الأبدال)، ثنا أبو بكر بن زنجويه (وثقه النسائي وابن حبان)، ثنا محمد بن يوسف الفريابي (ثقة)، عن سفيان الثوري (أمير المؤمنين في الحديث)، عن زبيد بن الحارث الأيامي (كوفي ثقة)، عن عامر الشعبي (تابعي جليل)، قال: أخبرني أبو جحيفة واسمه وهب بن عبد الله (صحابي)، عن علي عليه السلام، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: «من تهاون بصلاته، فإن الله عز وجل يعاقبه بخمس عشرة خصلة، ست منها في الدنيا، وثلاث عند الموت، وثلاث في القبر وثلاث عند خروجه من القبر، فأما الستة التي في الدنيا: فيرفع عنه اسم الصالحين، والثانية: يرفع عنه بركة الحياء، والثالثة: يرفع عنه بركة الرزق، والرابعة: لا يقبل منه شيء من أعمال الخير، والخامسة: لا يستجاب دعاؤه، والسادسة: لا يجعل له في دعاء الصالحين نصيب. والثلاث التي عند الموت: فإنه يموت عطشانا فلو صب في حلقه ماء سبعة أبحر ما روي، والثانية: يموت بغتة، والثالثة: كأنه ثقل بحديد الدنيا، والثلاث التي في القبر، فأولها: يظلم عليه القبر، والثانية: يضيق عليه قبره، والثالثة: تسيل عيناه بماء كراء. والثلاث التي عند خروجه من القبر: يلقى الله وهو عليه غضبان، والثانية: تكون محاسبته شديدة عظيمة، والثالثة: رجوعه من بين يدي الله إلى النار إلا أن يعفو الله عز وجل عنه»

Syeikh at-Tukalah seperti tergesa tlh menghukumkan riwayat ini sbg ‘ amat munkar sekali’ (منكر بمرة) dgn alasan perawi al-Firyabi bersendirian meriwayatkan hadis ini drp Sufyan at-Thawri. Hujahnya lagi krn ‘seorg ahli ilmu’ (fakta yang asal menyebut ‘seorg ahli Baghdad’ yang tidak diketahui namanya) menyatakan bhw al-Firyabi telah tersilap pd 150 buah hadis drp at-Thawri. Kemudian beliau mengandaikan lagi, kemungkinan al-Firyabi telah termasukkan sanad lain ke dlm matan lain.

Saya kurang bersetuju dgn keputusan tergesa ini krn dakwaan ahli Baghdad yang majhul itu dan sekadar andaian tersilap sebenarnya tidak begitu kukuh untuk beliau menghukumkan hadis ini sbg palsu. Paling tidak pun beliau sebut sbg daif shj. Itu pun sekadar kemungkinan krn tiada hujah yang benar2 kuat yang membuktikan kepalsuannya. Kemungkinan status hadis ini SAHIH juga sepatutnya tidak ditolak.

Hadis Sayidina Ali RA ini juga tlh diriwayatkan dgn jalur riwayat lain oleh Qawwam as-Sunnah al-Asbahani dalam kitab at-Targhib dgn sanad yang lemah. Kata beliau: Hadis ini gharib.

P/S :

SEBARKAN agar umat Islam tidak terlibat dengan pendustaan terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kerana gopoh memalsukan hadith Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam !

Selasa, 6 Oktober 2015

Hukum Membalikkan Tangan Ketika Doa Tolak Bala'

Terdapat anggapan bahawa membalikkan tangan ketika berdoa menolak bala' adalah bid'ah. Menurut mereka Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam tidak melakukannya.

Jawapan 

Berdasarkan sejumlah hadith sahih dan sesuai dengan kesepakatan para ulamak baik salafussoleh mahupun khalaf bahawa pada waktu berdoa tolak bala' dianjurkan membalikkan telapak tangan. Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam apabila berdoa tolak bala' membalikkan tangannya seperti disebutkan dalam sejumlah hadith antaranya :


Anas ibnu Malik radiyaLlahu 'anhu berkata :

Sesungguhnya Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam, istisqa' maka beliau mengisyaratkan dengan belakang kedua telapak tangannya ke langit 

(Hadith Riwayat Muslim) Subulus Salam II/149.

Pensyarah Bulughul Maram dalam Subulussalam memberi penjelasan hadith ini dan mengatakan : Hadith ini menerangkan bahawa apabila RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam berdoa mengangkat kedua tangannya dan membalikkan telapak tangannya dengan cara belakang tangan di letakkan di atas sambil mengangkatnya beliau berdoa menolak bala', namun apabila doanya meminta (bukan menolak bala') beliau mengangkat kedua tangannya dan telapak tangannya menadah ke atas. (Subulus Salam II/149)

Daripada Khalid ibnu al Saib daripada ayahnya ia berkata :

Sesungguhnya Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam apabila memohon kepada Allah beliau memohon dengan menadahkan kedua tapak tangan beliau ke langit (atas) dan bila menolak bala' beliau menjadikan kedua belakang tangannya ke langit. 

(Subulus salam Juz 11/149-150)

"Dan mereka memohon kepada-Ku dengan menadahkan tangan mereka dengan membalikkan tangan mereka (bila menolak bala'). 

Surah al Anbiya' : 95

Abu Hurairah berkata :

Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam keluar pada suatu hari solat istisqa' dan beliau solat dua rakaat tanpa azan dan iqomah kemudian beliau berkhutbah dan berdoa dan beliau membalikkan arah wajahnya ke arah kiblat dengan mengangkat kedua tangannya tinggi-tinggi kemudian membalikkan serbannya dan menjadikan yang tadinya di sebelah kanan kepada sebelah kiri dan yang tadinya sebelah kiri menjadi ke sebelah kanan. 

Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Baihaqi (Fiqh as Sunnah II/74)

Sumber : Drs Kyai Haji M.Sufyan Raji Abdullah Lc, Menyikapi Masalah-masalah Yang Dianggap Bid'ah, Pustaka Al Riyadl, Cet Pertama 2010, Jakarta