CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Sabtu, 22 Ogos 2015

HATI-HATI DALAM MENILAI HADIS PALSU


(Tambahan kami - contoh buku hadith yang mengelirukan - rujuk penjelasan di SINI  )


Oleh : Ustaz Muhammad Noor 


Setiap kali saya melihat sebuah hadis yang dinilai mawdhu’ [palsu] oleh ulama mutaakhirin dan kontemporari, berbagai soalan segera timbul di pikiran saya, “Apa yang menyebabkan hadis ini dinilai seperti itu?” Jika alasannya adalah seorang perawi pendusta [kadzzab] yang terdapat di dalam sanad, maka “apakah setiap hadis yang diriwayatkan seorang pendusta maka otomatik mawdhu’? Apa bukti yang menunjukkan bahawa pendusta ini tengah berdusta?”

Soalan ini tersimpan di kepala saya sejak bertahun-tahun yang lalu. Saya memang berusaha untuk selalu berhati-hati menilai sebuah hadis, samada menilainya sahih atau lemah, apalagi palsu. Sebab perkara ini bukan ringan. Penilaian kita terhadap suatu hadis sangat besar pengaruhnya dalam menentukan kepercayaan dan amalan yang akan mewarnai wajah agama kita.

Khas berkenaan dengan hadis palsu ini, saya melihat orang-orang tertentu yang sangat ringan mengucapkannya. Mereka menilai sesebuah hadis dengan palsu meskipun tidak tahu apa faktor [‘illat] yang membawa kepada penilaian tersebut. Apabila ia berlindung di sebalik nama seorang pakar hadis [samada seorang ulama terdahulu atau semasa], saya perhatikan jarang sekali yang mencari pendapat ulama lain [second opinion] untuk membuka peluang perbezaan pendapat.

Sikap Ahli Hadis

Padahal, jika kita kembalikan masalah ini kepada ahli hadis, kita akan melihat sikap yang sangat matang tentang hal ini. Mereka tidak menilai palsu sebuah hadis kecuali selepas mengkajinya dari berbagai aspek. Dan status seorang perawi [meskipun ia seorang pendusta] bukan satu-satunya aspek yang menentukan sesebuah hadis mawdhu ataukah tidak?

Berkata Al-Hafiz Al-Sakhawi dalam “Fathul Mughits” 1/297:


هذا مع أن مجرد تفرد الكذاب بل الوضاع ولو كان بعد الاستقصاء في التفتيش من حافظ متبحر تام الاستقراء غير مستلزم لذلك بل لا بد معه من انضمام شيء مما سيأتي
“… demikianlah, dan sekadar tafarrud seorang pendusta, bahkan seorang pemalsu hadis, meskipun penilaian itu selepas kajian yang sangat sempurna dari seorang hafiz yang menguasai [ilmu hadis] dan peneliti yang akurat, tidak melazimkan hal tersebut [yakni hadis mawdu’]. Akan tetapi, kondisi itu mesti disokong oleh beberapa aspek lain yang akan dijelaskan nanti.”

Mengapa Al-Sakhawi berkata seperti itu? Jawabannya pernah saya jelaskan dalam artikel saya yang bertajuk “Membandingkan Metode Mutaqaddmin dan Mutaakhirin dalam Kritik Hadis”. Dalam tulisan tersebut, saya pernah menegaskan bahwa seorang perawi jujur boleh keliru, dan seorang pendusta boleh jujur. Maka tidak semua hadis yang sanadnya terdiri daripada perawi-perawi yang jujur otomotik sahih, dan sekarang saya harus menegaskan kebalikannya, iaitu tidak semua hadis yang terdapat di dalam sanadnya perawi yang pendusta mesti dinilai palsu.

Berkata Ibn Al-Jawzi di mukadimah kitabnya yang terkenal “Al-Mawdhu’at” 1/65 :


وقد يكون الاسناد كله ثقات ويكون الحديث موضوعا أو مقلوبا أو قد جرى فيه تدليس وهذا أصعب الاحوال ولا يعرف ذلك إلا النقاد.

“Kadangkala sebuah sanad [terdiri dari] perawi-perawi yang kesemuanya tsiqat, akan tetapi hadisnya palsu, maqlub atau terjadi tadlis di dalamnya. Dan ini adalah kes yang paling berat, tidak ada yang mengetahuinya kecuali pakar-pakar kritik.”

Terbuka untuk Khilaf

Bagi saya, menilai status hadis bukan untuk sembarang ulama, apalagi sembarang orang yang baru belajar ilmu hadis. Tugasan ini terlalu besar dan berbahaya. Untuk orang-orang seperti kita, sebaiknya kita “mentaqlid” sahaja penilaian pakar-pakar hadis yang diakui keilmuan dan kepakarannya di bidang ini.

Maka, apabila anda menemukan pakar hadis menilai palsu sesuatu hadis, maka jangan cepat-cepat memastikan hukum tersebut menjadi satu-satu hukum muktamad yang wajib diterima semua orang. Anda mesti memastikan terlebih dahulu, adakah hukum ini disepakati semua ulama, ataukah masih terjadi khilaf di dalamnya? Jika ada khilaf, maka maka jauhi kalimat “hadis palsu”. Anda boleh katakan hadis ini lemah atau munkar, tapi jangan katakan “hadis ini palsu” selama terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli hadis.

Berkata Al-Hafiz Abu Abdillah Al-Dzahabi dalam kitab “Al-Muqizah” hal. 36:


الموضوع : ما كان مَتْنُه مخالفاً للقواعد ، وراويه كذَّاباً ، كالأربعين الوَدْعانيَّة ، وكنسخةِ عليّ الرِّضَا المكذوبةِ عليه . وهو مراتب ، منه : ما اتفقوا على أنه كَذِب . ويُعرَفُ ذلك بإقرار واضعِه ، وبتجربةِ الكذبِ منه ، ونحوِ ذلك . ومنه : ما الأكثرون على أنه موضوع ، والآخَرُون يقولون : هو حديثٌ ساقطٌ مطروح ، ولا نَجسُرُ أن نُسمَّيَه موضوعاً . ومنه : ما الجمهورُ على وَهْنِه وسُقوطِه ، والبعضُ على أنه كذِب .
“Hadis mawdu adalah [hadis] yang matannya bertentangan dengan prinsip-prinsip agama dan perawinya pendusta. Seperti kitab “Arbain Al-Wad’aniah” dan naskah Ali Ridha yang didustakan atasnya. Hadis mawdu ini ada beberapa tingkatan. Antaranya, hadis yang disepakati bahawa ianya dusta. Perkara ini diketahui dengan pengakuan pembuatnya, dengan percobaan dusta daripadanya, atau lain-lain. Di antaranya juga, hadis dusta menurut kebanyakan ulama, sementara sebahagian yang lain menilainya sebagai sangat lemah atau mesti dibuang [saqith matruh]. Kami tidak berani menyebutnya sebagai mawdhu. Di antaranya juga, hadis yang dinilai lemah oleh jumhur, sementara sebahagian kecil ulama menilainya dusta.”

Jelas dari penjelasan Al-Dzahabi ini, hanya hadis yang disepakati oleh semua ahli hadis sebagai palsu sahaja yang boleh disebut mawdhu’. Sementara yang terjadi khilaf di dalamnya, maka ia boleh disebut dengan berbagai istilah lain yang menunjukkan kelemahannya, selain istilah mawdhu.

Khilaf siapa?

Namun, ucapan ini bukan membuka pintu khilaf selebar-lebarnya. Kita mesti teliti dalam melihat setiap khilaf yang terjadi di sekitar penilaian hadis ini. Tidak semua pendapat boleh dijadikan sandaran, dan tidak semua khilaf diterima sebagai khilaf. Hanya pendapat ulama yang benar-benar pakar dalam hadis sahaja yang boleh diambil kira dalam perdebatan ini. Iaitu para pakar hadis seperti Ibn Mahdi, Yahya Al-Qattan, Syu’bah, Ahmad, Ibn Al-Madini, Ibn Ma’in, Al-Bukhari, Muslim, Al-Daruqutni dan para ulama mutaqaddimin lainnya. Wallahu a’lam.

Sumber : http://umarmnoor.blogspot.com/2011/03/hati-hati-dalam-menilai-hadis-palsu.html

Latarbelakang Ustaz Umar Muhammad Noor :

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A Usuluddin (Tafsir-Hadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan M.A Usuluddin (Hadis) di Unversiti Omm Durman, Sudan. Menimba ilmu hadis di Damaskus Syria, sejak tahun 2002 hingga 2007.

Jumaat, 21 Ogos 2015

KENDURI ARWAH DI DALAM KITAB JAWI MUKTABAR - MENJAWAB DAKWAAN DR ASRI






Meluruskan Kefahaman Dr Asri Zainul Abidin : Seputar Permasalahan Kenduri Arwah Di Dalam Kitab-Kitab Jawi Muktabar.

Baru-baru ini berlegar satu video mengenai Hukum Kenduri Arwah yang ditanyakan oleh seseorang kepada Dr Maza berkaitan isu Kenduri Arwah. Kemudian dijawab oleh beliau secara yakin bahawa Kenduri Arwah adalah haram. Kemudian beliau memberi hujjah Hadis Jabir dan kemudian memetik kitab-kitab Ulama Syafiiyah seperti Majmu Syarah Muhazzab Imam Nawawi dan Bughyatul Tullab karangan Sheikh Daud al-Fathoni. Beliau mendakwa di dalam Kitab Bughyatul Tullab mengharamkan Kenduri Arwah. Ini satu kenyataan yang salah dan cuai di dalam memahami kitab Turath Jawi Melayu. Di ruangan ini saya akan memberikan gambaran atau ibarat kepada Kitab-kitab Turath Jawi Melayu.

Gambar 1 : Kitab Bughyatul Tullab karangan Sheikh Daud al-Fathoni. Boleh rujuk kitab ini pada muka surat 33 juzu ke 2 terbitan Bin Halabi.

Secara jelas Sheikh Daud mengatakan

" Dan (makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian memperbuat makanan menserukan segala manusia atas memakan akan dia (makanan).....". 

Guru saya Ust Imanuddin (bekas pelajar Ajiyad Makkah al-Mukarramah) memberi ta'liq (komentar) mengenai ibarat ini dengan katanya maksud makruh lagi bidaah adalah pada menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan Kenduri Arwah. Ini seperti yang dikatakan oleh Sheikh Nawawi Banten

" Bersedekahlah untuk orang yang telah meninggal dunia itu sunnat (mathlub),tetapi hal itu tidak harus (makruh) dikaitkan dengan hari-hari yang telah menjadi tradisi dalam masyarakat dan acara tersebut dimaksudkan untuk meratapi mayat".

 Yang kedua adalah makruh lagi bidaah apabila ada "wahsyah". Ini seperti dinaskan di dalam kitab Nihayah az-Zain :


و اما الطعام الذي يجتمع عليه الناس ليلة دفن الميت المسمى بالوحشة فهو مكروه ما لم يكن من مال الايتام و الا فيحرم كذا في كشف اللثام و الدعاء قال النووي في الاذكار : اجمع العلماء على ان الدعاء للاموات ينفعهم و يصلهم ثوابه.
Bermaksud : Dan adapun tentang makanan yang berkumpul manusia atasnya pada malam dikebumikan mayat yang dinamakan "wahsyah" ia adalah makruh selama mana ia adalah bukan dari harta anak yatim,jika (ia daripada harta anak yatim) maka menjadi haram. Inilah yang disebut di dalam kitab Kasyf al-Litham. 

(Adapun tentang) doa,Imam Nawawi berkata di dalam al-Azkar: Telah Ijma' ulama atas sesungguhnya doa ke atas mayat memberi manfaat kepada mereka dan sampai padanya.

Inilah nilaian bertalaqqi dan kepentingan memahami murod (kehendak) pengarang kitab. Mungkin Dr akan mengatakan mengapa ia dikatakan Bidaah Makruhah? Bukankah bidaah itu satu jua.

Jawapan kami daripada pengikut Mazhab Syafie, adapun di dalam mazhab kami bidaah itu bukan hukum. Ianya tabi' (mengikuti) hukumnya yang lima. Ini jelas seperti katanya Imam Nawawi di dalam Syarah Sohih Muslim Jilid 7 halaman 105 :


ان البدع خمسة اقسام واجبة و مندوبة و محرمة و مكروهة و مباحة.
Maksudnya: Bahawasanya bidaah itu lima bahagian iaitu wajib,sunnat,haram,makruh dan haram.
Adapun yang disebutkan oleh Sheikh Daud al-Fathoni adalah Bidaah Makruhah. Bukannya Bidaah Muharramah. Tetapi hukum makruh boleh menjadi harus. 

Ini seperti dinaskan oleh Imam Khatib as-Syarbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj jilid 2 halaman 215.


و ان دعت الحاجة الى ذلك جاز فانه ربما جاءهم من يحضر ميتهم من القرى و الاماكن البعيدة و يبيت عندهم و لا يمكنهم الا يضيفوه.
Bermaksud :
Dan jika melakukan kerana ada (sebab) hajat, maka itu diperbolehkan Jaiz kerana barangkali di antara mereka yang datang ada yang berasal dari desa dan tempat² yang jauh dan menginap di rumah mereka, maka tidak mungkin kecuali mereka mesti dijamu.

Sekarang di mana haramnya wahai Dr Maza seperti yang anda sangkakan di dalam kitab-kitab Turath Jawi Melayu.

Gambar kedua: Kitab كشف اللثام عن اسئلة الانام karangan Sheikh Zainul Abidin al-Fathoni. Boleh lihat mukasurat 83 jilid 1 terbitan Bin Halabi.

Sheikh Zainul Abidin menyebutkan:


" (Far'u) Bermula berbuat makanan yang berhimpun atasnya oleh manusia pada malam yang ditanam akan mayat itu dinamakan dengan "wahsyah" itu MAKRUH selama tiada ada ia daripada harta anak yatim dan jika ada maka haram".
"Wahsyah" adalah dengan berhimpun melahirkan kesedihan adalah haram. Kalau berhimpun dengan membaca tahlil dan berdoa adalah sedekah pahala si mati maka hukumnya adalah sunnat" 

Rujuk Kenduri Arwah karangan Sohib as-Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi.

Gambar ketiga: Kitab سبيل المهتدين للتفقه في امر الدين karangan Sheikh Arsyad al-Banjari. Rujuk muka surat 87 jilid 2 terbitan Maktabah wa Matba'ah Muhammad al-Nahdi wa Auladuhu.

Berkata Sheikh Arsyad al-Banjari:



" (dan makruh) lagi bidaah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukan segala manusia atas memakan akan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat".

Sedikit ta'liq (komentar) guru saya al-Marhum Ust Hassan (murid kepada Tuan Guru Hj Mat Saman Kati) makruh apabila ia dilakukan apabila di wajibkan tentukan bilangan hari pada Kenduri Tahlil. Ianya hanya makruh tidak sampai kepada peringkat Haram.

Terakhir saya mengharapkan agar Dr Maza tidak segan silu untuk menanyakan hal-hal atau ibarat-ibarat kitab Turath Jawi Melayu kepada Ulama-Ulama Melayu yang sudah mengkhatamkan kitab-kitab turath berkali-kali. Supaya tidak timbul salah faham dan seterusnya mencemarkan nama ulama-ulama Melayu seperti Sheikh Daud al-Fathoni. Saya memohon taufik daripada Allah agar sedikit perkongsian ini memberikan kebaikan dan merungkaikan kekusutan. Dan kepada Allah saya kembalikan segala-galanya.

Hambir Yang Faqir kepada Tuhannya
IBNU QASIM AL-BIRAQI

Sumber : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1639431413008792&id=1395416944076908