CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Selasa, 13 Mei 2014

Pandangan Ahli Hadith Mengenai Hadith Dhoief Yang Berkaitan Kata Nasihat, Kisah Tauladan, Amalan Sunat dan yang termasuk dalam Targhib dan Tarhib




Dalam kitab Muqaddimah fi 'Ulum al Hadith , Ibnu salah berkata :

Menurut ulama' hadith dan ulama lain, harus tidak terlalu teliti mengenai sanad hadith dhoief selain daripada hadith palsu dan meriwayatkannya tanpa menjelaskan statusnya kecuali dalam perkara yang melibatkan sifat-sifat Allah dan hukum-hukum syariat. Contohnya hadith yang berkisar mengenai kata nasihat, kisah-kisah tauladan, amalan-amalan sunat dan semua hadith dalam kategori targhib dan tarhib. Begitu juga dengan semua hadith yang tidak mempunyai kaitan dengan sesuatu hukum atau akidah. Antara ulama yang merekodkan pendapat sebegini ialah, 'Abd al rahman bin Mahdi, Ahmad bin Hanbal dan lain-lain lagi. 

(Lihat Ibn as Salah : Muqaddimah fi 'ulum al hadith, hlm. 49)

Dalam kitab al Taqrib, Imam an Nawawi berkata :

Adalah harus mengambil mudah mengenai sanad hadith, meriwayatkannya dan beramal dengannya tanpa menjelaskan status hadith kecuali hadith palsu dalam permasalahan selain sifat-sifat Allah atau hukum-hakam, seperti halal haram menurut ulama hadith dan ulama lain. 

(Lihat al Suyuthi : Tadrib al Rawi 'ala al Taqrib j. 1, hl 298)

Imam Ahmad bin Hanbal mengulas tentang kedudukan al-Kalbi (seorang dari perawi hadith) dengan berkata :

Hadith-hadith ini sahaja yang dicatat daripadanya iaitu hadith tentang peperangan dan seumpamanya. Dalam perkara halal dan haram kami mahukan perawi sebegini iaitu perawi yang lebih hebat. Al Baihaqy mengulas, apabila riwayatnya sudah tidak diterima dalam perkara halal dan haram, maka lebih-lebih lagi tidak harus diterima dalam perkara yang berkait dengan sifat-sifat Allah. Ulama hadith mengkritik al Kalbi disebabkan beliau banyak meriwayatkan hadith daripada ahl al-kitab dan perawi-perawi dhoief serta menyembunyikan nama-nama mereka. 

(Lihat al Baihaqi : Kitab al Asma' wa As Sifat, h. 418)

Sumber : Al Syeikh al Muhaddith Prof Dr, al Sayyid Muhammad bin 'Alawi Al Maliki al Hasani, Dialah Allah (Huwa Allah), Cet pertama, Pelima Media Sdn Bhd, Selangor, 2014. - via Tahu, Faham Dan Amal

Isnin, 12 Mei 2014

KAJIAN SANAD KISAH TELAGA BARAHUT BAB AKHIR


Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Sebelum ini telah disebut bahawa Syeikh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah membawa kisah yang hampir sama yang telah diceritakan oleh Umar bin Sulaiman, katanya:

“Telah mati seorang lelaki di kalangan Yahudi, sedangkan beliau pernah menyimpan barangan bagi seorang Islam. Orang Yahudi tersebut mempunyai seorang anak yang beragama Islam, dan dia tidak mengetahui di mana diletakkan barang simpanan tersebut, lalu dia bertanya kepada Syu’aib al-Jubba’i, kemudian katanya: “Pergilah kamu ke Barahut, dan sebelumnya ada mata air yang tenang. Apabila ia kering pada hari Sabtu, lintasilah ia sehingga kamu sampai ke satu mata air telaga di sana. Kemudian serulah nama ayahmu, nescaya ia akan menjawab panggilanmu. Ketika itu tanyalah daripada apa yang kamu mahu”. Lantas lelaki tersebut pun melakukan suruhan Syeikh Syu’aib itu dengan pergi ke mata air tersebut, seterusnya menyeru nama ayahnya dua kali atau tiga kali. Selepas itu ayahnya menjawab dan dia bertanya: “Di manakah barang simpanan si fulan itu?” Jawab ayahnya: “Di bawah bendul pintu, maka serahkanlah barang tersebut kepadanya dan kekallah kamu di atas keadaan kamu sekarang ini (iaitu kekal di dalam Islam).”

Cerita ini dirujukkan kepada buku Bi’ru Barahut Rehlah Istiksyafiyah, Geografiyah al-Sunnah al-Nabawiyyah karya Dr. Anmar bin Yahya al-Jufri. Ia sebenarnya dinukilkan daripada Imam Ibn Abi al-Dunya (w. 281H) dalam Kitab al-Qubur yang mencatatkan dengan sanadnya sepertimana berikut:
حدثنا الحسن بن عبد العزيز ثنا عمرو بن أبي سلمة عن عمر بن سليمان قال: "مات رجل من اليهود وعنده وديعة لمسلم، وكان لليهودي ابن مسلم فلم يعرف موضع الوديعة، فأخبر شعيباً الجبائي فقال: "ائت برهوت، فإن دونه عين تسبت، فإذا جفت في يوم السبت فامش عليها حتى تأتي عينا هناك فادع أباك، فإنه سيجيبك فاسأله عما تريد". ففعل ذلك الرجل، ومضى حتى أتى العين، فدعا أباه مرتين، أو ثلاثاً، فأجابه فقال: "أين وديعة فلان؟"، قال: تحت أسكفة الباب، فادفعها إليه، والزم ما أنت عليه".

Analisa sanad:

(الحسن بن عبد العزيز) – al-Hasan bin ‘Abdul ‘Aziz adalah seorang yang thiqah. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut beliau adalah thiqah, thabat, abid lagi fadhil (w. 257H). (al-Jarh wa at-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim no. 102, Taqrib at-Tahzib no. 1253)

(عمرو بن أبي سلمة) – Menurut Yahya bin Ma‘in: ‘Amru bin Abi Salamah adalah daif. Menurut Abu Hatim: Boleh ditulis hadisnya, namun tidak boleh berhujah dengannya (يكتب حديثه ولا يحتج به). (al-Jarh wa at-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim no. 1304). Kata as-Saji: Daif. Kata al-‘Uqaili: Pada hadisnya terdapat waham. Bagaimanapun, beliau adalah termasuk rijal al-Bukhari dan Muslim, bahkan rijal al-Kutub as-Sittah. Ibn Hibban menyebutnya dalam kalangan at-Thiqat. Ibn Yunus dan al-Walid bin Muslim mengatakannya thiqah (w. 213 @ 214H) (Tahzib at-Tahzib no. 70). Al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan kedudukannya seperti berikut: Benar, namun mempunyai kesilapan-kesilapan (صدوق له أوهام). (Taqrib at-Tahzib no. 5043)

§ (عمر بن سليمان) – ‘Umar bin Sulaiman, bin ‘Asim bin ‘Umar bin al-Khattab RA adalah seorang yang thiqah (Taqrib at-Tahzib no. 4912). Juga dikatakan dipanggil: ‘Amru bin Sulaiman. Ibn Hibban menyebutnya dalam kalangan at-Thiqat. Beliau adalah termasuk golongan atba‘ tabi‘in, yang sezaman dan satu tabaqat dengan Ibn Juraij yang wafat tahun 150H. an-Nasa’i mengatakannya thiqah. Kata Yahya bin Ma‘in: Thiqah, dan menurut Abu Hatim: Soleh. (al-Jarh wa at-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim no. 598)

Jelas dalam sanad ini juga tiada perawi yang dapat kita katakan sebagai pendusta atau pemalsu berita. Pentahkik Kitab al-Qubur, Tariq Muhammad al-‘Amudi mengatakan sanad kisah ini daif kerana kelemahan pada ‘Amru bin Abi Salamah. al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Ahwal al-Qubur dan Imam al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur mencatatkannya tanpa sebarang ulasan tentang darjatnya.

Jika kita katakan kedaifan yang dilontar kepada ‘Amru bin Abi Salamah itu hanya bersangkut dengan periwayatan hadis-hadis sahaja kerana ketelitian imam-imam dalam soal hadis, maka tidak bermakna semua cerita-cerita selain hadis yang disampaikannya juga begitu. Tidak mungkin kita katakan seumur hidupnya dipenuhi dengan kesilapan-kesilapan dalam berbicara. Apatah lagi kisah luar biasa yang seperti itu, tidak mungkin dapat dilupakan dengan mudah. Justeru, ulama hadis yang mengatakan beliau itu thiqah dapat diambil kira dalam hal ini, bukannya tidak ada nilai langsung sepertimana yang disangka oleh sesetengah orang.

Sebab itu, Imam al-Bukhari sendiri ada mengambil kira riwayatnya sebagai mutaba‘ah (sokongan). Malah, banyak hadis-hadis yang diriwayatkan melalui beliau oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dipersetujui sebagai sahih oleh az-Zahabi juga. Kerana tiada kefahaman jelas dalam masalah ilmu al-Jarh wa at-Ta‘dil, sebahagian orang menyangka bahawa kedaifan pada sesetengah perawi itu adalah secara zat, yakni tabiat peribadi semulajadi yang melazimi dirinya sepanjang hayat, sedangkan ia sebenarnya hanya dalam soal periwayatan hadis-hadis yang merupakan kalam suci Nabi SAW yang mesti dipelihara dengan teliti. Berapa ramai perawi yang dihukum daif, padahal mereka adalah tokoh-tokoh hebat di tempatnya dan hamba-hamba Allah yang soleh, zuhud dan warak yang tinggi kedudukannya di sisi Allah SWT.

Apa yang utama, kisah ini sedikit sebanyak dapat mengukuhkan bahawa kejadian seperti kisah yang pertama itu bukanlah satu cerita yang diada-adakan atau direka-reka sebagaimana dakwaan sesetengah orang.


Wallahu a‘lam.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2014/04/2-kajian-sanad-kisah-telaga-barahut-ii.html

KAJIAN SANAD KISAH TELAGA BARAHUT BAB 1



Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Teks kisah (daripada fb Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri):

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah menuju ke Baitullah al-Haram (Kaabah) untuk menunaikan haji. Setelah tiba di Kota Mekah, lalu dia menyimpan wang sebanyak 10,000 dinar pada seorang yang jujur dan berakhlak mulia. Kemudian orang kaya itu menuju ke Arafah untuk berwukuf di sana.

Setelah selesai dari wukuf dan amalan hajinya yang lain, dia kembali ke Mekah dan mendatangi rumah orang yang dititipkan wangnya dahulu itu, maka didapatinya orang itu sudah mati. Orang kaya tersebut lalu bertanya hal itu kepada keluarganya tentang wang yang disimpan pada orang itu dan keluarganya menjawab: “Kami tidak tahu apa pun tentang simpanan itu”.

Akhirnya, orang kaya itu bertanya kepada seorang ulama di Mekah (dalam riwayat Abu al-Laith: para fuqaha’ Mekah) dengan memberitahu tentang keadaannya dan wangnya yang disimpan kepada orang yang jujur itu. Ulama itu menjawab: “Nanti di tengah malam, pergilah engkau ke perigi Zamzam, dan lihat ke dalamnya. Kemudian panggillah nama si fulan itu. Jika dia termasuk dalam penghuni syurga, maka dia akan menjawab panggilanmu”.

Maka orang kaya itu pergilah menuju ke perigi Zamzam pada waktu malam, lalu memanggil nama orang itu, sekali dan dua kali, dan seterusnya, namun tidak ada yang menjawab panggilan itu. Pada keesokannya, orang kaya itu menemui sekali lagi ulama Mekah itu, serta menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi.

Mendengar khabar itu, ulama itu terus mengucapkan kalimah istirja’ iaitu; innalillahi wainna ilaihi raji'un. “Aku khuatir bahawa temanmu itu, jangan-jangan dia tidak termasuk penghuni syurga. Sekarang cuba kamu pergi ke Yaman, di sana ada satu perigi Barahut namanya, yang pernah dikatakan orang bahawa perigi itu adalah mulut neraka Jahannam. Lalu datanglah di malam hari, serta panggillah nama si fulan itu. Jika dia termasuk penghuni neraka, maka dia akan menjawab panggilanmu itu, dan tanyakanlah kepadanya tentang wangmu itu, di mana?”

Maka pergilah orang kaya itu menuju ke Yaman, lalu bertanya kepada orang tentang tempat beradanya perigi Barahut itu. Akhirnya, dia ditunjukkan orang tempatnya. Pada malamnya, dia datang ke perigi Barhut itu, lalu memanggil nama orang yang pernah menerima barang simpanannya itu. Maka dengan serta merta orang itu menjawab. Orang kaya itu bertanya: “Di manakah engkau simpankan wang emas (dinar) aku itu?”

Orang itu menjawab: “Aku telah menyimpannya di suatu tempat di rumahku. Dan aku tidak percaya kepada sesiapapun, sekalipun anakku sendiri. Sekarang pergilah engkau ke tempat ini dan itu, dan galilah di situ, nescaya engkau akan menemui wang dinarmu itu”.

Kemudian orang kaya itu bertanya: “Apakah yang menyebabkan engkau berada di sini, sedangkan engkau orang baik, dan kami semua bersangka baik terhadapmu?” Maka orang itu menjawab: “Aku mempunyai seorang saudara perempuan yang miskin, dan aku tidak mempedulikannya dan bertanyakan hal keadaannya serta tidak merasa kasihan kepadanya, maka kerana itulah Allah telah menyeksaku di sini dan menempatkanku di neraka jahannam”.

Ulasan:

1. Alhamdulillah, isu kisah telaga Barahut yang tiba-tiba melonjak ini telah dijelaskan dengan baik oleh Sahibul Fadhilah Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan juga sahabat saya, al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis. Namun, di sini saya ingin mengupas dari sudut kajian sanad kerana sudut ini tidak dibincangkan, sehingga ada yang mendakwa ia serupa kisah ‘kartun’ yang direka-reka.

2. Menurut Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sumber kisah ini diambil daripada kitab al-Kabai'r oleh Imam al-Zahabi. Imam Ibn Hajar al-Haitami juga telah menyebut cerita yang sama seperti ini dalam kitabnya yang masyhur al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir.

3. Ustaz Raja Ahmad Mukhlis menambah, ia juga dicatat oleh al-Imam Muhammad al-Safarini dalam kitab Ghiza' al-Albab fi Syarh Manzumah Al-Adab. Beliau menukilkannya daripada pengarang az-Zawajir dan lain-lain daripada para imam yang muktabar. Ini menunjukkan kisah ini memang masyhur, malah ia sebenarnya berlaku lama dahulu dalam kurun kedua hijrah.

4. Asal kisah ini sebenarnya telah diriwayatkan secara bersanad oleh Imam Abu al-Laith Nasr bin Muhammad as-Samarqandi (w. 373H) di dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin (hlm. 137) daripada Yahya bin Sulaim, iaitu pencerita asal kisah berkenaan sepertimana berikut;

حَدَّثَنِي أَبِي, قَالَ: حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ بْنُ حَمْزَةَ أَبُو الْحُسَيْنِ الْفَرَّاءُ الْفَقِيهُ، حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرٍ الطُّوسِيُّ، حَدَّثَنَا حَامِدٌ بْنُ يَحْيَى الْبَلْخِيُّ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سُلَيْمٍ, قَالَ: "كَانَ عِنْدَنَا بِمَكَّةَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ خُرَاسَانَ، وَكَانَ رَجُلًا صَالِحًا، وَكَانَ النَّاسُ يُودِعُونَهُ وَدَائِعَهُمْ، فَجَاءَ رَجُلٌ فَأَوْدَعَهُ عَشْرَةَ آلَافِ دِينَارٍ، وَخَرَجَ الرَّجُلُ فِي حَاجَتِهِ فَقَدِمَ الرَّجُلُ مَكَّةَ....إلخ

5. Analisa sanad Imam Abu al-Laith:

(أَبِي) – bapa beliau, iaitu Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim as-Samarqandi. Secara zahir, Imam Abu al-Laith menerima dan mempercayai riwayat bapanya.

(مُحَمَّدٌ بْنُ حَمْزَةَ أَبُو الْحُسَيْنِ الْفَرَّاءُ الْفَقِيهُ) - Imam Abu al-Laith atau bapanya menggelar Muhammad bin Hamzah sebagai al-faqih yang menunjukan tahap keilmuannya yang tinggi. Bahkan, beliau tidak berseorangan menyampaikannya kerana riwayat beliau telah disokong oleh Ahmad bin Muhammad an-Naisaburi pengarang kitab al-Hikayat, sepertimana yang dinukilkan daripadanya oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Ahwal al-Qubur (hlm 187) dan Imam al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur (hlm 247). Berikut teks sanad dalam kedua-duanya:
- قال ابن رجب: وفي كتاب حكايات لأبي عمرو أحمد بن محمد النيسابوري حدثنا بكر بن محمد بن عيسى الطرطوسي حدثنا حامد بن يحيى بن سليم قال:...إلخ
- قال السيوطي: وفي كتاب الحكايات لأبي عمر أحمد بن محمد النيسابوري حدثنا أبو بكر بن محمد بن عيسى الطرسوسي حدثنا حامد بن يحيى بن سليم قال:...إلخ

Barangkali secara teknikal penyalin tersilap dalam menyalin sanad ini, terutama pada nama pencerita asal. Ia bukan Hamid bin Yahya bin Sulaim kerana Imam Abu al-Laith jelas menyebut: Hamid bin Yahya al-Balkhi yang mengambil daripada Yahya bin Sulaim.

(أَبُو بَكْرٍ الطُّوسِيُّ) – berdasarkan nukilan al-Hafiz Ibn Rajab dan as-Suyuti di atas beliau ialah Abu Bakar Muhammad bin ‘Isa at-Tarasusi, bukan at-Tusi (w. 276H). Kredibiliti beliau diperselisihkan oleh ahli hadis, namun yang pasti beliau bukanlah seorang pendusta atau dituduh berdusta. al-Hafiz az-Zahabi mengkategorikannya dalam kalangan al-Huffaz dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz (no. 625). Antara katanya:

- الحافظ البارع أبو بكر محمد بن عيسى بن يزيد التميمي الطرسوسي رحال جوال.
- قال الحاكم: هو من المشهورين بالرحلة والفهم والتثبت.

Antara yang disebut pula dalam Lisan al-Mizan oleh al-Hafiz Ibn Hajar (no. 7290):

- قال ابن عَدِي: هو في عداد من يسرق الحديث وعامة ما يرويه لا يتابعونه عليه.
- وذكره ابنُ حِبَّان في الثقات فقال: يروي، عَن أبي نعيم، وَأبي اليمان دخل ما وراء النهر فحدثهم بها, يخطىء كثيرا.
- وقد روى عن الطرسوسي أبو عوانة في صحيحه وأبو مسعود الرازي مع تقدمه.

(حَامِدٌ بْنُ يَحْيَى الْبَلْخِيُّ) – beliau disebut dalam Taqrib at-Tahzib (no. 1068) sebagai thiqah, hafiz (w. 242H). Kata al-Hafiz az-Zahabi dalam Tazkirah al-Huffaz (no. 492):

- حامد بن يحيى بن هانئ الحافظ المكثر الثقة أبو عبد الله البلخي نزيل طرسوس.

(يَحْيَى بْنُ سُلَيْمٍ) – nisbah beliau at-Ta’ifi, termasuk dalam kalangan rijal al-Bukhari dan Muslim (w. 195H). Ramai yang mengatakannya thiqah, namun beliau disebut dalam Taqrib at-Tahzib (no. 7563) sebagai benar, namun buruk hafazan (صدوق سيء الحفظ). Antara kata al-Hafiz az-Zahabi dalam Tazkirah al-Huffaz (no. 309):

- يحيى بن سليم الحافظ الإمام أبو زكريا القرشي الطائفي الحذاء الخراز نزيل مكة.
- قال ابن سعد: ثقة كثير الحديث. وعن الشافعي قال: كان يحيى بن سليم فاضلا كنا نعده من الأبدال.

6. Walaupun ada sedikit kelemahan pada sanad tersebut, seperti pada Abu Bakar Muhammad bin ‘Isa at-Tarasusi. Namun, jelas bahawa tiada periwayat yang dapat kita kecam dan tuduh sebagai pereka-reka cerita. Perlu juga diingat, penilaian terhadap sesuatu hikayat biasa tidak semestinya seketat penilaian terhadap hadis Nabi SAW, apatah lagi ia hanya sekadar berbentuk peringatan. Kerana itu imam-imam memandangnya elok untuk direkodkan dalam kitab-kita mereka. Malah, jika kita andaikan Ibn ‘Adi agak berlebihan dalam mengkritik Abu Bakar Muhammad bin ‘Isa at-Tarasusi yang sebenarnya hanya disebabkan kesilapan sebagai manusia biasa, sanad tersebut mungkin mempunyai sedikit kekuatan berdasarkan penilaian al-Hakim, Ibn Hibban dan Abu ‘Awanah terhadap beliau.

7. Justeru, bagaimana ada yang mendakwa cerita ini langsung tidak berasas dan 'kartun'. Andaian kita boleh pergi panggil roh-roh penumpang MH370 dan bertanya di manakah kapal terbang berkenaan hilang, bukan hujah untuk menolak asal cerita. Bahkan boleh saja kita berbuat demikian dan tiada siapa pun yang menghalang. Namun, perlu ingat jika ia tidak dizinkan oleh Allah SWT, maka ia tidak akan berlaku. Manakala, cerita berkenaan bolehjadi ketika itu memang atas izin Allah Taala jua. Maka, untuk mengatakan cerita di atas itu palsu dan direka perlulah diteliti semula. Lebih-lebih lagi ianya hanya berbentuk peringatan dan motivasi.

8. Kemungkinan kejadian serupa pernah berlaku beberapa kali. Menurut Syeikh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kisah yang hampir sama telah diceritakan oleh Umar bin Sulaiman, katanya: “Telah mati seorang lelaki di kalangan Yahudi, sedangkan beliau pernah menyimpan barangan bagi seorang Islam. Orang Yahudi tersebut mempunyai seorang anak yang beragama Islam, dan dia tidak mengetahui di mana diletakkan barang simpanan tersebut, lalu bertanya kepada Syu’aib al-Jubbai, kemudian katanya: “Pergilah kamu ke telaga Barahut, jika kamu datang pada hari Sabtu maka tujulah kepadanya sehingga sampai berhampiran mata air telaga di sana. Kemudian serulah nama ayahmu, nescaya ia akan menjawab panggilanmu. Ketika itu tanyalah daripada apa yang kamu mahu. Dan lelaki tersebut melakukan suruhan Syeikh Syu’aib itu dengan pergi ke mata air seterusnya menyeru nama abahnya dua kali atau tiga kali. Selepas itu abahnya menjawab dan dia bertanya: “Di manakah barang simpanan si fulan itu? Jawab abahnya: “Di bawah bendul pintu, maka angkatlah.” Cerita ini telah disebut dalam buku Bi’ru Barahut Rehlah Istiksyafiyah, Geografiyah al-Sunnah al-Nabawiyyah karya Dr. Anmar bin Yahya al-Jufri.

9. Sesuatu cerita memang perlu dinilai keselarasannya dengan Al-Quran dan as-Sunnah, namun tidak semestinya ia wajib meraikan logik akal manusia yang dangkal. Kerana sesuatu yang dirasakan tidak logik oleh sesuatu pihak (misalnya para pengingkar karamah wali), boleh jadi ianya logik dan dapat diterima oleh pihak yang satu lagi (para pemercaya karamah wali). Justeru, pendapat yang mengatakan bahawa perkara yang tidak logik dan menyanggah akal waras tidak mungkin hendak dikaitkan dengan Islam adalah satu pendapat yang relatif yang perlu dirujuk kepada para ulama jua. Begitu juga pendapat bahawa Islam agama yang rasional dan penuh dengan alasan yang munasabah bagi setiap perkara bukanlah terbuka dalam bentuk umum begitu sehingga sesiapa sahaja dengan sesuka hati boleh menolak apa sahaja yang dirasakannya tidak rasional menurut akalnya sendiri.

Wallahu a'lam.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2014/04/kajian-sanad-kisah-telaga-barahut.html