Halaman

Selasa, 24 Jun 2014

Kenajisan Babi dan Sifatnya yang Digolongkan Sebagai Najis Mughalazah

Oleh : Ustaz Ayman Al Akiti 

Perdebatan isu kenajisan babi dan meletakkan posisinya sebagai najis mughalazah adalah sebuah isu khilaf di kalangan mazhab-mazhab fiqh yang berbeza. Akan tetapi, isu yang paling tidak terhormat adalah usaha-usaha untuk merubah suatu status pandangan sebuah mazhab yang sebenarnya berpegangan kepada "X" lalu dikatakan bahawa ia adalah"Y". Ini adalah sebuah tahrif atau penyimpangan. Lalu orang tersebut juga enggan menyebut hujjah sebenar kenapa mazhab tersebut memegang "X" bahkan hanya mencanang-canang pendapat "Y".

Perkara ini terjadi, kerana ada sebagian tokoh agama di Malaysia yang mengeluarkan pendapat yang tidak begitu disukai oleh muslimin Malaysia yang sejak dahulu berpegang dengan mazhab Syafi'I secara totok. Dalam usaha merubah wacana ini, tokoh agama tersebut dengan berani mengeluarkan qaul-qaul ulama dalam mazhab Syafi'I yang sebenarnya sudah ditarik oleh imam mazhab tersebut. Mereka berharap dengan adanya qaul imam mazhab tersebut itu nantinya dapat merubah persepsi pentaklid buta mazhab Syafi'I ini untuk mengikuti mazhab mereka. Sesungguhnya perkara ini adalah tidak patut, kerana isu khilaf seharunya dibicarakan oleh ahlinya bersama dengan ahlinya bukan kepada orang awam yang dikhuatirkan akan menjadi kesalah fahaman dan terpesong dengan polemik para ulama.

Qaul Mazhab Syafi'I yang mengatakan Babi tidak najis atau najis tapi najis ringan

Seperti yang diketahui oleh semua penuntut ilmu mazhab Syafi'I, bahawa kenajisan babi adalah tergolong najis ringan yang hanya perlu untuk dibasuh satu kali basuhan menurut qaul qadim @ pendapat Imam Syafi'I yang lama ketika masih di Baghdad. Para penganut mazhab ini juga tahu bahawa mazhab Jadidlah yang patut dipegang, bukan mazhab Qadim, kecuali beberapa masalah yang dibahas dalam bab lain oleh ulama-ulama tarjih mazhab agung ini. Akan tetapi, bukan isu babi ini yang dipilih untuk berpegang kepada mazhab qadim oleh mayoritas ulama mazhab ini kecuali sebahagian kecil dari mereka seperti Abu Ali al-Fariqi (w. 528). Telah dinukilkan oleh Imam Sulayman al-Kurdi dalam al-Fawaid al-Madaniyyah:

القديم هو الصحيح ولا مدخل للإلحاق هنا وفي التهذيب أن القديم قول عامة أهل العلم
(Pendapat mazhab Qadim adalah yang sahih dan tidak ada tempat masuk untuk menyamakan isu ini dengan anjing di sini. Dan dalam kitab al-Tahzib bahawa sesungguhnya mazhab qadim adalah pendapat keumuman ahli ilmu). [Rujuk: al-Fawaid al-Madaniyyah, 359-360].

Malah ada yang berani menukil pendapat Imam Nawawi bahawa beliau memilih untuk menganggap bahawa Khinzir adalah suci seperti dalam al-Tanqih:

الأصح عند الأصحاب الإلحاق وهو الجديد. والمختار القوي في الدليل الاكتفاء بغسلة واحدة بل مقتضى الدليل طهارته كالأسد والذئب والفأرة ونحوها. وقولهم إنه أسوأ حالا من الكلب لا يسلَّم
(Yang lebih sahih menurut Ashab Syafi'I adalah menyamakan dengan anjing. Ia adalah qaul jadid. Pendapat yang dipilih yang kuat dalilnya adalah cukup dengan satu basuhan bahkan dalil menuntut untuk menunjukkan kesuciannya seperti singa, serigala, tikus dan sesamanya). [Rujuk: al-Tanqih Hamisy al-Wasit: 1/205].

Pentarjihan

Dalam mazhab Syafi'I, ulama telah melakukan kajian dan memutuskan sesuatu sesuai dengan manhaj usul yang diasaskan oleh mujtahid mazhab ini dengan tidak bersifat double standard. Ini adalah sifat disiplin mazhab Syafi'I yang telah ditanamkan oleh Imam Mazhab dan Ashabnya. Walaupun sepertinya Imam Nawawi yang merupakan ulama agung mazhab ini berpendapat seperti itu, tidak boleh tidak untuk kita hanya berpihak pada satu kitab beliau dan membuang pendapat beliau dalam kitab lain. Imam Nawawi telah berkata dalam kitabnya berjudul Minhaj al-Thalibin:


وما نجس بملاقاة شيء من كلب غسل سبعا إحداهن بتراب والأظهر تعين التراب , و أن الخنزير ككلب
(Sesuatu yang terkena najis disebabkan dijilati oleh anjing maka basuhlah sebanyak 7 kali dan salah satunya dengan tanah. Pendapat yang lebih jelas adalah diwajibkan dengan tanah bukan lainnya. Sedangkan babi disamakan dengan anjing) [Rujuk: Minhaj al-Thalibin Hamisy Mughni al-Muhtaj: 1/238].

Ini jelas menunjukkan Imam Nawawi memiliki kata dua dalam isu ini sehingga kadangkala memilih untuk menyatakan bahawa babi diqiyaskan dengan anjing seperti pendapat ulama sebelumnya.

Pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi'I adalah qaul jadid sehinggalah ia yang disebut dalam kitab-kitab matan, ringkasan, dan bahkan yang difatwakan. Kalau kita berpegang pada pendapat Imam Nawawi di atas "مقتضى الدليل طهارته" maka ia jelas-jelas bertentangan dengan nas dari Firman Allah SWT:


" قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ"
(Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati Dalam apa Yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor).

Imam Ibn Hajar al-Haithami telah berkata :


وعود الضمير للمضاف إليه سائغ على حد فإنه رجس كما هو التحقيق في الآية
(Kembalinya kata ganti "fainnahu" tersebut adalah kepada mudhaf ilaih "khinzir" seperti yang sedap difahami pada batasan kata "khizir itu adalah najis" seperti apa yang telah dikukuhkan dalam ayat tersebut) [Rujuk: Tuhfat al-Muhtaj: 1/327].

Imam al-Baidhawi telah berkata dalam kitab Tafsirnya:


"فإنه أي فإن الخنزير أو لحمه قذر" (Sesungguhnya ia iaitu sesungguhnya khinzir atau dagingnya adalah jorok!) [Rujuk: Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta'wil: 2/460].

Selain itu, kalau kita rujuk kepada pendapat ulama mazhab Syafi'I dalam hal kenajisannya khamar, maka kita akan menjumpai mereka berlandaskan pada firman Allah SWT:

 " يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوه" (Wahai orang-Orang yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya).

Dalam hal ini, telah dinukil dalam kitab Asna al-Mathalib oleh Zakariya al-Anshori bahawa Imam Nawawi memang pernah menukilkan bahawa makna "رجس" di atas tidak menunjukkan najis:


" قال في المجموع ولا دلالة ظاهرة في الآية لأن الرجس لغة القذر ولا يلزم منه النجاسة ولا من الأمر بالاجتناب انتهى وقد يجاب بأن الأدلة الشرعية جارية على العرف الشرعي والرجس فيه هو النجس" (Berkata Imam Nawawi di dalam Majmuk: tidak ada penunjukan yang zahir dalam ayat tersebut. Sesungguhnya kata rijsun itu secara bahasa adalah kotor, maka tidak semestinya ia menunjukkan arti najis ataupun perkara yang perlu untuk dijauhi. – tamat kata-kata Imam Nawawi. Maka dijawab: sesungguhnya dalil syarak yang berlaku sesuai uruf syarak bahawa kata rijsun adalah najis) [Rujuk: Asna al-Mathalib: 1/9].

Maka sangat jelaslah dalam mazhab Syafi'I bahawa maksud dari "رجس" adalah najis bukan hanya sekadar kotor. Buktinya Imam al-Syafi'I sendiri di dalam al-Umm mengnaskan kenajisan khamar:

 " وكل ما أصاب الثوب من غائط رطب أو بول أو دم أو خمر , أو محرم ما كان فاستيقنه صاحبه وأدركه طرفه , أو لم يدركه فعليه غسله" (Setiap perkara yang mengenai baju seperti tahi basah, atau kencing, atau darah, atau khamar, atau benda yang diharamkan maka selagimana dia yakin dan melihat bahagian dari perkara tersebut ataupun ia tidak melihat sekali pun – tapi dia yakin terkena – maka wajib baginya untuk membasuhnya) [Rujuk: al-Umm: 1/72].

Maka dari sini sudah jelaslah kepada kita, bahawa mazhab yang dipilih untuk difatwakan adalah qaul jadid bukan qadim. Sedangkan isu kenajisan babi di tanah air Malaysia, penulis tidak melihat satu masyaqah pun untuk diterapkan. Maka sudah seharunya bagi kita umat Islam untuk tidak terlalu mudah menganggap samak najis babi atau anjing atau bahkan menghukumi kenajisan babi adalah sebagai sesuatu yang menyusahkan, kerana sesungguhnya ia tidak susah sama sekali!!!

Sumber  :  http://akitiano.blogspot.com/2014/06/kenajisan-babi-dan-sifatnya-yang.html

Isnin, 23 Jun 2014

Tokoh Ilmuwan Hadith : Maulana Hussin bin Abdul Qadir




Maulana Hussin bin Abdul Qadir

Berusia 52 tahun .

Sudah 26 tahun menetap di Malaysia .

Maulana Hussin sangat alim Hadith , beliau memiliki Sanad Hadith hingga kepada Imam Bukhary , Imam Mazhab 4 dan terus bersanad kepada Rasululullah SAW .

Beliau sekarang mengajar di pondok-pondok sekitar Kelantan .

Semasa di Majlis Habib Zein di Kelantan saya diperkenalkan dengan Maulana Hussin ini. Saya terkejut apabila dikenalkan dengan beliau . Saya sangkakan beliau orang biasa .

Akhlak beliau sangat mulia dan merendah diri. Beliau TIDAK menimbulkan polemik dan isu kontroversi atau mengungkit perkara khilafiah untuk jadi glamour. Inilah sifat tawaddhuk yang ada pada beliau.

Beliau memang tidak popular,  tidak dikenali ramai. TETAPI ALLAH memahsyurkan beliau di kalangan para pencinta ilmu.

Beliau membuka restoran menjual roti canai . Sungguh tidak disangka beliau alim besar dalam ilmu hadith sehinggakan Baba Ghazali Sekam Pattani sekalipun masih belajar dengan beliau dan termasuk Dr Lukman anak Tn Guru Hj Abdullah Lubuk Tapah masih belajar dengan beliau .

Hatta Maulana Qari Yasin yang diiktiraf sebagai ulamak hadith dunia Islam kini, memberikan gelaran MUHAQQIQ (pentahqik hadis) kepada beliau.

Moga masyarakat celik minda dan tidak mensia- siakan ulama , ambil menafaat dengan beliau terutamanya orang Kelantan yang hampir dengan beliau.

Sumber :

1. http://pondoktauhid.blogspot.com/2011/06/maulana-hussin-dari-burma-alim-hadith.html

Ahad, 22 Jun 2014

Penjelasan "ASAL IBADAH ADALAH DILARANG"

Oleh : Ustaz Ayman Al Akiti 

Kaedah "Asal Ibadah adalah Dilarang" atau "adalah Tawqif" atau "adalah Terbatal" memiliki makna secara istilah adalah manusia tidak dibebankan dengan sebuah ibadah kecuali setelah disyariatkan daripada Allah SWT dan dijelaskan cara-caranya.

Akan tetapi "ibadah" yang dimaksud tidakah berlaku secara mutlak. Ini disebabkan oleh para ulama yang mengibaratkan kaedah ini sendiri mengakui terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan jenis-jenis ibadah yang dapat diterapkan (تطبيق)  dalam kaedah ini.

Contohnya al-Hafiz Ibn Hajar pernah merekodkan kaedah ini yang disandarkan kepada Imam al-Subki di dalam Syarah Bukharinya yaitu Fath al-Bari 3:371:

عَنْ أُمّ هَانِئ قَالَتْ {قَدِمَ رَسُولُ اَللَّهِ صَلَّى اَللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ فَصَلَّى ثَمَان رَكَعَات فَقُلْتُ مَا هَذِهِ ؟ قَالَ هَذِهِ صَلاة اَلضُّحَى} وَاسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى أَنَّ أَكْثَرَ صَلاة اَلضُّحَى ثَمَانُ رَكَعَاتٍ. وَاسْتَبْعَدَهُ اَلسُّبْكِيّ وَوُجِّهَ بِأَنَّ الأَصْلَ فِي اَلْعِبَادَةِ التَّوَقُّفُ وَهَذَا أَكْثَرُ مَا وَرَدَ فِي ذَلِكَ مِنْ فِعْلِهِ صَلَّى اَللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Petikan dalam Fath al-Bari ini sedang membahas maksimum raka'at untuk solat sunat Dhuha. Menurut Imam Subki – seperti yang dinukil – maksimum solat Dhuha adalah 8 rakaat kerana ada hadis dari Ummu Hani' RA dan menganggap ia adalah Tawaqquf (tidak boleh dirubah kerana ia sudah diajarkan oleh Baginda Rasul SAW).

Walaubagaimanapun, penetapan kaedah ini oleh Imam Subki terbukti masih dikhilafkan oleh ulama Syafi'iyyah yang lain misalnya Imam al-Ruyani yang mengatakan bahwa tidak ada had di dalam solat Dhuha selain daripada pendapat yang mengatakan paling banyak adalah 12 rakaat, seperti yang dinukil oleh al-hafiz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari pada tempat yang sama:

وقد ذهب قوم منهم أبو جعفر الطبري وبه جزم الحليمي والروياني من الشافعية إلى أنه لا حد لأكثرها.

Juga seperti khilaf yang telah diperbahaskan Imam Zakariya al-Anshari di dalam kitab Syarah al-Bahjahnya 2:406:

وَالأَكْثَرُونَ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ عَلَى أَنَّ أَكْثَرَهَا ثَمَانٍ وَصَحَّحَهُ فِي التَّحْقِيقِ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ عَنْ أُمِّ هَانِئٍ {أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم صَلاَّهَا ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ} وَعَنْهَا أَيْضًا {أَنَّهُ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الْفَتْحِ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ} رَوَاهُ أَبُو دَاوُد بِإِسْنَادٍ صَحِيحٍ. وَمَا قِيلَ مِنْ أَنَّ هَذَا لا يَدُلُّ عَلَى أَنَّ ذَلِكَ أَكْثَرُهَا رُدَّ بِأَنَّ الأَصْلَ فِي الْعِبَادَاتِ التَّوْقِيفُ، وَلَمْ تَصِحَّ الزِّيَادَةُ عَلَى ذَلِكَ، وَفِي الرَّوْضَةِ كَأَصْلِهَا أَفْضَلُهَا ثَمَانٍ، وَأَكْثَرُهَا ثِنْتَا عَشْرَةَ.

Dari ibarat tersebut jelas bahawa Imam Nawawi sendiri yang membatasi solat Dhuha sebanyak 8 rakaat dengan berpegang pada kaedah tersebut berbeza pendapat dengan apa yang telah ditetapkan di dalam kitab Raudlahnya bahwa yang afdal adalah 8 rakaat dan paling banyak adalah 12 rakaat.

Ini menunjukkan bahwa Kaedah ini tidak dapat diterapkan secara mutlak terhadap semua jenis ibadah walaupun kita sepakat bahwa kaedah ini memang wujud di kalangan ulama. Oleh sebab itu, perlulah dikaji jenis-jenis ibadah yang masuk di dalam kaedah ini.

Untuk menentukan jenis ibadah yang masuk dalam kaedah ini, perlu dikaji salah satu dari pendapat sarjana Saudi sendiri yaitu Dr. Shalih bin Ghanim al-Sadlan dalam kitabnya al-Qawaid al-Fiqhiyyah al-Kubra wa Ma Tafarra'a 'anha, 154; beliau mengatakan:

ويعبر عن هذه القاعدة أيضا بأن "الأصل في العبادات التوقيف" وقد يعبر عنها بأن "الأصل في العبادات البطلان" ومؤداها كلها واحد وهو أن جميع الأمور التعبدية التي لها هيئات وأوصاف دينية خاصة لا تهدي إليها الغرائز ولا العقول كالصلوات المحمودة بأوقاتها وأعدادها وهيئاتها وكالزكاة المحمودة بأنواعها ونصابها ومقاديرها ومواقيتها وكالصيام المحدود بزمانه وكيفيته والحج كذلك وكالأضاحي والكفارات. وأحكام التوارث والعقوبات المحددة المسماة بالحدود ونحو ذلك  من الأمور التي لا حظ للاجتهاد في وضعها ولا في تبديلها وتغييرها مهما تغيرت الأحوال والعصور، وهذه الأمور التعبدية هي شعار العقيدة وعنوانها وهي جديرة بأن تسمى تكاليف شرعية وشعائر إسلامية لأنها لا يتعاون فيها مع باعث الدين آخر من غرائز النفوس ولا هداية العقول؛ لذا كان الأصل فيها الحظر.

Dari sini, Dr. Shalih sendiri mengakui bahwa kaedah ini diterapkan pada ibadah yang bersifat "ta'abudi" atau dapat difahami sebagai "غير معقولة المعنى" (yang tidak dapat difahami 'illat dari hukum tersebut). Beliau juga secara tidak langsung mengatakan bahwa ada ibadah yang tidak bersifat "ta'abudi". Ini difahami dari katanya: " وهو أن جميعالأمور التعبدية التي لها هيئات وأوصاف دينية خاصة لا تهدي إليها الغرائز ولا العقول " (Yaitu bahwa semua perkara yang bersifat ta'abudi yang mana baginya bentuk khusus dan sifat keagamaan yang khusus yang tidak dapat ditunjukkan oleh perasaan manusia maupun akal-akal mereka).

Untuk mengukuhkan perkara ini lagi, sebaiknya kita memahami kata-kata Imam al-Syathibi sendiri yang mensifatkan bahwa sebuah ibadah tersebut adalah bid'ah dan haram ketika ia tidak ada dalil. Akan tetapi, seumpama ada dalil yang menunjukkan wajib atau sunat atau mubah, maka ia bukanlah bid'ah lagi, seperti yang tersebut di dalam kitab al-I'tishamnya 1:191:

أن هذا التقسيم أمر مخترع لا يدل عليه دليل شرعي بل هو نفسه متدافع ، لأن من حقيقة البدعة أن لا يدل عليها دليل شرعي لا من نصوص الشرع ولا من قواعده ، إذ لو كان هنالك ما يدل من الشرع على وجوب أو ندب أو إباحة لما كان ثَمَّ بدعة ، ولكان العمل داخلاً في عموم الأعمال المأمورة بها أو المخير فيها . فالجميع بين عد تلك الأشياء بدعاً ، وبين كون الأدلة تدل على وجوبها أو ندبها أو إباحتها جمع بين متنافيين .

Dari petikan ini, Imam Syathibi sendiri menolak menetapkan istilah Bid'ah bagi ibadah yang ada sandaran dalil. Oleh itu, hanya ibadah yang tidak terdapat dalil sama ada khusus maupun umum sahaja yang ditolak, seperti menambah jumlah rakaat solat subuh atau lainnya.

Seperti contoh, marilah kita fahami satu isu dalam masalah ibadah yang khusus yaitu lafaz Takbirah al-Ihram. Menurut mazhab Maliki, Takbirah al-Ihram tidak sah melainkan menggunakan kalimat "الله أكبر" (walaupun dengan menambah "ال"  pada kalimat "الأكبر" adalah tidak sah) ini didasari dengan kaedah "Asal Ibadah adalah Tawqif" seperti yang disebutkan di dalam kitab Hasyiah al-Dasuqi bagi Syarah al-Kabir, 1:232:

(قَوْلُهُ: وَإِنَّمَا يُجْزِئُ اللَّهُ أَكْبَرُ) – إلى أن قال – أَيْ إنَّ الْمُصَلِّيَ لا يُجْزِئُهُ  فِي تَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ شَيْءٌ مِنْ الألْفَاظِ الدَّالَّةِ عَلَى التَّعْظِيمِ إلا لَفْظَ اللَّهُ أَكْبَرُ لا غَيْرُهُ مِنْ اللَّهُ أَجَلُّ أَوْ أَعْظَمُ أَوْ الْكَبِيرُ أَوْ الأَكْبَرُ لِلْعَمَلِ وَلأَنَّ الْمَحَلَّ مَحَلُّ تَوْقِيفٍ وَقَدْ قَالَ عليه الصلاة والسلام {صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي} وَلَمْ يَرِدْ أَنَّهُ افْتَتَحَ صَلاتَهُ بِغَيْرِ هَذِهِ الْكَلِمَةِ وَلا بِهَا بِغَيْرِ الْعَرَبِيَّةِ مَعَ مَعْرِفَتِهِ لِسَائِرِ اللُّغَاتِ كَمَا فِي شَرْحِ الْمَوَاهِبِ.

Perkara ini didukung juga oleh Mazhab Hanbali dengan ketetapan yang sama yaitu tidak adanya khabar yang menunjukkan boleh berpindah kepada lafaz lain, seperti pendapat Imam Ibn Qudamah di dalam al-Mughninya, 1:540:

"...أن الصلاة لا تنعقد إلا بقول "الله أكبر" عند إمامنا ومالك – إلى أن قال – وَلَنَا أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ {تَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ} – إلى أن قال – لَمْ يُنْقَلْ عَنْهُ عُدُولٌ عَنْ ذَلِكَ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا وَهَذَا يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ الْعُدُولُ عَنْهُ.

Yang menariknya, dalam memahami nas-nas tersebut, Mazhab Syafi'I dan Hanafi berbeza dengan kedua mazhab yang tadi. Menurut Mazhab Syafi'I, illat wajibnya mengikuti atau tawaqquf di sini adalah nama takbir tersebut dan menjaga lafaz al-Jalalah (Allah) tersebut. Oleh sebab itu, menurut mereka, kalimat "الله الأكبر" adalah sah. Cuba lihat petikan Fath al-Mu'in dan Syarahnya I'anah al-Thalibin, 1:132 berikut:

( ويتعين ) فيه على القادر لفظ ( الله أكبر ) للاتباع أو الله الأكبر ولا يكفي أكبر الله إلخ.
( قوله أو الله الأكبر ) معطوف على الله أكبر ولو قال ويكفي الله الأكبر لكان أولى وعبارة المغنى مع الأصل ولا تضر زيادة لا تمنع الاسم أي اسم التكبير كالله الأكبر بزيادة الألف واللام لأنه لفظ يدل على التكبير وعلى زيادة مبالغة في التعظيم وهو الإشعار بالتخصيص وكذا لا يضر الله أكبر وأجل والله الجليل أكبر في الأصح وكذا كل صفة من صفاته تعالى إذا لم يطل بها الفصل كقوله الله عز وجل أكبر لبقاء النظم والمعنى بخلاف ما لو تخلل غير صفاته تعالى كقوله الله هو الأكبر أو طالت صفاته كالله الذي لا إله إلا هو الملك القدوس كبر اهـ.

Malah menurut Mazhab Hanafi, diperbolehkan untuk menggunakan kalimat selain "الله أكبر" walaupun berbeza dengan muridnya Abu Yusuf yang hanya memperbolehkan 4 lafaz: "الله أكبر", "الله الأكبر", "الله الكبير", dan "الله كبير". Perkara ini dapat dirujuk pada kitab al-Mabsuth, 1:35:

ويجوز افتتاح الصلاة بالتسبيح والتهليل والتحميد في قول أبي حنيفة ومحمد رحمهما الله , وفي قول أبي يوسف رحمه الله إذا كان يحسن التكبير ويعلم أن الصلاة تفتتح بالتكبير لا يصير شارعا بغيره , وإن كان لا يحسنه أجزأه , وألفاظ التكبير عنده أربعة : الله أكبر , الله الأكبر ,  الله الكبير , الله كبير – إلى أن قال – وأبو حنيفة رحمه الله ومحمد رحمه الله استدلا بحديث مجاهد رضي الله عنه قال : { كان الأنبياء صلوات الله عليهم يفتتحون الصلاة بلا إله إلا الله } , ولأن الركن ذكر الله - تعالى - على سبيل التعظيم , وهو الثابت بالنص قال الله - تعالى - : { وذكر اسم ربه فصلى } , وإذا قال الله أعظم أو الله أجل فقد وجد ما هو الركن , فأما لفظ التكبير وردت به الأخبار فيوجب العمل به حتى يكره افتتاح الصلاة بغيره لمن يحسنه ولكن الركن ما هو الثابت بالنص , ثم من قال الرحمن أكبر فقد أتى بالتكبير قال الله تعالى : { قل ادعوا الله أو ادعوا الرحمن } الآية . والتكبير بمعنى التعظيم قال الله تعالى : { فلما رأينه أكبرنه } أي عظمنه : { وربك فكبر } أي فعظم والتعظيم حصل بقوله الله أعظم .

Kesimpulan dari khilaf ini, dapat dilihat bahwa lafaz Takbirah al-Ihram itu ditetapkan oleh nas yang zahir! Rasulullah Saw melakukannya dengan lafaz "الله أكبر" tidak selainnya. Akan tetapi, ulama mazhab berbeza pendapat akan sifat tawaqquf di sini. Apakah ia ta'abuddi yang mana tidak boleh berbeza dengan nas atau ia bukanlah ta'abuddi yang boleh untuk berbeza dengan nas yang zahir selagi ada illat atau sesamanya.

Dengan ini, maka jelaslah bahwa kaedah ini diterapkan bagi ibadah yang bersifat ta'abuddi sahaja. Tapi wajib kita ingat bahwa boleh sahaja satu ulama menganggap bahwa sesuatu ibadah itu adalah ta'abuddi, tapi belum tentu ia adalah ta'abuddi menurut ulama yang lain. Maka asalkan perkara tersebut memiliki sandaran dalil sama ada khusus atau umum, maka ia adalah diharuskan.


Wallahu a'lam bis Shawab!

Catatan: Ini adalah ringkasan dari skripsi (thesis) penulis ketika menduduki di tahun akhir tingkatan sarjana muda dan berhasil mendapatkan anugrah penulis skripsi terbaik di universiti tersebut pada tahun 2010.

Sumber  : http://akitiano.blogspot.com/2013/10/ringkasan-pemahaman-kaedah-asal-ibadah.html

Sabtu, 14 Jun 2014

Kesempurnaan Sujud Dalam Solat




Oleh: MUFTI BRUNEI

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sujud merupakan salah satu daripada rukun dalam sembahyang berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala :

Tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman, ruku„lah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang)..." (Surah al-Hajj: 77)

Persoalan bagaimana cara melaksanakan sujud dalam sembahyang itu hendaklah dilihat kepada cara dan tunjuk ajar sembahyang Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang yang berupa rukun, perkara-perkara sunat dan tertib sembahyang, daripada permulaan sembahyang dengan takbiratul ihram sehingga selesai dengan mengucapkan salam, kesemuanya itu hendaklah mencontohi cara sembahyang Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Daripada Malik bin al-Huwayrits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya : "(Kerjakan) sembahyang sebagaimana kamu lihat aku sembahyang." Hadis riwayat al-Bukhari)

Anggota Sujud

Anggota sujud dalam sembahyang ada tujuh, iaitu menyampaikan atau meletakkan pada tempat sujud sebahagian daripada dua tapak tangan, sebahagian daripada dua kaki (yakni jari-jari kaki), dua lutut dan sebahagian dahi yang tidak berlapik. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya : "Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang (anggota sujud), iaitu: pada dahi - dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda -, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua telapak kaki..." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadits yang disebutkan di atas secara umum membayangkan apa dia anggota-anggota sujud dalam sembahyang. Akan tetapi, kadang-kala timbul persoalan yang melibatkan anggota-anggota sujud itu sendiri. Tidak dinafikan juga, terjadi kecuaian dan kesilapan dalam melakukan sujud tanpa disedari, antaranya:

1. Meletakkan hidung dan dahi pada tempat sujud

Hukum meletakkan hidung pada tempat sujud ketika sujud adalah dituntut berdasarkan hadits shahih di atas, akan tetapi hukumnya adalah sunat dan bukan wajib. Selain itu, para ulama telah menyebutkan bahawa sujud pada dahi semata-mata tanpa meletakkan hidung pada tempat sujud hukumnya adalah makruh. Sebaliknya pula, adalah tidak memadai sekiranya sujud dilakukan dengan hanya meletakkan hidung sahaja tanpa sebahagian dahi. Ini kerana dahi adalah termasuk dalam anggota sujud.

2. Mengangkat dahi ketika sujud

Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma'ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.

Thuma'ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma'ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi'li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir: " Subhanallah " sebelum beralih ke rukun fi'li seterusnya. Seperti yang diketahui, thuma'ninah diwajibkan ketika sujud.

Oleh yang demikian, maksud thuma'ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada sujud.

3. Dahi dan hidung yang berlapik

Ketika sujud, bahagian dahi hendaklah dalam keadaan terbuka atau terdedah tanpa dihalang oleh sebarang lapik seperti songkok, serban, telekung atau seumpamanya. Demikian juga, disunatkan agar bahagian hidung mencecah tempat sujud tanpa dihalang oleh sebarang lapik sebagai ittiba' (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam). Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan riwayat daripada Abu Sa'id al-Khudriy Radhiallahu 'anhu:

Maksudnya : "Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dapat dilihat pada dahi dan hujung hidung Baginda kesan (bekas) tanah (setelah selesai) daripada sembahyang yang dilaksanakan Baginda bersama-sama orang ramai." (Hadits riwayat Abu Daud)

4. Kedudukan jari-jari tangan dan kaki ketika sujud

Berdasarkan hadits yang disebutkan di atas, diwajibkan ketika melakukan sujud untuk meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi, antaranya ialah dua tangan dan dua kaki. Yang dimaksudkan dengan dua kaki itu ialah perut jari-jari dari dua telapak kaki.

Oleh itu, tidak sah sujud dalam sembahyang dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki, apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung tidak mencecah bumi atau lantai.

Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.

Demikian antara persoalan mengenai hukum dan cara meletakkan anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang dan juga beberapa contoh kecuaian dan kesilapan yang berlaku ketika sujud.

Tertib Anggota Ketika Hendak Sujud

Selain menyempurnakan kewajipan dalam meletakkan anggota-anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang, terdapat juga perkara-perkara sunat ketika melakukan sujud, antaranya cara sujud dan tertib anggota sujud ketika hendak melakukan sujud.

Cara sujud dan tertib anggota sujud yang lebih sempurna ialah sunat bagi seseorang ketika hendak sujud supaya meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, diikuti dua kaki, iaitu jari-jari kaki yang dilipat dan dihadapkan ke arah kiblat, kemudian diikuti dengan meletakkan kedua tapak tangan sebagaimana cara atau amalan yang telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wasallam sendiri. Terakhir sekali meletakkan sebahagian dahi dan hidung secara serentak kerana ittiba', (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu Alaihi wasallam). Hukum meletakkan kedua-dua dahi dan hidung secara serentak adalah sunat.

Perbuatan tertib ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Wa'il bin Hujr Radhiallahu 'anhu, dia berkata:

Maksudnya : "Aku melihat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda hendak sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua (tapak) tangan Baginda. Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda Sebelum dua lutut Baginda." (Hadits riwayat Abu Daud)

Tertib dan cara ketika hendak sujud inilah yang dipegang oleh kebanyakkan ulama dan ulama fiqh. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan adalah makruh menyalahi tertib yang telah disebutkan di atas. Manakala pendapat yang lain mengatakan sekiranya dia sujud dengan mendahului meletakkan kedua tangannya sebelum kedua lututnya, maka itu adalah memadai, cuma dia telah meninggalkan sunat hai'at dan meninggalkan perkara yang mustahab, iaitu yang disukai.

Bertumpu Dengan Dua Tapak Tangan

Begitulah penjelasan mengenai cara sujud dan tertib anggota sujud yang disunatkan. Bagaimana pula cara dan tertib anggota ketika hendak bangun berdiri setelah selesai melakukan sujud yang kedua?

Antara perkara yang disunatkan apabila hendak bangun untuk berdiri dalam sembahyang, seperti ketika bangun daripada sujud, ketika bangun daripada duduk istirahat, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua sebelum bangkit berdiri, atau ketika bangun daripada tasyahhud, ialah bertumpu dengan dua tapak tangan. Kaifiyatnya atau caranya ialah bertumpu dengan menetapkan tapak tangan dan perut jari-jari tangan yang dibentangkan (yakni tidak digenggam) di atas lantai atau tempat sembahyang.

Hukum bertumpu dengan tangan ketika bangun adalah sunat, malahan digalakkan untuk diamalkan, sama ada bagi mereka yang kuat (berdaya) mahupun yang lemah, sama ada lelaki mahupun perempuan. Bertumpu dengan tangan menyerupai tawadhu' (merendah diri), di samping cara ini lebih membantu orang yang sembahyang.

Dasar dalam perkara ini adalah sebagai ittiba' (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam). Telah sabit bahawa cara Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bangun atau bangkit berdiri seolah-olah seperti bangunnya seorangmyang lemah atau seorang tua yang lemah, yakni seseorang yang memerlukan bantuan dengan meletakkan tangan pada sesuatu atau lantai untuk menolongnya ketika bangun berdiri. Selain itu, dalam sebuah hadits shahih, menyebutkan perbincangan antara Ayyub dan Abu Qilabah Radhiallahu 'anhum mengenai cara sembahyang 'Amru bin Salimah Radhiallahu 'anhu yang menyerupai dan mencontohi sembahyang Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam :

Maksudnya : "Dan apabila Baginda mengangkat kepala Baginda daripada sujud yang kedua, Baginda duduk (seketika) dan bertumpu pada bumi (atau lantai), kemudian (Baginda pun) bangun berdiri." (Hadits riwayat al-Bukhari)

Tidak Bertumpu Dengan Tangan Pada Lantai

Menurut penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa disunatkan ketika bangun daripada sujud untuk bertumpu dengan menggunakan bantuan tangan yang ditetapkan atau diletakkan pada lantai atau tempat sembahyang. Bagaimanapun dalam hadits yang diriwayatkan oleh Wa'il bin Hujr Radhiallahu 'anhu yang terlebih awal disebutkan di atas, menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut ketika bangun berdiri. Manakala dalam hadits Muhammad bin Juhadah Radhiallahu 'anhu, Baginda tidak bertumpu pada lantai sebaliknya Baginda bertumpu pada peha Baginda ketika bangun berdiri sepertimana berikut:

1. Hadits Wa'il bin Hujr Radhiallahu 'anhu:

Maksudnya : "... Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum daripada dua lutut Baginda." (Hadits riwayat Abu Daud)

2. Manakala hadits Muhammad bin Juhadah menyebutkan:

Maksudnya : "Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda bangun atas dua lutut Baginda dan bertumpu (dengan tangan diletakkan) pada peha Baginda." (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah, cara bangun untuk berdiri dalam kedua-dua hadits di atas adalah bagi sesiapa yang tidak melakukan amalan sunat bertumpu dengan tangan pada lantai. Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak bertumpu dengan tangan pada lantai, maka digalakkan agar dia mendahulukan mengangkat kedua tangannya sebelum kedua lututnya dan dia bertumpu dengan kedua tangannya pada dua pehanya supaya dengan cara sebegini membantunya atau menolongnya untuk bangun berdiri.

Sebagai kesimpulan, antara sunat hai'at dalam sembahyang itu menyentuh mengenai tertib dan cara ketika hendak sujud dan bangun berdiri daripada sujud. Tertib dan cara bangun daripada sujud itu termasuklah bangun daripada duduk istirahat, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua dan sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya, serta bangun daripada duduk tasyahhud. Tertib dan cara ini telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri berdasarkan beberapa hadits. Sebaliknya, meninggalkan tertib ini dalam sembahyang hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan sunat hai'at.

WALLAHU'ALAM

Sumber  : http://www.pelitabrunei.gov.bn/template/irsyad-hukum/item/7986-kesempurnaan-sujud-dalam-sembahyang

Rabu, 11 Jun 2014

ADAKAH GELATIN / DNA BABI YANG DITRANFORMASIKAN HALAL DIGUNAKAN ?

Jawapan daripada Mufti Perak (Tan Sri Harussani Zakaria) :

Bahan-bahan yang haram di sisi agama Islam tetap dianggap haram meskipun ia telah mengalami perubahan zat,

Menurutnya, istilah istihalah (proses perubahan zat yang membolehkan bahan-bahan haram berubah menjadi halal) yang diguna pakai sesetengah pihak tidak wajar dijadikan landasan untuk menghalalkan sesuatu perkara, khususnya di negara ini.

"Jangan sewenang-wenangnya bercakap isu ini. Ini isu halal haram. Tambah pula, ia tidak sesuai dipraktikkan di sini.

"Masih banyak (lagi) sumber halal yang masih boleh digunakan oleh umat Islam, jadi isu istihalah tidak boleh digunakan,bahan halal apabila telah bercampur dengan yang haram, ia akan dianggap haram di sisi Islam. Harus diingat, jika keadaan darurat sahaja, dibolehkan menggunakan bahan haram, contohnya dalam perubatan. Seorang pesakit diharuskan mengambil imunisasi yang ada DNA babi dengan tujuan untuk selamatkan nyawanya semata-mata. Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini khasnya umat Islam supaya mengelakkan diri daripada terdedah dengan benda-benda haram tersebut jika tidak mempunyai kewajipan untuk mengambilnya.

Jawapan daripada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid :

menyifatkan apa jua jenis bahan yang telah bercampur dengan babi tetap dikira haram. Jika zat babi masih terdapat di dalam bahan tersebut, ia tetap dikira haram. Hanya makanan yang secara tidak sengaja tercemar dengan babi, hukumnya harus, lain-lain tidak boleh, apa lagi disengajakan. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ulama Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai proses perubahan zat yang membolehkan bahan-bahan haram berubah menjadi halal. Jika ada bahan haram yang memasuki air melebihi dua kolah, air tersebut masih digunakan, tetapi mesti tiada perubahan warna, bau dan rasa.

Sumber : SINI

Timbalan Mufti Negeri Sembilan   Nor Azamir Alias  :

Kenyataan kontroversi dikeluarkan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menerusi sebuah portal, baru-baru ini sebenarnya bertujuan menjawab kemusykilan umat Islam yang mendiami darul harbi atau negara bukan Islam dan sukar mendapat produk halal.

berkata, perkara tersebut hanya disedari beliau selepas membuat penelitian terperinci terhadap laman web ulama tersohor berkenaan, semalam.

“Jelas sekali, jawapan diberikan beliau membabitkan penggunaan gelatin babi adalah berasaskan kepada persoalan dihadapi umat Islam yang tinggal dalam darul harbi sahaja dan bukannya untuk negara Islam.

“Beliau mengambil kira kesukaran mereka untuk mendapatkan produk halal di negara terbabit, di mana kebanyakan produknya mengandungi gelatin babi atau haiwan yang tidak disembelih,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, atas sebab berkenaan, maka kaedah qadhiyyatul istihalah atau transformasi bahan iaitu bahan yang tidak halal apabila sebati menjadi makanan halal, maka hukumnya juga bertukar kepada halal, telah disarankan oleh Dr Yusuf untuk diguna pakai penduduk Muslim negara itu.

“Ini mungkin berasaskan kepada kaedah fiqh iaitu addharuratu tubihuk mahzuurah iaitu kerana darurat, sesuatu yang haram diharuskan dan addharuratu tuqaddaru bi qadariha iaitu kadar keharusan itu pula mengikut keadaan daruratnya, sekali gus menunjukkan ia bukanlah terbuka dengan seluas-luasnya.

“Kesimpulannya, kaedah qadhiyyatul istihalah tidak boleh dipraktikkan di negara Islam atau negara bukan Islam yang senang mendapatkan produk dan bahan-bahan halal,” katanya.

Beliau berkata, ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud, “(bahan) yang halal itu jelas (dinyatakan)” dan “setiap bahan yang haram banyaknya, maka sedikit pun menjadi haram juga”.

“Kaedah fiqh juga menyatakan yang maksudnya, “apabila bercampur di antara bahan yang halal dengan haram (dalam satu transformasi), maka bahan itu dikira haram”.

“Perlu diketahui, babi merupakan tergolong dalam najis ‘ainiyyah iaitu zatnya dapat dilihat, dicium dan dirasa berdasarkan nas al-Quran, dalil dan al thubut yang qat’ie. Maka tahwil yang diusahakan untuk menukar babi kepada benda lain sama sekali tidak merubah kenajisannya,” katanya.

Justeru, beliau berharap penjelasan diberikan dapat merungkai kekeliruan sesetengah pihak yang mungkin beranggapan bahawa daging atau gelatin babi apabila ditransformasikan dan menjadi sebati sebagai makanan, maka statusnya menjadi halal dan harus dimakan.

“Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Dr Yusuf atau merujuk kepada Fiqh Al-Jaaliyat Al-Islamiyyah Fil Gharb (Fiqh Untuk Penduduk Islam di Negara Barat),” katanya.

Sumber : SINI

Ustaz Zamihan al Ghari :

Dalam mazhab Asy Syafie, Imam Asy Syafie dalam kitab al Umm berkata :

Jika anjing atau babi meminum air dalam sebuah bekas, maka tidak bersih bekas berkenaan kecuali ia dibasuh dengna tujuh kali basuhan. - al Umm, jld 1.


Imam an Nawawi menyebutkan :

Najis itu ialah sekalian cecair yang memabukkan, anjing, babi, anak yang terbit dari keduanya, bangkai darah, nanah, muntah, tahi, kencing, mazi, wadi, mani haiwan yang tidak boleh dimakan - Minhaj at Tholibin.

Imam al Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan

haram memakan babi dan maka "Rijs" itu ialah laknat maka maksud ayat menghendaki Allah melaknat orang yang memakan Babi dan lainnya.

Imam al-Baghawi mengatakan dalam tafsirnya bahawa

makna "Rijs" iaitu haram. Yakni perbuatan memakan makanan yang mengandungi unsur Babi adalah haram dimakan. Imam al-Qurthubi dan Imam al-Baghawi mengulas perkataan "Rijs" menerusi surah al-An'am ayat 145.

Isu istihalah najis sepatutnya tidak berbangkit. Ini kerana ia istilah feqah yang hanya digunakan dalam mazhab Hanafi sahaja. Walaupun Imam Abu Hanifah setuju unsur babi menjadi istihalah (transformasi) pada ain, warna, bau dan rasa.. tetapi ia hanya melibatkan unsur yang kecil atau sedikit atau seperti molekul yang sukar diasingkan dari unsur yang halal dan dengan peratusan yang terlalu kecil. Sungguhpun begitu, ia dibantah oleh Imam Abu Yusuf yang menyetujui pendapat jumhur ulamak bahawa unsur babi dalam semua keadaan pun tetap dikira haram kecuali dalam kes darurat.

Justeru, dalam mazhab jumhur ulamak ada kaedah lain dinamakan istihlak (kebinasaan unsur). Jumhur ulamak mengatakan ianya hanya berlaku bari arak yang bertukar menjadi cuka secara semula jadi. Jumhur juga mensyaratkan terhapusnya unsur najis yang mungkin tercampur unsur halal yang banyak lagi suci. Ia seperti kes air yang melebihi dua butir kolah. Menurut saintis, unsur babi tidak akan berubah walaupun dibersihkan dengan asid, hydrolisi atau penstrilan dengan suhu yang tinggi. Jika berubah sekalipun, ia tetap kekal berstatus najis mughallazah (najis berat) sampai kiamat.

Sumber : https://www.facebook.com/zamihan/posts/900848629940877

Jawapan Ustaz Mustaffa Kamal :



Sumber : https://www.facebook.com/mustaffakamal.ustaz/posts/659319200804497

Jawapan Ustaz Kazim Elias :












































Sumber : https://www.facebook.com/ustazmohdkazim/posts/659171700798505