Halaman

Jumaat, 25 November 2011

Hukum Memungut Barang Yang Dijumpai Bab 1

Oleh : Mufti Brunei

Perihal “Luqathah”

(Bahagian Pertama)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bukanlah suatu perkara yang asing jika kita terjumpa dengan barang-barang yang tercicir. Barang-barang tercicir ini berlaku di mana-mana, di tempat-tempat awam, di kaki lima jalan, tempat letak kereta, masjid, pusat membeli belah, tandas, kawasan sekolah dan lain-lain.

Pada kebiasaannya, apabila berhadapan dengan situasi begini, orang akan bertindak memungut barang tersebut samada akan menyerahkannya kepada polis, pihak-pihak yang tertentu ataupun membiarkannya sahaja di tempatnya. Ada juga yang memungutnya dengan hajat untuk memiliki, menjual atau menyedekahkan barang tersebut. Persoalan mengenai memungut barang-barang tercicir ini akan kita huraikan melalui irsyad ini.

Definisi Luqathah Menurut Syara‘

Lazimnya suatu barang atau benda ada pemiliknya. Barang atau benda yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu Fiqh diistilahkan sebagai luqathah.

Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tandatanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang dari pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.

Menurut ulama Mazhab Syafi‘ie, haiwan hilang (sesat) yang tidak mampu mempertahankan diri dan tidak mampu mencari kehidupannya sendiri juga dipanggil luqathah.

Maka tidak termasuk dalam definisi luqathah: Harta atau barang yang ditemui di dalam kawasan yang dimiliki, yang diketahui pemiliknya, mempunyai tanda-tanda di dalam jagaan atau berada di tempat yang lazimnya ia berada. Begitu juga harta perang, bahan
galian yang tertanam di dalam tanah seperti emas dan perak, dan haiwan yang mampu mempertahankan diri dan mencari kehidupannya sendiri.

Selain itu, barang atau benda yang tidak dikira sebagai harta di dalam syara‘ seperti arak dan babi, mahupun yang tidak dihormati di dalam syara‘ seperti benda-benda yang melalaikan dan sia-sia adalah tidak termasuk di dalam istilah luqathah.

Dari penjelasan di atas menunjukkan bahawa barang atau benda yang dijumpai yang dipercayai tercicir atau hilang dan tidak diketahui pemiliknya adalah disebut sebagai luqathah.

Hukum Memungut Barang Tercicir

Memungut barang yang tercicir (luqathah) mempunyai hukum yang berbeza-beza menurut keadaan orang yang memungutnya seperti berikut:

1-Sunat: Sebilangan besar ulama berpendapat bahawa orang yang terjumpa barang yang dipercayai tercicir (luqathah) sunat memungutnya jika dia percaya dirinya akan berlaku amanah, agar barang itu tidak diambil oleh orang yang khianat.

Akan tetapi jika dia tidak yakin akan berlaku amanah, maka tidaklah disunatkan untuk memungut barang luqathah itu kerana ia mendorong untuk menyembunyikannya. Sekiranya dia ingin memungutnya, harus menurut pendapat al-Ashah, tetapi tidak digalakkan kerana berkemungkinan dia berlaku khianat dan dikhuatiri barang itu akan hilang.

2-Wajib: Wajib dipungut barang luqathah yang dijumpai di tempat yang dipercayai barang itu boleh jadi akan hilang jika dibiarkan atau di tempat laluan orang fasiq dan khianat, atau di tempat yang dikhuatiri tidak ada orang yang amanah selain diri orang yang menjumpai itu. Jika tidak di dalam keadaan sedemikian ini, maka tidaklah dihukumkan wajib.

3-Harus: Harus pula hukumnya memungut barang luqathah yang dijumpai jika tidak dikhuatiri barang tersebut akan hilang. Dalam erti kata lain, boleh sahaja dipungut atau boleh juga ditinggalkan.

4-Haram: Bagi orang yang tahu dan pasti dia akan berlaku khianat, lalu memungut barang tersebut untuk dirinya, bukan untuk menjaga dan mengembalikannya kepada pemiliknya atau pihak yang berhak, maka hukumnya adalah haram.

5-Makruh: Manakala makruh ke atas orang yang tidak percaya dan tidak yakin dengan dirinya menjaga dan bertanggungjawab terhadap barang luqathah itu memungutnya.

Sebilangan besar ulama juga mengatakan makruh bagi orang fasiq memungut barang luqathah tersebut.

Orang fasiq itu ialah seperti orang yang meninggalkan atau mencuaikan sembahyang, puasa, zakat, zakat fitrah, haji dan umrah, orang melanggar larangan Allah, menipu daya, berzina, minum arak, berjudi, rasuah, pecah amanah, bohong, riba, bermuka-muka, tiada ikhlas semata-mata kerana Allah, bergaduh, bersengketa dengan orang Islam, tiada memberi sara hidup kepada isteri dan anak-anak, tiada mengajarkan mereka akan fardhu ‘ain, derhaka kepada ibu bapa, sakit hati dan dengki hasad kepada orang Islam.

Apa Yang Perlu Dibuat Dengan Barang Yang Dipungut?

Jika seseorang menjumpai barang luqathah dan tidak ada sebarang tegahan syara‘ atau yang memudaratkan untuk memungutnya, maka barang tersebut bolehlah diperlakukan mengikut hukum syara‘ dan syarat-syarat luqathah.

Terdapat hadits-hadits yang menyatakan tentang pensyari‘atan memungut Luqathah serta tindakan yang perlu dibuat selanjutnya apabila memungutnya. Antaranya hadits yang diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits di atas, orang yang terjumpa luqathah, lalu dia memungutnya, hendaklah dia berbuat langkah-langkah berikut:

1- Mengetahui bekas dan pengikat bekas barang yang dijumpai itu.

2- Mengumumkannya kepada orang ramai dalam tempoh satu tahun.

3- Menyimpannya apabila sekiranya masih tidak menemui pemiliknya atau tiada pemilik yang menuntutnya.

4- Mengembalikannya sekiranya ada pemilik yang menuntutnya walaupun setelah berlalu suatu jangka masa atau berlalu tempoh satu tahun pengumuman.

Hadits di atas menegaskan kepada orang yang menjumpai barang luqathah itu untuk mengetahui, mengamati dan mengambil spesifikasi barang itu terlebih dahulu adalah supaya dapat mengenal dengan pasti pemilik sebenar dan dapat membezakannya dari pemilik palsu yang mengaku memiliki barang tersebut apabila hendak menyerahkan kepada pemiliknya nanti.

Di samping itu, dianjurkan meletakkan tanda seperti menulis tarikh dan tempat barang tersebut dijumpai agar mudah diketahui oleh waris pemilik, jika pemiliknya meninggal dunia dan agar tidak bercampur dengan harta lain .

Tidak perlu menyebutkankan semua sifat-sifat barang tersebut dengan terperinci ketika penghebahan dibuat, bahkan sunat dengan hanya disebutkan setengah sifat-sifatnya sahaja agar tidak berlaku sebarang penipuan atau pengakuan palsu. Sebelum menghebahkan, faktor utama yang mempengaruhi ketentuan syara‘ berhubung dengan memungut luqathah yang perlu diketahui adalah nilai dan jenis barang (luqathah) itu. ‘Ulama membahagikannya kepada:-

1) Barang Yang Tidak Tahan dan Mudah Binasa

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa atau tidak tahan lama umpamanya makanan basah, makanan yang sudah dimasak seperti bubur, daging panggang, ikan, sayur-sayuran, buahbuahan seperti timun dan tomato, maka orang yang menjumpainya boleh memungut dan memilih antara;

• memakan atau meminum barang itu sebagai miliknya dan bersedia mengganti dengan nilai barang itu balik sekiranya ada pemilik yang menuntutnya;

• ataupun dengan menjual barang tersebut dan menghebahkannya kepada orang ramai setelah menjualnya supaya dia boleh memiliki (mengambil) harga bayaran barang
itu.

2) Barang Yang Tahan Melalui Kaedah Pemprosesan

Jika barang itu sesuatu yang mudah binasa tetapi boleh menjadi tahan dengan pemprosesan seperti kurma atau anggur yang dikeringkan, kepingan susu beku, maka orang yang memungutnya perlu melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat dan menguntungkan.

• Jika difikirkan dengan menjualnya akan menguntungkan pemiliknya, maka eloklah dijual dan disimpan harga bayaran barang itu serta bersedia menyerahkan hasil bayaran itu kepada pemiliknya jika ada;

• atau memprosesnya jika difikirkan dengan memproses barang tersebut akan mendatangkan kebaikan. Jika pemprosesan itu memerlukan perbelanjaan tetapi tidak ada yang dapat menanggung perbelanjaannya, maka bolehlah dijual sebahagian barang tersebut dan hasilnya boleh dibelanjakan untuk memproses selebihnya lagi.

3) Barang Yang Tidak Mudah Rosak atau Tahan Dengan Sendirinya

Jika barang itu sesuatu yang tahan lama atau tidak mudah rosak seperti emas, perak, buku, anak kunci, maka wajib ke atas orang yang memungutnya menjaganya selama mana tempoh penghebahan berlaku. Ini termasuklah jam tangan, telefon bimbit dan dompet berisi wang yang merupakan antara barang yang sering tercicir pada masa ini.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil22_bhg1-2011.pdf

Isnin, 21 November 2011

Isnin, 14 November 2011

Ilham Rabbani Di kalangan Para Sahabat (Selawat Atas Nabi SAW)

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni

Telah disentuh sebelum ini sedikit tentang keharusan berdoa dengan apa yang diilhamkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Terdapat banyak dalil bahawa ianya diharuskan oleh syariat. Hal ini telah dikupas oleh al-’Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani dalam kitabnya (أهل الحق العارفون بالله) (hal. 242). Di dalam kitab (السنة والبدعة) oleh al-Habib ‘Abdullah bin Mahfuz al-Haddad juga menyebutkan banyak hujah-hujah yang berhubung dengan perkara ini. Apa yang menjadi batasan ialah ianya tidak mengandungi sesuatu yang terkeluar daripada syarak.

Lihatlah bagaimana Nabi SAW menegur seorang Arab badwi yang berdoa dari ilhamnya secara salah, namun baginda SAW hanya menunjukkannya cara yang betul dan tidak melarangnya berdoa dari ilhamnya. Dari Abu Hurayrah RA katanya: Pernah Rasulullah SAW berdiri dalam satu solat dan kami juga berdiri bersamanya. Lalu seorang Arab badwi berdoa dalam solatnya: (اللَّهُمَّ ارْحَمْنِى وَمُحَمَّدًا ، وَلاَ تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا) “Ya Allah, rahmatilah aku dan juga Muhammad, dan jangan Engkau rahmati bersama kami seorang pun”. Maka di kala Nabi SAW memberi salam baginda pun berkata kepada Arab badwi berkenaan: “Sesungguhnya kamu telah menyempitkan yang luas”, maksud baginda rahmat Allah. [HR al-Bukhari (6010), Abu Dawud, al-Nasa’i dan al-Tirmizi]

Ilham Rabbani Dalam Berselawat

Keharusan tersebut juga termasuk dalam berselawat ke atas Nabi SAW. Hujahnya, ada diriwayatkan daripada Sayidina 'Ali RA, ‘Abdullah bin ‘Umar RA, ‘Abdullah bin ‘Abbas RA dan ‘Abdullah bin Mas’ud RA selawat-selawat yang diilhamkan oleh Allah SWT kepada mereka. Maka jelas bahawa ianya bukan suatu perkara bidaah. Berikut adalah keterangannya:

1. Selawat Sayidina 'Ali RA

Ibn Kathir dalam Tafsirnya meriwayatkan satu athar dari Salamah al-Kindi katanya; bahawa Ali RA pernah mengajarkan orang ramai doa (selawat) berikut, dengan diselitkan oleh penulis lafaz Ibn Jarir al-Tabari dan lafaz al-Tabarani bagi menunjukkan perbezaan riwayat atau manuskrip:

اللهم داحي المدْحُوَّات، وبارئ المسموكات، وَجَبَّار القلوب على فطْرَتها شقيها وسعيدها. اجعلْ شرائف صلواتك، ونوامي بركاتك، ورأفة تحننك، (الطبراني: ورافع تحيتك) على محمَّد عبدك ورسولك، الخاتم لما سبق، والفاتح لما أغلق، والمُعلن(الطبراني: والمعلوم) الحق بالحق، والدامغ جيشات الأباطيل، كما حُمِّل (الطبراني: كمل) فاضطلع بأمرك لطاعتك مستوفزاً (الطبراني: مستوفرا) في مرضاتك، غير نَكل(ابن جرير: لغير نَكل، الطبراني: بغير ملك) في قَدَم، ولا وهن في عزم، واعياً(الطبراني: داعيا) لوحيك، حافظاً لعهدك، ماضيا على نفاذ أمرك حتى أورى قبساً(الطبراني: تبسما) لقابس، آلاء الله تصل بأهله أسبابه، به هديت القلوب بعد خوضات (الطبراني: خرصات) الفتن والإثم، وأقام مُوضحات (ابن جرير: موضحات،الطبراني: بموضحات) الأعلام، ومُنِيرات (الطبراني: ومسرات) الإسلام، ونائرات (ابن جرير: وثائرات، الطبراني: وماثرات) الأحكام، فهو أمينك المأمون، وخازن علمك المخزون، وشهيدك يوم الدين، وبَعيثُك (الطبراني: ومبعوثك) نعمة، ورسولك بالحقّ رحمة، اللهمّ أفسح له مُفسحَات (ابن جرير: مفتسحا) في عدلك، واجزه مضاعفات الخير من فضلك، مهنَّآت له (ابن جرير: له مهنيات) غير مكدرات، من فوز ثوابك المعلول (الطبراني: المعلوم)، وجزل عطائك المحلول (ابن جرير: وجزيل عطائك المجمول، الطبراني: وجزيل عطائك المجلول)، اللهم أعل على بناء البانين بنيانه (ابن جرير: عل على بناء البنائين بناءه، الطبراني: أعل على بناء الباقين بناءه)، وأكرم مثواه لديك ونزله، وأتمم له نوره، واجزه من ابتعاثك له مقبول الشهادة، مرضي المقالة، ذا منطق عدل، وخُطَّة فصل (ابن جرير: وخطة فضل، الطبراني: وكلام فصل)، وحجة وبرهان عظيم.

Kata Ibn Kathir dalam Tafsirnya: Ia masyhur dari kata-kata ‘Ali RA.. tetapi pada sanadnya ada masalah. Kata syeikh kami, al-Hafiz Abu al-Hajjaj al-Mizzi: Salamah al-Kindi ini tidak dikenali, dan tidak pernah bertemu ‘Ali.

Athar ini telah diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dalam Tahzib al-Athar (352 - juz’ mafqud), Abu Nu’aym dalam ‘Awali Sa’id bin Mansur (18), dan al-Tabarani dalam al-Awsat (9089). Kata al-Haythami dalam Majma’ al-Zawa’id (10/164): Salamah al-Kindi riwayatnya dari ‘Ali adalah mursal dan baki para perawinya adalah para perawi al-Sahih. Juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya (28940), namun disebut dari seorang lelaki - tanpa disebutkan nama - dari ‘Ali RA, dan tidak disebut Salamah al-Kindi. Zahirnya, athar ‘Ali RA ini adalah daif. Namun, boleh diamalkan dalam bab fada’il amal. Malah ianya sudah pun masyhur sepertimana kata Ibn Kathir pada zaman beliau.

Berikut adalah riwayat Ibn Abi Syaibah, juga terdapat perbezaan lafaz serta sedikit tambahan di akhirnya:

اللَّهُمَّ يَا دَاحِيَ الْمَدْحُوَّاتِ، وَيَا بَانِيَ الْمَبْنِيَّاتِ، وَيَا مُرْسِيَ الْمُرَسِّيَاتِ، وَيَا جَبَّارَ الْقُلُوبِ عَلَى فِطْرَتِهَا، شَقِيِّهَا وَسَعِيدِهَا، وَيَا بَاسِطَ الرَّحْمَةِ لِلْمُتَّقِينَ، اجْعَلْ شَرَائِفَ صَلَوَاتِكَ، وَنَوَامِي بَرَكَاتِكَ، وَرَأْفَاتِ تَحِيَّتِكَ، وَعَوَاطِفَ زَوَاكِي رَحْمَتِكَ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ، وَالْخَاتَمِ لِمَا سَبَقَ، وَفَاتِحِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَدَامِغِ جِيشَاتِ الْأَبَاطِيلِ كَمَا حَمَّلْتَهُ، فَاضْطَلَعَ بِأَمْرِكَ مُسْتَنْصِرًا فِي رِضْوَانِكَ، غَيْرَ نَاكِلٍ عَنْ قَدَمٍ، وَلَا مُئِنٍّ عَنْ عَزْمٍ، حَافِظٍ لِعَهْدِكَ، مَاضٍ لِنَفَاذِ أَمْرِكَ، حَتَّى أَرَى أَنْ أَرَى فِيمَنْ أُفْضِي إِلَيْكَ تَنْصُرُ بِأَمْرِكَ، وَأَسْبَابِ هُدَاةِ الْقُلُوبِ، بَعْدَ وَاضِحَاتِ الْأَعْلَامِ إِلَى خَوْضَاتِ الْفِتَنِ، إِلَى نَائِرَاتِ الْأَحْكَامِ، فَهُوَ أَمِينُكَ الْمَأْمُونُ، وَشَاهِدُكَ يَوْمَ الدِّينِ، وَبَعِيثُكَ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ، اللَّهُمَّ فَسِّحْ لَهُ مُفْسَحًا عِنْدَكَ، وَأَعْطِهِ بَعْدَ رِضَاهُ الرِّضَى مِنْ فَوْزِ ثَوَابِكَ الْمَحْلُولِ، وَعَظِيمِ جَزَائِكَ الْمَعْلُولِ، اللَّهُمَّ أَتْمِمْ لَهُ مَوْعِدَكَ بِابْتِعَاثِكَ إِيَّاهُ مَقْبُولَ الشَّفَاعَةِ، عَدْلَ الشَّهَادَةِ، مَرَضِيَّ الْمَقَالَةِ، ذَا مَنْطِقٍ عَدْلٍ، وَخَطِيبٍ فَصْلٍ، وَحُجَّةٍ وَبُرْهَانٍ عَظِيمٍ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا سَامِعِينَ مُطِيعِينَ، وَأَوْلِيَاءَ مُخْلِصِينَ، وَرُفَقَاءَ مُصَاحِبِينَ، اللَّهُمَّ بَلِّغْهُ مِنَّا السَّلَامَ، وَارْدُدْ عَلَيْنَا مِنْهُ السَّلَامَ.

2. Selawat ‘Abdullah bin ‘Umar RA

Diriwayatkan oleh Ahmad bin Mani’ sebagaimana dalam al-Matalib al-‘Aliyah oleh al-Hafiz Ibn Hajar (3332) dan mengisyaratkannya sebagai sahih, dari Thawbah/Thuwayr mawla Bani Hasyim katanya: Aku bertanya Ibn ‘Umar RA: Bagaimana berselawat ke atas Nabi SAW? Maka jawab Ibn ‘Umar RA:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ صَلَوَاتِكَ وَبَرَكَاتِكَ وَرَحْمَتَكَ عَلَى سَيِّدِ الْمُرْسَلِينِ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينِ، وَخَاتَمِ النَّبِيِّينَ، مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، إِمَامِ الْخَيْرِ، وَقَائِدِ الْخَيْرِ، اللَّهُمَّ ابْعَثْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَقَامًا مَحْمُودًا يَغْبِطُهُ الْأَوَّلُونَ وَالْآخِرُونَ، وَصَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Kata al-Busiri: Ia mempunyai sokongan dari hadis Ibn Mas’ud RA (lihat no. 4) yang diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Umar, Abu Ya’la dan Ibn Majah dengan isnad yang hasan.

3. Selawat ‘Abdullah bin ‘Abbas RA

Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq, ‘Abd bin Humayd dan Isma’il al-Qadi dalam Fadl al-Solat ‘ala al-Nabi SAW (52) dari Ibn ‘Abbas RA beliau mengucapkan:

اللهم تقبل شفاعة محمد الكبرى، وارفع درجته العليا، وأعطه سُؤْلَه في الآخرة والأولى، كما آتيت إبراهيم وموسى، عليهما السلام.

Kata Ibn Kathir dalam Tafsirnya: Suatu isnad yang baik, kuat lagi sahih.

4. Selawat ‘Abdullah bin Mas‘ud RA

Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq, ‘Abd bin Humayd, Ibn Marduyah, Ibn Majah (906) dan al-Tabarani (8594) dari Ibn Mas’ud RA katanya: “Jika kamu berselawat ke atas Nabi SAW maka perelokkanlah berselawat ke atasnya. Sesungguhnya kamu tidak tahu kemungkinan ianya dipersembahkan kepadanya”. Jawab para pendengar: Maka ajarkanlah kami. Kata beliau: Ucapkanlah

اللهم اجعل صلواتك ورحمتك وبركاتك على سيد المرسلين، وإمام المتقين، وخاتم النبيين، محمد عبدك ورسولك، إمام الخير وقائد الخير، ورسول الرحمة. اللهم ابعثه مقاماً محموداً يَغْبِطُه به الأولون والآخرون، اللهم صل على محمد وعلى آل محمد، كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم، إنك حميد مجيد، اللهم بارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم إنك حميد مجيد.

Kata al-Busiri dalam Zawa’id Ibn Majah (1/311): Isnad ini para perawinyathiqah kecuali al-Mas’udi dan namanya ‘Abd al-Rahman bin ‘Utbah bin Mas’ud, telah bercampur ingatan beliau di akhir hayatnya dan tidak dapat dibezakan hadisnya yang awal dengan yang akhir, maka beliau layak ditinggalkan menurut kata Ibn Hibban. Tetapi al-Mas’udi tidak berseorangan dalam meriwayatkannya dari ‘Awn bin ‘Abdullah kerana beliau diikuti (mutaba’ah) oleh Abu Salamah sebagaimana dalam riwayat ‘Abd al-Razzaq. Kata al-Hafiz al-Munziri: Diriwayatkan oleh Ibn Majah secara mawquf dengan isnad yang hasan.

Selawat yang hampir serupa juga diriwayatkan dari ‘Abdullah bin ‘Amru atau ‘Abdullah bin ‘Umar menurut syak si-perawi, sebagaimana dalam riwayat Isma’il al-Qadi dalam Fadl al-Solat ‘ala al-Nabi SAW (62). Jika ianya dari ‘Abdullah bin ‘Amru, maka itu adalah sahabat yang ke-5dalam penjelasan ini.

Juga ada diriwayatkan oleh al-Syirazi dalam al-Alqab dari Ibn Mas’ud RA katanya: Wahai Zayd bin Wahb, jangan kamu tinggalkan pada hari Jumaat berselawat ke atas Nabi SAW sebanyak seribu kali, kamu ucapkan: (اللهم صل على النبي الأمي).

Penutup

Berdasarkan dalil-dalil ini dan lainnya, ulama berpendapat harus menggubah selawat ke atas Nabi SAW, meskipun secara sepakatnya mereka menyatakan bahawa Selawat Ibrahimiyyah adalah selawat yang paling afdal. Perintah ayat al-Quran dan juga hadis-hadis yang memerintahkan berselawat secara umum turut menguatkan keharusan hukumnya. Ini kerana Selawat Ibrahimiyyah itu diajarkan oleh Nabi SAW di atas pertanyaan sahabat-sahabatnya dan tidak pula dinyatakan oleh baginda SAW supaya jangan berselawat dengan lafaz-lafaz yang lain. Dengan syarat ianya tidak terkeluar dari batasan syarak. Namun, para ahli tasawuf lebih cenderung mengamalkan selawat-selawat yang sudah pun masyhur dan mujarab.

Inilah pegangan ahli tasawuf mengenai keharusan mengamalkan doa-doa dan selawat-selawat yang diilhamkan oleh Allah SWT kepada imam-imam mereka yang telah dihimpunkan dalam banyak karangan. Antara istilah-istilah yang digunakan dalam disiplin kesufian ialah wirid seperti al-Wird al-Latif oleh Imam al-Haddad, awrad seperti Awrad Sayyidi Ahmad bin Idris, hizib seperti Hizb al-Bahr oleh Imam al-Syazili, wazifah sepertial-Wazifah al-Zarruqiyyah dan ratib seperti Ratib al-’Attas. رحمهم الله ورضي عنهم

Wallahu a’lam.

Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/10/ilham-rabbani-di-kalangan-para-sahabat.html


Jumaat, 11 November 2011

Bolehkah Mengikut Amalan Warisan ?

Bolehkah kita beramal dengan amalan warisan ? Benarkah amalan warisan umat Islam boleh disamakan dengan amalan hindu sedangkan kita mengikuti para asatizah yang belajar dari para ulamak yang mengucapkan La ilaha illaLlah yang sandarannya dari Al Quran dan Sunnah ? Ikuti penjelasannya dari Sheikh Nuruddin al Banjari :




Lihat dan dengar persoalan yang dilontarkan oleh seorang peserta dan jawapan dari Sheikh Nuruddin al Banjari.


Isnin, 7 November 2011

Peranan Tasawwuf Dalam Memelihara Identiti Agama Di Mesir











Oleh: al-Imam Syeikh ‘Ali Jum‘ah, Mufti Besar Mesir

Terjemah: al-Faqir Mohd. Khafidz Soroni

Sumber: Website Syeikh ‘Ali Jum‘ah


Tasawuf muncul untuk meletakkan para pengikutnya di tengah-tengah isu-isu sosial dan juga politik dalam masyarakat Islam, bukannya supaya mereka hanya duduk secara berasingan jauh daripada isu-isu berkenaan. Bahkan ia menggembleng usaha menyediakan mereka untuk berkhidmat terhadap agama, ummah dan juga tanah air.

Justeru, tasawuf mahupun ahli sufi tidak hanya setakat terhenti pada keadaan berzikir, zuhud dan beribadat secara individu ataupun secara jemaah, bahkan tasawuf telah membentuk institusi-institusi besar yang mempunyai jaringan di seluruh dunia dan berperanan dalam bidang pembangunan, politik serta sosial. Para ahli sufi di sepanjang zaman telah melahirkan para ulama, para pahlawan dan para idola yang mana sejarah Islam terisi dan dipenuhi dengan mereka, berdasarkan kepada populariti mereka yang masyhur dan kecintaan majoriti umat Islam kepada mereka. Mereka tidak mencapai kedudukan dan martabat sedemikian melainkan kerana tauladan dan tingkah laku yang baik menurut manhaj yang lurus lagi kukuh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menghormati para ulama ummah, serta berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan kesatuan mereka.

Oleh itu, mereka tidak menghadkan diri hanya kepada jihad nafsu semata-mata, sepertimana yang didakwa oleh orang yang tidak mengenal mereka, akan tetapi mereka menggabungkan kepada kekuatan tersebut dalam memerangi golongan musuh dan golongan yang zalim. Antara model-model mereka itu ialah Imam al-Ghazali (505H), Muhyiddin Ibn ‘Arabi (638 H), al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (660 H) dan Imam al-Nawawi (676 H). Manakala dalam satu peristiwa sejarah yang belum jauh, para ahli sufi telah membawa panji-panji revolusi kebangsaan di Mesir dalam menghadapi pemerintah-pemerintah kerajaan Mamalik, di mana Imam al-Dardir (Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki, w. 1201H), seorang tokoh sufi besar telah mengetuai suatu revolusi besar menentang golongan Mamalik sebelum tercetusnya Revolusi Perancis dalam jarak tempoh tiga tahun.Ia telah memaksa golongan Mamalik mengakui bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan, serta berjaya menghalang mereka daripada mengenakan cukai-cukai baru melainkan dengan keputusan rakyat, dengan pengiktirafan penuh terhadap kebebasan dan maruah mereka.

Tasawuf mempunyai dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang utama, iaitu: berpegang kepada kitab Allah, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti/menganiaya, menjauhi maksiat, bertaubat, dan menunaikan hak-hak. Tasawuf terbentuk dengan bersabar atas perintah-perintah dan yakin pada hidayah. Firman Allah Taala:

(وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ) [السجدة:24]

Terjemahan: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami” [al-Sajdah: 24].

Para ahli sufi telah menyatakan bahawa: Tidak layak untuk memimpin di jalan ahli sufi ini melainkan orang yang luas pengetahuannya dalam ilmu syariat serta mengetahui yang mantuq dan mafhum, yang khas dan ‘am, serta yang nasikh dan mansukh, dan berpengetahuan luas dalam bahasa Arab sehingga mengetahui soal majaz, isti’arah dan lain-lainnya, iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Arif biLlah Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H) dalam mukadimah kitab beliau al-Tabaqat al-Kubra (ms. 5). Beliau juga berkata: Sesungguhnya jalan kaum sufi ini diacuankan di atas al-Quran dan Sunnah sepertimana pengacuanan emas dan permata, maka si-saliknya memerlukan kepada neraca syarak dalam setiap pergerakan dan juga perhentian (Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq, 1/2).

Ahli sufi telah berkembang pesat di Mesir atas dasar kesederhanaan dan keseimbangan. Ia telah diringi dengan penubuhan khanqah (ribatatau tempat berhimpun ahli sufi) pertama di Mesir dalam era al-Nasir Salah al-Din al-Ayyubi (532 - 589 H). Maka berkembanglah sesudahnya banyak khanqah dan madrasah sufi di seluruh Mesir. Ia telah berperanan dalam melahirkan murid-murid dan para pelajar yang bersiap sedia dari segi rohani, tarbiah dan juga akhlaknya untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat Islam dari semasa ke semasa.

Berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam, para ahli sufi di Mesir berada jauh daripada sifat melampau batas, mempunyai ciri keseimbangan dan juga jauh dari sikap keterlaluan. Tariqat-tariqat sufi di Mesir ini disatukan oleh suatu ciri khas, iaitu memberi tumpuan terhadap aspek ilmu dan juga akhlak.

Meskipun tasawuf di Mesir memiliki kehidupan rohani yang khusus, namun ia juga memberi pengaruh khusus ke atas banyak aspek kehidupan yang berada di sekelilingnya. Ia menjadi pendorong untuk terus berpegang kepada tasawuf dalam berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia turut membantu ahli sufi dengan kuat dalam membentuk identiti agama yang sederhana di Mesir. Kaedah yang digunakannya ialah menyenangkan mesej yang dibawa dan memudahkan penyertaan di bawah panji-panjinya dalam mengharungi pelbagai tribulasi yang dihadapi oleh Mesir dalam tempoh-tempoh masa yang berbeza, di mana rumah-rumah kebajikan, zawiyah-zawiyah dan khanqah-khanqahmenjadi tempat perlindungan yang selamat untuk golongan yang tertindas, golongan fakir-miskin dan juga golongan lemah. Pusat-pusat tersebut juga telah menjadi penyuluh agama yang moderat, yang mampu mengeluarkan muslim yang beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya untuk berjihad demi negara dan agamanya. Dari situ, para ahli sufi telah membentuk sebahagian besar suasana agama di Mesir yang bersifat jauh dari ciri-ciri melampau dan keras.

Tasawuf juga berkait dengan mencintai Ahl al-Bayt, mengadakan majlis-majlis mawlid dan halaqah-halaqah zikir yang telah membantu untuk menarik murid-murid mengasihi masjid dan juga Ahl al-Bayt. Ia merupakan satu aspek yang telah menyumbang dalam membangunkan Islam yang sederhana dan juga membentuk identiti agama. Kecintaan ini tidak sekadar dikongsi oleh ahli sufi dan golongan Syiah semata-mata, bahkan semua umat Islam baik ahli Sunnah dan juga golongan Syiah berkongsi sama dalam kecintaan mereka terhadap Ahl al-Bayt r.a.

Ahli sufi telah dan masih terus menjadi fungsi yang aktif dan penting dalam masyarakat Islam di Mesir yang turut mendorong tariqat-tariqat sufi dalam setiap zaman supaya terus berpaksi pada usul-usul tasawuf dan berpegang kuat dengannya, serta kembali kepada peranan utamanya dalam berdakwah kepada Allah dan memimpin masyarakat dari segi agama, sosial dan juga politik, sebagaimana peranannya dahulu di sepanjang sejarahnya di Mesir. Tidak pun memudaratkannya kemunculan beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang yang malas dan jahil yang hanya mengaut rezeki di sebalik dakwaan mereka sebagai ahli sufi dan sandaran diri mereka kepadanya. Hakikatnya, jalan tasawuf adalah jelas lagi kukuh yang tidak akan menyimpang dari jalan Allah yang lurus, meskipun menerima serangan golongan yang memusuhinya dan juga tuduhan golongan yang bermotif terhadapnya.

************

LAMPIRAN

Antara Tokoh-tokoh Tasawuf di Mesir:

1. Zu al-Nun al-Misri (245H)

2. Sayyidi ‘Abd al-Rahim al-Qina’i (592H)

3. Sayyidi 'Umar bin al-Faridh (632H)

3. Sayyidi Abu al-Hajjaj al-Aqsari (642H)

4. Sayyidi Abu al-Hasan al-Syazili (656H)

5. Sayyidi Ibrahim al-Dusuqi (669H)

6. Sayyidi Ahmad al-Badawi (675 H).

7. Sayyidi Abu al-‘Abbas al-Mursi (686H)

8. Sayyidi Muhammad al-Busiri (695 H).

9. Imam Taqiy al-Din Ibn Daqiq al-’Id (702 H).

10. Imam Ahmad ibn ‘Ata'illah al-Iskandari (709 H).

11. Sayyidi 'Ali bin Muhammad bin Wafa al-Syazili (807H).

12. Sayyidi Muhammad Syamsu al-Din al-Sultan al-Hanafi (847H).

13. Sayyidi Muhammad Abu al-Mawahib al-Syazili (lebih 850H)

14. Sayyidi Ibrahim bin 'Ali al-Matbuli (881H).

15. Imam al-Hafiz Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Abi Bakr al-Suyuti (911 H).

16. Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (926 H).

17. Sayyidi 'Ali al-Khawwas (945H).

18. Imam Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H).

19. al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Ra'uf al-Munawi (1029 H).

20. al-'Allamah 'Abdullah bin Muhammad al-Syubrawi (1171H).

21. Syeikhul Azhar Muhammad bin Salim a-Hifni (1181H).

22. Sayyidi 'Ali bin Hijjazi al-Bayyumi (1183H)

23. al-'Allamah Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir (1201H)

24. Al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi (1205 H).

25. Syeikhul Azhar 'Abdullah bin Hijjazi al-Syarqawi (1227H).

26. al-'Allamah Muhammad al-Amir al-Maliki (1232H).


Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/10/peranan-tasawuf-dalam-memelihara.html