Ahlus-Sunnah wal Jamaah Di Sisi Imam Al-Baghdadi (Al-Farq bain Al-Firaq)
Imam Al-Baghdadi juga ada menyenaraikan beberapa golongan yang dikatakan sebagai Ahlus-Sunnah wal Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom tersebut di hujung kitab Al-Farq bain Al-Firaq iaitu:
Golongan pertama: Mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa’ad (khabar gembira) dan wa’id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta’til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.
Golongan kedua: ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta’til’ (menafikan sifat-sifat Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza’i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.
Golongan ketiga: ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta’dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.
Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu ‘Amr bin al-’Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra’ (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma’i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah ‘hujah’ dalam ilmu bahasa dan Nahu.
Golongan kelima: antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka ‘membeli’ pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.
Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.
Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar Ahli Sunnah wal Jamaah, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.
[rujuk Al-Farq Bain Al-Firaq: 313-318. Terjemahan oleh Dr. Asmadi]
Kesimpulan
Maka, berdasarkan dalil-dalil, hujah-hujah dan perkembangan sejarah para ulama’ dalam tradisi keilmuan Islam, maka kita fahami bahawasanya majoriti para ulama’ adalah As-Sawad Al-A’zhom yang tidak akan sesat selama-lamanya. Maka, apabila seseorang itu melihat perpecahan dan perselisihan, maka, hendaklah bersama-sama dengan Al-Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom iaitulah majoriti ulama’ Islam yang menjaga ilmu agama itu sendiri.
Imam Al-Munawi berkata:
" (فليلزم الجماعة ) فإن من شذّ أي انفرد بمذهبه عن مذاهب الأمة فقد خرج عن الحق لأن الحق لا يخرج عن جماعتها "[Faidh Al-Qadir 3/79]
Maksudnya:
“((Maka hendaklah dia beriltizam dengan Jamaah)), maka sesiapa yang terasing (syaz) atau terpinggir dengan mazhabnya sendiri daripada mazhab-mazhab Ummah (As-Sawad Al-A’zhom atau pegangan arus perdana), maka dia telah keluar daripada kebenaran kerana kebenaran tidak akan keluar daripada jemaah Al-Ummah (As-Sawad Al-A’zhom atau majoriti)”
Maka, di sisi ramai para ulama’ termasuklah Imam Al-Munawi sendiri, As-Sawad Al-A’zhom ataupun Al-Jamaah merujuk kepada kuantiti yang ramai dan pegangan usul yang diterima oleh kebanyakan orang. Namun, ukuran kebanyakan orang tersebut adalah merujuk kepada para ulama’ sebagaimana ditegaskan oleh Imam Al-Hafiz Ibn ‘Asakir dan diisyaratkan pula oleh Imam As-Syatibi. Ia sama seperti kedudukan Ijma’ dan kesepakatan ummah di mana yang dimaksudkan dengan kesepakatan ummah tersebut adalah dalam kalangan para ulama’ dan ahli ilmu.
Al-Jamaah itu adalah bersama dengan tradisi yang telah diterima sebagai manhaj Al-Haq itu sendiri, sejak ianya dipertahankan oleh majoriti para ulama’ sejak zaman As-Salaf lagi. Manhaj Al-Haq yang sudah dipegang oleh majoriti ulama’ zaman silam sudah jelas dalam mazhab aqidah mahupun dalam mazhab fiqh.
Mereka bersepakat atau majoriti ulama’ Ahlus-Sunnah secara jelas menetapkan Ahlus-Sunnah wal Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom itu adalah: mazhab aqidahnya adalah Al-Asy’ari dan Al-Maturidi (serta Athariyyah yang tidak bercanggah dengan kedua-dua golongan tadi dalam masalah usul aqidah) dan mazhab fiqhnya adalah Al-Hanafi, Al-Maliki, As-Syafi’e dan Al-Hanbali. Maka, biarpun orang-orang awam dan para ahli ilmu yang ramai menyalahi Ahlus-Sunnah wal Jamaah ini, maka mereka tetap tidak digelar sebagai As-Sawad Al-A’zhom.
Kita nukilkan lagi perkataan Imam Ibn Asakir r.a. dalam kesimpulan ini:
فإن قيل أن الجم الغفير في سائر الأزمان وأكثر العامة في جميع البلدان لا يقتدون بالأشعري ولا يقلدونه ولا يرون مذهبه ولا يعتقدونه وهم السواد الأعظم وسبيلهم السبيل الأقوم قيل لا عبرة بكثرة العوام ولا التفات إلى الجهال الغتام وإنما الإعتبار بأرباب العلم والاقتداء بأصحاب البصيرة والفهم وأولئك في أصحابه أكثر ممن سواهم ولهم الفضل والتقدم على من عداهم على ان الله عزوجل[Tabyiin Kazb Al-Muftari: 134]
Maksudnya:
“Kalau dikatakan bahawa bilangan yang ramai dalam setiap zaman dan ramai orang awam (Al-Ammah) dalam setiap tempat tidak mengikut mazhab Al-Asy’ari (tidak mendalami perbahasan aqidah dengan manhaj Al-Asy’ari), tidak bertaqlid dengan mazhabnya, tidak melihat kepada mazhabnya dan tidak berpegang dengannya sedangkan mereka (Al-Asya’irah) adalah As-Sawad Al-A’zhom dan manhaj mereka (ulama’ Al-Asya’irah) adalah manhaj yang lurus. Maka, dikatakan (sebagai jawapan) tidak diambil kira banyaknya orang awam dan tidak dipandang (sebagai kayu pengukur) pada orang-orang jahil, kerana ukuran (As-Sawad Al-A’zhom) adalah di sisi ahli ilmu dan neraca ikutan adalah kepada Ashaab Al-Bashirah (yang mempunyai pandangan mata hati/neraca ilmu) dan kefahaman sedangkan mereka (para ulama’/ahli ilmu dan sebagainya) dalam pengikut mazhab Al-Asy’ari (Ashaabnya) lebih ramai daripada selainnya (ulama’ yang bukan Al-Asya’irah)…”
Selagimana Allah s.w.t. menjaga umat Islam ini dalam kebaikan, maka selagi itu Allah s.w.t. akan menjaga kedudukan majoriti ulama’ sebagai golongan yang berpegang dengan kebenaran. Kita sudah tahu kedudukan institusi ulama’. Bahkan, kita juga sudah memahami konsep At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan menyeluruh) dalam institusi ulama’. Ia juga merujuk kepada jumlah bilangan ulama’ yang ramai. Mereka yang berpegang dengan kebenaran adalah yang meneruskan tradisi kebenaran yang mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul tersebut.
Oleh sebab itulah, Imam Al-Munawi menyebutkan sebagaimana telah kita nukilkan sebelum ini:
((Hendaklah kamu bersama dengan Al-Jamaah)) iaitu berpegang dengan rukun-rukun agama dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan Ahlus-Sunnah. Iaitu, kamu ikutilah petunjuk mereka. Maka hendaklah seseorang itu mengikut apa yang mereka berpegang dengannya daripada Aqidah (Mazhab Aqidah), Qawa’id (Usul Aqidah dan Usul Fiqh) dan Hukum Agama (Mazhab Fiqh).[Al-Faidh Al-Qadir 3/101]