CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 5 Jun 2017

TAMBAHAN وَبِحَمْدِه DALAM BACAAN RUKUK DAN SUJUD


Oleh : Ustaz Abdul Rahman bin Harman Shah Raniri

Ada yang bertanya:

"Assalamualaikum ust. Maaf ganggu, saya ada soalan. Ada seorang ustaz ni sebut, yg bacaan dlm solat waktu rukuk dn sujud, hanya سبحان ربي العظيم sahaja...وبحمده tu tak ada dlm mana2 hadis rasulullah. Betul ke ya ustaz? Sebab katanya dlm kitab al-azkar imam nawawi r.h x de langsung dinyatakan hadis yg mengatakan ada nya bacaan وبحمده tu."

Apa yang boleh saya katakan:

Sebenarnya tambahan tersebut ada dalam Sunan Abi Daud, daripada riwayat Ahmad Ibn Yunus, daripada al-Lais Ibn Sa'ad, daripada Musa Ibn Ayyub, daripada SEORANG LELAKI DARIPADA KAUMNYA, daripada 'Uqbah Ibn 'Amir.

Hadis ini dikritik oleh sebahagian ulama kerana lafaz 'SEORANG LELAKI DARIPADA KAUMNYA' menunjukkan bahawa perawi tersebut adalah مبهم (mubham) atau tidak dikenali. Menurut kaedah ilmu hadis, perawi yang tidak dikenali adalah daif.

Namun begitu, kritikan ini telah dijawab oleh Ibn al-Mulaqqin dalam kitabnya البدر المنير في تخريج الأحاديث والآثار الواقعة في الشرح الكبير (Jilid 3, halaman 608-610, cetakan Dar al-Hijrah) di mana setelah menyemak sanad lain beliau membuat kesimpulan bahawa perawi yang dikatakan mubham itu ialah Iyas Ibn 'Amir al-Ghafiqi. Beliau merupakan seorang tabi'in dan merupakan salah seorang pengikut Sayyiduna 'Ali. Komentar ulama Jarh wa Ta'dil terhadap beliau zahirnya menunjukkan bahawa beliau bukanlah perawi yang bermasalah. Malah Ibnu Hajar mengatakan beliau صدوق (Saduq) dan Ibnu Hibban pula menggolongkan beliau di kalangan perawi yang ثقة (thiqah / dipercayai).

Justeru, dapatlah diketahui bahawa tambahan lafaz وبحمده adalah thabit berdasarkan riwayat Abu Daud di atas.

Maka oleh yang demikian, Mazhab Maliki dan mazhab kitab Syafie mengatakan bahawa disunatkan kita membaca سبحان ربي الأعلى beserta وبحمده . Adapun Mazhab Hanbali, bagi mereka adalah lebih afdal meninggalkan lafaz وبحمده

(Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jilid 23, halaman 132).

Mungkin Mazhab Hanbali berkata begitu kerana menurut ijtihad mereka, lafaz tambahan tersebut tidak thabit daripada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم .

Di akhir tulisan yang ringkas ini, suka saya untuk menasihatkan diri yang kerdil ini dan sahabat sekalian agar kita tidak mudah mengatakan INI TIADA DALAM MANA-MANA HADIS. Jangan biarkan lidah kita lebih pantas daripada otak kita. Mengaburi mata anak murid dengan mengatakan 'hadis ini langsung tiada dalam Kitab al-Azkar' adalah suatu tindakan yang kurang cerdik. والله أعلم .


https://www.facebook.com/abdulrahman.zaujah/posts/1953575301546214?pnref=story

Tiada ulasan: