CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Rabu, 27 Julai 2016

BAHASA PENDUDUK SYURGA ADALAH BAHASA ARAB ?

Jawapan Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni :

Ada tiga hukum ulama terhadap hadis di atas iaitu;

i- Ulama yang menyatakan ia hadis sahih atau hasan. Antara mereka; al-Hakim dalam al-Mustadrak, diikuti oleh al-‘Iraqi dalam Takhrij Ihya’ ‘Ulumiddin, as-Suyuti dalam al-Jami‘ as-Saghir dan Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu‘ah. As-Silafi dan az-Zurqani dalam Mukhtasar al-Maqasid mengatakan ia hasan (iaitu hasan li-ghairih).

ii- Ulama yang menyatakan ia hadis daif atau seumpamanya. Antara mereka; al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman, al-Haithami dalam Majma‘ az-Zawa’id, Ibn Hajar al-‘Asqalani, as-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah, as-Suyuti dalam an-Nukat ‘ala al-Mawdu‘at, Ibn ‘Arraq al-Kinani dalam Tanzih as-Syari‘ah, al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ dan lain-lain.

iii- Ulama yang menyatakan ia hadis yang sangat daif atau palsu. Antara mereka; Abu Hatim ar-Razi, al-‘Uqaili dalam ad-Dhu‘afa’, Ibn Hibban, Ibn al-Jawzi, az-Zahabi, as-Syawkani dalam al-Fawa’id al-Majmu‘ah dan lain-lain.

Setelah meneliti jalan-jalan riwayat hadis berkenaan, saya melihat pendapat kedua adalah lebih sederhana yang menyatakan ia hadis daif, bukan sahih dan bukan juga palsu.)

http://madrasahsunnionline.blogspot.my/2015/10/bahasa-penduduk-syurga-adakah-bahasa.html


Jawapan oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis :

Sebahagian ahli ilmu "tidak menetapkan" bahawa bahasa ahli syurga adalah bahasa Arab lalu bersikap tawakkuf (berdiam diri) daripada menentukan bahasa bagi ahli syurga.

Hadis yang dirujuk berkenaan bahasa Arab sebagai bahasa ahli syurga adalah: Rasulullah shollallahu 'alaihi wasalam bersabda:

" أَحِبُّوا الْعَرَبَ لأَنِّي عَرَبِيٌّ ، وَالْقُرْآنُ عَرَبِيٌّ ، وَكَلامُ أَهْلِ الْجَنَّةِ عَرَبِيٌّ "
Maksudnya: Cintailah Arab kerana aku seorang arab, Al-Qur'an dalam bahasa Arab dan kalam ahli syurga adalah arab"

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam At-Tabrani dalam Mu'jam Kabir, Imam Al-Hakim dalam Mustadrak, Imam Al-Baihaqi dalam Syu'ab Al-Iman dan sebagainya. Namun, sanadnya mengandungi perawi bernama Al-'Ala' bin 'Amru Al-Hanafi yang dinilai sebagai pemalsu hadis. Lalu, ia menjadikan nilai hadis ini dinilai oleh sebahagian ulama' sebagai palsu.

Al-Imam As-Suyuti menyebut tentang hadis ini:

قَالَ العقيلي : منكر لا أصل لَهُ ...قلتُ : إنّما أورده العقيلي فِي ترجمة العلاء بْن عمرو عَلَى أَنَّهُ من مناكيره ، وكذا صاحب الميزان . وقال الحافظ ابن حجر فِي اللسان : العلاء ذكر...ه ابن حبان فِي الثقات ، وقال صالِح جزرة : لا بأس بِهِ . وقال أَبُو حاتِم : كتبت عَنْهُ وما أعلمُ إلا خيرًا . انتهى .

Maksudnya: "Al-Uqaili berkata: Hadis munkar yang tiada asalnya... Saya kata: "Sesungguhnya Al-Uqaili menyebut dalam terjemah Al-'Ala' bin Amru bahawa hadis ini antara manakirnya (yang diriwayatkan dengan sanad bersendirian tanpa jalan lain). Begitu juga disebutkan oleh empunya Al-Mizan (Imam Az-Zahabi). Al-Hafiz ibn Hajar menyebut dalam Al-Lisan: "Al-'Ala' disebut oleh Ibn Hibban dalam At-Thiqat (kitab2 yang menyenaraikan perawi thiqah). Sholeh Jazrah berkata: "dia tidak mengapa..." Abu Hatim berkata: "Ditulis daripadanya. Aku tidak ketahui daripadanya melainkan kebaikan..." -tamat nukilan-

Para ulama' berselisih pendapat tentang Al-'Ala' bin 'Amru tadi namun kebanyakannya menilai beliau sebagai lemah dan ada yang menilainya sebagai pemalsu hadis.

Imam As-Suyuti menyebut perkataan Imam Az-Zahabi tentang hadis ini: وأظن الحديث ...موضوعًا

Maksudnya: "Saya rasa hadis ini palsu..." [Al-La'ie Al-Masnu'ah]

Imam Al-'Uqaili juga menyebut hadis ini munkar tiada asalnya dalam Ad-Dhu'afa' Al-Kabir.

Imam AS-Sakhawi juga ada menyebut jalan lain bagi hadis ini iaitu melalui perawi bernama Muhammad Ibn Al-Fadhl tetapi tidak layak dijadikan sanad penguat hadis ini kerana Ibn Al-Fadhl adalah dho'if dan ditohmah sebagai pendusta.Jadi, Imam As-Sakhawi juga membuat kesimpulan hadis ini palsu walaupun banyak hadis2 lain menceritakan kelebihan mencintai bangsa Arab, tetapi tidak ada tentang bahasa Arab sebagai bahasa ahli syurga dalam riwayat yang kuat. [Rujuk Al-Maqasid Al-Hasanah]

Namun, Imam At-Tabrani r.a. meriwayatkan hadis ini dalam Al-Mu'jam Al-Ausath dengan jalan lain iaitu bersambung kepada Saidina Abu Hurairah r.a., bukan Saidina Ibn Abbas r.a. yang dinilai palsu tadi.

Pun begitu, hadis ini dha'if, tetapi tidak sampai tahap palsu. Perawi yang dinilai lemah dalam sanad ini adalah dua orang. Pertama: Abdul Aziz bin Imran dan kedua: Syibl bin Al-'Ala' bin Abdil Rahman.

Abdul Aziz bin 'Imran dinilai sebagai dho'if oleh ramai ulama' hadis termasuklah Imam Al-BUkhari dan Imam An-Nasa'ie sendiri. Adapun Syibl bin Al-'Ala', maka dia bersifat majhul. Imam Ibn 'Adi berkata, Syibl tersebut mempunyai riwayat manakir.

Namun, konsep "bahasa Arab adalah bahasa Ahli Syurga" ini tidak bertentangan dengan ajaran Islam bahkan na-nas mengenainya tidak bertentangan dengan mana-mana nas yang lebih sahih. Jadi, boleh sahaja untuk menerimanya dan lebih baik serahkan hakikat sebenarnya kepada Allah s.w.t.. Wallahu a'lam

Ibn Hazm ada menyebut dalam Al-Ihkam (1/36):

وأما لغة أهل الجنة وأهل النار فلا علم عندنا إلا ما جاء في النص والإجماع ولا نص ولا إجماع في ذلك...

Maksudnya: "Adapun bahasa Ahli Syurag dan Ahli Neraka, maka kita tidak tahu melainkan jika ada nas atau jima' mengenainya. Namun, tidak ada nas dan tidak ada ijma' pada masalah ini...,

Ibn Taimiyyah sendiri antara ahli ilmu yang tidak menetapkan "bahasa Arab sebagai bahasa Ahli Syurga". Ia jelas melalui jawapan beliau dalam fatwa beliau ketika ditanya tentang bahasa di akhirat nanti.

Beliau menjawab:

ولم يصح أن الفارسية لغ...ة الجهنميين ، ولا أن العربية لغة أهل النعيم الأبدي ، ولا نعلم نزاعا في ذلك بين الصحابة رضي الله عنهم ، بل كلهم يكفون عن ذلك لأن الكلام في مثل هذا من فضول القول

Maksudnya: "Tidak sahih bahawa bahasa Parsi adalah bahasa ahli neraka jahannam dan tidak sahih juga bahawa bahasa Arab adalah bahasa Ahli Na'im (syurga) yang abadi. Dan kita tidak tahu perbincangan sebegitu dalam kalangan para sahabat bahkan mereka mendiamkan sahaja daripada perbincangan tersebut kerana ia adalah antara perkara yang membawa kepada berlebih-lebihan dalam perkataan.

Rujuk fatwa no: 83262

Apa yang penting, selagimana pegangan bahawa bahasa Arab adalah Bahasa Ahli Syurga tidak bertentangan dengan mana-mana nas yang sahih lagi sarih (jelas), dalam ajaran Islam, dan tidak juga bertentangan dengan ajaran Islam, maka tidak mengapa berpegang dengan demikian. Namun, ia adalah masalah yang zhonni (kesamaran).

Ibn Kathir tidak menyebut lebih lanjut dan lebih jelas mengenai hal itu. Wallahu a'lam

Read more: http://ad-deen.proboards.com/thread/157/bahasa-arab-adalah-ahli-syurga

Tiada ulasan: