CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Sabtu, 9 Mei 2015

Ringkasan Tentang Hadrah Sufiyyah (Zikir dalam Gerakan)

Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Hadrah Sufiyyah atau berzikir dalam suatu gerakan yang tersusun samada berdiri ataupun duduk, merupakan suatu amalan yang sangat terkenal diamalkan oleh sesetengah golongan sufi, yang berkembang dari suatu zaman ke suatu zaman. Ia bukan suatu perkara baharu tetapi telah dibahaskan oleh para ulama' sejak zaman dahulu. Sesetengah para ulama' membahaskannya dalam bab al-sama' wal wajd dengan pelbagai dalil-dalil yang syar'ie daripada al-Qur'an (surah Ali Imran: 191), hadis nabawi (antarany hadis orang habsyi yang menari sambil menyebut Muhammad (shollallahu 'alaihi wasallam) hamba (Allah) yang soleh dan sebagainya) dan perkataan para ulama' muktabar.

Sememangnya, para ulama' berselisih pendapat mengenai perinciannya, antara yang membenarkan dan melarangnya. Bahkan, dalam kalangan para ulama' yang membenarkannya pun, mereka menggariskan adab ketika melakukannya dan memberi keuzuran kepada gerakan yang berlebihan disebabkan wajd (dapatan rohani). Pergerakan tersebut dikenali juga sebagai al-Tawajud (atau gerakan tubuh untuk mendapatkan kehadiran hati terhadap hal daripada zikir).

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat ke-191 yang bermaksud:

(Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.

Jika bergoyang atau bergerak ketika berzikir secara duduk dibenarkan sebagaimana ianya sering dilakukan, bagaimana pula pergerakan ketika berzikir secara berdiri justeru diharamkan pula? Ia suatu neraca dan ukuran yang tidak jelas.

Justeru, dalam masalah tawajud ini, hatta al-Sheikh Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri menyebutkan:

صاحب التواجد إن تكلفه لحظ وشهوة ونفس لم يسلم له وإن تكلفه لاستجلاب حال أو مقام مع الله سلم له وهذا يعرف من حال المتواجد وشواهد صدقه وإخلاصه
Adapun empunya al-tawajud (orang yang melakukan tawajud) jika memberatkannya (faktor penyebabnya adalah) perhatian dan syahwat nafsu, maka tidak sejahtera/baik untuknya (melakukannya). Namun jika yang mendorongnya itu adalah untuk mendapat tarikan hal atau maqam bersama Allah SWT, maka baik/sejahtera baginya. Maka ini diketahui daripada hal orang yang bertawajud dan tanda-tanda kejujuran dan keikhlasannya. [Madarij al-Salikin 3/413]

Maka, kita dapati al-Imam Ibn 'Abidin dalam Hasyiyyahnya (begitu juga ianya disebut oleh al-Izz bin Abd al-Salam al-Shafi'e) menyebutkan:


ما في التواجدِ إن حققتَ من حـــــرجٍ *** ولا التمايلِ إن أخلصتَ من باسِ
Maksudnya: Tiada pada tawajud itu jika anda benar (mencari hal hubungan rasa kepada Allah SWT) daripada kesalahan,
Sebagaimana tiada masalah pada goyang jika anda ikhlas (mencari fokus kehadiran hati kepada Allah SWT)

Selain dalil-dalil umum yang disebutkan oleh para ulama' daripada al-Qur'an dan Hadis, Al-Imam Ibn al-Jauzi (dalam kitab al-Tabsirah) dan al-Imam IBn Kathir (dalam al-Bidayah wa al-Nihayah), pernah meriwayatkan daripada Abu Arakah, bahawa ketika beliau solat bersama Saidina Ali RA, beliau melihat para sahabat RA berzikir lalu antara ungkapan beliau:

فإذا أصبحوا فذكروا الله مادوا [أي تحركوا] كما يميد الشجر في يوم الريح

Maksudnya: Ketika mereka berpagi-pagian, maka mereka berzikir kepada Allah SWT, mereka bergerak-gerak seperti geraknya pokok pada hari angin bertiup.

Setelah al-Imam al-Hafiz al-Suyuti menerangkan tentang keharusan berzikir berdiri berdasarkan dalil al-Qur'an dan Hadis, lalu beliau menyambung perbahasannya:

وإن انضم إلى هذا القيام رقص أو نحوه فلا إنكار عليهم ، فذلك من لذات الشهود أو المواجيد

Maksudnya: Walaupun jika bercampur pada berdiri tersebut (zikir dalam keadaan berdiri tersebut) tarian atau seumpamanya, maka tiada ingkar ke atas mereka. Ia kerana itu daripada kelazatan penyaksian (Allah SWT dengan hati) atau mawajid (dapatan rasa hati yang indah) [al-Hawi lil Fatawi]

Maka, Hadrah Sufiyyah atau gerakan dalam berzikir sebagaimana yang dipegang oleh majoriti ulama' termasuk sufi perlu dilakukan dalam keadaan yang menjaga adab dan tertib, tidak berlaku perkara-perkara yang diharamkan padanya seperti percampuran antara lelaki dan perempuan ,dan sebagainya. Adapun jika berlaku pergerakan yang di luar kawalan, maka ia dimaafkan sebagaimana disebut oleh ramai ulama'.

Sebagai penutup, dinukilkan nukilan al-Imam al-Safarini al-Hanbali ini sebagai pelajaran:

نقل إبراهيم بن عبد الله القلانسي أن الإمام أحمد قال عن الصوفية: لا أعلم أقواماً أفضل منهم قيل: إنهم يستمعون ويتواجدون، قال: دعوهم يفرحون مع الله ساعة.
Maksudnya: Dinukilkan oleh Ibrahim bin 'Abdillah al-Qallanisi bahawa al-Imam Ahmad berkata tentang golongan Sufi: "Saya tidak tahu suatu kaum lebih mulia daripada mereka". Dikatakan: "Mereka mendengar nasyid-nasyid dan bertawajud (bergerak-gerak sambil mendengarnya)." Beliau (Imam Ahmad) berkata: "Biarkanlah mereka bergembira dengan Allah SWT sejenak." [Kitab Ghiza' al-Albab] 

Wallahu a'lam...

Sumber  : https://www.facebook.com/notes/raja-ahmad-mukhlis/ringkasan-tentang-hadrah-sufiyyah-zikir-dalam-gerakan/1090818464278664?pnref=story


Bacaan Tambahan : Analisis Ilmiyyah 10 Kesilapan Artikel Dr Zulkifli Al Bakri Isu Zikir Menari

Tiada ulasan: