CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Jumaat, 20 Februari 2015

Asing Boleh Jadi Terpuji Dan Juga Tercela

Oleh : Ustaz Mohd Dailami 

Rasulullah SAW bersabda :

"Pada awal munculnya Islam merupakan sesuatu yang asing, dan akan kembali menjadi asing seperti permulaannya.Maka berbahagialah orang-orang yang asing”

[Hadith Muslim, Kitab Iman, Hadith no.210; Al-Tirmidhi, Kitab Iman Hadith no.2553; Ahmad, Musnad 10 yang dijanjikan Syurga, Musnad Abi Ishaq Saad bin Abi Waqqas, Hadith no.1518]

1. غَرِيبًا : Berasal daripada perkataan ightaraba yang bermaksud keseorangan dengan sebab terasing, hal ini kerana kesabaran mereka menghadapi kesusahan di awal Islam dan juga kegigihan mereka dalam mengamalkan Islam.Mereka ialah orang yang menghidupkan sunnah Nabi ketika manusia melupakannya, menganggap ketinggalan zaman, tidak mengikuti arus semasa dan pelbagai tuduhan lain.

2. فَطُوبَى : Kebaikan, keberuntungan.

Kadang kadang sesuatu yang asing tidak selalunya bermaksud memiliki jumlah yang kecil atau terpinggir, ia juga memberi gambaran keadaan hidup yang berlainan daripada pola hidup masyarakat lain yang tidak mengamalkan Islam.

Secara amnya kebenaran tidak dinilai berdasarkan quantiti, namun perlu lebih berhati hati kerana golongan yang sesat juga selalu menggunakan alasan ini bagi menggambarkan kebenaran mereka yang dilihat jauh terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah.Para Ulama' tidak akan bersepakat dalam perkara kesesatan.Oleh itu Ijma' merupakan salah satu sumber utama Ahli Sunnah Wal Jama'ah selepas Al Qur'an dan Sunnah.

Oleh kerana setiap orang mempunyai penilaian maka penilaian juga terbahagi kepada baik dan buruk.Dan penilaian persepakatan Ulama' walaupun masih boleh dibahaskan namun merupakan perkara yang paling utama didahulukan daripada pendapat yang terpencil atau janggal.

“ Hendaklah kamu berada bersama jamaah, dan janganlah kamu berpecah (daripada jamaah)” 

(Riwayat Tarmizi).

Ibnu Mas'ud menerangkan bahawa

"Dan apa yang kamu tidak suka dalam menyertai jemaah adalah lebih baik daripada apa yang kamu suka dalam berpecah “ (Kitab Al-Syariah oleh Al-Aajurri : 17)

“ Dan antara pintu-pintu besar bagi syaitan (untuk masuk menguasai hati manusia) ialah : taksub kepada aliran-aliran pemikiran (termasuk taksub tidak bermazhab) dan keinginan-keinginan tertentu, rasa dendam terhadap pihak lawan serta memandang rendah dan hina terhadap mereka; perkara-perkara tersebut boleh membinasakan ahli ibadat dan juga orang fasik. Ini ialah kerana mencerca manusia dan menyebut kekurangan mereka merupakan bahagian daripada sifat haiwaniah yang tertanam dalam tabiat manusia.Apabila syaitan berjaya membisikan kepada manusia bahawa perbuatan tersebut adalah benar dan ianya sesuai pula dengan perangai manusia berkenaan sehingga kemanisan untuk melakukan perbuatan tersebut telah menguasai hatinya. Keadaan ini membuatkan ia mengerah sepenuh tenaganya untuk melakukan perbuatan- perbuatan yang dibisikkan oleh syaitan sebagai benar itu. Ia melakukan semua itu dengan gembira dan senang hati dengan sangkaan bahawa ia berjuang untuk kepentingan agama, tetapi pada hakikatnya ia berjuang pada mengikut jejak langkah syaitan 

(Al-Ihya : 45/3).

Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (semasa jahiliah dahulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.'[Ali ‘Imran : 103]

Memperjuangkan perkara yang halal dan haram tanpa menghiraukan kemarahan manusia adalah sifat yang terpuji, tetapi memperjuangkan perkara khilafiah atau perbezaan pendapat tanpa menghiraukan pandangan, tafsiran Ulama' yang mu'tabar dengan jalan mengejek, menyesatkan sebagaimana yaqinnya orang jahil, memberi maksud yang sama memaksa orang lain untuk menerima pendapat yang dipilih olehnya sahaja tanpa menghiraukan keindahan dan keistimewaan pendapat yang dianggap lebih kuat oleh segolongan besar Ulama' mu'tabar lain, dan perkara ini merupakan sikap yang perlu dijauhi bagi ahli ilmu agar tidak mengeruhkan keharmonian masyarakat.

Hinggakan Rasulullah SAW juga mengumpamakan umat Islam seperti sebuah bangunan yang kukuh. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang mukmin itu bagi mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, yang mengukuhkan akan sebahagian ke atas bahagian lain”. (HR Bukhari)

"Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pengajaran wahai! orang-orang yang mempunyai penglihatan “ (Al-Hasyr : 2)

Wallahu a'lam.
Mohd Dailami.
Qahirah, Mesir.
8 feb 2015.

Tiada ulasan: