CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Sabtu, 14 Jun 2014

Kesempurnaan Sujud Dalam Solat




Oleh: MUFTI BRUNEI

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sujud merupakan salah satu daripada rukun dalam sembahyang berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Taala :

Tafsirnya : "Wahai orang-orang yang beriman, ruku„lah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang)..." (Surah al-Hajj: 77)

Persoalan bagaimana cara melaksanakan sujud dalam sembahyang itu hendaklah dilihat kepada cara dan tunjuk ajar sembahyang Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang yang berupa rukun, perkara-perkara sunat dan tertib sembahyang, daripada permulaan sembahyang dengan takbiratul ihram sehingga selesai dengan mengucapkan salam, kesemuanya itu hendaklah mencontohi cara sembahyang Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Daripada Malik bin al-Huwayrits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya : "(Kerjakan) sembahyang sebagaimana kamu lihat aku sembahyang." Hadis riwayat al-Bukhari)

Anggota Sujud

Anggota sujud dalam sembahyang ada tujuh, iaitu menyampaikan atau meletakkan pada tempat sujud sebahagian daripada dua tapak tangan, sebahagian daripada dua kaki (yakni jari-jari kaki), dua lutut dan sebahagian dahi yang tidak berlapik. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas Radhiallahu 'anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya : "Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang (anggota sujud), iaitu: pada dahi - dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda -, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua telapak kaki..." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadits yang disebutkan di atas secara umum membayangkan apa dia anggota-anggota sujud dalam sembahyang. Akan tetapi, kadang-kala timbul persoalan yang melibatkan anggota-anggota sujud itu sendiri. Tidak dinafikan juga, terjadi kecuaian dan kesilapan dalam melakukan sujud tanpa disedari, antaranya:

1. Meletakkan hidung dan dahi pada tempat sujud

Hukum meletakkan hidung pada tempat sujud ketika sujud adalah dituntut berdasarkan hadits shahih di atas, akan tetapi hukumnya adalah sunat dan bukan wajib. Selain itu, para ulama telah menyebutkan bahawa sujud pada dahi semata-mata tanpa meletakkan hidung pada tempat sujud hukumnya adalah makruh. Sebaliknya pula, adalah tidak memadai sekiranya sujud dilakukan dengan hanya meletakkan hidung sahaja tanpa sebahagian dahi. Ini kerana dahi adalah termasuk dalam anggota sujud.

2. Mengangkat dahi ketika sujud

Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma'ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.

Thuma'ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma'ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi'li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir: " Subhanallah " sebelum beralih ke rukun fi'li seterusnya. Seperti yang diketahui, thuma'ninah diwajibkan ketika sujud.

Oleh yang demikian, maksud thuma'ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada sujud.

3. Dahi dan hidung yang berlapik

Ketika sujud, bahagian dahi hendaklah dalam keadaan terbuka atau terdedah tanpa dihalang oleh sebarang lapik seperti songkok, serban, telekung atau seumpamanya. Demikian juga, disunatkan agar bahagian hidung mencecah tempat sujud tanpa dihalang oleh sebarang lapik sebagai ittiba' (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam). Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan riwayat daripada Abu Sa'id al-Khudriy Radhiallahu 'anhu:

Maksudnya : "Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam dapat dilihat pada dahi dan hujung hidung Baginda kesan (bekas) tanah (setelah selesai) daripada sembahyang yang dilaksanakan Baginda bersama-sama orang ramai." (Hadits riwayat Abu Daud)

4. Kedudukan jari-jari tangan dan kaki ketika sujud

Berdasarkan hadits yang disebutkan di atas, diwajibkan ketika melakukan sujud untuk meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi, antaranya ialah dua tangan dan dua kaki. Yang dimaksudkan dengan dua kaki itu ialah perut jari-jari dari dua telapak kaki.

Oleh itu, tidak sah sujud dalam sembahyang dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki, apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung tidak mencecah bumi atau lantai.

Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.

Demikian antara persoalan mengenai hukum dan cara meletakkan anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang dan juga beberapa contoh kecuaian dan kesilapan yang berlaku ketika sujud.

Tertib Anggota Ketika Hendak Sujud

Selain menyempurnakan kewajipan dalam meletakkan anggota-anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang, terdapat juga perkara-perkara sunat ketika melakukan sujud, antaranya cara sujud dan tertib anggota sujud ketika hendak melakukan sujud.

Cara sujud dan tertib anggota sujud yang lebih sempurna ialah sunat bagi seseorang ketika hendak sujud supaya meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, diikuti dua kaki, iaitu jari-jari kaki yang dilipat dan dihadapkan ke arah kiblat, kemudian diikuti dengan meletakkan kedua tapak tangan sebagaimana cara atau amalan yang telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wasallam sendiri. Terakhir sekali meletakkan sebahagian dahi dan hidung secara serentak kerana ittiba', (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu Alaihi wasallam). Hukum meletakkan kedua-dua dahi dan hidung secara serentak adalah sunat.

Perbuatan tertib ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Wa'il bin Hujr Radhiallahu 'anhu, dia berkata:

Maksudnya : "Aku melihat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam apabila Baginda hendak sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua (tapak) tangan Baginda. Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda Sebelum dua lutut Baginda." (Hadits riwayat Abu Daud)

Tertib dan cara ketika hendak sujud inilah yang dipegang oleh kebanyakkan ulama dan ulama fiqh. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan adalah makruh menyalahi tertib yang telah disebutkan di atas. Manakala pendapat yang lain mengatakan sekiranya dia sujud dengan mendahului meletakkan kedua tangannya sebelum kedua lututnya, maka itu adalah memadai, cuma dia telah meninggalkan sunat hai'at dan meninggalkan perkara yang mustahab, iaitu yang disukai.

Bertumpu Dengan Dua Tapak Tangan

Begitulah penjelasan mengenai cara sujud dan tertib anggota sujud yang disunatkan. Bagaimana pula cara dan tertib anggota ketika hendak bangun berdiri setelah selesai melakukan sujud yang kedua?

Antara perkara yang disunatkan apabila hendak bangun untuk berdiri dalam sembahyang, seperti ketika bangun daripada sujud, ketika bangun daripada duduk istirahat, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua sebelum bangkit berdiri, atau ketika bangun daripada tasyahhud, ialah bertumpu dengan dua tapak tangan. Kaifiyatnya atau caranya ialah bertumpu dengan menetapkan tapak tangan dan perut jari-jari tangan yang dibentangkan (yakni tidak digenggam) di atas lantai atau tempat sembahyang.

Hukum bertumpu dengan tangan ketika bangun adalah sunat, malahan digalakkan untuk diamalkan, sama ada bagi mereka yang kuat (berdaya) mahupun yang lemah, sama ada lelaki mahupun perempuan. Bertumpu dengan tangan menyerupai tawadhu' (merendah diri), di samping cara ini lebih membantu orang yang sembahyang.

Dasar dalam perkara ini adalah sebagai ittiba' (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam). Telah sabit bahawa cara Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bangun atau bangkit berdiri seolah-olah seperti bangunnya seorangmyang lemah atau seorang tua yang lemah, yakni seseorang yang memerlukan bantuan dengan meletakkan tangan pada sesuatu atau lantai untuk menolongnya ketika bangun berdiri. Selain itu, dalam sebuah hadits shahih, menyebutkan perbincangan antara Ayyub dan Abu Qilabah Radhiallahu 'anhum mengenai cara sembahyang 'Amru bin Salimah Radhiallahu 'anhu yang menyerupai dan mencontohi sembahyang Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam :

Maksudnya : "Dan apabila Baginda mengangkat kepala Baginda daripada sujud yang kedua, Baginda duduk (seketika) dan bertumpu pada bumi (atau lantai), kemudian (Baginda pun) bangun berdiri." (Hadits riwayat al-Bukhari)

Tidak Bertumpu Dengan Tangan Pada Lantai

Menurut penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa disunatkan ketika bangun daripada sujud untuk bertumpu dengan menggunakan bantuan tangan yang ditetapkan atau diletakkan pada lantai atau tempat sembahyang. Bagaimanapun dalam hadits yang diriwayatkan oleh Wa'il bin Hujr Radhiallahu 'anhu yang terlebih awal disebutkan di atas, menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut ketika bangun berdiri. Manakala dalam hadits Muhammad bin Juhadah Radhiallahu 'anhu, Baginda tidak bertumpu pada lantai sebaliknya Baginda bertumpu pada peha Baginda ketika bangun berdiri sepertimana berikut:

1. Hadits Wa'il bin Hujr Radhiallahu 'anhu:

Maksudnya : "... Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum daripada dua lutut Baginda." (Hadits riwayat Abu Daud)

2. Manakala hadits Muhammad bin Juhadah menyebutkan:

Maksudnya : "Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda bangun atas dua lutut Baginda dan bertumpu (dengan tangan diletakkan) pada peha Baginda." (Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah, cara bangun untuk berdiri dalam kedua-dua hadits di atas adalah bagi sesiapa yang tidak melakukan amalan sunat bertumpu dengan tangan pada lantai. Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak bertumpu dengan tangan pada lantai, maka digalakkan agar dia mendahulukan mengangkat kedua tangannya sebelum kedua lututnya dan dia bertumpu dengan kedua tangannya pada dua pehanya supaya dengan cara sebegini membantunya atau menolongnya untuk bangun berdiri.

Sebagai kesimpulan, antara sunat hai'at dalam sembahyang itu menyentuh mengenai tertib dan cara ketika hendak sujud dan bangun berdiri daripada sujud. Tertib dan cara bangun daripada sujud itu termasuklah bangun daripada duduk istirahat, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua dan sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya, serta bangun daripada duduk tasyahhud. Tertib dan cara ini telah sabit daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri berdasarkan beberapa hadits. Sebaliknya, meninggalkan tertib ini dalam sembahyang hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan sunat hai'at.

WALLAHU'ALAM

Sumber  : http://www.pelitabrunei.gov.bn/template/irsyad-hukum/item/7986-kesempurnaan-sujud-dalam-sembahyang

Tiada ulasan: