CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Sabtu, 15 Februari 2014

Bolehkah Membaca أستغفرالله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه Selepas Solat ?





Soalan :

Benarkah bacaan أستغفرالله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه lepas solat tak boleh kerana ada tokok tambah ?

Jawapan :

Hadith mengenai wirid di atas (أستغفرالله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه) ada disebut oleh Al Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fath al Baari iaitu istighfar Rasulullah sallaLLahu 'alaihi wasallam ketika berada di tempat tidur. Riwayat Imam al Tirmidzi daripada Abi Sa'id dan beliau menyatakan ia bertaraf Hasan.

Hadith berkaitan zikir di atas (dibaca selepas solat Subuh dan Asar) dengan lafaz -أستغفرالله العظيم الذي لا إله إلا هو الحي القيوم و أتوب إليه juga didapati dhoief, riwayat Imam al Munziri di dalam kitab al Targhib wa at tarhib.

Beramal dengan hadith dhoief dibolehkan oleh para ulama hadith dan feqah (Imam Al Suyuthi dalam kitab Tuhfatu al Abrar).

Di dalam hadith sohih ada meriwayatkan tentang tindakan yang dilakukan oleh seorang sahabat radiyaLlahu 'anhu bernama Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLLahu 'anhu yang telah MENOKOK TAMBAH lafaz zikir ketika bangkit daripada ruku'. Cerita ini telah disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLLahu 'anhu, katanya (yang bermaksud) :

Daripada Rif'ah bin Rafi' al Zaraqiyyi radiyaLlahu 'anhu, katanya : Suatu hari kami telah solat bersama-sama Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam. Ketika mengangkat kepala dari RUKU', baginda sallaLlahu 'alaihi wasallam lantas menyebut : سمع الله لمن حمده .. Tiba-tiba seorang lelaki di belakangnya (ketika bangkit daripada ruku') menyebut : ربنا ولك الحمد حمدا كثيرا طيبا مبارك فيه . (setelah selesai solat), RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam lalu berpaling ke belakang sambil bertanya : "Siapakah di antara kamu yang menyebutkan perkataan tadi ketika solat ? " Jawab lelaki tersebut : "Saya"
RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam lantas bersabda : "Aku telah melihat lebih daripada tiga puluh orang para malaikat berebut-rebut untuk menjadi orang yang paling awal menulis ucapan tadi.

(Sahih Bukhari Hadis nombor 799, Jilid 2/331-332. Sunan Abi Daud. Hadis no : 770, Jilid 1/204. Sunan an Nasa'i, Jilid 2/196. Al Muwattha', Jilid 1/211-212. Musnad Imam Ahmad, Jilid 4/340. )

Hadith seperti ini telah diriwayatkan juga oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik RadiyaLlahu 'anhu katanya (yang bermaksud) :

Daripada Anas RadiyaLlahu 'anhu, katanya : "Sesungguhnya ada seorang lelaki datang. Lalu dia pun memasuki saf dalam keadaan sesak nafas. Maka (tiba-tiba selepas bangkit dari ruku') dia telah menyebutkan :
الحمد لله حمدا كثيرا طيبا مباركا فيه
Selepas selesai menunaikan solat, Baginda sallaLLahu 'alaihi wasallam lantas bertanya :"Siapakah di antara kamu yang menuturkan beberapa kalimat tertentu di dalam solat tadi ? Semua sahabat senyap tidak menjawab.

Lantas RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam mengulangi soalan tadi :"Siapakah di antara kamu yang menuturkan beberapa kalimah tertentu di dalam solat tadi ? Sesungguhnya ucapannya itu, tidak mengandungi mudharat ! Tiba-tiba ada seorang lelaki menjawab : "Tadi ketika sampai, saya telah sesak nafas, lalu saya pun menyebutkan kalimah-kalimah tersebut (secara spontan). Rasulullah pun menjelaskan dengan bersabda :

"Sesungguhnya aku telah melihat dua belas orang malaikat berebut-rebut (untuk menjadi orang yang paling awal) mencatatkannya dan (seterusnya) mengangkatnya ke langit.

(Sohih Muslim, Jilid 1/419)

AlHafiz Imam Ibnu Hajar al asqolany (Fathul Bari - Jilid 3/188) ketika mengulas hadith di atas :

Maksudnya : Beberapa kesimpulan yang dapat diambil berdasarkan hadith ini ialah :

1. HARUS mencipta atau menokok tambah lafaz-lafaz zikir yang tidak pernah diriwayatkan di dalam hadith-hadith sahih, (dengan syarat) ianya tidak bercanggah dengan lafaz-lafaz zikir yang diriwayatkan.

2. HARUS berzikir dengan KUAT dalam solat selama mana iainya tidak mengganggu kekhusyukan orang lain.

3. Tidak makruh, orang yang bersin di dalam solat memuji Allah dengan menyebut : الحمد لله

4. Orang yang sedang solat tidak wajib ke atasnya menjawab ucapan الحمد لله yang diucapkan oleh orang yang bersin.

5. Harus memanjangkan rukun i'tidal ketika solat (dengan syarat, memanjangkannya kerana) membaca zikir yang panjang.

Tambahan :

Lafaz istighfar yang disebutkan mengandungi makna berdoa kepada ALlah supaya menghapuskan dosa. Ia adalah baik dan sesuai, kita menyebutkan sifat-sifat terpuji bagi Allah selepas kita menyebut namaNya dengan niat supaya doa kita akan dimakbulkan oleh Allah.

Sumber rujukan :

Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al Hafiz, Amalan Sunnah Selepas Solat Dan Kelebihannya, Suatu Kajian Terperinci Berdasarkan Hadith Dan Ulama'Muktabar, Cetakan Pertama 2008, D'nonce Sdn Bhd, Kelantan

Rujuk https://www.facebook.com/SunniMalaysia/photos/a.149616235103526.33239.149551445110005/611495868915558/?type=1&theater

Tiada ulasan: