CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Ahad, 15 April 2012

Bolehkah Menghadiri Upacara Pengebumian Mayat Orang Bukan Islam ? Bab Akhir



BOLEHKAH MENGHADIRI UPACARA PENGEBUMIAN MAYAT ORANG BUKAN ISLAM ?
(Bilangan 118 Bahagian Akhir)  


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

MEMASUKI GEREJA
Gereja ialah sebuah bangunan tempat beribadat penganut Kristian. Gereja disebut pelbagai nama mengikut saiz dan penggunaannya. Jikalau gereja kecil dan penggunaannya dikhaskan ia disebut chapel. Tetapi terdapat juga istilah umum yang digunakan untuk gereja iaitu disebut churchAbbey pada asalnya bermakna asrama paderi-paderi tetapi kini telah diperluaskan penggunaannya hingga lebih membawa erti gereja besar. Biasanya bahagian utama gereja berbentuk salib. Gerbang gereja pada mulanya berbentuk bulat, tetapi kemudiannya tirus ke atas bagi melambangkan keteguhan dan keagungan. 
(Ensiklopedia Malaysiana: 5/109-110)

Jika berlaku kematian, biasanya mayat orang kafir (Kristian) dibawa ke dalam gereja bagi menjalankan upacara khas keagamaan dan ia adalah menjadi salah satu syi‘ar atau tanda khusus bagi agama mereka. Cara seperti ini tidak ada di dalam Islam dan bagi orang Islam sendiri tidak dibenarkan turut bersama mengikuti atau menyertai acara keagamaan mereka itu.
Menurut sesetengah kitab yang menghuraikan hukum-hukum yang berkaitan dengan orang kafir zimmi ada menyebutkan bahawa gereja-gereja mereka itu adalah tempat-tempat laknat, kemarahan dan kemurkaan turun kepada mereka di dalamnya sebagaimana dikatakan oleh sebahagaian sahabat: “Jauhi oleh kamu akan orang-orang Yahudi dan Nashrani di hari-hari kebesaran mereka kerana kemurkaan turun kepada mereka pada hari-hari itu”. Selain daripada itu, gereja itu termasuk di antara rumah (tempat) musuh-musuh Allah, rumah musuhNya pula adalah tidak layak dijadikan tempat beribadat kepadaNya. (Ibn Qayyim Al-Jauziah, Ahklam Ahl Zimmah, 3:1230-1231)
Apabila demikian halnya gereja itu, maka tidak elok bagi seseorang Muslim memasukinya tanpa sebab-sebab tertentu, sebagaimana dicatatkan dalam sejarah pembukaan Bait Al-Muqaddas bahawa Sayyidina Umar Radhiallahu ‘anhu pernah memasuki gereja Al-Qummamah (Al-Qiyamah) dan sempat duduk di dalamnya dan apabila tiba waktu sembahyang beliau keluar. Tindakan Sayyidina Umar ini lebih banyak bermotifkan politik Islamiyah yang pada masa itu di mana agama Islam baru mula bertapak di kawasan Bait Al-Muqaddas dan Umar sendiri memasukinya bukan kerana sukakan atau cenderung kepada gereja atau ajaran mereka. (Muhammad Redha, Al-Faruq: Umar bin Al-Khattab: 208)

SYARAT-SYARAT MEMASUKI GEREJA
Menurut ulama Syafi‘e hukum memasuki gereja itu dibolehkan dengan beberapa syarat. Antara syarat-syarat itu ada kebenaran daripada pihak gereja dan di dalam gereja itu pula tidak terdapat gambar atau patung-patung yang dimuliakan seperti gambar atau patung yang disangkakan orang Nashrani sebagai gambar atau patung Nabi Isa‘Alaihishshalatu wasallam, atau Sayyidatina Maryam dan lain-lain.
Jika syarat-syarat ini tidak terpenuhi, maka tidak harus memasukinya (haram) masuk gereja disebabkan ada gambar-gambar atau patung yang dihormati oleh mereka yang diletakkan dalam gereja itu.
Dalam hal ini Ibnu Hajar dan Imam Ali Al-Syibramalisi Rahimahullah menyebutkan bahawa tidak harus memasuki gereja kecuali dengan ada izin kebenaran daripada mereka dan di dalamnya tidak terdapat gambar-gambar yang dimuliakan. (Tuhfah Al-Muhtaj: 9/295 & Hasyiah Nihayah Al-Muhtaj: 8/99)
Termasuk juga syarat itu hendaklah masuknya itu tidak membawa kesan cenderung atau mengiktiraf kepada ajaran gereja atau akan membawa dia mempersendakan Islam bersama-sama orang kafir sehingga boleh merosakkan aqidahnya. (Fatwa Abdul Halim Mahmud: 198)
Berasaskan kepada huraian di atas, adalah dibolehkan mengikuti serta menyertai jenazah orang kafir dari tempat kediaman asalnya sehingga sampai ke tempat pengkebumiaannya, termasuk ke gereja yang sunyi daripada gambar-gambar dan patung yang disebutkan.
Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa orang Islam adalah haram menghadiri atau menyertai mana-mana acara peribadatan atau acara khas keagamaan agama yang lain, sama ada ia dilakukan di gereja, di kuil, rumah atau di mana-mana tempat sekalipun.
Dengan demikian perkara orang Islam datang ke gereja untuk hanya sekadar memberi takziah dan simpati kepada keluarga terdekat atau teman rapat adalah harus, iaitu selama tidak menyertai acara khusus keagamaan mereka dan di tempat itu tidak ada gambar-gambar atau patung yang mereka muliakan.

Sumber : 

1. http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ip_menu1.htm

2.  http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic65_2001.htm
  
   

Bolehkah Menghadiri Upacara Pengebumian Mayat Orang Bukan Islam ? Bab 1



BOLEHKAH MENGHADIRI UPACARA PENGEBUMIAN MAYAT ORANG BUKAN ISLAM ?
(Bilangan 118 Bahagian Pertama)  


Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



Agama Islam sangat tegas dan keras dalam soal mempertahankan akidah Islamiyah, namun ia juga amat berlembut dan toleran dalam perkara-perkara tertentu seperti soal sosial dan kemasyarakatan yang melibatkan bagaimana mengatur di antara orang Islam dengan orang yang bukan Islam selama mana hubungan itu tidak menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal, lebih-lebih lagi tidak ada yang boleh menjejaskan atau merosakkan akidah orang Islam.

Berbuat baik dan berlaku adil kepada semua orang adalah salah satu prinsip Islam. Kerana Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam itu diutus oleh Allah Ta‘ala bagi seluruh alam sebagai rahmat dan nikmat yang besar. Sesiapa yang beriman dan menurut syari‘at Islam yang disampaikannya, selamatlah dia, dan sesiapa yang kufur ingkar, celakalah dia di dunia dan di akhirat, sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
(Surah Al-Anbiya': 107)



Begitu juga berbuat baik kepada orang yang bukan Islam tidak dilarang oleh Islam. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”.
(Surah Al-Mumtahinah: 8)



Islam juga tidak melarang bermu‘amalah seperti berjual beli, saling berkunjung, menghormati mereka sebagai individudalam batas pergaulan dan hubungan mengikut sukatan mujamalah asalkan bukan kerana memenuhi tuntutan acara keagamaan mereka atau lainnya yang bertentangan dengan syara‘.
Pendeknya Islam juga tidak melarang menjalin hubungan silaturahim dengan orang bukan Islam dalam batas yang diizinkan oleh syara‘, apa lagi mereka itu keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik, abang dan sebagainya. Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah hadis, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Daripada Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata: “Telah datang ibuku kepadaku di masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sedangkan (ketika itu) dia masih musyrik (belum Islam). Maka aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu aku berkata: “Dia (ibuku) menginginkan sesuatu daripadaku, adakah aku menghubungkan silaturahim kepadanya? Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, hubungkanlah silaturahim dengannya”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dalam hubungan ini jika berlaku kematian di kalangan mereka yang kafir zimmi, bagaimana sikap orang Islam mengenainya?
Perlu diketahui bahawa pada dasarnya apabila berlaku kematian ke atas orang kafir zimmi adalah dituntut supaya mereka tidak menzahirkan penanaman mayat dan kematian mereka secara terang-terangan. (Al-Raudhah: 10/333)

MENGIRINGI MAYAT ORANG KAFIR KE KUBUR
Islam tidak melarang perkara takziah dengan menghadiri atau mengikuti mayat orang kafir ke tempat pengkebumian, jika mayat itu terdiri daripada keluarga terdekat seperti isteri, jiran, teman rapat, maula dan hambanya. Keharusan menghadiri atau mengikuti mayat orang bukan Islam ini berdasarkan riwayat daripada Ali Karramallahu wajhah di mana beliau memberitahu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa saudara Baginda yang sesat (belum menganut Islam) telah mati, lalu Baginda mengarahkan Ali untuk menghadirinya. (Qalyubi wa ‘Umairah: 1/406 & Fath Al-‘Allam: 3/280)
Menurut Kitab Fath Al-‘Allam, jika mayat itu orang lain seperti bukan ahli keluarganya maka hukumnya adalah haram. (Fath Al-‘Allam: 3/280)



ADAB  KETIKA MENZIARAHI MAYAT ORANG KAFIR

 Islam tidak melarang menghadiri pengkebumian mayat orang kafir bahkan memberikan etika dan cara ketika menghadiri mayat tersebut.
Etika dan cara menghadiri mayat orang kafir dicatatkan dalam beberapa riwayat yang ada kaitan mengenainya, di antaranya:
Maksudnya: “Muhammad bin Al-Hassan bin Harun berkata: “Abu Abdullah ditanya: “Dan adakah dia boleh menghadiri mayatnya? “Beliau menjawab: “Ya, boleh sebagaimana yang dilakukan oleh Al-Harith bin Abu Rubai‘ah di mana dia menghadiri mayat ibunya dan dia hanya berada di tepi dan tidak berada di dekat mayat kerana mayat itu dilaknat”.
Dalam sebuah riwayat yang lain:
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Ka‘ab bin Malik daripada bapanya: “Qais bin Syammas datang menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, katanya lagi: “Ibunya kebetulan mati sebagai seorang Kristian dan dia ingin menghadiri mayatnya”, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya: “Naiki kenderaanmu dan berjalanlah di hadapan mayatnya, kerana apabila engkau menunggang dan engkau berada di hadapannya maka engkau tidak dikira bersamanya”.
(Hadis riwayat Ad-Daruqutni: 2/75-76)
Berdasarkan riwayat di atas, keharusan menghadiri dan mengucapkan takziah di dalam majlis yang ada padanya mayat orang kafir hanyalah sekadar menunjukkan simpati saja dan tidak terlalu dekat dengan mayat, manakala ketika membawanya ke tempat pengkebumian pula, maka beradalah di hadapan mayat, bukan di arah belakang.
Simpati (takziah) yang ditunjukkan itu hanya sekadar mujamalah saja dan kehadiran itu pula tidak sekali-kali dikaitkan dengan agama dan akidah. Dengan lain perkataan kehadiran itu bukan kerana mengikut acara keagamaan mereka.
Dengan yang demikian bertakziah dengan menghadiri mayat orang kafir daripada kalangan keluarga atau teman rapat dalam batas-batas yang tidak termasuk dalam acara keagamaan mereka adalah diharuskan.
Bersambung


Rabu, 11 April 2012

Siapakah Para Ulamak Yang Membolehkan Tawassul ?





Soalan :

Terdapat golongan yang ekstrim menghukum syirik ke atas umat Islam yang melakukan tawassul kepada RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Adakah perbuatan ini benar dan siapakah di kalangan para A'immah dan Huffaz yang membolehkan tawassul ?

Jawapan :

Al Allamah al Muhaddith al Arif billah, Sayyid Muhammad bin Alawi al Maliki telah membahas perkara tawassul ini dengan panjang lebar di dalam kitab beliau bertajuk Mafahim Yajibu an Tushahhah (lihat Muhiqq At Taqawwul fi Mas'alah at Tawassul dalam Rasa'il Hammah wa Mabahith Qayyimah, ms 397) Kemudian beliau menyenaraikan nama-nama para A'immah dan Huffaz yang membolehkan tawassul antaranya :

1. Al Imam Al Hafiz, Abu AbduLlah al Hakim dalam Al Mustadrak. (Di dalam kitab tersebut, beliau menyebutkan Nabi Adan bertawassul dengan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam dan mensahihkannya)

2. Al Imam Al Hafiz, Abu Bakar al Baihaqi dalam Dala'il an Nubuwwah (Beliau juga menyebut tentang hadith Nabi Adam bertawassul dengan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan hadith-hadith yang berkaitan dengan tawassul.)

3. Al Imam al Hafiz, Jalal ad Din as Sayuthi dalam Al Khasha'ish al Kubra (Beliau juga menyebut hadith Nabi Adam bertawassul).

4. Al Imam al Hafiz, Abu Al Farj Ibn Al Jauzi dalam Al Wafa (Beliau juga menyebut hadith Nabi Adam bertawassul dan hadith-hadith berkaitan.

5. Al Imam Al Hafiz Al Qadhi Iyadh dalam Asy Syifa' fi at Ta'rif bi Huquq al Mushtofa.

6. Al Imam, Syaikh Nur ad Din al Qari al Ma'ruf bin Mulla Ali Qari dalam Syarhnya kepada kitab Asy Syifa'.

7. Al Allamah Ahmad Syihab ad Din al Khaffaji dalam Nasim ar Riyadh (Kitab syarah kepada Asy Syifa')

8. Al Imam Al Hafiz, Al Qisthillani dalam Al Mawahib al Ladunniyyah (Beliau menyebutnya di awal kitab)

9. Al Allamah Syaikh Muhammad Abd al Baqi az Zarqani dalam Syarh (1/44) nya ke atas Al Mawahib.

10. Al Imam Syaikh al Islam, Abu Zakaria Yahnya An Nawawi dalam Al Idhah (Bab keenam, m.s 498. Lihat juga Al Majmu', 8/272)

11. Al Allamah Ibn Hajar al Haitami dalam Hasyiah (m/s 499) nya atas Al Idhah dan beliau menulis risalah khas tentang tawassul berjudul Al Jauhar al Munazzham.

12. Al Hafiz Syihab ad Din Muhammad bin Muhammad bin Al Jazari ad Dimasyqi Iddah al Husn al Hashin (disebutkan dalam tajuk Kelebihan Doa)

13. Al Allamah al Imam Muhammad bin Ali asy Syaukani dalam Tuhfah az Zakirin (m/s 761)

14. Al Allamah al Imam al Muhaddith Ali bin abd al Kafi as Subki dalam Syifa' as Siqam fi Ziyarah Khair al Anam (lihat Bab Kelapan, m/s 161)

15. Al Hafiz Imad ad Din Ibn Kathir dalam Tafsir al Qur'an al Azhim dalam Tafsir al Quran al Azhim.

16. Al Imam Al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani dalam Fath al Bari (Beliau menyebutkan kisah seorang lelaki yang datang ke kubur RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dan bertawassul dengan baginda dan mengatakan sanadnya sahih dalam Fath al bari (Lihat 2/495)

17. Al imam Al Mufassir Abu Abdullah al Qurthubi dalam Al Jami' li Ahkam al Quran (lihat 5/265)

18. Asy Syaikh Yusuf Khator Muhammad di dalam kitabnya Al Mausu'ah al Yusufiyyah fi Bayan Adillah ash Shufiyyah, menambah lagi nama-nama para ulama' selain daripada nama-nama di atas yang membolehkan tawassul atau yang menukilkan dalil-dalil daripada para A'immah di dalam kitab-kitab mereka termasuklah. (m/s 122-123)

19. Imam Syafie

20. Imam Ahmad bin Hanbal

21. Imam Malik. Seperti yang disebutkan oleh Al Allamah Ibn Hajar dalam Al Jauhar al Munazhzham dan Al Asqolani dalam Al Mawahib al Laduniyyah, dan As Samhudi dalam Khulashah al Wafa' dan al Qadhi Iyadh dalam asy Syifa' dengan sanad yang sahih dan selain dari mereka pun menyebutkan perkara yang sama.

22. Al Allamah Asy Syihab ar Ramli Asy Syafie.

23. Al Allamah Syaikh Ibn Muflih al Hanbali.

24. Al Allamah Syaikh Ala' ad Din Ali al Mardawi al Hanbali (lihat kitab al Inshaf 2/456)

25. Al Allamah Syaikh Ahmad al Mardawi.

26. Syaikh Yusuf an Nabhani.

27. Al Allamah Syaikh as Samiri (pengarang at Talkhish) (Lihat Kasyf al Qina', 2/29)

28. Syaikh Muhammad al Hamid (lihat Rudud ala Abathil, m/s 25-26)

29. Syaikh Ibn Taimiyyah (lihat Al Fatawa al Kubra, 1/105 dan 140)

30. Syaikh Ibn Al Qayyim al Jauziyyah

Menariknya turut tersenarai adalah nama pengasas Wahhabi iaitu Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab (lihat Fatawa Asy Syaikh Muhammad bin Abd al Wahhab fi Majmu'ah al Mu'allafat, Bahagian Ketiga m.s 68, yang telah disebarkan oleh Universiti al Imam Muhammad bin Su'ud al Islamiyyah pada Minggu As Syaikh Muhammad bin Abd al Wahhab. Adalah sangat pelik sekali golongan yang membolehkan mengadakan Minggu Asy Syaikh Muhammad bin Abd al Wahhab tetapi mengingkari Maulidur Rasul sallaLlahu 'alaihi wasallam !).

Dan Ulamak Wahhabi iaitu Syaikh Muhammad Nashir al Albani (lihat Syarh al Aqidah ath Thohawiyyah, Syaikh Muhammad Nashir al Albani m.s 46)

Ulamak terkini yang membolehkan :

31. Mufti Brunei (rujuk :  http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/2001/ic80_2001.htm )

32.  Prof Dr Ali Jum'ah (lihatAl Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim)

33.Sheikh Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti Hafizahulla (lihat Al-Salafiyyah: Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Mazhaba Islami (1996), ms.155, 156).)

34. Sheikh Dr Abdul Malik Abd Rahman al-Sa’di (al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq)

35. Prof Dr Wahbah Az Zuhaili (lihat "فتاوى معاصرة" di muka surat 355)

Dan ramai lagi..

Sumber :

1. Muhadir bin Haji Joll, Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama Inilah Jawapannya.., m.s 335-338, Cetakan Pertama 2011, Mawleed Publishing Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

2. http://akitiano.blogspot.com/2010/11/pembelaan-terhadap-wahbah-al-zuhayli.html

3. http://drasmadinet.blogspot.com/2009/09/isu-tawassul.html






Selasa, 10 April 2012

Hukum Mengambil Wudhu Dalam Keadaan Berhadas Besar







Oleh : Mufti Brunei

Mengambil Wudhu Dalam Keadaan Berhadas Besar


(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Orang yang berhadas kecil diwajibkan mengambil wudhu untuk mengangkat hadasnya itu bagi membolehkannya melaksanakan ibadah-ibadah tertentu seperti sembahyang, tawaf sama ada wajib atau sunat, sujud syukur atau tilawah dan seumpamanya.

Namun tuntutan tersebut tidak hanya pada ibadah yang menjadikan wudhu sebagai syarat sah perlaksanaannya, malahan juga dituntut pada keadaan-keadaan yang lain walaupun tuntutan itu hanya berupa sunat semata-mata seperti ketika sedang marah, membaca alQur’an (bukan dengan memegangnya) atau mendengar al-Qur’an, membaca dan mendengar Hadits, memegang kitab-kitab agama seperti kitab-kitab Tafsir atau Fiqh, membaca atau belajar ilmu ilmu syara‘ dan membacakannya, ketika masuk atau duduk di dalam masjid, ketika hendak tidur dan sebagainya.

Di samping itu disunatkan juga untuk sentiasa mengekalkan wudhu kerana amalan mengekalkan wudhu mendatangkan manfaat yang besar kepada orang yang sentiasa mengamalkannya seperti meluaskan rezekinya, disukai oleh malaikat Hafazhah, menjadi benteng (pendinding) dan juga memelihara dirinya daripada melakukan perkara atau perbuatan maksiat.

Mengekalkan wudhu bagi orang yang berhadas kecil bukanlah suatu perkara yang susah. Mereka boleh saja berwudhu semula jika batal wudhunya atau terus memperbaharui wudhu mereka jika masih dalam keadaan berwudhu bila-bila masa saja yang mereka kehendaki.

Melihat kepada tuntutan dan keutamaan wudhu ke atas orang yang berhadas kecil, apakah orang yang berhadas besar juga dituntut dan boleh melaksanakannya? Bagaimanakah kedudukan mereka dalam hal wudhu ini? Apakah Hukum Bagi Orang Yang Berhadas Besar Mengambil Wudhu? 

Orang yang berhadas besar itu adalah mereka yang berada dalam keadaan berjunub dan perempuan yang dalam keadaan haidh atau nifas. Namun dua keadaaan ini mempunyai kedudukan hukum yang berbeza kerana keadaannya masing-masing. 

 I. Orang yang berjunub mengambil wudhu 

Disunatkan bagi orang yang berjunub yang belum mandi wajib untuk mengambil wudhu apabila hendak tidur, makan dan minum dan juga ketika hendak mengulang semula persetubuhan.

 Diriwayatkan daripada Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha, beliau menceritakan:

Maksudnya:

 “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak tidur, sedangkan Baginda berada dalam keadaan junub, Baginda membasuh kemaluan Baginda (terlebih dahulu) dan mengambil wudhu (sepertimana wudhu) untuk sembahyang.” 

 (Hadits riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat lain pula, Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya:

 “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila dalam keadaan junub lalu Baginda hendak makan atau tidur, Baginda mengambil wudhu sepertimana wudhu Baginda untuk sembahyang.” 

 (Hadits riwayat Muslim)

Kedua hadits di atas adalah dalil mengenai sunat bagi orang yang berjunub untuk mengambil wudhu sebelum tidur atau sebelum makan dan minum.

Manakala dalil mengenai dengan sunat berwudhu sebelum mengulangi semula persetubuhan bagi orang yang berjunub itu adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudriy Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: 

“Apabila salah seorang daripada kamu mendatangi (menyetubuhi) isterinya, kemudian ingin mengulangi lagi, maka (sebaiknya) hendaklah dia mengambil wudhu.” 

 (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menerangkan bahawa hadits- hadits tersebut di atas memberi maksud bahawa orang yang berhadas besar (berjunub) jika dia hendak tidur, makan, minum atau bersetubuh lagi dengan isteri yang telah disetubuhinya atau isterinya yang lain, adalah disunatkan terlebih dahulu mengambil wudhu serta membasuh (membersihkan) kemaluannya (sebelum berwudhu).

 Beliau juga menyebut bahawa para ulama asySyafi‘iyyah berpendapat adalah makruh hukumnya ke atas orang yang berhadas besar (berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum berwudhu.

 Hikmah Sunat Berwudhu Ke Atas Orang Yang Junub 

 Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai hikmah disunatkan berwudhu ke atas orang yang berjunub jika dia hendak tidur, makan, minum dan bersetubuh. Antaranya:

 Pendapat pertama: 

Untuk meringankan hadas kerana wudhu berperanan untuk mengangkat hadas daripada anggota-anggota wudhu. Demikian juga, ia bermaksud bagi tujuan kebersihan.

 Pendapat kedua: 

Dengan wudhu merangsang seseorang untuk mandi apabila air terkena pada anggota-anggota wudhu.

 Pendapat ketiga: 

Bertujuan agar seseorang itu tidur dalam keadaan suci dari salah satu dua hadas (hadas kecil dan besar) kerana ditakuti dia menemui ajalnya di dalam tidur. 

II. Hukum perempuan yang dalam haidh dan nifas mengambil wudhu 

 Hukum berwudhu bagi perempuan yang dalam haidh atau nifas itu terbahagi kepada dua:

I. Jika darah haidh atau darah nifasnya masih keluar (belum kering),

 tidak disunatkan baginya untuk berwudhu. Ini adalah kerana wudhu tidak memberi apa-apa kesan pada mengangkat hadas perempuan haidh atau nifas yang masih keluar darahnya. Maka tidak sah bersuci daripada hadas ketika darah haidh atau nifas masih keluar.

II. Jika darah haidh atau nifasnya sudah berhenti (kering) tetapi dia belum mandi wajib,

maka disunatkan ke atasnya untuk mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum. Ini kerana apabila darah haidh atau nifas perempuan tersebut sudah berhenti, maka hukumnya adalah seperti orang yang berjunub; iaitu sunat ke atasnya mengambil wudhu jika dia hendak tidur, makan atau minum kerana ia memberi kesan pada hadasnya (terangkat hadas kecil).

 Berdasarkan penerangan di atas, tiada halangan bagi orang yang berjunub dan juga perempuan yang kering haidhnya tetapi belum mandi wajib untuk mengambil wudhu pada waktu-waktu tertentu sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa hadits.

Sekurang-kurangnya dengan melakukan wudhu dapat meringankan hadas yang ditanggung oleh keduanya sebelum mandi untuk mengangkat hadas.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill28-2010.pdf

Selasa, 3 April 2012

Kepentingan Penggunaan Akal dan Tradisi Berfikir Dalam Neraca Islam









Oleh : Ustaz Raja Ahmad Mukhlis


Kepentingan Penggunaan Akal dan Tradisi Berfikir dalam Neraca Islam 

Agama Islam adalah sebuah agama yang sangat menekankan kepentingan berfikir dan menggunakan akal secara murni. Ini kerana, Islam adalah agama yang benar dan mempunyai segenap bukti tentang kebenaran ajaran-ajarannya. Oleh yang demikian, antara jalan utama untuk mencapai dan menilai kebenaran Islam adalah penggunaan akal yang jujur dalam mencari kebenaran.

Antara kepentingan penggunaan akal adalah dalam memahami sebahagian sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t. itu sendiri. 

Maksudnya, kepentingan akal juga mencakupi bidang ketuhanan (ilahiyyat) terutamanya dalam bab-bab konteks sifat-sifat ketuhanan tersebut, dengan batasan-batasan yang digariskan oleh syarak.

Allah s.w.t. menjadikan beberapa contoh penggunaan akal dan hujah logik dalam Al-Qur’an dalam membuktikan kebenaran ajaran aqidah tauhid murni antaranya:- 

 Pertama:

Allah s.w.t. menceritakan tentang Nabi Ibrahim a.s. dengan kaumnya yang kufur. Allah s.w.t. menjelaskan betapa Nabi Ibrahim a.s. menggunakan suatu pendekatan logik dengan menghancurkan semua berhala kaumnya ketika ketiadaan mereka, lalu meninggalkan satu sahaja berhala yang besar yang tidak dihancurkan. Lalu, sebuah kapak digantungkan kepada berhala tersebut. Ketika kaumnya pulang ke kampung tersebut, mereka menyalahkan Nabi Ibrahim a.s. terhadap kehancuran tuhan-tuhan mereka. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. menunjukkan kepada berhala besar tersebut. Kaum baginda a.s. mengingkari Nabi Ibrahim a.s. yang menyalahkan berhala besar kerana akal mereka tahu patung berhala tidak mampu bergerak, apatah lagi untuk menghancurkan berhala-berhala lain. Lalu, dengan demikian, mereka terperangkap dengan persoalan, mengapa mereka menyembah berhala yang tidak dapat memberi manfaat dan menolak kemudaratan sama sekali? Namun, mereka tidak mahu menggunakan akal dan tidak mahu berfikir dengan cara yang logik (mengabaikan logik yang sangat mudah) sehingga mereka mengambil tindakan keras ke atas Nabi Ibrahim a.s.. [rujuk Surah Ibrahim: 59-70]

Kedua: 

Allah s.w.t mengambarkan andainya alam ini mempunyai lebih dari dua tuhan, nescaya ianya akan binasa. Ini juga suatu bentuk pendekatan logik yang digunakan oleh Allah s.w.t. dalam bidang aqidah murni Islam. [Rujuk Surah Al-Anbiya: 22 dan rujuk juga Surah Al-Mu’minun: 91]

Penggunaan akal sangat penting dalam mengkaji dan menyingkap rahsia dan kebesaran Allah s.w.t. di sebalik alam ini. Dengan berfikir, seseorang dapat melihat alam sebagai tanda-tanda bagi kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t.. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

 Sesungguhnya pada penciptaan langit-langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut dengan membawa apa yang bermanfaat buat manusia dan apa yang Allah turunkan dari langit yang berbentuk air, lalu dengan air itu, Allah menghidupkan bumi sesudah ianya mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi akan segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda (kewujudan, keesaan dan kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal (berfikir). 

[Surah Al-Baqarah: 164]

 Bahkan, dengan akal juga, manusia akan merenungi hikmah dan kebijaksaan Allah s.w.t. melalui penciptaan alam di sekeliling mereka. Ini kerana, Allah s.w.t. yang Maha Bijaksana tidak akan menjadikan sesuatu tanpa tujuan kerana setiap perbuatanNya berteraskan kebijaksanaan dan kesempurnaanNya.

 Oleh yang demikian, Allah s.w.t. menggambarkan mereka yang sering menggunakan akal secara murni dan berfikir dengan cara yang betul akan menghayati hakikat ini. Mereka adalah golongan Ulul-Albab yang menghayati keesaan Allah s.w.t. dalam perbuatan-perbuatanNya melalui penciptaanNya. \

Allah s.w.t. berfirman tentang mereka:

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih berganti malam dan siang itu, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal (Ulil Albab). (190) Iaitu, mereka yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring lalu mereka memikirkan juga tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Wahai Tuhan kami. Tiadalah Engkau jadikan (semua) ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan api neraka (191)” 

(Surah Ali Imran: 190-191)

Disebabkan penghayatan terhadap hikmah Allah s.w.t. dalam kejadian alam inilah, justeru akal mereka yang cerdik tertumpu untuk menyingkap ruang kesempurnaan Allah s.w.t. melalui penciptaanNya. Lalu, mereka mengkaji setiap pelusuk alam ini bagi menyingkap hikmah tersebut di samping mengambil manfaat daripada alam sekeliling dalam rangka untuk menyempurnakan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t..

Penggunaan akal secara murni dan cara berfikir yang benar sentiasa akan membawa kepada renungan yang bermanfaat dan menunjukkan kepada kebenaran yang utama. Oleh sebab itulah, ketika seseorang melihat hakikat alam ini adalah suatu tanda bagi kewujudan Allah s.w.t., maka semakin kuat renungannya kepada alam ini, semakin kuat rasa dalam jiwanya seolah-olah direnungi oleh Tuhan semesta alam.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Adakah mereka tidak memerhatikan kepada unta, bagaimana ia diciptakan? (17) Dan kepada langit bagaimana ia ditinggikan? (18) Dan kepada gunung, bagaimana ia ditegakkan? (19) Dan kepada bumi, bagaimana ia dihamparkan? (20) 

(Surah Al-Ghasyiah: 17-20)

 Dengan merenung alam ini justeru membawa kepada penghayatan terhadap kasih sayang dan sifat pemurah Allah s.w.t. kepada para hambaNya. 

Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud:

 “Dan Dialah Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu melihat bahtera belayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur” 

(Surah An-Nahl: 14)

 Alam ini bagaikan cermin tentang keagungan Allah s.w.t.. Bahkan, kesempurnaan alam ini menjadi cermin kepada hakikat diri sendiri dan seluruh alam ini yang berasal daripada perbuatan-perbuatanNya yang Maha Esa. Lalu, penghayatan yang lahir daripada cara berfikir yang baik adalah suatu penghayatan yang jelas terhadap kebenaran mutlak Allah s.w.t. dalam alam ini. Ia juga menggambarkan tentang perjalanan hidup seseorang yang akan kembali kepada kebenaran mutlak tersebut iaitulah “kita daripada Allah dan akan kembali kepadaNya”.

 Allah s.w.t. berfirman lagi tentang hubung kait fikiran yang baik dengan natijah pemikiran yang baik: 

 Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi serta apa yang terkandung di antara kedua-duanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang telah ditetapkan. Sesungguhnya kebanyakan manusia benar-benar tidak ingat akan pertemuan dengan Tuhan mereka” 

(Surah Ar-Rum: 8)

 Apa yang menyebabkan manusia leka daripada pertemuan dengan Tuhan mereka, melainkan kerana tidak mahu menggunakan akal mereka untuk merenungi hakikat diri mereka sendiri yang memang bukan berasal daripada diri mereka, tetapi sebaliknya berasal daripada Tuhan yang Maha Pencipta. Kalaulah mereka mahu berfikir dengan fikiran yang baik, nescaya mereka dapati hakikat diri mereka tidak pernah berasal daripada diri mereka sendiri, sehingga perlu lalai daripada hakikat bahawasanya diri sendiri berasal daripada suatu pihak yang lain, iaitulah Allah s.w.t..

 Al-Qur’an mengkritik golongan yang tidak mahu menggunakan akal atau tidak mahu berfikir dengan fikiran yang baik dan cara yang betul dengan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 Sesungguhnya makhluk (binatang) yang paling buruk di sisi Allah adalah orang-orang yang pekak (tidak mahu mendengar seruan kebenaran) dan orang-orang yang tuli lagi tidak berakal (tidak mahu berfikir dengan baik) 

(Surah Al-Anfaal: 22)

 Bahkan,orang-orang yang kufur setelah disampaikan peringatan terhadap kebenaran ajaran tauhid adalah mereka yang tidak mahu berfikir dan tidak mahu menggunakan akal sebaik-baiknya. Sudah pasti, tradisi tidak mahu menggunakan akal ini suatu tradisi yang merugikan kerana ia membawa kepada seribu satu penyelesalan yang tiada nilainya.

 Allah s.w.t. menceritakan tentang ahli neraka yang menyesali kekufuran mereka: Mereka berkata:

Jika kami mendengar (ajaran rasul) dan berfikir, nescaya kami tidak akan tergolong bersama ahli neraka

 (Surah Al-Mulk: 10)

 Imam Al-Qurtubi meriwayatkan tafsiran Saidina Ibn Abbas r.a. tentang pernyataan orang-orang kafir yang tidak berfikir tersebut dengan berkata: “tidak menggunakan akal untuk membuat penilaian yang mendalam (nazhor)” [Tafsir Al-Qurtubi]

Sumber : http://rajamukhlis.blogspot.com/2012/02/kepentingan-penggunaan-akal-dan-tradisi.html

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Jom Menuntut Ilmu !

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan