CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Khamis, 27 Januari 2011

Riwayat Israiliyyat Menurut Perspektif Islam



Muqaddimah

Kita sering mendengar berleluasanya kisah-kisah Israiliyat di ceramah-ceramah atau pengajian yang dihadiri. Ada kalanya perkara tersebut di luar pengetahuan kita, malah ketika mendengar buat pertama kalinya terus berasa seronok dan terpegun dengan kisah yang diceritakan. Namun, bagaimanakah pandangan agama Islam terhadap kisah-kisah ini? Adakah para ulama' terdahulu menolak daripada menerima cerita Israiliyat?

Asal Kalimah

1. إسرائيليات – kata jama' kepada kalimah إسرائيليةyang dinisbahkan kepada Bani Israel. Manakala yang dimaksudkan dengan Israel ialah Nabi Ya'kub a.s., dan Bani Israel ialah anak-anak serta keturunan baginda walaupun sehingga zaman Nabi Muhammad S.A.W. Firman Allah S.W.T. dalam surah Maryam ayat 58 :
58. mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

Sejak dahulu, mereka dikenali dengan nama Yahudi di samping golongan Nasrani yang beriman dengan Nabi Isa a.s. Allah S.W.T. menyebutkan pada beberapa tempat berkenaan dengan Bani Israel sebagai tanda sifat kebaikan yang ada pada Nabi Ya'kub sehingga keturunannya akan mengikuti jejak langkah yang telah ditinggalkan serta meninggalkan perbuatan yang keji dan tercela.

2. Ada sesetengah pendapat menyatakan bahawa Israiliyyat membawa beberapa maksud :
• Cerita-cerita terdahulu dan riwayat yang banyak bersumberkan daripada golongan Yahudi berbanding Nasrani.
• Riwayat yang disampaikan oleh perempuan Yahudi atau Nasrani.
• Perkara yang masuk ke dalam kitab karangan ulama' silam terutamanya dalam bidang tafsir yang mempunyai susur galur riwayat samada daripada Yahudi atau Nasrani. Adapun riwayat yang tiada asal dan tergantung maka ia dikira sebagai khurafat, atau kisah-kisah palsu.

Namun, berdasarkan pengertian ini kita melihat riwayat Israiliyyat banyak mengambil sumber daripada Yahudi disebabkan ramainya bilangan mereka di Tanah Arab berbanding masyarakat Nasrani. Kemudian setelah beberapa orang dari kalangan mereka memeluk agama Islam, dan meriwayatkan kisah-kisah yang terdapat dalam agama lama mereka kepada kaum muslimin.

Sejarah Ringkas Kemunculan Israiliyyat

Pada tahun 70M, masyarakat Yahudi datang ke Tanah Arab melarikan diri dari Syam setelah musnahnya Haikal dan menetap di kawasan Yathrib, Taima’, Himyar, dan Wadi Al-Qura’. Tetapi orang Arab hanya mengetahui tentang agama Yahudi ini selepas suatu ketika apabila masyarakat Yaman memeluk agama ini hasil dakwah Tubba’ (lelaki yang ingin menyerang Madinah sebelum Islam tetapi telah dihalau) yang membawa bersamanya dua orang pendeta yang menyebarkan ajarannya di sana.

Berbeza dengan keadaan orang Nasrani yang sering ditindas oleh pelbagai golongan seperti penyembah berhala, kaum Yahudidan kerajaan Byzantine. Kesannya, mereka lari ke Tanah Arab kerana ingin menjauhkan diri daripada penindasan yang disebabkan perbezaan agama ini. Dakwah Nasrani di tempat baru mereka telah membuahkan hasil apabila beberapa orang telah memeluk ajarannya seperti Warqah bin Naufal, Imruul Qais, kabilah Ghassan, dan sebagainya.

Kewujudan dua puak ini (Yahudi dan Nasrani) memberikan impak yang besar kepada kehidupan masyarakat Arab. Selain itu, aktiviti perniagaan juga sedikit sebanyak membuka peluang kepada masyarakat dalam mengenali dua agama ini. Setelah kedatangan Islam, berlakunya dialog dan perbahasan antara kaum Muslimin dan Ahli Kitab seperti yang banyak disebutkan di dalam Al-Quran. Akibatnya, ramai di kalangan mereka yang memeluk agama Islam setelah jelas dan nyata di hadapan mereka bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. ialah agama yang benar. Namun, ada yang baik Islamnya sedangkan sebahagian yang lain menjadi munafiq, sebagai dalang kepada kaum Yahudi dan musyrikin dalam menghancurkan Islam dari dalam.

Perselisihan antara dua kelompok ini (Muslimin dan Ahli Kitab) tidak terhenti setakat ini sahaja. Pernah terjadi dialog antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar bersama dengan pendeta, kisah seorang muslim memukul seorang Yahudi setelah Yahudi tersebut mengatakan : Tidak, sebenarnya Nabi Musa ialah pilihan sekalian alam, dan pelbagai lagi yang menunjukkan perselisihan pendapat di kalangan mereka. Tetapi, Nabi S.A.W. pada waktu itu berperanan sebagai orang tengah yang memperjelaskan keadaan sebenar kepada salah faham yang berlaku antara dua golongan ini. Perkara ini berterusan pada zaman para sahabat apabila mereka bertindak sebagai pihak rujukan masyarakat pada ketika itu setelah wafatnya baginda S.A.W.

Pada zaman tabiin pula, pendustaan dan pemalsuan banyak berlaku kerana menurut hawa nafsu sehingga menyebabkan manusia tidak dapat membezakan antara suatu yang baik dan buruk. Ada di kalangan para tabiin (asal Yahudi atau Nasrani yang memeluk agama Islam) mengambil sikap bermudah-mudah dalam meriwayatkan sesuatu, sehinggakan bukan kisah Israiliiyat sahaja yang diriwayatkan bahkan khurafat dan dongeng yang tidak mempunyai sandaran. Faktor lain yang membantu penyebaran ini ialah dakwaan mereka yang mengatakan para sahabat dan tabiin berkeinginan untuk mengetahui semua perkara daripada kisah umat dan para nabi terdahulu yang tidak disebutkan dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W.

Ibnu Khaldun menyebutkan dalam kitabnya, “Muqaddimah Ibnu Khaldun” bahawa penyebaran Israiliyyat ini adalah disebabkan dua perkara :

1. Keadaan masyarakat Arab pada waktu itu yang buta huruf.
2. Sifat manusia yang ingin mengetahui semua perkara.

Di samping itu, kisah-kisah ini tidak ada kaitannya dengan hukum-hakam yang seterusnya menyebabkan ia terus ditulis dan diceritakan kepada orang ramai.

Pembahagian Israiliyyat

Para ulama’ telah membahagikan Israiliyyat kepada tiga iaitu :

1. Bahagian yang selari dengan syariat dan Al-Quran ; seperti kisah Al-Jassasah yang diceritakan oleh Tamim Ad-Dariy dan diperakui oleh Nabi S.A.W. (hadith dalam Sahih Muslim, kitab Fitnah, bab Kisah Al-Jassasah). Antara lain ialah kisah Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir, kisah Juraij seorang ‘abid dan sebagainya yang turut diceritakan di dalam Al-Quran dan hadith Nabi S.A.W. Maka kisah-kisah sebegini berfungsi sebagai sokongan kepada apa yang telah disebutkan oleh keduanya.

2. Bahagian yang bertentangan dengan syariat dan Al-Quran : seperti mencemar maruah kenabian dalam kisah Nabi Yusuf a.s. apabila menyebutkan bahawa baginda yang berkeinginan kepada isteri pembesar Al-Aziz, kisah nabi Daud dan sebagainya yang mengaitkan para nabi dengan dosa syirik, zina dan sebagainya. Dalam hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan :

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ أَخْبَرَنَا ابْنُ شِهَابٍ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَيْفَ تَسْأَلُونَ أَهْلَ الْكِتَابِ عَنْ شَيْءٍ وَكِتَابُكُمْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْدَثُ تَقْرَءُونَهُ مَحْضًا لَمْ يُشَبْ وَقَدْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ بَدَّلُوا كِتَابَ اللَّهِ وَغَيَّرُوهُ وَكَتَبُوا بِأَيْدِيهِمْ الْكِتَابَ وَقَالُوا هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أَلَا يَنْهَاكُمْ مَا جَاءَكُمْ مِنْ الْعِلْمِ عَنْ مَسْأَلَتِهِمْ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَيْنَا مِنْهُمْ رَجُلًا يَسْأَلُكُمْ عَنْ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Musa bin Ismail telah menceritakan kepada kami Ibrahim telah mengabarkan kepada kami Ibn Syihab dari 'Ubaidullah bin Abdullah bahwa Ibn Abbas radliyallahu'anhuma berkata, "Bagaimana kalian bertanya ahli kitab padahal kitab kalian yang diturunkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih baru kemurniannya dan belum terkotori? Sedang ahlu kitab menceritakan kepada kalian dengan mengubah-ubah kitabullah dan menggantinya, dan mereka tulis alkitab dengan tangannya dan mereka katakan, 'Ini dari sisi Allah' untuk mereka tukar dengan harga yang sedikit, tidak sebaiknyakah ilmu yang yang kalian miliki mencegah kalian dari bertanya kepada mereka? Tidak, demi Allah, takkan kulihat lagi seseorang diantara mereka bertanya kalian tentang yang diturunkan kepada kalian.' (Hadith ke-6815 riwayat Imam Bukhari)

Abdullah bin Mas’ud pernah menyatakan : (Janganlah kamu bertanyakan Ahli Kitab kerana mereka tidak memberi petunjuk kebenaran bahkan menyesatkan kamu. Maka, kamu akan mendustakan yang benar dan membenarkan yang bathil).

3. Bahagian yang tidak terdapat dalam syariat dan Al-Quran samada selari atau bertentangan : bahagian ini paling banyak kedapatan pada zaman sekarang namun tiada larangan padanya dan tidak juga mendustakannya. Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan :

حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ عُمَرَ أَخْبَرَنَا عَلِيُّ بْنُ الْمُبَارَكِ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ عَنْ أَبِي سَلَمَةَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ كَانَ أَهْلُ الْكِتَابِ يَقْرَءُونَ التَّوْرَاةَ بِالْعِبْرَانِيَّةِ وَيُفَسِّرُونَهَا بِالْعَرَبِيَّةِ لِأَهْلِ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ الْآيَةَ

Maksudnya : Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Basyar telah menceritakan kepada kami Usman bin Umar telah mengabarkan kepada kami Ali bin Al Mubarak dari Yahya bin Abu Katsir dari Abu Salamah dari Abu Hurairah berkata, 'Ahli kitab membaca Taurat dengan bahasa ibrani dan menafsirkannya dengan bahasa arab untuk pemeluk Islam! Spontan Rasulullah Shallallahu'alaihiwasallam bersabda: "Jangan kalian benarkan ahli kitab, dan jangan pula kalian mendustakannya, dan katakan saja '(Kami beriman kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu) '." (Hadith ke-6814 riwayat Imam Bukhari).

Contoh kisah pada bahagian ini termasuklah nama Ashabul Kahfi dan bilangan mereka, kisah burung dan Nabi Ibrahim a.s., pokok yang dimakan oleh Nabi Adam a.s. dan sebagainya. Para ulama’ mengatakan kebanyakan kisah bahagian ini adalah khurafat dan dongeng dengan dosa menyebarkannya lebih besar daripada manfaat yang ada padanya. Hal ini kerana, suatu kitab tafsir contohnya akan bertukar kepada kitab lain yang penuh dengan cerita yang tidak boleh diterima akal dan syara’ kerana ia merupakan khayalan dan rekaan pendeta terdahulu yang disebarkan kerana ingin menjauhkan masyarakat Yahudi daripada kitab Taurat yang asli. Bukan itu sahaja, perbuatan ini juga kadang-kadang bertujuan memberikan khidmat kepada raja dan pembesar pada waktu itu.

Pendirian Ulama’ Tentang Israiliyyat

Sejak dahulu lagi pelbagai usaha telah dilakukan oleh para ulama’ dalam membersihkan kisah Israiliyyat yang terdapat dalam kitab-kitab terdahulu. Namun, usaha ini amat susah dan memerlukan kepada kesungguhan dan dilakukan dalam tempoh yang berpanjangan. Tanpa disedari, kisah-kisah ini mudah disebarkan kepada masyarakat awam tanpa kawalan yang menyebabkan ia terus diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain. Hadith Nabi S.A.W. ada menyebutkan :

حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ الضَّحَّاكُ بْنُ مَخْلَدٍ أَخْبَرَنَا الْأَوْزَاعِيُّ حَدَّثَنَا حَسَّانُ بْنُ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي كَبْشَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Maksudnya : Telah bercerita kepada kami Abu 'Ashim adl-Dlahhak bin Makhlad telah mengabarkan kepada kami Al Awza'iy telah bercerita kepada kami Hassan bin 'Athiyyah dari Abi Kabsyah dari 'Abdullah bin 'Amru bahwa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sampaikan dariku sekalipun satu ayat dan ceritakanlah (apa yang kalian dengar) dari Bani Isra'il dan itu tidak apa (dosa). Dan siapa yang berdusta atasku dengan sengaja maka bersiap-siaplah menempati tempat duduknya di neraka".Imam Malik menyebutkan : (Maksud hadith ialah dibenarkan meriwayatkan daripada mereka selagi mana ia adalah perkara kebaikan. Adapun pada perkara yang diketahui bahawa ia adalah dusta maka ia dilarang). (Hadith ke-3202 riwayat Imam Bukhari)

• Imam As-Syafie : (Sedia maklum bahawa baginda S.A.W. melarang berbicara dusta, jadi maksud hadith ialah - ceritakanlah daripada Bani Israel pada perkara yang kamu tidak ketahui bahawa ia adalah dusta. Adapun perkara yang dibenarkan maka tidak menjadi suatu dosa kepada kamu untuk meriwayatkannya. Inilah petanda kepada hadith baginda :

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ ثَابِتٍ الْمَرْوَزِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ أَخْبَرَنِي ابْنُ أَبِي نَمْلَةَ الْأَنْصَارِيُّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ رَجُلٌ مِنْ الْيَهُودِ مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَقَالَ يَا مُحَمَّدُ هَلْ تَتَكَلَّمُ هَذِهِ الْجَنَازَةُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُ أَعْلَمُ فَقَالَ الْيَهُودِيُّ إِنَّهَا تَتَكَلَّمُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا حَدَّثَكُمْ أَهْلُ الْكِتَابِ فَلَا تُصَدِّقُوهُمْ وَلَا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ فَإِنْ كَانَ بَاطِلًا لَمْ تُصَدِّقُوهُ وَإِنْ كَانَ حَقًّا لَمْ تُكَذِّبُوهُ

Maksudnya : Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Muhammad bin Tsabit Al Marwazi telah menceritakan kepada kami Abdurrazzaq telah mengabarkan kepada kami Ma'mar dari Az Zuhri telah mengabarkan kepadaku Ibnu Abu Namlah Al Anshari dari Ayahnya bahwa ketika ia sedang duduk di sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang saat itu di sisi beliau ada seorang Yahudi, lewatnya jenazah di hadapan beliau. Lalu orang Yahudi itu berkata, "Wahai Muhammad, apakah jenazah ini berbicara?" Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kemudian menjawab: "Allah lebih mengetahui." Orang Yahudi itu pun berkata, "Sesungguhnya jenazah tersebut berbicara." Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apa yang diceritakan oleh orang-orang ahli kitab kepada kalian maka janganlah kalian percayai atau kalian dustakan. Tetapi katakanlah, 'aku beriman kepada Allah dan para Rasul-Nya'. Jika mereka dusta maka kalian tidak mempercayainya dan jika benar maka kalian tidak mendustakannya." (Hadith ke-3159 riwayat Imam Abu Daud)

; yang tidak menyebutkan keizinan dan larangan ketika meriwayatkan pada perkara yang dipastikan kebenarannya.

• Imam Ibnu Hajar : (ولا حرج iaitu janganlah menyempitkan dada kamu dengan apa yang kamu dengar daripada perkara yang mengagumkan dan itu yang banyak berlaku kepada mereka. Apa yang dimaksudkan dengan jangan bersusah-payah ialah pada pihak yang menceritakan kisah Israiliyyat disebabkan di dalamnya terdapat perkataan yang tidak baik seperti dalam surah Al-Maidah ayat 24 :


24. mereka (Menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, Sesungguhnya Kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya Kami di sinilah duduk menunggu".
; dan surah Al-A’raf ayat 138 :


138. dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum Yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan Yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum Yang jahil.

Pendapat Ibnu Hajar ini merupakan pemahaman yang baik dalam memahami maksud hadith kerana ada beberapa perkataan dan ungkapan dalam kisah Israiliyyat yang boleh membawa kepada kekufuran. Tetapi, ia hanya diceritakan sebagai suatu peringatan dan manfaat bersama.

Adapun hadith ke-3159 riwayat Imam Abu Daud di atas, ia ditujukan kepada mereka bukannya kita kerana Nabi tidak menyuruh di dalamnya supaya meriwayatkan sesuatu daripada Ahli Kitab bahkan seolah-olah ia mengajar kepada umat Islam supaya beradab ketika berbicara dengan mereka selari dengan firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-'Ankabut ayat 46 :


46. dan janganlah kamu berbahas Dengan ahli Kitab melainkan Dengan cara Yang lebih baik, kecuali orang-orang Yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri."
• Imam Ibnu Taimiyah menyebutkan dalam kitab “Ma’arij Al-Usul” : (Al-Quran adalah sendiri pada zatnya, dan orang yang membaca Al-Quran tidak berhajat kepada kitab-kitab terdahulu yang menjelaskannya. Berbeza dengan orang Nasrani contohnya, mereka memerlukan kepada kitab Taurat untuk memahami hukum-hakam dalam agama mereka).

; kemudian beliau berkata lagi : (tetapi hadith-hadith yang menceritakan tentang Israiliyyat ini disebutkan untuk sokongan bukannya sebagai suatu pegangan).

Kesimpulan :

Berdasarkan kepada pendapat para Imam yang disebutkan, kita membuat ulasan seperti berikut :

1. Boleh meriwayatkan kisah Israiliyyat yang selari dengan syariat hanya sebagai sampingan bukan pegangan.
2. Boleh meriwayatkan kisah pada bahagian ketiga – yang tidak disebutkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah – hanya sebagai i’tibar seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah.
3. Tidak boleh meriwayatkannya pada perkara yang bertentangan dengan ajaran agama – bahagian yang kedua – melainkan perlu ingkar dan menjelaskan kesalahannya.


Rujukan :

1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Al-Israiliyyat Wal Maudhu’at Fi Kutub At-Tafsir, karangan Dr. Muhammad bin Abu Syahbah.
5. Al-Israiliyyat Wal Maudhu’at Wa Bida’ At-Tafasir Qadiman Wa Hadithan, karangan Hamid Ahmad At-Tahir Al-Basyuni.

Hukum Solat Sunat Hajat

Hajat ertinya: Kehendak atau keperluan

Solat Sunat Hajat : Solat sunat yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk menyatakan kehendak, keinginan atau keperluannya kepada Allah subahanahu wa ta'ala. Para ulama mentakrifkan bahawa yang dikatakan Solat Sunat Hajat ialah solat sunat yang dikerjakan sebanyak 2 rakaat kerana sesuatu hajat kepada Allah Ta'ala baik urusan dunia mahupun akhirat.

Hukum : Sunat

Dalil : Sabda Rasulullah yang bererti :
Barangsiapa yang ada baginya hajat kepada Allah ta'ala atau kepada anak Adam, hendaklah dia berwudhuk dengan baik, kemudian solat 2 rakaat, kemudian memuji Allah dan berselawat kepada rasulNya, selanjutnya hendaklah dia membaca doa :

لا إله إلا الله الحكيم الكريم, سبحن الله رب العرش العظيم, الحمدلله رب العلمينو أسألك موجبات رحمتك وعزائم مغفرتك والغنيمة من كل بر والسلامة من كل إثم لا تدع لي ذنبا إلا غفرته ولا هما إلا فرجته ولا حاجة هي لك رضا إلا قضيتها يا أرحم الرحمين

ertinya : Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Maha Lemah Lembut dan maha Mulia. Maha Suci Allah Penguasa Arasy Yang Maha Agung. Segala puji Allah, Tuhan seru sekalian alam. Ya Allah! Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu untuk memperolehi rahmatMu, mengharapkan keampunanMu, memperolehi keuntungan dari segala kebajikan dan kesejahteraan dari segala dosa. Janganlah engkau tinggalkan bagiku suatu dosapun kecuali Engkau ampuni, dan tidak pula suatu kesempitan kecuali Engkau lapangkan, dan tidak pula suatu hajat yang Engkau redhai kecuali Engkau tunaikan. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih daripada segala yang pengasih. Selanjutnya mintalah atau kemukakanlah hajat yang engkau ingini, baik urusan dunia mahupun akhirat.

(Diriwayatkan oleh al Turmudzi dan Ibnu majah dari Abdullah bin Aufa radiyaLlahu 'anhu. Menurut al Turmudzi isnad dan perawi hadith ini menjadi perbincangan di kalangan ahli hadith)

Imam al Ghazali mengatakan bahawa solat Hajat adalah termasuk ke dalam golongan Solat Nafilah. Barangsiapa yang merasa terdesak dalam sesuatu urusan ataupun merasa perlu dalam urusan dunia atau agamanya, atau agar dia dilepaskan daripada kesempitan, hendaklah dia mengerjakan Solat Sunat Hajat ini.

Sehubungan dengan solat sunat Hajat ini, Imam al Syaukani mengatakan bahawa dalam sanadnya terdapat seorang rawi yang bernama Faid bin Abd al Rahman bin Waraqa', orang ini lemah riwayatnya. Manakala Imam al Turmudzi mengatakan, bahawa hadith mengenai solat sunat hajat ini adalah hadith Gharib dan Faid adalah orang yang lemah dalam bidang hadith. Sedangkan Imam Ahmad pula mengatakan bahawa Faid adalah seorang rawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). Ibnu Arabi pula mengatakan bahawa hadith mengenai Solat Sunat Hajat ini adalah lemah.

BAGAIMANAPUN, dalam amalan-amalan sunat kita dibenarkan mengamalkan hadith lemah, tambahan lagi kalau hadith itu disokong oleh hadith lain, sebagaimana hadith mengenai solat sunat Hajat ini disokong oleh sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al Turmudzi dari Uthman bin Hunaif dan beliau mengatakan bahawa darjat dari Uthman ini ialah Hasan Sahih. Selain itu terdapat pula sebuah sabda Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam yang bererti :

Barangsiapa yang berwudhuk dan menyempurnakan wudhuknya, kemudian melakukan solat dua rakaat dengan sempurna. Maka akan diberi oleh Allah apa-apa yang dimintanya baik segera atau lambat
(Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad sahih dari Abu al Darda' radiyaLlahu 'anhu)

Sumber : Ibnu Muhammad el Fandhani, Panduan Solat-solat Sunat Berdasarkan Sunnah RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam, Cet 2009, Crescent News KL, Selangor


Ini pula pendapat Muhaddits Nusantara Syaikh Mahfuz Termas RH (via Ustaz Ayman Al Akiti) :



WaLlahua'lam

Siapakah Ulamak ?





















Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Kebelakangan ini, ramai sungguh yang bertanya saya persoalan sebegini:

“Ustaz, siapa yang dikatakan ulamak itu?”

“Berapa lama tempohnya nak jadi ulamak ya?”

“Selepas berapa lama jadi pendakwah baru orang tu boleh diiktiraf menjadi ulamak ya?”


Kalau nak jawab cara ilmiah universiti panjang berjela. Sebenarnya sudah banyak pun yang ditulis. Tapi ramai yang tidak membacanya, mungkin kerana jemu, malas atau tak ada masa. Jadi, saya jawab secara ringkas berdasarkan beberapa nas Al-Quran dan Hadis dan bukan penerangan cara universiti ya.

Mudahnya ulamak adalah jama’ (plural) kepada perkataan ‘alim. ‘Alim pula yang berilmu. Bila disebutkan ‘alim dalam kefahaman kita adalah yang berilmu agama. Kriteria nak jadi ulamak yang hakiki banyak sangat. Antaranya:

1) Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
“Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah Ulamak“


Sayyidina Anas berkata:
Sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah orang alim.


Jadi, kriteria utamanya mestilah takutkan Allah. Kalau berani lawan Allah, sertai golongan sekular yang menentang hukum Allah, walau ada PhD bertimbun pun tak dikira ulamak. Inilah yang menyebabkan istilah “Ulamak UMNO” sebenarnya tidak sah dan tidak boleh wujud.

Begitu juga yang tidak beradab dengan para ulamak agung yang lain, maka bukanlah dia seorang yang alim. Salah satu tanda seseorang itu takut pada Allah adalah dia mencintai para kekasih Allah dan tentu sekali menjaga lidahnya dari berkata buruk kepada mereka.

Bekas mufti sekalipun, kalau lidah biasa berkata nista pada Imam Al-Ghazali, Imam Annawawi dan lain-lain, maka bukanlah seorang alim dalam erti kata sebenarnya. Begitu juga yang berkata “Dr Haron Din ulamak kepala lutut,” walau rajin menulis blog dengan tulisan yang dipenuhi Al-Quran, Hadis dan petikan kitab, maka bukanlah dia seorang yang wajar dijadikan rujukan mahupun digelar seorang alim.

2) Dalam sebuah hadis yang sahih:

وإنما العلم بالتعلم
Dan ilmu itu (didapati) dengan ta’allum (dipelajari dari guru).


Hadis ini sebenarnya sambungan kepada hadis yang popular berkenaan sesiapa yang Allah hendakkan baginya kebaikan, Allah akan memahamkannya dalam agama.

Jadi syarat nak jadi ‘alim mesti belajar. Tempohnya? Tentu sekali panjang dengan ilmu yang begitu banyak hendak dipelajari. Bukan hanya membaca buku sendiri. Bukan juga dengan melihat di laman-laman web sahaja. Bukan juga dengan pandai berkata-kata atau menulis. Tetapi mestilah dengan dipelajari secara tersusun dengan tertib dan adabnya, dari guru yang belajar pula dengan gurunya hinggalah kepada Penghulu semua guru-guru, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Hari ini ramai yang hendak boleh bercakap dan menulis ilmu agama. Malah dikatakan “ada 10 juta mufti di Malaysia”. Masing-masing hendak mengeluarkan fatwa. Malangnya, tidak pernah pula belajar. Malah tidak menghormati pula golongan ulamak yang sebenar. Merasakan diri sudah alim hanya semata-mata dengan pembacaan di sana sini.

3) Hadis sahih yang lain pula:

إن العلماء ورثة الأنبياء
Sesungguhnya ‘ulamak adalah waris para nabi


Apa yang mereka warisi? Tentu sekali ilmu. Apa yang patut ada pada mereka? Menyambung perjuangan, dakwah dan kepimpinan para Nabi. Mereka yang berpeluk tubuh sahaja bukanlah para ulamak. Waris Nabi yang sebenar tentulah menyedari tanggungjawab ilmu yang mereka warisi dari para Nabi. Tanggungjawab yang tersangat berat.

Malah inilah yang disebutkan dalam hadis yang lain bahawa apabila ilmu itu diangkat oleh Allah dengan mematikan para ‘ulamak, maka manusia akan mengangkat orang yang jahil sebagai pemimpin, sesat lagi menyesatkan. Bermakna selagi ‘ulamak hidup, mereka perlu memimpin masyarakat, menyelamatkan masyarakat dari kesesatan, selayaknya tugas sebagai waris para nabi.

Hari ini ada yang mengatakan ulamak sepatutnya jauh dari politik dan permasalahan negara. Ulamak perlu berceramah dari masjid ke masjid sahaja. Ulamak tulislah kitab (dan blog?). Ulamak duduklah di atas sajadah mendoakan kebahagian ummah. Urusan kepimpinan serahkan sahaja kepada yang lain. Jangan diganggu. Sangat berbahaya pemikiran begini.

Nantikanlah kiamat bila semua manusia berfikiran begini, kerana “matilah” ulamak yang sebenar.

Hari ini juga di kalangan mereka yang duduk dalam perjuangan Islam pun hendak mengubah dari “kepimpinan ulamak” kepada “kepimpinan berkebajikan”, ”kepimpinan bertaqwa” dan sebagainya. Inilah masalahnya apabila tidak menilai dengan neraca Syariat bersumberkan Al-Quran dan Hadis.

Lupakah kita, ulamak rabbani, mereka dipimpin oleh Allah. Bagai hadis qudsi yang menyebutkan perihal kekasih Allah. Penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua dipandu oleh Allah, berkat amalan mereka yang tentu jauh lebih banyak dari kita. Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau yang dipandu oleh otak yang genius dan pemikiran politikus hebat?

Catatan hujung:

1) Banyak lagi ciri yang lain yang mungkin boleh disebutkan dari masa ke masa nanti insyaAllah

2) Pendakwah tak semestinya ‘alim. Ibarat penjual sesuatu produk tidak semestinya arif segala perkara yang dijualnya. Pendakwah ibarat yang mempromosikan produk Islam. Tetapi yang mengerti produk itu sendiri adalah seorang ‘alim. Ada juga yang mengerti produk tapi tak reti nak promosikannya. Maka ‘ulamak yang hebat biasanya ada kedua-duanya.

3) Gulungan ijazah bukan nilai seorang itu alim atau tidak. Tapi syarat nak jadi alim mesti belajar. Zaman kita biasanya bila belajar dapatlah gulungan ijazah. Tapi tak semua yang dapat gulungan ijazah itu benar-benar belajar. Fahamilah.

4) Ulamak ada pelbagai peringkat. Dari sehebat seorang Mujtahid Mutlaq, hinggalah seorang mufti, sampai seorang ‘alim biasa.

5) Hadis – Seluruh yang berada di langit dan bumi memohon keampunan bagi seorang alim. Untung kan? Siapalah kita berbanding mereka.

Doakan kita semua boleh menjadi seperti mereka, waris sebenar para Nabi, atau sekurang-kurangnya termasuk dalam golongan yang mencintai mereka. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita dibangkitkan bersama mereka. Seronoknya kalau bangun dari kubur nanti, tengok kanan ada Imam Al-Ghazali, tengok kiri ada Imam An-Nawawi, tengok depan ada Imam Assyafie…

Sumber : http://aljoofre.iluvislam.com/?p=191

Biodata Penulis :

Pengkhususan : Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan seterusnya meyambung Sarjana Syariah juga di Mesir (Feqh Perbandingan Mazhab) (kajian bertajuk: Hukum hakam Masjid : Kajian Perbandingan Mazhab dan Permasalahan Kontemporari). Bekas Ketua Moderator Panel Agama Iluvislam.Com. Kini merupakan Ahli Lembaga Pengurusan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA)

Rabu, 26 Januari 2011

Bagaimana Bersuci Bagi Pesakit Yang Berbalut Anggotanya?


Oleh : Ustaz Nazrul Nasir

























Seorang isteri yang solehah telah menelefon suaminya bagi menyelesaikan satu permasalahan hukum Fikah berkaitan dengan wudhuk dan mandi bagi seseorang yang berbalut anggota badannya. Ikuti perbincangan mereka berdua :

Ummu Muhammad : Assalamualaikum abang.

Abu Muhammad : Waalaikumussalam sayangku ( sambil tertawa kecil ).

Ummu Muhammad : Abang, saya ingin menyampaikan hajat seorang sahabat yang ingin mendapat penjelasan hukum daripada abang berkenaan dengan hukum berwudhuk dan mandi wajib bagi seseorang yang berbalut anggota badannya.

Abu Muhammad : Oh begitu. Sebelum itu sebaiknya sayang bertanya dulu kepada sahabat tersebut adakah bermasalah jika dia membuka balutan tersebut atau tidak? Jika bermasalah dan akan menimbulkan mudharat maka tidak perlu bagi dia membuka balutan tersebut. Namun jika tidak bermasalah, maka wajib baginya untuk membuka balutan tersebut.

Ummu Muhammad : Nanti saya akan tanyakan ye abang. Cuma kalau dia tidak dapat membuka balutan tersebut bagaimanakah caranya untuk dia berwudhuk dan mandi?

Abu Muhammad : Baik, abang akan terangkan dulu cara bagaimana untuk sahabat sayang berwudhuk. Caranya mudah sahaja. Sebelum itu abang ingin bertanya, bahagian anggota badan yang mana yang berbalut itu?

Ummu Muhammad : Bahagian kaki kanan.

Abu Muhammad : Semoga Allah taala akan menyembuhkan dengan segera kaki tersebut. Cara berwudhuk bagi sahabat tersebut adalah seperti biasa iaitu dengan memulakan niat berwudhuk kemudian membasuh muka, membasuh kedua tangan dan membasuh kepala. Bilamana sampai di kaki kanannya maka dia perlu bertayammum bagi menggantikan anggota yang berbalut tersebut. Cara bertayammum adalah seperti biasa iaitu dengan menyapu muka dan tangan sehingga ke siku dengan tanah yang suci. Setelah selesai bertayammum maka dia perlu membasuh anggota kaki yang tidak berbalut dan jangan lupa untuk menyapu air di atas tempat yang berbalut tersebut. Selesai perkara tersebut barulah dia dibenarkan untuk membasuh kaki kirinya bagi menyelesaikan wudhuk.

Ummu Muhammad : Oh begitu ya. Cuma tadi abang ada katakan bahawa setelah bertayammum maka pesakit tersebut perlu membasuh anggota yang tidak berbalut dan menyapu di atas bahagian yang berbalut tersebut. Bagaimana gambarannya ya?

Abu Muhammad : Begini contohnya jika yang patah itu adalah bahagian tumitnya. Maka jika bahagian yang berbalut itu adalah bahagian tumit sahaja , wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut seperti jari kaki dan tapak kakinya yang tidak berbalut dan kemudian menyapu air di atas balutan tumit tersebut.

Ummu Muhammad : Tetapi abang, kebanyakkan hospital pada zaman sekarang akan membalut lebih daripada bahagian yang patah. Kalau bahagian yang patah tersebut adalah tumit, yang dibalutnya adalah seluruh kaki tersebut.

Abu Muhammad : Iya tak ya juga .. hehe.. Maka jika keadaan sebegini , apa yang perlu bagi si pesakit tersebut adalah dengan bertayammum seperti yang diterangkan sebelum ini dan kemudian menyapu di atas kaki yang berbalut tersebut dengan air.

Ummu Muhammad : Oh begitu. Kemudian abang, bagaimana pula caranya untuk mandi wajib?

Abu Muhammad : Caranya juga mudah. Ambil air dan tuangkan di atas kepala . hehe.. Bergurau sahaja. Pesakit tersebut boleh memilih sama ada ingin mendahulukan mandi atau bertayammum. Afdhalnya( yang terbaik ) seperti yang diterangkan oleh para ulama ialah dengan mendahulukan tayammum bagi menggantikan tempat yang berbalut tadi. Kemudian mandi seperti biasa. Jika bahagian yang berbalut tersebut .

Ummu Muhammad : Boleh abang terangkan , adakah perlu bagi pesakit tersebut untuk mengulangi semula berwudhuk jika dia ingin menunaikan solat fardhu yang lain selepas itu?

Abu Muhammad : Bagus soalan ini. Jika si pesakit telah berwudhuk untuk menunaikan solat pada waktu zohor. Bilamana masuk waktu asar wudhuknya masih lagi kekal dan tidak batal. Maka apa yang perlu baginya ialah hanya bertayammum. Ini adalah pendapat yang muktamad di sisi al-Imam al-Nawawi rahimahullah. Ini bermaksud selagi mana dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wudhuk maka setiap kali masuk waktu solat yang baru samada asar, maghrib atau isya’ , apa yang perlu dilakukan olehnya hanyalah bertayammum sahaja dan tidak perlu mengulangi wudhuknya. Tetapi jika wudhuknya telah batal, maka wajib baginya mengulangi sepertimana yang diterangkan sebelum ini.

Ummu Muhammad : Begitu caranya ye. Bagaimana pula dengan permasalahan qada’ bagi solat pesakit tersebut setelah dia sihat kelak? Adakah perlu baginya untuk menggantikan semula solatnya setelah dia sihat?

Abu Muhammad : Permasalahan ini agak terperinci. Perlu bagi sayang untuk memahaminya dengan baik.

Pertama : Perlu dilihat sama ada pembalut tersebut dibalut pada anggota tayammum atau tidak. Anggota tayammum adalah muka dan kedua tangan sampai ke siku. Jika bahagian balutan tersebut adalah pada anggota tayammum, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah sihat kelak.

Kedua: Jika pembalut tersebut bukan pada anggota tayammum iaitu selain daripada muka dan tapak tangan maka perlu diperhatikan sama ada yang berbalut tersebut adakah sekadar kawasan luka atau melebihi kawasan luka.

Jika kawasan yang berbalut tersebut hanya sekadar kawasan yang luka atau patah, maka wajib bagi pesakit tersebut untuk membasuh bahagian yang tidak berbalut dan bertayammum bagi menggantikan kawasan yang luka dan disunatkan bagi pesakit untuk menyapu di atas kawasan berbalut tersebut dengan tanah. Jika begini keadaannya , maka pesakit tersebut tidak perlu menggantikan atau mengulang semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Manakala jika kawasan yang berbalut tersebut adalah melebihi kawasan yang luka atau patah, seperti keadaan yang berlaku kepada sahabat yang sayang ceritakan kepada abang, maka ada dua gambaran yang boleh kita berikan :

Pertama: Jika kawasan yang melebihi tersebut adalah sekadar untuk menguatkan pegangan balutan tersebut , dan sebelum diletakkan balutan tadi pesakit telah bersuci iaitu dengan berwudhuk, maka di dalam keadaan ini pesakit tersebut tidak perlu untuk mengulang atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak. Tetapi jika diletakkan balutan tersebut dalam keadaan pesakit tadi tidak berwudhuk terlebih dahulu maka wajib baginya untuk mengulangi atau menggantikan semula solatnya setelah dia sihat kelak.

Kedua : Jika kawasan balutan itu melebihi kadarnya , contohnya seperti bahagian yang patah hanyalah ibu jari kaki, manakala yang dibalut dengan simen adalah sampai ke betisnya. Maka ini dikira melebihi kadar yang sepatutnya. Jika begini keadaannya, maka pesakit tersebut wajib mengulangi atau menggantikan semula solatnya selepas sihat kelak sama ada simen tersebut diletakkan setelah dia berwudhuk atau tidak.

Namun, abang lebih suka untuk mengambil pandangan al-Imam al-Nawawi rahimahullah yang mana beliau juga mengambil pandangan al-Imam al-Muzani rahimahullah yang mengatakan bahawa orang yang dibalut anggotanya tidak perlu untuk mengulangi semula solatnya walau bagaimana keadaan sekalipun pesakit tersebut.

Ummu Muhammad : MasyaAllah, mudahnya Islam kan bang?

Abu Muhammad : Ya, Islam itu mudah sekali untuk diamalkan, namun yang sukarnya adalah bagi mengeluarkan hukum yang terdapat di dalamnya. Oleh sebab itulah kita perlu berpegang dengan pandangan para ulama yang memahami bagaimana cara mengeluarkan hukum daripada nasnya.

Ummu Muhammad : A’a bang, ramai sangat zaman sekarang nie yang menyalahgunakan istilah “ Islam itu mudah” dengan mengatakan bahawa mengeluarkan hukum di dalam Islam juga mudah. Sedangkan maksud sebenar Islam itu mudah ialah mudah untuk diamalkan kerana wujudnya para ulama ummah yang bertungkus lumus memahamkan ummah hukum hakam agama. Semoga ilmu abang akan semakin bertambah dan mendapat kejayaan di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabb.

Abu Muhammad : Amin Ya Rabb. Jaga diri baik-baik sayangku. Assalamualaikum.

Ummu Muhammad : Waalaikumussalam abang.

p/s: Dialog di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah mati. Sekadar untuk memudahkan kefahaman kita bersama.hehe.

Rujukan:

1. Taqrirat Sadidah Fi Masa’il Mufidah oleh al-Syaikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf , Cetakan ke 4 tahun 2006 Darul al-Mirath al-Nabawi

2. Mughni al-Muhtaj oleh al-Imam al-Allamah Syamsuddin Muhammad bin Khatib al-Syirbini rahimahullah , Juzuk 1, Darul Makrifah Beirut

3. Mawahib al-Somad Fi Halli Alfadz al-Zubad oleh al-Imam al-Allamah Ahmad bin Hijazi al-Fashni rahimahullah , cetakan Darul Basyair al-Islamiyah dan Maktabah Darul Fajr.

Mohd Nazrul Abd. Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syariff & Masjid al-Asyraff,
Syari' Ahmad Fahim , Hayyu 7,
Madinat Nasr, Kaherah

Jumaat, 21 Januari 2011

Jom Beli ! Buku Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama : Inilah Jawapannya oleh Ustaz Muhadir bin Haji Joll


















“Buku yang bertajuk “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’: Inilah
Jawapannya…” yang disusun dan ditulis oleh Yang Berbahagia, Ustaz
Muhadir bin Haji Joll diterbitkan untuk dijadikan panduan kepada kaum
muslimin. Saya dapati buku ini adalah baik dan bermanfaat kepada
mereka yang berminat untuk mengetahui dalil-dalil dan hujjah-hujjah
permasalahan yang tersebut menurut pandangan Ahli Sunnah Wal
Jama’ah.”
Sahibus Samahah,
Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi
Bekas Mufti Negeri Sarawak

Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan
Ulama’: Inilah Jawapannya…” adalah tepat pada masanya
untuk menjawab persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan
dalam masyarakat. Penyusun dan penulisnya,
Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll, telah berusaha menjawab
persoalan-persoalan ini dengan merujuk kepada penjelasan para
ulama’ muktabar dan berwibawa dari kalangan mutaqaddimin dan
muta’akhkhirin.”

Dato‘ Haji Hashim Yahya
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur
Felo Kehormat Akademik,
Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah dan Pendirian Ulama’: Inilah
Jawapannya…” adalah amat tepat pada masanya. Saya percaya ia
akan menjadi rujukan yang sangat berguna dalam menjawab persoalan
khilafi yyah yang ditimbulkan di dalam masyarakat. Tujuan penulisan
buku ini pula seperti yang disebutkan oleh penulisnya, adalah sejajar
dengan usaha JAKIM dalam memberi kefahaman Islam yang benar, di
samping mempertahankan kesucian aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah
dan mengekalkan keharmonian masyarakat.
Dato‘ Haji Wan Mohamad bin Dato‘ Sheikh Abdul Aziz
Ketua Pengarah,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

“Sepanjang pengetahuan saya, inilah buku berbahasa
Melayu paling lengkap yang pernah saya jumpa, yang
menjawab hampir keseluruhan perkara-perkara yang sering
ditimbulkan di dalam masyarakat terutamanya di dunia
Melayu Islam. Tajuk-tajuk di dalam buku ini disusun dengan
baik sekali bermula dari perkara-perkara yang melibatkan
Aqidah sehinggalah kepada perkara Umum yang meliputi
117 tajuk keseluruhannya, beserta penjelasan daripada para
ulama’ yang muktabar.”
Dato’ Haji Md. Saleh Haji Md. @ Ahmad
Timbalan Yang Di Pertua,
Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)
Felo Kehormat Akademik,
Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Saya bersyukur kepada Allah dengan kesyukuran yang tidak
terhingga kerana Ia telah mengurniakan taufi q dan hidayat
kepada saudara yang mulia Ustaz Muhadir bin Haji Joll untuk
menyediakan kitab yang sangat besar faedahnya dalam
menerangkan masalah-masalah agama dalam masyarakat
yang berjudul “Persoalan Khilafiyyah & Penjelasan Ulama’:
Inilah Jawapannya…”
Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady
Pemikir Islam/ Felo Amat Utama Akademik,
Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun Islam
(ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Untuk pelajar UIA yang ingin mendapatkan buku ini boleh hubungi ;
Amir : 014-5079363
Hidayah : 013-4564787

Mazhab Membantu Memahami Agama



Oleh: Ustaz Farid Ravi

SOALAN:

Apakah maksud sebenar mazhab dan apakah kepentingan kita mengikut sesuatu mazhab?

JAWAPAN:

MAZHAB menurut kamus dewan adalah: "Cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam". (Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm: 1010).

Mazhab adalah berasal daripada bahasa arab, yang bermaksud kecenderungan dalam sesuatu perkara. Soalan sebegini sudah acap kali orang bertanya.

Bila baca soalan sebegini dan sebelum ini ada juga yang bertanya soalan yang seumpama dengan ini lantas apa yang terlintas di benak saya, adakah kita lebih hebat daripada Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Hanbali sehingga sudah tidak mahu berpegang kepada mazhab?

Saya tidak salahkan yang bertanya, tetapi saya yakin pertanyaan ini adalah sebagai landasan mendapat penjelasan yang betul dalam persoalan yang dimusykilkan.

Kepentingan bermazhab adalah bagi membolehkan kita mengamalkan agama dengan faham yang sebenarnya. Sebabnya, kita tidak mampu dan kebanyakan kita tidak layak kerana tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk berijtihad. Para ulama yang muktabar telah memudahkan kita memahami Islam dengan lebih mudah.

Contohnya hadis berkaitan wuduk dalam sahih al-Bukhari dalam kitab bersuci, wuduk, di bawah tajuk ini adalah 75 bab dan 105 hadis, di dalam kitab al-Ghusl (mandi) terdapat 29 bab dan 44 hadis.

Kadang-kadang dalam satu bab ada ada dua tiga mungkin lebih lagi. Mungkin juga di antara hadis-hadis itu pada zahirnya macam bertentangan tetapi hakikatnya tidak. Semua ini orang awam boleh faham ke untuk menghasilkan hukum?

Tidak semudah yang disangka. Memang Islam itu mudah, tapi tidaklah sampai dimudah-mudahkan Islam itu.

Pandangan peribadi saya adalah lebih baik orang awam di negara ini berpegang kepada satu mazhab, iaitu mazhab Syafie, yang menjadi pegangan majoriti penduduk dunia.

Saya juga mengagumi dan menghormati mazhab-mazhab yang lain. Tetapi negara ini kita sudah serasi dan menjadi pegangan untuk kian lama.

Silibus fiqh di sekolah dan universiti juga bermazhab Syafie. Oleh sebab itu, saya berani mengatakan mazhab Syafie telah menjadi mazhab rasmi masyarakat yang beragama Islam di negara ini.

Keadaan umat Islam semakin bercelaru dengan berbagai aliran dan pemikiran selepas kewafatan Rasululah SAW. Terutama pada zaman Saidina Ali yang muncul berbagai-bagai fahaman seperti aliran Khawarij, Mu'tazilah dan Syiah dan macam-macam ajaran yang membingungkan hala tuju manusia.

Oleh kerana terdapat berbagai aliran ini, tepatlah al-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Al-Imam al-Thabarani:
"Bahawa pada akhir zaman, umat ku terbahagi pada 73 golongan, hanya satu golongan sahaja yang dapat memasuki syurga manakala yang lain terjun ke dalam neraka. Maka sahabatnya pun bertanya, siapakah golongan yang satu tersebut, ya Rasulullah? Jawab baginda Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)".

ASWJ adalah mereka yang mengikut sunnah Rasululah dan juga sunnah sahabat-sahabat Baginda serta sunnah umat zaman Tabiin (Zaman 300 tahun selepas Rasulullah). Keempat-empat Imam ASWJ iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Al-Shafiei dan Imam Hambali tersebut hidup pada zaman tabiin yakni lingkungan 300 tahun selepas Rasulullah SAW.

Mendalami ilmu

Imam Hanafi lahir pada 80 hijrah dan Imam Malik lahir pada tahun 93 hijrah dalam kurun yang pertama lagi. Imam Al-Syafie lahir pada pada 150 hijrah dan Imam Hambali lahir pada 164 hijrah.

Semua mereka terkenal dengan sifat-sifat terpuji dan terkenal dengan ketokohan mereka dalam bidang ilmu. Seawal usia mereka telah menghafal al-Quran, selesai menghafal al-Quran mereka akan mendalami ilmu hadis serta ilmu tafsir, disusuli dengan ilmu fiqh dan tauhid.

Mereka sanggup berehlah ribuan batu untuk mendapatkan ilmu, sanggup mengharung perit maung dalam mencari ilmu. Sepanjang riwayat hidup mereka kita akan dengar yang baik-baik, yang indahnya mereka adalah ulama yang jujur dalam menegakkan kebenaran demi Allah SWT dan Rasul-Nya.

Perjuangan mereka jujur ijtihad mereka juga semata-mata mencari keredaan Allah SWT. Keempat-empat Imam tersebut juga boleh mengistinbatkan hukum selain dari al-Quran dan al-hadis. Selain itu, keempat-empat mereka juga mempunyai kitab rujukan pada anak murid dan umum.

Seperti Imam Hanafi yang mempunyai kitab al-hadis yang bernama Al Wasit, Imam Malik dalam kitab Al-Muwattha, Imam Al-Shafie dalam kitab Al-Uum dan Al-Imam Hambali (Ahmad bin Hambal). (Mazhab bagi keluarga Ibn Tamiyah di mana bapanya adalah ulama bermazhab Hambali) dalam kitab al-Hadis yang terkenal yang bernama Al-Musnad yang merangkumi 35,000 hadis di dalamnya.

Keempat-empat Imam tersebut apabila memberi fatwa atau berijtihad atau mengeluarkan hukum, mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Kalau ada mana-mana pihak yang mengikuti salah satu daripada empat mazhab tersebut, ertinya mereka juga telah mengikut al-Quran dan al-hadis.

Cuma sebagai orang awam yang tidak tahu ayat al-Quran dan al-hadis mana yang diterima pakai. Kerana itu digelar muqalidin atau pengikut.

Memang sudah menjadi sunnatullah sejak Nabi Adam sehingga pada akhir zaman, orang yang jahil tentang ilmu Islam lebih ramai daripada orang alim. Walaupun sebenarnya ramai yang ingin menjadi alim.

Begitu juga dalam ilmu pengetahuan, sedikit sahaja yang berilmu tetapi yang jahil amat ramai. Dalam pada itu patutkah diminta pendapat orang awam mengkaji dan menggali sendiri al-Quran dan hadis?

Tidak munasabah meminta mereka berijtihad sendiri kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian berpegang kepada satu mazhab yang muktabar seperti mazhab Syafie adalah lebih baik dan lebih selamat.

Ini kerana kita akan seragam dalam penghayatan dan pengamalan serta mengelakkan pertelingkahan antara satu sama lain.

Sumber :
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Khamis, 20 Januari 2011

Fahami Kadar Suara Dalam Ibadah

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni


Respon terhadap artikel:Benarkan hanya azan di pembesar suara, dalam malaysiakini.com, 15 Jan. 2011.


Isu Pembesar Suara


Isunya adalah tentang bacaan-bacaan - selain azan - yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai, yang kononnya telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan. Objektif penulisnya barangkali ialah untuk menjaga hati orang bukan Islam dan agar agama Islam tidak dipandang serong oleh mereka. Namun huraian, penghujahan dan konklusi yang diketengahkan olehnya memerlukan kepada sedikit penilaian semula. Alat pembesar suara sudah tentu tidak wujud pada zaman Nabi SAW, namun apa yang ditinggalkan oleh baginda kepada kita ialah hukum mengangkat dan merendahkan suara, yang akan dibincangkan dalam artikel ini.


Antara ‘penyakit’ sesetengah ahli ilmu ialah terburu-buru dalam mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa melihat terlebih dahulu dengan teliti dan mendalam terhadap masalah yang dibahaskan.Hanya mengguna pakai sebuah dalil sahaja tanpa melihat dalil-dalil yang lain atau meninggalkan dalil-dalil yang lain, maka terus diputuskan hukum atau fatwa darinya. Kebelakangan, perkara sebegini semakin kerap berlaku baik di kaca tv, radio, akhbar, internet, masjid, dan lain-lain.


Dalil-Dalil Larangan dan Ulasannya


Saya tidak akan mengupas atau mengulas satu persatu isi kandungan artikel tersebut kerana ia akan mengambil ruang yang panjang. Apa yang akan kita bincangkan di sini ialah dari sudut pendalilan yang diguna pakai iaitu tentang kadar suara dalam melaksanakan ibadah, seumpama solat, membaca al-Quran, zikir, doa, azan dan sebagainya.


Antara hujah yang dibangkitkan oleh mereka yang melarang dari mengangkat suara dalam beribadah ialah hadis sahih riwayat Abu Dawud dalam Sunannya (no. 1135):


عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخدري قَالَ: اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ: فِي الصَّلَاةِ. وفي مسند أحمد (رقم 11461) ومصنف عبد الرزاق (رقم 4216): وَهُوَ فِي قُبَّةٍ لَهُ فَكَشَفَ السُّتُورَ.

Terjemahan:

Dari Abu Sa'id al-Khudri katanya: “Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: “Ketahui sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat”. Dalam riwayat Musnad Ahmad dan Musannaf ’Abd al-Razzaq ditambah: ”Sedangkan ketika itu baginda berada di qubbah (tempat ibadah) baginda, lalu baginda pun menyingkap tirai-tirai...”.


Hadis ini perlu diteliti dari pelbagai aspek. Selain tekstual hadis perlu juga dilihat dari sudut kontekstual hadis. Perlu juga ditinjau dengan membuat komparatif dengan nas-nas lain, serta situasi ‘urf. Demikian kaedah yang perlu dipraktikkan bagi mengeluarkan sebuah hukum atau fatwa, tidak semata-mata berpegang kepada sebuah teks yang terhad. Adakalanya teks yang terhad hanya mampu menghasilkan pedoman dan panduan semata-mata, tetapi belum dapat membentuk sebuah hukum yang releven dan fatwa yang autentik.

Tanda-tanda pada zahir hadis tersebut seperti sedang beriktikaf, bermunajat, dan kadar suara yang mengganggu menunjukkan bahawa situasi pada masa itu ialah waktu malam yang bersuasana sunyi dan hening.


Penulis berpendapat, agak jauh untuk dikatakan hadis tersebut diucapkan pada waktu siang kerana suasananya agak berlainan dan kadar suara biasanya tidak begitu mengganggu. Siang adalah masa berkerja dan malam adalah masa beristirehat, maka amat sesuailah pada masa itu dielakkan sebarang gangguan dan amat tepatlah teguran Nabi SAW kepada para sahabatnya itu. Justeru menggunakan hadis ini bagi mengeluarkan hukum umum tanpa ada sebarang pengecualian atau perbezaan perlulah diteliti semula.


Realiti yang berlaku pasa masa kini, penggunaan pembesar suara biasanya selesai pada atau selepas waktu isyak, atau lebih sedikit jika ada penceramah yang melanjutkan celotehnya, dan bermula semula pada waktu pagi sebelum atau pada waktu fajar.Justeru, tidak berlaku sebarang gangguan pembesar suara antara waktu isyak sehingga subuh. Bagaimana situasi sedemikian dapat dikiaskan dengan hadis di atas yang barangkali ditujukan pada waktu dua pertiga malam, atau separuh malam ataupun sepertiga malam.


Manakala hadis yang berbunyi:


عن أَبِي مُوسى الأَشْعَرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَمَّا غَزَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم خَيْبَرَ، أَوْ قَالَ: لَمَّا تَوَجَّهَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، أَشْرَفَ النَّاسُ عَلَى وَادٍ فَرَفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالتَّكْبِيرِ: اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ لاَ إِله إِلاَّ اللهُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا، وَهُوَ مَعَكُمْ... (أخرجه البخاري ومسلم)

Terjemahan:

Dari Abu Musa al-Asy’ari RA katanya: Ketika Rasulullah SAW memerangi Khaybar, atau katanya: Ketika Rasulullah SAW menuju kepadanya, orang-orang telah melihat sebuah wadi, lalu mereka mengangkat suara mereka bertakbir; Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha illa Allah… Maka sabda Rasulullah SAW: Kasihanilah diri kamu sekalian, sesungguhnya kamu tidak menyeru yang tuli mahupun yang ghaib, sesungguhnya kamu menyeru Yang Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu sekalian...”.


Zahir hadis ini menunjukkan bahawa teguran tersebut adalah disebabkan kadar suara yang berlebih-lebihan dan melampaui had dalam mengeras dan meninggikannya. Nabi SAW sentiasa membimbing umatnya kepada sikap bersederhana, maka amat wajar baginda memberi teguran tersebut.


Kata Imam al-Nawawi: Maknanya ialah kasihanilah diri kamu dan rendahkanlah suara kamu. Perbuatan mengangkat suara biasanya dilakukan orang kerana jauhnya orang yang diajak bicara agar ia mendengarnya, sedangkan kamu menyeru Allah Taala dan Dia bukanlah pekak mahupun ghaib, bahkan Dia Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu dengan ilmu dan liputan pengetahuan-Nya. Maka pada hadis ini terdapat galakan agar merendahkan suara ketika berzikir jika keperluan tidak mendesak untuk mengangkatnya. Sekiranya suara direndahkan, itu lebih beradab dalam memuliakan dan mengagungkan-Nya. Manakala jika keperluan perlu untuk mengangkatnya, barulah diangkat sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis (seperti talbiah dan sebagainya).




Dalam hadis yang lain:



عن عقبة بن عامر، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((الجاهر بالقرآن كالجاهر بالصدقة. والمسر بالقرآن كالمسر بالصدقة)). رواه الترمذي، وأبوداود، والنسائي. وقال الترمذي: هذا حديث حسن غريب.

Terjemahan:

Dari ’Uqbah bin ’Amir katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang membaca kuat dengan al-Quran seperti orang yang berterang-terangan dalam bersedekah. Dan orang yang membaca perlahan dengan al-Quran pula seperti orang yang bersembunyi-sembunyi dalam bersedekah”.



Makna hadis ini menunjukkan kepada keutamaan (keafdalan) dalam membaca al-Quran dan bukannya menunjukkan kepada larangan meninggikan suara. Sedangkan Nabi SAW pernah memerintahkan Abu Bakar al-Siddiq RA agar meninggikan suara:



عن أبي قتادة - رضي الله عنه - أن النبيَّ -صلى الله عليه وسلم- قال لأبي بكر : «مررتُ بك وأنت تقرأُ، وأنت تخفض من صوتك؟» فقال : إني أسمعتُ من ناجيتُ ، قال : ارْفعْ قليلا ، وقال لعمر : مررت بك وأنت تقرأُ ، وأنت ترفع من صوتك؟ قال : «إني أُوقِظُ الوَسنان ، وأطردُ الشيطان، قال : اخفِض قليلا». وفي رواية: «يا أبا بكر ، ارْفع من صوتك شيئا ، وقال لعمر : اخفِضْ من صوتك شيئا». رواه الترمذي وأبو داود بإسناد صحيح.


Terjemahan:

Dari Abu Qatadah RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar RA: Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu merendahkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku hanya memperdengarkan kepada Siapa yang aku bermunajat kepada-Nya. Balas baginda: Angkatlah sedikit (suaramu). Dan baginda juga bersabda kepada ’Umar RA: Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu mengangkatkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku ingin membangkitkan orang yang mengantuk dan mengusir syaitan. Balas baginda: Rendahkan sedikit (suaramu). Dalam riwayat lain: ”Wahai Abu Bakar, angkatlah suaramu sedikit, dan baginda bersabda kepada ’Umar: Rendahkanlah suaramu sedikit”.



Di sini, Nabi SAW menyuruh mengangkat suara jika ianya terlalu perlahan atau tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain, dan melarang mengangkatkan suara jika ianya melebihi had, atau kerana ia dapat menimbulkan sifat riyak dan ujub yang ditegah oleh syarak. Secara mafhumnya, baginda mengajarkan bahawa bersederhana itulah yang lebih utama.


Selain hadis Abu Bakar RA tersebut terdapat beberapa hadis lain yang membenarkan mengangkat suara seperti;


حديث أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: لَمْ يَأْذَنِ اللهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالْقُرَآنِ يَجْهَرُ بِهِ. (رواه البخاري ومسلم وغيرهما)

Terjemahan:

Dari Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: Allah tidak mengizinkan (meredhai) bagi sesuatu, apa yang telah diizinkan kepada Nabi agar berlagu dengan al-Quran, serta mengangkat suara dengannya”.



Kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar berkenaan dalil-dalil yang zahirnya saling bercanggahan ini: Pengharmonian antara kedua-duanya ialah bahawa suara perlahan itu lebih jauh dari sifat riyak, dan ianya adalah afdal bagi orang yang takutkan demikian. Jika tidak takut riyak pula, maka suara kuat itu lebih afdal dengan syarat tidak menyakiti orang lain seperti orang yang bersolat, tidur dan sebagainya.


Maksudnya suara perlahan itu lebih afdal jika takutkan riyak atau menyakiti orang yang bersolat atau tidur dengan suara kuatnya. Suara kuat pula afdal dalam hal yang selain itu kerana amalan tersebut lebih besar, dan manfaatnya dapat dikongsi oleh orang lain sama ada dengan mendengar (dan banyak dalil menunjukkan ianya sebagai ibadah), belajar, mengikut, insaf atau ianya sebagai syiar agama. Ia juga dapat mengetuk hati si-pembaca, menumpukan perhatiannya untuk berfikir dan memfokuskan pendengarannya sendiri. Ia juga dapat menghalang rasa mengantuk, menambah rasa cergas, membangunkan orang lain yang tidur dan lalai serta menyegarkannya. Maka bila hadir salah satu niat-niat ini, maka suara kuat itu adalah lebih afdal.


Ada diriwayatkan oleh al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus dari Ibn ’Umar secara marfu’:


السر أفضل من العلانية والعلانية أفضل لمن أراد الإقتداء به

Terjemahan: “Cara sembunyi itu lebih afdal dari cara terang-terangan, dan cara terang-terangan pula lebih afdal bagi orang yang mahu agar dicontohi”.



Maka kesimpulannya, tinggi atau rendah suara itu semua adalah bergantung kepada situasi, suasana, tuntutan dan juga keadaan. Selain perlu menitikberatkan kesederhanaan dalam semua aspek.


Sila rujuk dengan lebih lanjut tentang mengangkat suara dalam ibadah kepada kitab Sibahah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr oleh Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi (w. 1304H), tahkik Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, dan kitab Natijah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr oleh Imam al-Suyuti (w. 911H). Namun menurut Syeikh Abu Ghuddah, kitab Imam al-Laknawi lebih detail dan lengkap perbahasannya.


Menangani Isu Sebenar


Isu sebenarnya bukan masalah penyalahgunaan pembesar suara, atau benarkan hanya azan sahaja di pembesar suara, tetapi adalah masalah kefahaman orang (terutama AJK masjid/surau) terhadap situasi yang mereka duduki. Kita ada pelbagai situasi, ada masjid yang jauh dari kawasan perumahan dan ada yang dekat, malah sebahagiannya berhimpit-himpit dengan rumah orang atau kedai.Ada masjid yang berdekatan dengan pusat maksiat. Ada masjid yang berdekatan dengan hospital. Ada masjid yang berada di kawasan yang majoritinya bukan Islam. Ada masjid bandar, dan ada masjid kampung. Ada masjid yang penduduk sekitarnya bersatu hati, dan ada masjid yang penduduk sekitarnya berbalah sesama sendiri. Suasana bandar yang sibuk pastinya berbeza dengan suasana kampung yang lebih tenang.

Peralatan pembesar suara juga perlu diambil kira.


Ada pembesar suara yang mahal dan mengeluarkan suara yang enak dan merdu. Ada pembesar suara yang murah dan mengeluarkan suara yang ’serak’ dan berdesing sekali-sekala. Begitu juga hal dengan tugas bilal, ada bilal yang bersuara merdu dan sedap didengar, dan ada bilal yang bersuara kurang lemak merdu. Ada bilal yang melaungkan (atau memasang kaset) bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan, dan ada bilal yang melaungkan (atau memasang kaset) bacaan al-Quran atau zikir pada waktu tertentu sahaja sebelum azan seperti waktu subuh dan maghrib misalnya. Dan sebagainya lagi.


Bayangkan sekiranya masjid tersebut terletak di kawasan yang majoritinya bukan Islam, atau sangat berhampiran dengan hospital, dan alat pembesar suaranya pula sering ’terbatuk-batuk’, dipasang pula alunan bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan dan bilalnya pula bersuara ’serak-serak basah’. Apakah agaknya reaksi dan pendapat anda, jika dibandingkan dengan masjid yang terletak di kampung yang penduduknya sekitarnya bersatu hati dan sudah biasa dengan alunan bacaan al-Quran atau zikir pada waktu sebelum subuh dan maghrib, manakala bilalnya pula bersuara lemak merdu. Apakah sama situasinya?


Bagaimana pula sekiranya masjid tersebut berhampiran dengan pusat maksiat yang pengunjungnya tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid. Apakah tidak rugi jika semua ceramah-ceramah yang dijalankan di masjid itu hanya untuk orang di dalam masjid sahaja dan suara tidak keluar melebihi pintunya? Semuanya ini perlu diambil kira, bukannya mengeluarkan hukum secara pukul rata.


Iktibar Dengan Situasi


Abu Dawud meriwayatkan dalam Sunannya dari Ghudhaif bin al-Harith, beliau pernah bertanya kepada ’A’isyah RA antaranya:


أَرَأَيْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْهَرُ بِالْقُرْآنِ أَمْ يَخْفُتُ بِهِ؟ قَالَتْ: رُبَّمَا جَهَرَ بِهِ وَرُبَّمَا خَفَتَ. قُلْتُ اللَّهُ أَكْبَرُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي الْأَمْرِ سَعَةً. رواه أبو داود بإسناد صحيح.

Terjemahan:

Adakah puan pernah melihat Rasulullah SAW mengangkat suara dengan al-Quran ataupun memperlahankannya? Jawab beliau: Adakalanya baginda mengangkat suara dengannya dan adakalanya baginda memperlahankannya. Aku berkata: Allahu akbar, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam urusan (agama) ini keluasan.




Kata al-‘Allamah Badr al-Din al-‘Aini (w. 855H) mengulas hadis di atas:



Sabit pilihan bagi si-pembaca (al-Quran atau zikir) sama ada antara mengangkat suara dengannya dan juga memperlahankannya. Diperkatakan, mengangkat suara lebih afdal. Juga diperkatakan, memperlahankan suara lebih afdal. Namun yang benar ialah; ianya terikat menurut iktibar dari segi masa si-pembaca, kedudukannya dan juga situasinya. Maka hendaklah dipelihara mengangkat suara dan memperlahankan suara berdasarkan iktibar tersebut.



Kata-kata Ghudhaif bin al-Harith RA: ”Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam urusan (agama) ini keluasan”, wajar direnung dan diambil iktibar. Perbezaan ‘urf dan situasi kerana peredaran zaman perlu juga diambil kira. Apa yang penting, bukan hukum menggunakan pembesar suara yang sudah menjadi ‘urf pada masa kini, tetapi adalah kefahaman orang (terutama AJK masjid/surau serta para pengunjung masjid/surau juga) terhadap situasi yang mereka duduki. Dan perbincangan ini secara umum meliputi situasi dalam dan juga luar masjid. Persoalannya, bagaimanakah harus mereka mengendalikannya? Jika penulis artikel tersebut menyemak semula masalah ini dan memikirkan semua faktor-faktor yang dijelaskan, pasti dia akan memperbetulkan semula kenyataannya atau menambah apa-apa kenyataan yang wajar dan lebih diterima. Mengeluarkan sesuatu kenyataan atau hukum secara terburu-buru bukanlah suatu tindakan yang bijak.



Sumber : http://sawanih.blogspot.com/2011/01/kadar-suara-dalam-ibadah.html

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu
  • Video Bacaan Hukum Qalqalah - Sekiranya anda telah membaca artikel saya yang lepas tentang hukum bacaan Qalqalah, tentu anda telah pun faham secara teorinya apakah yang dikatakan qalqal...
    4 tahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan