CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Isnin, 5 Disember 2011

Hukum Memungut Barang Yang Dijumpai Bab Akhir

Oleh : Mufti Brunei


Perihal “Luqathah”

(Bahagian Akhir)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Tempoh dan Waktu Penghebahan

Tempoh menghebahkan (mengiklankan) barang luqathah juga tertakluk kepada nilai dan jenis barang tersebut.

Pada dasarnya, tempoh penghebahan barang luqathah adalah selama satu tahun sebagaimana pendapat jumhur termasuk ulamaulama Mazhab Syafi‘ie kerana tempoh satu tahun itu adalah merupakan asal muktabar setiap sesuatu di dalam syara‘.

Tempoh satu tahun penghebahan itu bermula dari saat mula menghebahkan. Tidak perlu menghebahkan dengan meliputi sepanjang waktu di dalam satu tahun. Tidak perlu menghebahkan pada waktu malam atau pada sepanjang (seluruh) hari, bahkan pada peringkat awal, memadai dengan menghebahkan pada waktu pagi dan petang. Kemudian setelah berlalu satu minggu, cukup melakukan penghebahan sekali sahaja dalam sehari, kemudian dengan dua kali setiap satu minggu atau sekali sahaja setiap satu minggu, kemudian satu kali dalam setiap satu bulan.

Walaubagaimanapun, ulama sepakat membolehkan untuk tidak perlu menghebahkan dan langsung sahaja memiliki dan mengambil manfaat dari barang luqathah yang remeh, yang dirasakan tidak dihiraukan oleh pemiliknya seperti sebiji kurma, habuk-habuk roti, habuk kayu atau besi, kain-kain perca atau yang seumpamanya.

Menurut pendapat ashah dalam Mazhab Syafi‘ie, barang luqathah yang sedikit kadarnya, ataupun apabila ditukar menjadi wang juga akan mendapat nilai wang yang sedikit, umpamanya satu dirham, (kira-kira 50 sen), maka tidak usah dihebahkan selama setahun, cukuplah menyiarkannya setakat kadar sekira-kira ada persangkaan bahawa orang yang kehilangan itu sudah tidak lagi memperduli barangnya itu menurut kebiasaan.

Batasan sedikit itu pula adalah barang yang sekira-kira orang yang menemukannya mempunyai dugaan kuat bahawa pemilik yang kehilangan itu tidak terlalu susah disebabkan kehilangan barang itu dan biasanya tidak akan mencarinya terlalu lama.

Tempat MenghebahkanPada masa dahulu, penghebahan hendaklah dilakukan di pasar-pasar dan pintu-pintu masjid kerana keduanya merupakan tempat yang sering dikunjungi orang ramai dan tempat berkumpul. Besar kemungkinan di situ ada pemilik barang berkenaan.

Begitu juga penghebahan hendaklah dilakukan di tempat barang tersebut dijumpai sebab pemiliknya tentu akan mencari barangnya yang tercicir di sekitar tempat itu.

Dilarang melakukan penghebahan di dalam masjid kerana tujuan penghebahan ialah pemberitahuan kepada orang ramai untuk mencari pemilik barang sedangkan masjid dibina bukan untuk tujuan demikian.

Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Barangsiapa yang mendengar ada orang membuat pengumuman mencari barangnya yang tercicir (hilang) di dalam masjid, maka hendaklah (orang yang mendengar itu) berdoa supaya barang itu tidak dijumpai kerana masjid dibina bukan untuk perkara sedemikian.”
(Hadits riwayat Muslim)

Pada masa ini, selain dari tempat-tempat yang dinyatakan, penghebahan juga boleh dibuat dengan mengiklankan di dalam akhbar, radio, televisyen atau yang terkini melalui internet. Cara ini mungkin lebih berkesan.

Alternatif lain ialah dengan menyerahkan barang luqathah itu kepada pihak polis. Ini kerana lazimnya pemilik barang tersebut akan atau telah membuat laporan mengenai barangnya yang tercicir atau hilang itu ke balai polis dan laporan tersebut direkodkan. Apabila kita menyerahkannya kepada pihak polis, usaha mencari barang tersebut menjadi mudah dan pemiliknya akan mendapat balik barangnya yang tercicir itu.

Antara contoh situasi menjumpai luqathah yang sering berlaku pada masa ini:-

• Jika menjumpai barang luqathah di kompleks membeli-belah atau yang seumpamanya dan khuatir barang itu akan hilang, maka menyerahkannya kepada pihak pengurusan kompleks
berkenaan juga adalah tindakan wajar kerana lazimnya pemilik barang akan merujuk kepada mereka mengenai barangnya yang tercicir. Tambahan lagi kebanyakan kompleks awam yang ada sekarang ada menyediakan ruangan Lost and Found yang juga bertujuan untuk lebih memudahkan.

• Di zaman serba canggih ini orang selalu tercicir atau tertinggal alat-alat elektronik kecil milik mereka seperti telefon bimbit dan komputer riba di tempat-tempat awam. Untungnya, alatalat seperti ini biasanya ada menyimpan data pemilik juga nombor untuk dihubungi dan ini memudahkan urusan menjejaki pemiliknya. Orang yang menemuinya boleh terus menghubungi pemilik barang untuk menyerahkan kembali barang tersebut.

Tindakan-tindakan seperti ini juga ternyata bermaksud untuk menjejaki pemilik dan mengembalikan barang tercicir itu kepada pemiliknya yang sebenar.

Adakah Boleh Dimiliki Barang Luqathah Yang Dijumpai ?

Memungut barang luqathah merupakan suatu amalan yang dituntut, namun orang yang memungutnya tidak boleh mengambil dan memiliki barang yang dipungutnya itu dengan sesuka hati kerana ia adalah barang amanah atau wadi‘ah. Orang yang memungut barang luqathah adalah pemegang amanah.

Wajib ke atas orang yang memungut barang luqathah itu mengeluarkan belanja untuk membuat penghebahan atau pengiklanan barang luqathah tersebut jika dia memungutnya dengan niat untuk memilikinya, walaupun niat untuk memilikinya berlaku setelah niat asalnya untuk menjaga, atau jika tidak sampai dimilikinya sekalipun. Ini disebabkan dia diwajibkan membuat penghebahan.

Jika dia tidak bertujuan hendak memiliki barang luqathah tersebut, seperti dipungut untuk dipelihara dan tiada tujuan untuk memiliki atau ikhtisas (khas baginya), maka perbelanjaan untuk membuat penghebahan diambil daripada baitulmal atau tuan punya luqathah.

Apabila orang yang memungut barang itu sudah menghebahkannya dan dia gagal menemukan pemilik barang tersebut, kemudian dia bermaksud untuk memilikinya, maka bolehlah dia memilikinya dengan syarat jika pemilik barang menuntutnya, dia akan mengembalikannya ataupun menggantinya.

Menurut pendapat ashah dalam mazhab Syafi‘ie, hendak memiliki luqathah perlu disertakan lafaz seperti “Aku miliki barang ini”atau dengan lafaz simbolik yang membawa maksud untuk memiliki.

Apabila seorang menjadikan barang luqathah sebagai miliknya, kemudian pemilik yang sebenarnya datang, jika barang itu berupa barang yang ada bandingannya, maka haruslah dia mengganti dengan yang serupa dengannya. Jika tidak ada bandingannya, maka harus dia mengganti mengikut harganya pada waktu dia memiliki. Hal ini telah ditetapkan oleh Imam Rafi‘ie dan lain-lain ulama.

Jika pemiliknya tidak redha dengan barang gantian, maka wajiblah dikembalikan barang luqathah itu berserta tambahan atau lebihan yang berhubung dengannya, dan tambahan yang bercerai denganbarang luqathah tersebut jika tambahan itu muncul sebelum ia (luqathah) dimiliki oleh orang yang memungutnya.

Demikian juga sekiranya barang tersebut rosak ataupun lenyap setelah dimilikinya. Wajiblah diganti dengan seumpamanya jika ada, atau harganya jika tidak ada seumpamanya semasa pemilikan.

Wajib juga membayar imbuhan di atas kekurangan disebabkan aib atau kecacatan yang berlaku setelah dimiliki. Sekiranya barang itu rosak dan lenyap sebelum pemilikan berlaku tanpa ada kelalaian, maka tidaklah tertanggung ke atas orang yang menjumpai itu untuk menggantinya balik.

Tidak boleh dimiliki sama sekali barang yang dijumpai di tanah haram. Begitu juga tidak boleh sama sekali bagi orang yang berlaku khianat terhadap barang yang dipungutnya itu memiliki barang tersebut.

Selain itu, memperniagakan barang luqathah juga tidak boleh dilakukan dengan sesuka hati. Dilarang menjualnya selama tempoh penghebahan dilakukan kerana barang luqathah adalah barang amanah dan perbuatan menjual atau seumpamanya boleh menyebabkan barang itu terdedah kepada kerosakan, hilang atau menjadi kurang kerana setiap perniagaan pasti mendatangkan risiko kerugian jika tidak mendapat keuntungan.

Sekiranya barang itu dijual di dalam tempoh penghebahan maka orang yang menjumpai itu bertanggungjawab terhadapnya atau terhadap sebarang kekurangan atau kerugian yang berlaku dan wajib pula ke atasnya mengembalikannya berserta tambahan yang ada jika mendapat keuntungan.

Demikian juga setiap barang luqathah boleh disedekahkan sebagaimana pendapat jumhur ulama fiqh, dengan syarat tempoh penghebahan hendaklah berlalu dan ia disedekahkan kepada orangorang fakir dan miskin.

Dari penjelasan di atas, dapat difahami bahawa barang luqathah yang bukan remeh dan tidak mudah rosak adalah tidak boleh dimiliki atau dijual dengan sesuka hati. Jika berhajat untuk memiliki atau menjualnya hendaklah ia mengikut lunas-lunas yang telah digariskan syara‘ dan bersedia untuk menggantinya jika ada pemilik yang menuntutnya. Barangsiapa yang terjumpa barang luqathah, lalu dia mengambilnya dengan tujuan untuk menjaganya dan menyerahkannya balik kepada pemiliknya, maka dia telah menolong dan berbuat kebajikan kepada pemiliknya itu, di samping mendapat ganjaran pahala.

Ketahuilah, selain membantu dan menolong harta seseorang, amalan ini juga boleh menjaga dan memelihara harta daripada binasa dan hilang begitu sahaja. Menjaga harta sesiapa pun merupakan amalan yang terpuji.

Pensyaria‘atan memungut barang luqathah dan bertanggungjawab terhadapnya ternyata memberi keuntungan terhadap si pemilik kerana dia mendapat balik barangnya yang hilang, jika tidak pun, orang yang menjumpai barang itu dapat memanfaatkannya ataupun dia boleh menyerahkannya kepada hakim atau baitulmal agar dapat diuruskan untuk kepentingan dan kebaikan umat bersama. Dengan cara beginilah harta-benda individu di dalam Islam terpelihara dan dapat dimanfaatkan bersama.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil22_bhg2-2011.pdf

Tiada ulasan: