CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Isnin, 20 Disember 2010

Kesimpulan Penjelasan Tentang As-Sawad Al-A'zhom Bab 8 (Akhir)

Sila baca artikel di bawah terlebih dahulu mengikut turutan :



Manhaj As-Sawad Al-A’zhom (Aliran Arus Perdana di sisi para ulama’) merangkumi:

  • Bidang Aqidah yang usul
  • Bidang Qawa’id (kaedah-kaedah, manhaj atau disiplin ilmu) yang usul
  • Bidang hukum-hakam yang usul

Masalah sebahagian golongan jahil zaman ini adalah dengan mempertikaikan mazhab Al-Asya’irah sebagai penerus kepada manhaj umum kebanyakan ulama’ As-Salaf dalam bab aqidah. Ini sering bermain di bibir para penuntut ilmu yang jauh daripada penguasaan keilmuan yang lengkap. Kita dapat lihat, Sheikh Ibn Taimiyyah sendiri pada zaman beliau, walaupun dikenali sebagai antara yang kuat mengkritik Al-Asya’irah sebagaimana sikap segelintir Hanabilah sebelum beliau, namun kadang-kala beliau sendiri tidak dapat menafikan keistimewaan dan keagungan golongan Al-Asya’irah (berbanding golongan Hanabilah sendiri) dalam mempertahankan aqidah Islam yang murni dan penghujahan terhadap ahli bid’ah.



Sheikh Ibn Taimiyyah berkata:


ثم أنه ما من هؤلاء إلا من له في الإسلام مساع مشكورة ، و حسنات مبرورة ، و له في الرد على كثير من أهل الإلحاد و البدع ، و الانتصار لكثير من أهل السنة و الدين ما لا يخفى على من عرف أحوالهم ، و تكلم فيهم بعلم و صدق و عدل و إنصاف



Maksudnya:



“Kemudian tiada dalam kalangan mereka (Al-Asya’irah) melainkan ada usaha yang sangat dihargai dalam (menjaga) agama Islam, begitu juga usaha kebaikan yang sangat diterima baik. Baginya (golongan Al-Asya’irah) usaha menentang banyak golongan Atheis dan ahli bid’ah dan banyak membela pegangan Ahlus-Sunnah dan agama, yang mana hakikat (jasa mereka ini) tidak tersembunyi lagi bagi orang yang mengenali keadaan mereka (Al-Asya’irah) dan orang yang memberi komen tentang Al-Asya’irah dengan neraca ilmu, penuh kejujuran, penilaian yang adil dan penuh keinsafan (teliti dan benar).”
[Dar’ At-Ta’arrud: 2/102]



Seseorang yang membaca kitab Dar’ At-Ta’arrud ini pasti melihat sudut penguasaan Ibn Taimiyyah dalam ilmu Kalam dan ilmu Mantiq bahkan dengan kemahiran tersebutlah beliau gunakan untuk mengkritik mazhab Mutakallimin termasuklah Al-Asya’irah di awal kitab tersebut. Namun, atas penilaian yang jujur, akhirnya beliau mengaku sumbangan besar yang telah dilakukan oleh Al-Asya’irah ini bahkan dinilai sebagai pembela Ahlus-Sunnah walaupun beliau mempunyai versi dan takrif Ahlus-Sunnah yang lain (yang lebih merujuk kepada Ahlul Hadith di sisi beliau) dalam banyak kitab-kitab beliau yang lain.

Nah, betapa jujurnya penilaian Ibn Taimiyyah yang masih tidak tergamak mengeluarkan Al-Asya’irah daripada Ahlus-Sunnah wal Jamaah. Namun, sebahagian mereka yang mengaku mengikut Ibn Taimiyyah tidak teragak-agak menganggap hatta Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dan Imam An-Nawawi tidak mengikut aqidah para sahabat dan tidak mengikut aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah hanya kerana mereka adalah Al-Asya’irah.

Ini secara jelas menunjukkan sebahagian pengaku Salafi pada zaman ini sudah terlalu jauh terpinggir daripada tradisi keilmuan Islam yang sebenar, tidak sepertimana guru pemikiran mereka iaitulah Sheikh Ibn Taimiyyah yang masih mampu mencium wangian konsep As-Sawad Al-A’zhom dalam institusi ulama’ Islam. Sehinggakan, kita dapati, beliau masih berpegang dengan mazhab Hanbali dalam fiqh (tidak sampai menolak mazhab sama sekali) dan masih tidak terlalu kontra dengan Al-Asya’irah walaupun mengkritik Al-Asya’irah. Bahkan, Imam Ibn Hajar turut menilai beliau (Ibn Taimiyyah) sudah kembali kepada mazhab Al-Asy’ari [rujuk Ad-Durar Al-Kaminah 1/144]. Di samping itu juga, beliau (Ibn Taimiyyah) kuat berpegang dengan ilmu Tasawwuf khususnya dengan manhaj Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a..


Alangkah bezanya Sheikh Ibn Taimiyyah dengan golongan yang mengkritik tradisi bermazhab (fahaman Alla Mazhabiyyah), yang mana sebahagiannya turut mengeluarkan Al-Asya’irah daripada Ahlus-Sunnah dan Tauhid. Ada juga yang mengkafirkan dan menghina golongan Sufi dan amalan tarikat kesufian secara umum. Inilah puncanya, jika para penuntut ilmu sudah terkeluar daripada tradisi asas dalam pewarisan ilmu Nabawi dan tidak mempunyai sanad keilmuan agama yang jelas.

Golongan pengaku salafi inilah pada hari ini cuba memahamkan makna As-Sawad Al-A’zhom dengan sedikitnya bilangan kerana sepanjang sejarah Islam, individu-individu yang berpegang dengan pegangan dan fahaman mereka terlalu sedikit berbanding lautan ulama’ Islam As-Sawad Al-A’zhom yang banyak berjasa dalam mengembangkan bidang keilmuan Islam. Mereka cuba mengutip perkataan-perkataan Al-Barbahari, Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah dan sebagainya tentang As-Sawad Al-A’zhom, iaitu bukan merujuk kepada ramai bilangan, lalu mereka mengabaikan kefahaman majoriti ulama’ Islam tentang As-Sawad Al-A’zhom itu sendiri.

Al-Barbahari dan Ibn Qayyim Al-Jauziyyah adalah dua individu yang mempunyai sudut kontroversinya yang tersendiri. Ibn Qayyim sendiri menolak golongan Al-Asya’irah (yang merupakan majoriti ulama’ Islam) khususnya dalam kitab Ijtima’ Al-Juyush Al-Islamiyyah. Al-Barbahari juga antara individu yang kuat mengkritik Imam Al-Asy’ari r.a. dan mempunyai fahaman yang kontroversi.

Imam Ibn Asakir r.a. meriwayatkan dengan sanadnya bahawasanya ketika Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari memasuki Baghdad lalu bertemu dengan Al-Barbahari, maka Al-Barbahari bercanggah dan mengkritik Imam Al-Asy'ari. Malah diriwayatkan bahawasanya Al-Barbahari menolak kitab Al-Ibanah karangan Imam Al-As'yari r.a.. [rujuk kitab Tabyiin Kizb Al-Muftari karangan Al-Hafiz Al-Imam Ibn Asakir dan Bara'ah Al-Asy'ariyyin oleh Sheikhu Sheikhna Al-Allamah Sheikh Muhammad Arabi At-Tabbani, m/s 52]


Malah, Abu Al-Qashim meriwayatkan bahawasanya Al-Barbahari selalu berkata:
“Allah akan meletakkan Rasulullah s.a.w. duduk di sebelah Allah di atas Arasy...”.
[Bara'ah Al-Asy'ariyyin m/s 53. Begitu juga, rujuk Al-Kamil fi At-Tarikh oleh Imam Ibn Al-Athir pada bab: Fi Ahdath Sanah 323 Hijriyyah]



Jadi, tidak mustahil, kalau kedua-dua individu ini menolak maksud As-Sawad Al-A’zhom sebagai bilangan yang ramai kerana para ulama’ yang ramai tersebut adalah musuh-musuh mereka (khususnya Al-Asya’irah bagi Ibn Qayyim). Hal ini sangat jelas bagi mereka yang menyelusuri pertembungan antara sebahagian Hanabilah (Ghullat Hanabilah) dengan para ulama’ lain dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah). Bahkan, dalam sesama Hanabilah sendiri pun wujud pertentangan antara pelopor aqidah Tanzih (seperti Imam Ibn Al-Jauzi r.a.) dengan pelopor fahaman Tajsim (yang dikenali sebagai pelampau Hanabilah atau Ghullat Hanabilah seperti Ibn Az-Zaghuni, Ibn Hamid, Abu Ya’la dan sebagainya). [Boleh rujuk Al-Bidayah wa An-Nihayah oleh Imam Ibn Kathir, Siyar A’laam An-Nubala’ oleh Imam Az-Zahabi, Tabaqat Syafi’iyyah oleh Imam As-Subki, Al-Kamil fi At-Tarikh oleh Imam Ibn Al-Athir dan sebagainya]


Bahkan, lebih membimbangkan, golongan syaz (pinggiran) yang lain seperti Mu’tazilah, Jabbariyyah dan sebagainya juga boleh berkongsi kefahaman mereka terhadap As-Sawad Al-A’zhom ini jika berhadapan dengan majoriti ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Golongan Mujassimah, Jabbariyyah, Mu’tazilah dan sebagainya akhirnya bangkit lalu berkata di hadapan para ulama’ Ahlus-Sunnah wal Jamaah yang merupakan majoriti ulama’ Islam: “Kami adalah golongan kebenaran kerana kebenaran tidak semestinya pada ramainya para ulama’ yang berpegang dengannya”. Na’uzubillah


Apa yang penting, berpegang teguhlah dengan manhaj dan tradisi yang telah mencapai tahap At-Talaqqi bi Al-Qabul (mendapat penerimaan majoriti ulama’) dan jadikanlah rujukan kita dalam bidang agama adalah para ulama’ dari kalangan As-Sawad Al-A’zhom yang Allah dan Rasul-Nya shollaLlahu ‘alaihi wasallam janjikan yang mereka tidak akan berhimpun dalam kesesatan selama-lamanya.

Kita nukilkan perkataan Imam Abdul Qahir Al-Baghdadi tentang As-Sawad Al-A’zhom sebagai panduan:

فأما الفرقة الثالثة والسبعون فهي أهل السنة والجماعة من فريقي الرأي والحديث…وفقهاء هذين الفريقين وقراؤهم ومحدثوهم ومتكلمو أهل الحديث منهم، كلهم متفقون على مقالة واحدة... وليس بينهم فيما اختلفوا فيه منها تضليل ولا تفسيق وهم الفرقة الناجية... فمن قال بهذه الجهة التي ذكرناها ولم يخلط إيمانه بشيء من بدع.... فهو من جملة الفرقة الناجية - إن ختم الله له بها - ودخل في هذه الجملة جمهور الأمة وسوادها الأعظم من أصحاب مالك والشافعي وأبي حنيفة

Maksudnya:



“Adapun golongan yang ketiga puluh tujuh adalah golongan Ahlus-Sunnah wal Jamaah adalah dari kalangan Ahli Ar-Ra’yi dan Ahli Hadith…ahli Fuqaha’ dua golongan tersebut (Ahli Ar-Ra’yi dan Ahli Al-Hadith), ahli qur’an mereka, ahli hadith mereka, golongan mutakallimin ahli hadith mereka, yang mana mereka semuanya bersepakat pada suatu pegangan… yang mana tiada antara mereka perselisihan yang membawa kepada menyesatkan dan memfasiqkan (sesama mereka), dan merekalah golongan yang berjaya (golongan kebenaran)… Sesiapa yang berpegang dengan sejumlah pegangan yang telah kami sebutkan itu dan tidak bercampur imannya dengan bid’ah…maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya ini –jika Allah memberi kesudahan umurnya dalam aqidah ini- dan termasuk dalam golongan majoriti umat dan As-Sawad Al-A’zhom dari kalangan pengikut Imam Malik, Imam As-Syafi’e, Imam Abu Hanifah…”
[Al-Farq bain Al-Firaq: 19]



Seburuk-buruk golongan adalah mereka yang terpinggir daripada golongan Ahlus-Sunnah wal Jamaah dan As-Sawad Al-A’zhom yang disebutkan oleh para ulama’ berdasarkan hadith-hadith tersebut. Mereka ini adalah golongan bid’ah walaupun mengaku pengikut sunnah dengan lidah mereka kerana terpinggir daripada Al-Jamaah atau As-Sawad Al-A’zhom.


Benarlah kata Imam Ibn Rajab Al-Hanbali:


وليكن الإنسان على حذر مما حدث بعدهم – أي الائمة- فإنه حدث بعدهم حوادث كثيرة وحدث من انتسب إلى متابعة السنة والحديث من الظاهرية ونحوهم وهو أشد مخالفة لها لشذوذه عن الأئمة وانفراده عنهم بفهم يفهمه أو بأخذ مالم يأخذ به الأئمة من قبله

Maksudnya: “Hendaklah seseorang itu berhati-hati tentang apa yang berlaku kemudian setelah mereka (para ulama’ salaf terdahulu) kerana banyak berlaku setelah mereka perkara-perkara buruk. Ada berlaku di mana seseorang dari kalangan Zahiriyyah (golongan yang telalu berpegang dengan zahir bagi nas-nas samada nas mutasyabihat atau dalam bab hukum-hakam) yang menisbahkan diri mereka kepada mengikut Sunnah dan Hadith (mengaku sebagai Ittiba’ Sunnah atau Ittiba’ hadith) dan sebagainya, sedangkan dia sangat menyalahi Sunnah kerana terpinggir daripada para ulama’ (majoriti) dan terasingnya dia dengan kefahamannya sendiri serta pegangannya yang tidak pernah dipegang oleh para ulama’ sebelumnya”.
[risalah Fadhl Ilm As-Salaf]



Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita bersama-sama dengan As-Sawad Al-A’zhom dan Al-Jamaah sebagaimana yang dimaksudkan oleh Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Hanya Allah s.w.t. sahaja pemberi hidayah dan pembantu dalam menuju kebahagiaan abadi.

Walllahu a’lam…

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafi

Sumber :


Tiada ulasan: