CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

KONGSIKAN

Selasa, 5 Januari 2010

Siri Perbahasan Binatang Bab 1

Oleh : Ustaz Nazrul Nasir

Saya memang suka melihat binatang. Bukan lihat semata-mata, namun turut memperhatikan adakah binatang tersebut boleh dimakan atau tidak berdasarkan mazhab para ulama.Pernah saya pergi berjalan-jalan ke Zoo Negara Mesir yang terletak di Giza seorang diri semata-mata ingin memerhatikan tentang jenis-jenis haiwan yang boleh dimakan dan yang tidak boleh dimakan.Saya ke sana berbekalkan sebuah kitab yang sangat bermanfaat iaitu Hayat Hayawan al-Kubra yang dikarang oleh al-Imam Muhammad bin Musa bin Isa al-Damiri al-Syafie rahimahullah wafat pada 808 hijriyah.Ketika pulang ke Malaysia baru-baru ini antara tempat yang paling ingin saya lawati ialah Zoo Negara.Alhamdulillah Allah memberikan kesempatan kepada saya untuk pergi ke Zoo Negara.Malah pada hari saya dan adik-adik pergi,pengunjung di Zoo Negara sangat sedikit maka ianya memudahkan untuk saya melihat haiwan-haiwan tersebut tanpa gangguan manusia lain. InsyaAllah kita akan sama-sama bahaskan dari masa ke semasa berkenaan haiwan-haiwan ini.Saya akan memulakan perbahasan dengan membincangkan tentang haiwan daratan.

Pasti pembaca akan tertanya kenapa tiba-tiba Ust Nazrul ingin membahaskan berkenaan binatang?Saya cuma sekadar ingin berkongsi dengan para pembaca, sekurang-kurangnya ilmu kita berkenaan haiwan yang boleh dimakan atau tidak akan makin bertambah.Malah ini juga menguatkan iman kita bahawa Islam adalah agama yang terbaik yang membahaskan segalanya tentang kehidupan termasuk haiwan.


SINGA
Justify Full

Ini merupakan binatang yang terkenal.Singa mempunyai nama yang cukup banyak di dalam bahasa Arab. Ibn Khaluyah mengatakan bahawa nama singa menjangkau sehingga 500 nama.Antara nama-nama singa ialah al-Asad, Usamah, Baihas, Na’aj, Jaghdab,al-Harith,Haidarah,Dawwas, Ri’bal,Zufar(seperti nama seorang ulama bermazhab Hanafi),al-Sabu’, Dhargham,Dhaigham,Thaisar,al-Anbas,al-Ghadanfur, al-Farafisoh,al-Qaswarah dan lain-lain.

Al-Imam Damiri mengatakan bahawa ini jelas menunjukkan singa merupakan haiwan yang sangat dihormati.Para hukama’ mengatakan “ Banyaknya nama pada seseorang tersebut, menjadi tanda bahawa si empunya nama merupakan seorang yang mulia”.

Apakah hukum memakan singa?

Al-Imam Syafie, Abu Hanifah , Ahmad bin Hanbal , Daud al-Zohiri dan jumhur para ulama radhiyallahu anhum mengatakan bahawa HARAM bagi seseorang memakan singa. Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu mengatakan bahawa makruh hukumnya memakan singa.Perlu difahami, terkadang al-Imam Malik menggunakan perkataan makruh tetapi maksudnya adalah haram.Tetapi di dalam permasalahan ini para ulama Malikiyah telah menerangkan dengan lebih lanjut bahawa makruh di sini bermaksud tidak haram untuk dimakan.

Kenapa diharamkan memakan singa?

Al-Imam Mawardi mengatakan bahawa al-Imam Syafie rahimahullah mengharamkan untuk kita memakan singa kerana ianya memburu bintang menggunakan taringnya.

UNTA


Ini juga merupakan bintang yang terkenal.Merupakan binatang yang menjadi tunggangan dan sumber makanan kepada bangsa arab zaman berzaman.Unta juga banyak jenisnya. Antara jenis-jenis unta ialah al-Arhabiyah (unta yang digunakan oleh Bani Arhab daripada bangsa Hamdan),Syazqamiyah (dinisbahkan kepada Bangsa Syazqam),al-I’diyah, al-Majdiyah, al-Syadniyah, dan al-Mahriyah. Masih terdapat banyak unta liar.Golongan arab mengatakan bahawa unta liar ini adalah merupakan saki baki keturunan unta daripada Kaum Aad dan Thamud(iaitu kaum Nabi Hud dan Nabi Saleh alaihi al-salam).Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Damiri rahimahullah.

Hukum memakannya adalah HALAL menurut jumhur para ulama.Nabi Allah Ya’qub alaihi al-salam dikatakan mengharamkan dirinya untuk memakan daging unta dan susunya.Ini kerana Baginda alaihi al-salam diserang penyakit urat yang bermula daripada pangkal paha hingga ke buku lali.Baginda mendapati tiada sesuatu pun boleh digunakan untuk mengubatinya melainkan daging unta dan susunya.Maka dengan sebab itulah Baginda mengharamkannya kerana bimbang menyakiti unta tersebut.Kisah ini disebutkan oleh al-Imam Damiri di dalam kitabnya Hayat Hayawan al-Kubra.

Ulama berbeza pendapat di dalam masalah memakan daging unta adakah ianya membatalkan wudhuk atau tidak?

Para Sahabat Baginda sallallahu alaihi wasallam dan ulama yang berpendapat tidak membatalkan wudhuk jika memakannya ialah Saidina Abu Bakr al-Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ibn Mas’ud, Ubai bin Kaab, Ibn Abbas, Abu Darda’,Abu Talhah al-Ansori,Abu Umamah al-Bahili, A’mir ibn Rabi’ah , jumhur para Tabi’ien ,Abu Hanifah, Malik, Syafie dan Para ulama Syafieyah.
Manakala para ulama yang mengatakan batal wudhuk jika memakannya ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal,Ishak bin Rahuyah,Yahya bin Yahya, Ibn Munzir dan Ibn Khuzaimah radhiyallahu anhum.

DUBUK


Binantang ini merupakan binatang buas yang banyak terdapat di negara Afrika.Antara keajaiban yang terdapat pada Dubuk ialah terdapat pertukaran jantina mengikut masa.Menurut al-Imam Damiri rahimahullah, dubuk akan menjadi jantan selama setahun dan akan bertukar selepasnya menjadi betina selama setahun.Ini bermakna ketika tahun menjadi jantan ianya tidak boleh mengandung, tetapi ketika tahun menjadi betina maka ianya boleh untuk mengandung.Arnab juga sebegini menurut sebahagian para ulama.

Hukum memakannya ?

Halal untuk dimakan disisi al-Imam Syafie, al-Imam Ahmad bin Hanbal,Ishak Rahuyah,Abu Thaur, al-Imam Laith dan para ulama Hadis yang lain radhiyallahu anhum.Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu mengatakan bahawa makruh hukumnya memakan dubuk.

Manakala al-Imam Abu Hanifah,Muhammad al-Syaibani, Qadhi Abu Yusuf, al-Thauri, dan salah satu pendapat al-Imam Ahmad mengatakan bahawa ianya haram untuk dimakan.Ini kerana bagi mereka binatang ini adalah termasuk di dalam binatang buas yang berburu menggunakan taring.

Mengapa al-Imam Syafie membenarkan untuk memakan dubuk?

Ini adalah kerana dubuk menurut al-Imam Syafie radhiyallahu anhu tidaklah menggunakan sangat taringnya untuk berburu.Malah jika tiada taring sekalipun binatang ini boleh hidup berbeza dengan singa.Binatang ini juga terkenal hanya suka mengambil sisa makanan yang dimakan oleh binatang lain.

Al-Imam Syafie juga menyebutkan bahawa dubuk dimakan dan dijual di antara Safa dan Marwah.Tiada seorang ulama pun yang melarangnya.Ini kerana arab juga menyukai dagingnya.Perlu kita fahami , antara syarat untuk membolehkan kita memakan sesuatu ialah melihat kepada makanan yang dipilih oleh arab yang bertamadun.Maka dubuk termasuk di dalam jenis makanan yang dibenarkan untuk dimakan.

Diriwayatkan bahawa Saidina Saad bin Abi Waqqas juga memakan dubuk.Manakala Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhum mengharuskan untuk kita memakannya.

Perbahasan akan datang kita akan bincangkan berkenaan binatang yang lain pula.Nantikan perbahasannya.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut al-Azhar al-Syarif dan Masjid al-Asyraf,
Kaherah Mesir

Sumber: Http://NazrulNasir.Blogspot.Com

2 ulasan:

al_madd berkata...

salam ustaz...nak tanya..betul k dubuk boleh menjadi jantan dan menjadi betina.

saya cari dalam buku-buku tentang haiwan tak ada pun mengatakan fakta tentang dubuk ni boleh tukar-tukar jantina..

IbnuNafis berkata...

assalamu'alaikum tuan al madd..

artikel yang ditulis oleh ustaz nazrul mengenai dubuk diantaranya dikaji oleh : al-Imam Damiri rahimahullah.

Mungkin ada pengkajian yang lebih terperinci mengenainya oleh pakar haiwan kini yang berbeza pendapat dengan ulamak di atas.

WaLlahua'lam.

p/s; saya bukan pakar haiwan :)