CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Khamis, 31 Disember 2009

PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH AGAMA-AGAMA LAIN

Sehingga Mac 2009 polimik penggunaan nama Allah berterusan di Malaysia apabila Gereja Kristian di Malaysia mahu menggunakan nama tersebut dalam penerbitan mereka di atas dakwaan kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan. Dalam konteks Malaysia, Islam sebagai agama rasmi di negara ini, telah mempunyai beberapa peraturan untuk menjaga kesucian agama Islam dan ia dijamin juga oleh perlembagaan. Bahkan di negeri-negeri, Raja-Raja Melayu memiliki kekuasaan untuk menjaga isu-isu agama termasuklah hak esklusif penggunaan nama Allah untuk agama Islam.

Perdebatan berkenaan dengan penggunaan nama Allah oleh agama lain mengundang dua pandangan berbeza di kalangan umat Islam samada di kalangan ahli agama, mahupun masyarakat awam.

Terdapat golongan memandang nama ‘Allah’ sememangnya digunakan oleh al-Quran untuk menceritakan bagaimana kepercayaan umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, dalam surah Luqman, ayat 25. Allah SWT bermaksud:

Sekiranya kamu bertanya mereka (orang-orang kafir), siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah. Katakan (wahai Muhammad): Segala puji bagi Allah. Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui.


Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat 61, Allah SWT berfirman bermaksud:

Dan sekiranya kamu bertanya mereka siapakah yang menjadikan langit-langit dan bumi dan yang mengaturkan matahari dan bulan, nescaya mereka mengatakan Allah. Justeru kenapakan mereka berpaling (dari) mentauhidkan Allah?


Golongan ini mengatakan bahawa al-Quran sendiri menyebut bahawa masyarakat bukan Islam menggunakan istilah ‘Allah’ untuk tuhan.

Pada saya, ada beberapa perkara yang perlu diteliti dalam memperbahaskan isu penggunaan nama Allah.

Pertamanya,

kitab-kitab agama-agama langit terdahulu tidak diturunkan dalam bahasa Arab, justeru tidak timbul langsung penggunaan istilah ‘Allah’ untuk agama-agama langit seperti ‘Yahudi’ dan ‘Kristian’. Al-Quran kemudiannya menjelaskan bahawa konsep tauhid agama tersebut yang asal ialah kepercayaan kepada Allah SWT walaupun telah diselewengkan oleh para pendeta dan paderi. Hakikat bahawa kitab-kitab Yahudi dan Kristian bukan berbahasa Arab iaitu taurat dan injil (bible), keduanya tidak menggunakan nama ‘Allah’ untuk merujuk tuhan mereka. Sebaliknya Islam tidak pernah menggunakan istilah yang mereka gunakan terhadap Allah sebagai nama kepada tuhan di dalam ajaran Islam.

Keduanya,

ayat-ayat yang disebutkan di atas adalah berkaitan dengan ayat-ayat sebelumnya. Contohnya, ayat 23 dan 24 Surah Luqman menceritakan orang-orang yang kufur terhadap Allah SWT dan mereka ditimpakan dengan azab yang pedih. Justeru, di kalangan mereka yang kufur (menyembah selain dari Allah SWT), jauh di sudut hati mereka mengakui adanya tuhan yang esa yang menjadikan langit dan bumi. Ini tidak menandakan orang-orang kafir menggunakan lafaz Allah dan menyembah Allah sebagai tuhan mereka.

Demikian juga dalam surah al-Ankabut, ayat sebelumnya menceritakan rahmat Allah.
Sekiranya ditanya kepada orang-orang kafir siapakah tuhan mereka, nescaya mereka akan mengatakan Allah. Namun mereka tetap berpaling. Iaitu mereka masih berpaling dengan tidak meyembah Allah SWT
.
Justeru, ayat ini tidak boleh digunakan untuk menunjukkan tuhan mereka ialah Allah SWT.


Ketiganya,

kemungkinan ada pandangan mengatakan ‘orang-orang Arab Jahiliyah’ menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada ‘tuhan’. Benarkah begitu? Sebaliknya orang-orang Arab sebelumnya banyak menggunakan perkataan ‘ilah’ untuk merujuk kepada tuhan, contohnya ilah latta dan ilah al-uzza.

Sebaliknya, al-Quran datang menggunakan perkataan ‘Allah’ dan bukan perkataan ‘ilah’ bersama penafian Allah itu mempunyai anak, dan penafian Dia mempunya pembantu yang terdiri dari ilah-ilah yang lain sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun, ayat 91 yang bermaksud:

Dan tidaklah Allah mempunyai anak, dan tidaklah bersamanya tuhan yang lain (sebagai pembantu). Oleh itu, sekiranya setiap tuhan memutuskan keputusannya sendiri, nescaya sesetengahnya di atas sesetengah yang lain (menguasai yang lain), mahasuci Allah daripada apa yang mereka sifatkan.


Keempatnya, umat Islam perlu mempertahankan penggunaan nama ‘Allah’ hanya untuk orang-orang Islam kerana beberapa sebab, antaranya:

i. Antaranya penggunaan perkataan ‘Allah’ telah melalui proses penyucian dari segala kesyirikan yang muncul dari zaman selepas nabi-nabi sebelumnya sehingga hari ini sehingga diiktiraf sebagai tuhan orang-orang Islam. Sila lihat kamus-kamus moden bagi membuktikan perkara ini. Justeru itu, membenarkan penggunaan istilah itu kepada bukan Islam adalah satu tindakan ke belakang untuk kembali ke zaman penggunaan nama Allah yang dipenuhi kesyirikan. Sekaligus, ia mengenepikan usaha al-Quran yang berulang kali menafikan sifat-sifat kesyirikan (mempunyai anak dan pembantu-pembantu) yang ada pada zat Allah SWT.

ii. Berpegang pada pandangan bahawa dalam al-Quran menyebut orang-orang kafir menggunakan penggunaan nama Allah, adalah pandangan yang cetek. Tidakkah mereka membaca bersama bahawa al-Quran berulang-kali mensucikan nama ‘Allah’ dari bersifat dengan sifat kelemahan.

iii. Kalau benarpun, ada penggunaan ‘Allah’ sebelum Islam, ia adalah nama umum, yang kemudiannya menjadi nama khusus untuk tuhan orang-orang Islam setelah melalui proses mensucikan nama Allah SWT dari segala sekutu yang tidak layak untuknya.


Semoga membantu kita memahami kepentingan isu ini. Untuk tidak mengulang perbahasan lanjut, saya suka juga merujuk kepada artikel di bawah yang boleh dijadikan rujukan dalam isu ini.

Sekian, wallahu a’lam.

Dr Asmadi
4 Mac 2009


Isu Nama Allah: Persoalan Aqidah Bukan Perebutan Nama
Khalif Muammar*

Isu Herald Tribune telah mengundang reaksi pelbagai pihak sejak awal tahun ini. Setelah Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk melarang penggunaan nama Allah oleh surat khabar tersebut, Dewan Ulama Pas (Harakah, 1 Januari 2008) menyatakan Islam tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimat Allah bagi Tuhan mereka. Sebagai reaksi saya juga telah membahas isu ini dalam artikel yang diterbitkan dalam laman web khairaummah. com pada 20 Januari 2008 dengan harapan ia dapat membantu umat Islam di negara ini memahami persoalan yang sebenar.

Namun isu ini ternyata menjadi hangat kembali apabila Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, menulis dalam Mingguan Malaysia pada 27 April 2008 bahawa Umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Qur'an pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah. Mufti juga menegaskan bahawa yang menjadi permasalahan adalah bukan nama Tuhan tetapi kesyirikan penganutnya. Saya terpanggil untuk memberi tanggapan kerana hal ini akan mengundang kekeliruan jika tidak diperjelaskan dengan tuntas.

Yang paling penting kita perlu jelas bahawa nama Allah telah menjadi nama khas bagi Tuhan umat Islam. Perlu dibezakan antara kalimat Allah dari sudut bahasa yang telah wujud sejak zaman Jahiliyyah dengan kalimat Allah yang telah diIslamkan setelah menjadi istilah atau nama khas. Jika kita perhatikan kalimat tawhid: la ilaha illa Allah. Ia tidak bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan, tetapi tiada tuhan melainkan Allah. Kerana jika ia bermakna tiada tuhan melainkan Tuhan maka tidak ada maknanya seseorang mengucapkan kalimat tawhid itu. Oleh kerana itu sarjana-sarjana Islam tidak bersetuju untuk menggantikan Allah dengan God dalam bahasa Inggeris. Pengislaman nama Allah ini juga jelas apabila kita lihat surah al-Ikhlas, antara surah terpenting dalam al-Qur'an, yang menjelaskan siapakah Allah dan apakah sifat-sifatnya:
"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia"."(al-Ikhlas: 1-4).
Berdasarkan Surah dia atas, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa yang bernama Allah adalah yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Dalam erti kata lain kita tidak mengakui bahawa yang tidak mempunyai sifat-sifat tersebut juga adalah Allah.

Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Asri memang masyarakat Jahiliyyah menggunakan nama Allah, tetapi nama Allah di situ digunakan dari sudut bahasa sahaja dan sebelum perkataan itu diIslamisasikan. Ia kemudian menjadi nama khusus yang merujuk kepada sifat-sifat di atas. Kata-kata solat, contohnya, dari segi bahasa adalah doa dan telah digunakan oleh orang Arab sejak pra-Islam lagi, ia kemudian menjadi istilah yang merujuk khusus kepada apa yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu kita tidak boleh mengatakan orang Katolik juga melakukan solat hanya kerana mereka berdoa di gereja.

Umat Islam perlu melihat apa yang berlaku di sebalik persoalan nama Allah ini. Jika kita lihat dengan teliti isu ini dengan isu-isu yang sebelumnya kita akan dapat melihat hubungannya. Contohnya isu pluralisme agama yang giat dipromosikan oleh orang bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri iaitu Islam Liberal. Para pendukung pluralisme agama ini berusaha untuk mendangkalkan makna-makna atau kata kunci dalam agama. Mereka mengatakan bahawa Tuhan dalam agama manapun pada peringkat tertinggi (transcendental) adalah sama. Bagi umat Islam, konsep Tuhan kita jauh berbeza dengan konsep Tuhan dalam agama mana pun. Pendukung pluralisme agama juga menekankan wujudnya persamaan antara agama-agama dan perbezaan perlu diketepikan untuk kebaikan bersama. Padahal bagi kita perbezaan fundamental antara Islam dengan agama lain walaupun sedikit adalah sangat penting dan tidak boleh dipinggirkan. Sebahagian orang bukan Islam bahkan mengaku telah Islam tanpa perlu masuk Islam. Kerana mereka merasa telah 'berserah diri' kepada Tuhan. Di sini mereka merujuk perkataan Islam dari sudut bahasa ialah berserah diri. Jika Allah hanya bermakna Tuhan maka kini mereka akan mendakwa bahawa mereka juga telah beriman kepada Allah. Padahal mereka hanya percaya pada Tuhan.

Contohnya lagi kita tidak boleh menggunakan kata 'liberal' untuk makna terbuka kerana ia memberi konotasi yang dalam. Kita pun tidak akan mengatakan bahawa mereka telah memonopoli perkataan liberal. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas adalah sarjana Islam yang paling tegas dalam hal pemberian nama atau istilah ini. Bagi beliau banyak kekeliruan berpunca daripada penamaan. Contohnya pelajaran berbeza dengan pendidikan dan ta'dib. Istilah moden dan klasik dalam pembahagian sejarah bagi beliau tidak relevan dengan sejarah Islam dan lain-lain lagi.

Sebenarnya tidak ada nas sorih dan qat'i dalam persoalan ini. Nas dan dalil yang dikemukakan oleh Dr. Asri hanya menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliyyah telah menggunakan kalimat Allah untuk merujuk kepada Tuhan mereka. Kita perlu melihat ayat-ayat dan hadis-hadis seumpamanya dalam konteks penggunaannya dari sudut bahasa. Dari sudut bahasa Allah bermakna Tuhan. Ayat-ayat tersebut turun ketika Islam mula diperkenalkan sebagai proses berdialog dengan kaum musyrikin. Setelah konsep-konsep penting dalam Islam jelas dan worldview Islam terbentuk maka di sini proses Islamisasi berlaku baik terhadap bahasa, budaya dan pemikiran masyarakat Arab. Oleh kerana itu dengan mendangkalkan makna Allah maka kita telah menafikan proses Islamisasi tersebut dan kembali seolah-olah Islam belum bertapak. Memang kita boleh membuat kesimpulan tidak menjadi masalah orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana hal tersebut "tampak" secara literalnya wujud dalam al-Qur'an. Namun, dalam berijtihad seseorang ilmuwan tidak boleh hanya bersandarkan kepada makna literal teks atau nas tetapi perlu juga melihat kepada maqasid dan falsafah yang mendasarinya sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Shatibi.

Persoalan nama Allah tidak boleh dilihat dari sudut fiqh sahaja khususnya kerana ia menyangkut aqidah. Ia mesti melibatkan kepakaran dalam bidang falsafah Islam, dan lebih spesifik metafizik Islam dan epistemologi Islam. Dalam perbualan peribadi dengan seorang tokoh pemikiran Islam, Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, beliau memberitahu dan menyambung hujah Prof S.M.N al-Attas bahawa al-Qur'an telah merubah dan memperbaiki kekeliruan dan kerusakan yang telah terjadi kepada hakikat-hakikat penting yang berkisar di sekitar ketuhanan, kemanusiaan dan kejadian. Dalam hal ini yang terjadi ialah proses Islamisasi terutama tentang hakikat ketuhanan yang merupakan tiang seri agama Islam. Menurut beliau lagi sekarang ini yang kelihatan sedang berlaku ialah proses deislamisasi dengan membawa makna-makna yang asing dan berlawanan dengan aqidah dan pandangan alam Islam, samada aliran-aliran sekular atau dari agama-agama lain.

Prof Wan Mohd Nor juga berkata setiap istilah dalam semua bahasa mempunyai batas-batas makna yang sah yang mencerminkan pandangan alam tertentu, dan yang membezakan sesuatu istilah itu dengan yang lain. Persamaan yang banyak pun masih memerlukan istilah atau nama yang berbeza jika terdapat hanya satu perbezaan yang penting.


Sebab itulah semua bahasa-bahasa yang tinggi mempunyai kamus. Keldai, kuda, baghal banyak persamaan tetapi terdapat perbezaan; dua manusia kembar siam juga diberi nama yang berbeza. Orang bukan Islam boleh mempekayakan kamus peristilahan Bahasa Melayu dengan menggunakan nama lain bagi Tuhan mereka. Dalam konteks Kristian, mereka boleh gunakan Tuhan, Dewata, Deus, Theos, atau God. Selama ini gereja, kuil, sami, paderi, uskup dan lain telah memperkayakan Bahasa Melayu dan tidak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan masyarakat yang beragama lain. Di sini jelaslah bahawa seseorang yang bercakap tentang persoalan aqidah mesti faham kaitannya dengan worldview, tasawur dan pemikiran Islam. Dalam hal ini, aqidah tidak hanya bermakna kepercayaan dan keimanan dalam ertikata yang sempit seperti biasa difahami oleh masyarakat umum, namun ia adalah satu set keyakinan yang dapat memberi kesan kepada cara berfikir (worldview) dan cara hidup (way of life) seseorang Muslim.

Kita juga perlu berfikir mengapa kaum Katolik ingin menggunakan nama Allah? Kita tidak boleh tertipu dengan hujah persamaan nama yang bagi sesetengah orang hanya bersifat luaran. Kita tahu pada hakikatnya nama Tuhan mereka bukan Allah. Nama Allah mungkin relevan bagi penganut Kristian di negeri-negeri Arab tetapi tidak di selain negeri Arab. Oleh itu jelas terdapat agenda yang tersembunyi yang tidak boleh luput dari perhatian umat Islam. Isu ini juga dibangkitkan dengan memanfaatkan toleransi dan dialog antara agama yang semakin mendesak ketika ini.

Tindakan membiarkan pihak Kristian menggunakan kalimat Allah bukan satu toleransi tetapi satu penggadaian hak dan kedaulatan. Ia adalah satu kerugian yang besar dan kelemahan yang nyata apabila umat Islam membiarkan penganut agama lain mendangkalkan konsep dan istilah penting dalam Islam. Perkataan Allah, solat, tawhid, rasul, bahkan istilah Islam itu sendiri membawa makna yang tersendiri setelah diislamisasikan. Kalimat-kalimat ini telah menjadi bahagian penting daripada pandangan sarwa Islam (Islamic worldview). Jika ia dikaburkan maka sudah tentu akan memberi kesan kepada pemikiran dan aqidah umat Islam.

Sesiapa pun yang ingin memahami persoalan ini perlu sedar bahawa beberapa istilah keagamaan tertentu telah menjadi 'milik' umat Islam. Sebarang tindakan meng-'import' nya boleh dianggap sebagai penyalahgunaan dan pencabulan terhadap agama Islam. Istilah-istilah keagamaan mesti dihormati, dari agama manapun ia datang, oleh penganut agama lain. Toleransi mungkin berlaku jika wujud penghormatan terhadap agama lain. Nama dan istilah tertentu seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dalam agama-agama tertentu tidak boleh digunakan sewenang-wenang oleh penganut agama lain. Ini bukan sahaja kerana ia telah sinonim dengan agama penggunanya tetapi juga kerana kalimat ini telah diwarnai atau mengandungi pandangan sarwa penggunanya.

Oleh itu tindakan Kementerian Dalam Negeri pada 31 Disember 2007 melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong dan orang-orang agama tidak sepatutnya mengeruhkan lagi keadaan. Umat Islam mesti mempertahankan nama Allah untuk tidak digunakan oleh orang bukan Islam selagi termampu. Masyarakat Islam di negeri-negeri Arab tidak mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hal ini kerana ia berlaku secara halus dan di luar kawalan mereka. Kebelakangan ini tampaknya ketidaksepakatan orang Islam dalam hal ini telah membuka ruang kepada Herald Tribune untuk menggugat keputusan Kementerian tersebut.

Maka dapat disimpulkan bahawa jika dilihat dari sudut falsafah dan pemikiran, dan bukan hanya dari sudut fiqh, kita akan melihat bahawa nama memberikan seribu makna. Jauhnya perbezaan antara Allah dengan Tuhan ibarat langit dengan bumi. Jelaslah isu ini bukan isu perebutan nama tetapi isu yang menyangkut jantung aqidah. Ia juga berkaitrapat dengan pendangkalan makna Allah untuk menjustifikasikan pluralisme agama. Kita tidak boleh membiarkan pendangkalan makna tersebut berlaku tanpa penolakan umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab semua ilmuwan Islam untuk menentang segala usaha mendangkalkan makna dalam Islam.

*Penulis adalah Felo Penyelidik ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu), UKM.

Sumber : Dr Asmadi Mohamed Naim

Bacaan Tambahan :

Rabu, 30 Disember 2009

'Bahtera Perubahan' Dalam Seminar Takhrij Hadith Nusantara (?)

Oleh : Ustaz Khafidz bin Soroni

- Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan menyertai Seminar Takhrij Hadith Nusantara di UM (blog seminar). Hari ini saya sebagai pendengar saja. Sebagaimana biasa seminar-seminar di IPT, rata-rata pembentang adalah berkelulusan master atau Ph.D di dalam bidang kepakaran yang berkenaan. Adakalanya ada juga pelajar master yang membentang. Para pembentang juga biasanya dari kalangan pensyarah-pensyarah di IPT. Dari sudut ini, dapat dilihat semacam ada dinding antara mereka dengan tok-tok guru, syeikh-syeikh, ustaz-ustaz serta lain-lain ahli ilmu di luar IPT. Dalam pengalaman saya, jarang ada jemputan khas dari kalangan mereka. Apa yang baik, di kalangan ahli-ahli akademik walaupun berbeza kecenderungan masing-masing, mereka dididik agar bersifat terbuka dalam pelbagai masalah dan isu, asalkan ia berpaksi kepada hujah dan dalil. Tiada ketaksuban kecuali dalam mengikut nas dan dalil. Namun adakalanya sifat keterbukaan itu hanya meniti di mulut kemudian dilemparkan ke tepi sahaja.

- Dalam bidang hadith di IPT, kebanyakan mereka yang takhassus adalah orang-orang yang saya kenali atau biasa namanya disebut-sebut. Tidak ramai yang di peringkat veteran, namun bilangannya di peringkat syabab (orang muda) semakin bertambah dari tahun ke tahun. Namun, tidak ramai yang daripada lulusan al-Azhar (Mesir), dan banyak yang daripada lulusan tempatan, Jordan dan Saudi. Fenomena ini turut menjadi perhatian saya kerana berdasarkan pengalaman, pelajar lulusan al-Azhar biasanya punya cara berfikir yang sedikit berbeza dengan pelajar lulusan tempat lain. Antara sebabnya mungkin kerana mereka hidup dalam masyarakat Arab Mesir yang mengamalkan berbagai-bagai mazhab fiqh dan juga tariqat-tariqat sufi yang subur, selain turath ulama yang tidak terkira banyaknya. Kesan fenomena ini ialah hingga ada yang berkata kepada saya: "Semua 'orang hadith' sekarang nampaknya cenderung kepada 'wahabi'...". (????....) Satu tamparan ringan sebenarnya buat saya.

- Dalam pembentangan utama seminar sebelah pagi ada dua orang yang tidak asing namanya disebut dalam bidang hadith, iaitu Dr. Muhammad Abu al-Laith, UIA dan Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, USM. Dr. Abu al-Laith walaupun cenderung kepada salafi, pada hemat saya beliau agak bersifat terbuka yang memang layak sebagai seorang ahli akademik. Antara katanya (bermaksud):
Asya'irah dan Maturidiyyah juga adalah salafiyyun...

- Hingga tiba pembentangan Dr. Asri bertajuk "Salah Faham Terhadap Tujuan Isnad". Saya mengharapkan hari ini beliau tidak akan bercakap perkara yang dapat membuat 'kepanasan' orang lain. Saya harap biarlah beliau bercakap dengan benar-benar ilmiah. Jika beliau hendak mengkritik orang lain sekalipun, biar dibawakan hujah pro dan kontra, dalil kawan dan lawan, kemudian masing-masing dinilai dan seterusnya baru mentarjih. Saya mengharap itu. Namun saya sedikit kecewa apabila kertas kerja beliau tidak ada disertakan agar dapat disemak dan dibaca. Maka para hadirin hanya mendengar ucapan beliau serta melihat slaid power-point yang disediakannya. Bagaimanapun, apa yang saya harapkan di awal tadi tidak berlaku hari ini. Setelah selesai ucapan beliau, baru saya benar-benar sedar bahawa tajuk beliau tersebut rupa-rupanya bertujuan untuk 'menyerang' orang-orang yang mengadakan pengajian-pengajian bersanad pada masa sekarang ini.

- Saya sebenarnya tidak mahu menulis tentang hal ini kerana saya sangat khuatir kalau apa yang saya sebut bersifat peribadi tanpa saya sedar. Saya tidak mahu dilihat begitu semampunya. Apa yang ingin saya sentuh ialah pemikiran, cara berfikir, metode dan pendekatannya sahaja. Justeru atas rasa perlu menjelaskan pendirian yang saya lihat lebih benar dan tepat, maka saya sebut juga di sini.

- Menurut Dr. Asri , tujuan sebenar sanad ialah untuk melihat kesahihan hadith dan ia bukan untuk berbangga-bangga. Namun kini ia telah disalahfaham, hinggakan ada yang mendakwa belajar tanpa sanad adalah tidak sah! Ini adalah jawapan bagi persoalan yang ditimbulkan oleh beliau; apakah sanad masih diperlukan sehingga zaman mutakhir ini? Jika tujuan sanad ialah untuk memastikan kesahihan hadith, mengapa perlu sanad hadith, Sahih al-Bukhari contohnya, untuk sampai kepada kita? Beliau berpendapat (memperlekeh sebenarnya?), 'kempen' periwayatan sanad yang dibuat oleh 'pusat-pusat' pengajian bersanad ketika ini adalah tidak releven. Malah katanya (secara sindiran), kalau nama kita masuk dalam sanad, nescaya jadi daif hadith tersebut, bahkan jadi mawdhu' (palsu)!... (???...!!!!...***)

- Sesudah menunjukkan ijazah sanad hadith yang beliau perolehi daripada beberapa orang syeikh hadith India (walaupun katanya bukan untuk menunjuk), beliau turut mempersoalkan; adakah sanad hanya untuk tabarruk (ambil keberkatan)? Kalau ada orang yang daif atau majhul dalam sanad tersebut, apa perlunya tabarruk? Justeru beliau berkesimpulan sanad hanyalah untuk zikra (kenangan) sahaja. Katanya, Dr. Abu al-Laith pun bersetuju.

- Demikian adalah rumusan daripada pembentangan beliau tersebut. Saya melihat ianya tidak ilmiah kerana ia dibuat hanya untuk 'menyerang' pihak tertentu. Tidak dibawakan perbahasan tentang ilmu sanad merangkum ilmu rijal yang sangat luas skopnya, dan hanya memfokus tujuan kewujudan sanad dalam kurun-kurun hijrah yang awal. Mengapa tidak disebut keprihatinan ulama-ulama Islam sepanjang kurun melewati zaman Ibn Hajar, dan al-Suyuti sehingga ke zaman al-Fadani, dan zaman mutakhir ini, keprihatinan mereka dalam memelihara sanad dan menghimpunkannya? Sejauhmana kita layak menyebut (روينا) atau (أخرج فلان) sahaja? Apakah ratusan, atau ribuan kitab-kitab sanad (bernama thabat, mu'jam, fihris dll.) itu semua hanya untuk zikra? Juga tidak diterangkan tentang kepelbagaian seni sanad yang dipelihara oleh para ulama terdahulu, di mana semua kitab-kitab yang dikarang diriwayatkan hingga kepada penyusunnya di dalam berbagai bidang ilmu. Apakah ianya semata-mata untuk zikra? Juga tidak disebut, apa yang membezakan kita dengan golongan Yahudi dan Kristian dan wajar untuk dibangga-banggakan ialah keistimewaan isnad yang dipelihara sehingga ke hari ini. Kewujudan sanad sehingga ke hari ini, bukan sekadar untuk tabarruk dan zikra semata-mata. La' ya syeikh, ... Ia adalah anugerah, fadhilat, toma'ninah, khauf wa raja' (takut dan harap), adab, syiar dan sakinah (ketenangan)!!!

Wallahu a'lam.

Sumber : Http://Sawanih.Blogspot.Com

Bacaan tambahan :

Isnin, 28 Disember 2009

Bahaya Riba

Oleh : Ustaz Buluh

Artikel Akhbar: Bahaya Riba


Assamualaikum Warahmatullah.

Alhamdulillah. Syukur saya panjatkan ke hadrat Allah Taala kerana artikel saya ini telah disiarkan oleh akhabr Berita Harian pada 24 April 2009 (Jumaat). Artikel bertajuk Pemberi, Penerima Riba Umpama Binatang Buas telah dikeluarkan di bahagian Agama akhbar Berita Harian. Di sini saya letakkan artikel asalnya bertajuk Bahaya Riba untuk paparan sahabat-sahabat semua. Semoga mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

BAHAYA RIBA

Firman Allah Taala bermaksud:

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukkan syaitan lantaran (terkena) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.
(Surah al-Baqarah: Ayat 275).

Menurut para ulama, riba ialah kontrak yang dimenterai sebagai pertukaran barangan tertentu tetapi pada ketika kontrak dimeterai, pertukaran ini tidak diketahui kesamataraannya menurut ukuran syarak ataupun penyerahan salah satu atau kedua-dua barangan tersebut dilewatkan. Adapun Riba yang diharamkan ini ada dua jenis iaitu: Riba Nasiah dan Riba Fadl. Riba Nasiah bermaksud: Riba dengan penundaan pembayaran. Riba ini juga boleh dinamakan dengan Riba Ajal. Riba Fadhl pula bermaksud: Riba dengan melebihkan atau menambah sesuatu. Manakala mazhab Shafie menambah Riba Yad yang bermaksud: Riba dengan penangguhan penyerahan.

Firman Allah Taala bermaksud:


Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda.
(Surah Ali-Imran: Ayat 130).

Fokus saya pada tulisan ini bukanlah untuk menerangkan hukum riba kerana saya pasti bahawa semua orang sudah sedia maklum bahawa riba hukumnya adalah haram. Namun penulisan ini saya ingin fokuskan mengenai bahaya-bahaya dan kesan buruk pengambilan dan pengamalan riba terhadap individu, masyarakat dan negara. Islam mengharamkan riba dan menyatakan riba sebagai kejahatan terbesar dan dosa terberat yang dilakukan oleh manusia. Rasulullah S.A.W. juga melaknat setiap orang yang terlibat dalam riba ini.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka jika kamu tidak mengejakan (meninggalkan riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan rasulNya menyatakan perang terhadap kalian.
(Surah al-Baqarah: Ayat 279).

Dari Jabir R.A. berkata bermaksud:

Rasulullah S.A.W. telah melaknat pemakan riba, orang yang memberikan riba, orang yang menjadi penulisnya dan saksi-saksinya. Kemudian Rasulullah S.A.W. mengatakan: Mereka semua adalah sama.
(Riwayat Muslim, Nasai, Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Hibban).

Di antara kesan buruk riba terhadap individu adalah melahirkan individu bersikap ego. Pelaku riba hanya mengutamakan kepentingan peribadi dan memikirkan perihal diri sendiri sahaja. Sikap ego ini akan menghilangkan semangat pengorbanan dalam mendahulukan orang lain serta akan lenyap erti kasih untuk menjaga kebajikan kepada sesama masyarakat maka akan pudarlah ikatan persaudaraan antara sesama manusia. Pelaku riba umpama binatang yang buas. Di dalam kehidupan seharian, fikiran mereka hanyalah berlegar-legar di sekitar untuk mengumpulkan harta kekayaan dan menghisap darah saudara seagama mereka sendiri. Riba juga akan menghilangkan nilai kemuliaan dan rasa kasih sayang dan menggantikannya dengan sifat tamak dan serakah padahal sifat tamak adalah dari bangsa Yahudi yang menyebarkan riba dalam masyarakat di dunia ini.

Adapun bila ditinjau dari sudut ekonomi, bahaya riba itu sangat nyata dan jelas kerana ia membahagikan manusia menjadi dua kelompok: Kelompok yang hidup dalam kemewahan dan kelompok yang terjerumus dalam kefakiran.

Kelompok yang hidup dalam kemewahan ini bersenang-senang dengan hasil keringat orang lain. Masyarakat tidak pernah mendapat manfaat dan keuntungan daripada kemewahan mereka. Mereka telah merampas hasil susah payah orang lain dengan kejam melalui amalan riba. Dengan demikian para pekerja akan mula menganggur dan pertumbuhan ekonomi menjadi lumpuh kerana orang-orang yang tamak itu hanya menunggu keuntungan yang melimpah tanpa melakukan usaha. Kelompok yang terjerumus dalam kefakiran ini pula adalah orang yang membanting tulang dan bekerja keras sedangkan hasil usahanya dinikmati oleh para pemilik harta. Dengan itu akan muncul bibit-bibit perpecahan dan pertentangan di antara kedua-dua kelompok tersebut. Dari sini jugalah telah terbit aliran yang disebut sebagai kapitalisme dan komunisme.

Ditinjau dari aspek kemasyakatan, riba akan melahirkan rasa permusuhan dan kebencian antara anggota masyarakat. Riba juga menjadi penyebab hilangnya ikatan-ikatan kemanusiaan dan persaudaraan di pelbagai peringkat masyarakat serta akan menghancurkan prinsip-prinsip belas kasihan dan kebaikkan dalam jiwa manusia. Kerana itulah Allah Taala menyatakan perang terhadap para pelaku riba dan memberikan peringatan bahawa Dia akan menghilangkan keberkatan dan menghancurkannya serta akan melaknat pelakunya.

Firman Allah Taala bermaksud:

Allah memusnahkan (keberkatan riba) dan menyuburkankan sedekah dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.
(Surah al-Baqarah: Ayat 276).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:


Jauhilah tujuh perkara yang akan membinasakan. Salah satu di antaranya: Memakan riba.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebahagian besar bank-bank konvensional di Amerika Syarikat dan Eropah berada di bawah pengendalian Yahudi. Apabila mereka dapat menguasai ekonomi negara-negara tersebut maka secara tidak langsung mereka juga turut menguasai politik. Walaupun bilangan mereka amat sedikit di dunia ini tetapi dengan harta kekayaan yang mereka miliki itu, mereka dapat membuat negara-negara itu menjadi sekutu mereka dalam melakukan kezaliman terhadap umat Islam di serata tempat. Dengan penguasaan ekonomi ini jugalah mereka boleh menguasai pemerintahan sesebuah negara itu. Sesiapa yang tidak sependapat dengan kejahatan mereka akan dihancurkan bahkan dibunuh seperti yang berlaku kepada bekas Presiden Amerika Syarikat iaitu John F. Kennedy.

Umat Islam di Malaysia hari ini perlulah menghindarkan diri dari terus terjerumus ke lembah riba yang mana ia adalah jarum-jarum suntikan dari Yahudi untuk memecahbelahkan dan melemahkan umat Islam. Bank-bank juga disarankan agar menyediakan sistem perbankan Islam selari dengan tuntutan syarak dan perkembangan ekonomi masa kini. Umat Islam mesti bangkit untuk menghapuskan riba.

Firman Allah Taala bermaksud:

Barangsiapa yang kembali mengambil riba maka mereka itu adalah penghuni-penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.
(Surah al-Baqarah: Ayat 275).

Daripada:

MUHAMMAD RASHIDI BIN HAJI WAHAB.

Universiti Al-Azhar, Mesir.

Email: shidi_buluh@yahoo.com.

Blog: http://buluh.iluvislam.com.

Capaian asal di dalam Berita Harian di sini:

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20090423222544/Article


‘Memberi dan Berbakti’

Wallahualam.

Ahad, 27 Disember 2009

Saranan Dr. Al-Qaradhawi Agar Aqidah Al-Asy'ari Terus Dijaga Di Malaysia

Disebutkan dalam islamonline.net di bawah tajuk:“القرضاوي يدعو ماليزيا للتمسك بشخصيتها الإسلامية” (Maksudnya: Al-Qaradhawi mengajak Malaysia agar Berpegang dengan Jati Diri/Peribadi Keislamannya) antaranya:

الدوحة- دعا العلامة الشيخ يوسف القرضاوي ماليزيا إلى المحافظة على شخصيتها الإسلامية المتمثلة في مذهبها الشافعي وعقيدتها الأشعرية للوقوف أمام أي تسلل فكري من الخارج.

Maksudnya:

Dhoha- Al-Allamah As-Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi menyeru kepada negara Malaysia agar menjaga syakhsiyyah (peribadi, jati diri atau ciri-ciri) keislamannya yang terzahir daripada mazhabnya As-Syafi’e dan aqidahnya (masyarakat Islam Malaysia) yang Al-Asy’ari untuk berdiri menghadapi dan mendepani serangan pemikiran dari luar.


وخلال لقائه أمس مع رئيس الوزراء الماليزي نجيب تون رزاق، دعا الشيخ القرضاوي رئيس الوزراء والعلماء للتكاتف من أجل المحافظة على الشخصية الإسلامية الماليزية "أشعرية العقيدة شافعية المذهب" لمواجهة أي تسلل فكري ومذهبي وافد من الخارج يشتت وحدتهم ويفسد عقيدتهم.


Maksudnya:

Pada pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia semalam iaitu (Dato’ Seri) Najib Tun Razak, Sheikh Al-Qaradhawi mengajak Perdana Menteri dan para ulama’ agar bersatu padu untuk menjaga jati diri keislaman (Syahksiyyah Islamiyyah) Malaysia yang bersifat “Asy’ari dari sudut aqidah dan Syafi’e dari sudut mazhab” untuk menghadapi segala ancaman pemikiran dan mazhab dari luar yang memecah belahkan kesatuan mereka dan merosakkan aqidah mereka.

Kemudian disebutkan:

وعقب رئيس الوزراء الماليزي على كلام الشيخ القرضاوي، مؤكدا حرص حكومته على أن تبقى الشخصية الإسلامية الماليزية بعيداً عن الخلافات المذهبية التي تشتت ولا تجمع.

Maksudnya:

Perdana Menteri memberi ulasan terhadap perkataan Sheikh Al-Qaradhawi dengan menegaskan bahawasanya kerajaan akan terus mengekalkan jati diri (syakhsiyyah) keislaman negara Malaysia agar jauh daripada perselisihan mazhab yang memecah-belahkan umat dan tidak menyatukan mereka.

Rujukan:

1. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1260258249444&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout

2. http://www.qaradawi.net/news/4800-2009-12-23-19-32-24.html

Jumaat, 25 Disember 2009

Mencontohi Salafussoleh

Oleh Al Harits Al Muhasibi (wafat 243 H)

Dapatkan sejarah peninggalan mereka yang bertambah takut dengan ilmu, bertambah celik dengan amalan dan bertambah kenal dengan akal.

Imam Ibnu Hajar di dalam Hadyus Sari Muqaddimatu Fathul Bari ada menyebut bahawa Muhammad bin Mansur pernah menceritakan :
Pernah satu ketika kami menghadiri majlis Imam Bukhari, lalu ada orang mencampakkan kotoran yang ada di janggutnya ke lantai. Aku dapati, Imam Bukhari memerhati kotoran itu dan memerhatikan orang ramai, lalu apabila ia merasakan orang ramai sedang leka, ia mengambil kotoran tersebut dan memasukkan ke dalam bajunya. Dan apabila ia keluar dari masjid ia pun mencampakkan kotoran itu di atas tanah.

Andaikata kamu tidak dapat mengikuti cara mereka akibat kekurangan adab maka hendaklah kamu mencela dirimu sendiri. Sesungguhnya sifat orang yang ikhlas tidak akan tersembunyi dari orang-orang yang berilmu.

Ketahuilah bahawa setiap fikrah terdapat adab dan setiap isyarat terdapat ilmu. Yang akan dapat membezakan demikian itu hanyalah mereka yang dapat memahami kehendak ALlah 'azza wa jalla dan dapat memetik buah-buah keyakinan dari firman-firmanNya.

Tanda-tanda demikian itu yang terdapat pada orang yang sodiq (benar) ialah :

1. Apabila ia melihat ia akan mengambil iktibar

2. Apabila ia berdiam ia akan berfikir

3. Apabila ia bercakap ia akan berzikir

4. Apabila ia terhalang ia akan sabar

5. Apabila diberi ia akan bersyukur

6. Apabila diuji ia mengucap tarji' إن لله و إنا إليه راجعون

7. Apabila dilakukan tindakan bodoh ke atasnya ia berlemah lembut

8. Apabila ada ilmu ia merendah diri

9. Penyayang apabila mengajarkan ilmu

10. Dan apabila ditanya ia berusaha untuk menjawab

Beliau adalah penawar kepada orang yang mengharapkan, pembantu kepada yang meminta panduan, sebagai rakan kebenaran, gua kebaikan, suka merelakan bagi hak dirinya dan sangat tinggi kemahuannya pada hak ALlah subahanahu wa ta'ala.

Niatnya lebih baik dari amalannya, amalannya pula lebih baik dari cakapnya, dalamannya adalah kebenaran, pengikatnya adalah malu, dikenali sebagai warak, penonjolannya diyakini, ia mempunyai cahaya-cahaya kewarasan yang digunakan untuk berpandangan, mempunyai ilmu-ilmu yang benar untuk diungkapkan dari dalil-dalil keyakinan untuk diperkatakan.

Yang akan mencapai peringkat ini hanyalah orang yang memujahadahkan dirinya (latihan dan usaha untuk melawan hawa nafsu agar tidak haoba terhadap dunia) kerana ALlah, mengistiqomahkan tekadnya untuk mentaati ALlah, mentakuti ALlah dalam keadaan terdedah mahupun tersembunyi, memendekkan angan-angan, memperkemaskan ikatan ketelitian dan ia menyelamatkan (diri dari kemurkaan ALlah) dengan tiupan angin keselamatan di lautan ibtihal (munajat dan memohon kepada ALlah).

Justeru waktunya dalam keuntungan, keadaannya sentiasa selamat, tidak akan terkabur dengan hiasan dunia yang menipu dan kilauan fatamorgana serta kelembutan bayu dunia tidak dapat melalaikannya tentang kedahsyatan hari kebangkitan.

Sedarilah bahawa orang yang berakal setelah jelas keilmuannya dan nyata keyakinannya akan mengetahui bahawa tidak ada sesuatu yang akan menyelamatkannya dari Tuhannya melainkan kejujuran, lantaran ia akan bertekun mendapatkannya dan akan mencari orang-orang yang jujur dengan harapan ia akan hidup sebelum matinya (memanfaatkan hidupnya dengan amalan dan kerja yang berfaedah), agar ia bersedia untuk hari yang kekal setelah matinya, maka ia menjual harta dan jiwanya kepada Tuhan, justeru ia pernah mendengar firmanNya :


إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَ‌ۚ


Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,
(Surah At Taubah : 111)

Lantas ia berilmu setelah kejahilan, kaya setelah fakir, terhibur setelah kesepian, dekat setelah kejauhan, lega setelah keletihan. Teraturlah sudah urusannya dan terkumpul sudah harapannya.

Slogannya adalah kepercayaan dan keyakinan dan keadaannya adalah berawasan (muraqabah) tidakkah kamu memerhatikan sabdaan RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam :

أعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Ertinya : Sembahlah ALlah bagaikan kamu melihatnya, walau pun kamu tidak dapat melihatnya justeru (sedarlah sebenarnya) Dia sedang melihat kamu
(Riwayat Muslim)

Orang jahil menyangkanya seorang yang pekak dan lesu, kebijaksanaannyalah yang memekakkannya, orang menyangkanya seorang yang bodoh bercakap merapu, bernasihat kerana ALlah lah yang membuat ia berbicara, orang menyangkanya seorang yang kaya, sikap tidak memintalah yang mengkayakannya dan orang menyangkanya fakir, sikap tawadhuklah yang merendahkannya.

Dia tidak menyampuk sesuatu yang tidak berkenaan dengannya, tidak menggagahi lebih dari keperluannya, tidak mengambil apa yang tidak dihajati, tidak mengabaikan apa yang diamanahkan kepadanya. Orang ramai rasa senang dan tidak terganggu dengannya, sementara ia merasa letih berhadapan dengan nafsunya. Ia telah memautkan halobanya dengan warak. menyekat tamaknya dengan takwa dan menghilangkan hawa nafsunya dengan cahaya ilmu.

Bentuklah diri seperti ini, berkawanlah dengan orang-orang sedemikian,

Daripada Abu Hurairah radiyaLLahu 'anhu, daripada Nabi sallaLLahu 'alaihi wasallam sabdanya yang bererti :
ALlah mempunyai beberapa malaikat peronda yang sentiasa bergerak di atas bumi, apabila mereka naik ke langit ALlah subahanahu wa ta'ala akan bertanya kepada mereka, sedangkan Ia lebih mengetahui : Dari mana kamu datang ? Jawab mereka : Kami datang dari beberapa orang hambaMu di atas muka bumi yang sedang bertasbih, bertakbir dan bertahlil, bertahmid dan memohon doa dan keampunan dariMu. Lalu ALlah berfirman : Sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka, aku memberikan apa yang mereka minta dan aku melindungi mereka dari apa yang mereka mohon perlindungan. Para malaikat pun berkata : Tetapi, bersama mereka ada satu orang yang banyak melakukan kesalahan, dia hanya duduk bersama mereka secara kebetulan ia lintas di situ sahaja. Jawab ALlah : Kepadanya pun aku ampuni, mereka adalah kaum yang tidak akan mencelakakan orang yang duduk bersama mereka
(Riwayat Muslim)

jejakilah tauladan mereka dan beradablah dengan tingkahlaku mereka. Mereka adalah simpanan yang terjamin, membeli mereka dengan dunia adalah untung, mereka adalah senjata dalam kesusahan dan pendamping yang boleh dipercayai. Andai kamu kefakiran mereka akan mengkayakan kamu dan andai mereka berdoa kepada Tuhan kamu tidak akan dilupakan.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٢٢)

Ertinya : "Mereka adalah penyokong-penyokong (agama) ALlah, ketahuilah, sesungguhnya penyokong-penyokong agama ALlah itu adalah orang-orang yang berjaya"


(Surah al Mujadalah: 22)

Sumber Rujukan : Imam Harith Al Muhasibi, Risalah al Murtasyidin, Pent Ustaz Ilyas bin Haji Ismail, Cet 2006, Darul Fawwaz, Kedah.

Rabu, 23 Disember 2009

Hukum Membaca Al Fatihah Dalam Pembukaan Majlis

Oleh : Ustaz Husni Ginting


Soal : Syeikh apakah hukum pembacaan al-Fatihah sebelum membuka majlis, mengingat kami selalu membuka majlis dengan al-Fatihah, dan ada orang mengatakan bahwa itu tidak berdasarkan hukum.

Jawaban : Membuka suatu majlis dengan pembacaan al-Qur`an adalah di sunnahkan, demikian juga membuka majlis dengan pembacaan surah al-Fatihah, karena surah al-Fatihah itu sebahagian dari al-Qur`an, dan al-Qur`an itu adalah zikir yang paling baik sekali, kita dituntun untuk berzikir kepada Allah dalam segala bentuk majlis, dan zikir yang paling baik adalah pembacaan al-Qur`an, sebab Rasulullah bersabda didalam hadits yang sohih yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

ما اجتمع قوم فتفرقوا عن غير ذكر الله إلا كأنما تفرقوا عن جيفة حمار

Artinya : Tidaklah berkumpul satu golongan, kemudian mereka bercerai berai tanpa berzikir kepada Allah kecuali mereka itu seperti bercerai berai dari bangkai himar ( keledai ).


Hadit ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad didalam Musnadnya, dan Imam Nasa`i didalam `Amalul Lail wa Lailah.

Penjelasan hadits :

Hadits ini mengajak kita agar jangan lalai dari zikir kepada Allah ketika berada di suatu majlis, anjuran berzikir kepada Allah bukan saja ketika selesai solat tetapi juga ketika melaksanakan suatu majlis, diantara zikir yang paling baik sekali dibaca adalah al-Qur`an al-Karim.

Demikian juga apa yang telah diriwayatkan oleh Sayyidah `Aisyah :


كان النبي صلى الله عليه وسلم يذكر الله في شأن كله
Artinya : Bahwa Nabi Muhammad saw berzikir kepda Allah dalam segala keadaan
( H.R Bukhari ).

Sementara surah al-Fatihah adalah surah yang paling agung dari surah-surah yang ada di al-Qur`an sebagaimana hadits yang di riwayatkan oleh Abi Sa`id bin al-Mu`alla didalam sohih Bukhari hadits ke 5006.

Adapun orang yang menganggap bahwa bacaan al-Qur`an di dalam majlis tidak pernah dibuat oleh ulama-ulama terdahulu ini berdasarkan tidak banyaknya membaca sejarah ulama-ulama, sebab mereka ( ulama-ulama ) selalu memulai majlis dengan bacaan al-Qur`an, terlebih-lebih majlis pembacaan hadits nabi saw.

Berkata Imam Nawawi didalam kitab at-Taqrib :

ويفتتح مجلسه ويختتمه بتحميد الله والصلاة والسلام على النبي صلى الله عليه وسلم ودعاء يليق بالحال، بعد قراءة قارئ حسن الصوت سيئا من القرآن العظيم

Artinya : Hendaklah dibuka dan ditutup majlis pembacaan hadits itu dengan memuji Allah , dam berdo`a dengan do`a yang sesuai keadaan, bersolawat kepada Rasulullah setelah pembacaan beberapa ayat al-Qu`an oleh Qori` yang memiliki suara yang bagus.
( Taqrib : , Tadribu Rawi bi sarhil Taqrib : 2/ 358 , terbutan Darul Hadits ).

Diriwayatkan oleh Imam Hakim didalam kitab Mustadrak dari Abi Sa`id :

كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا احتمعوا تذاكروا العلم وقرأوا سورة

Artinya : Para sahabat Rasulullah saw apabila mereka berkumpul, mala mereka bermuzkarah ilmu dan membaca surah ( dari al-Quran ).


dari keterangan kami diatas nyatalah bahwa membaca al-fatihah ketika membuka suatu majlis bukan tergolong bid`ah.

Sumber :Http://Allangkati.Blogspot.Com

Selasa, 22 Disember 2009

GOLONGAN AHLUSSUNNAH WAL JAMAAH (Membetulkan Pernyataan Dr Asri)

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) oleh Dr MAZA pada pertengahan November 2009 lepas dalam Utusan Malaysia. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya al-Farq Baina al-Firaq. Namun malangnya perkataan 'al-turuq al-sifatiah' atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara perkara yang penting bagi menentukan samada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama. Pada saya, ada sedikit masalah 'amanah ilmu' bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi bila mensyarahkan pengertian ASWJ (atau mungkin dia tidak sengaja). Penulis juga tidak memperjelaskan penerangan Imam al-Baghdadi (selepas memetik definisi Imam itu) berkaitan dengan definisi tersebut.

Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun seribu Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin. Penulis tidak merujuk kemunculan metode tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah (atau mungkin dia juga tidak sengaja).


Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakan Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas. Bagi pembaca-pembaca yang berupaya membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):



"Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta, keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."



Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):

Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.

Golongan kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).

Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.

Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.

Golongan ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.

Golongan ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.

Golongan ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.

Golongan ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.

Golongan ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.

Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi (wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):

"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".


Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

Majlis Bersama Ulama Besar Hadhramaut : Habib Umar Ben Hafiz Al Hadhrami
























HIMPUNAN RIBUAN UMAT DI DALAM :
MAJLIS BERSAMA ULAMA' BESAR
DARI HADHRAMAUT

AL-'ALLAMAH AL-HABIB 'UMAR BEN HAFIZ AL-HADHRAMI

AHAD , 10 JAN. 2010
(23 MUHARRAM 1431)
6 PTG - 10 MLM ,
.
DI :
MASJID AL-FALAH , USJ 9 ,
SUBANG JAYA , SELANGOR
.
sebarang info :
013-330 9474 (imam azian)
emel : MasjidalFalahUSJ9@gmail.com

http://alfalahusj9.blogspot.com/
.
ANDA ADALAH DIJEMPUT HADIR
& TOLONG SEBAR-SEBARKAN
.
Kami mengajak anda sama-sama sebarkan maklumat ini demi kesejahteraan usaha Dakwah Islam melalui saluran2 anda : website, blog, email group, masjid2 , surau2 atau sms anda ..
Semoga Allah mengurniakan ganjaran Dakwah Fi Sabilillah dan memberkatinya ...
jazakumullahu khairan kathiran

Ahad, 20 Disember 2009

18-20/12/2009 - Diskusi Kitab - Amalan Sunnah - Yayasan Paksi

Kelas Pengajian Hadis PAKSI akan menganjurkan Diskusi bertajuk : AMALAN SUNNAH SELEPAS SOLAT & KELEBIHANNYA



Ahli Panel :

Ustaz Subki Abdul Rahman Al-Hafiz

Ustaz Mohd Rifqi Mahyudin

Tarikh :

18 Disember 2009 (Menara Zakat, Alor Setar)

19 Disember 2009 (Kolej Komuniti Bandar Baharu)

20 Disember 2009 (Dewan Tabung Haji P.Pinang)

Masa :

9.00 - 11.00 pg

MUSLIMIN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Untuk keterangan lanjut hubungi 016-4426224

http://yayasanpaksi.blogspot.com

logo paksi"

Sabtu, 19 Disember 2009

Ketahuilah Amalan Yang Disunatkan Pada 10 Muharram

Oleh : Mufti Brunei



Ketahuilah Amalan Yang Disunatkan Pada 10 Muharram




بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه



(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara bulan-bulan yang dihormati sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:



Tafsirnya:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.”
(Surah at-Taubah: 36)



Empat bulan yang dihormati yang tersebut dalam ayat di atas ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Manakala diriwayatkan oleh Abi Bakrah Radhiallahu ‘anhu,

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



Maksudnya:

“Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan. Antaranya terdapat empat bulan yang dihormati, Tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan Sya‘ban.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada tarikh ini banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting, antaranya Nabi Adam ‘alaihissalam bertaubat kepada Allah sehingga dia kembali suci, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘alaihissalam dan lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan iktibar bagi umat Islam.



Di samping keistimewaan hari ‘Asyura’ yang berlaku di dalamnya peristiwa-peristiwa penting, hari ‘Asyura’ juga merupakan peluang untuk meraih ganjaran amalan-amalan yang disunatkan untuk dilakukan pada hari tersebut.



Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Asyura’



Di dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada disebutkan mengenai amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ‘Asyura’ serta fadhilat yang diperolehi bagi sesiapa yang melaksanakan amalan-amalan tersebut. Amalan yang dimaksudkan ialah melakukan ibadah puasa dan menyenangkan hati kaum keluarga.



1. Puasa pada hari ‘Asyura’



Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:



Maksudnya:

“Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”


(Hadis riwayat Muslim)



Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:



Maksudnya:

“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:



Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:



Maksudnya:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”




(Hadis riwayat al-Bukhari)



Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:



Maksudnya:

“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”.
(Hadis riwayat al-Bukhari)



Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Setentunyalah dengan galakan daripada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’. Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah

Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:



Maksudnya:

“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).”
(Hadis riwayat Muslim)



Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:

i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.

ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula dari hari ‘Asyura’ sebelumnya).


Didahului Dengan Puasa Tasu‘a’ (9 Muharram)

Bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada hari ‘Asyura’ sunat mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu pada 9 Muharram.

Hikmah di sebalik mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ ialah:

a. Sebagai langkah berhati-hati pada pengiraan awal bulan Muharram. Ini kerana ditakuti jika berlaku sedemikian, maka kemungkinan sahaja hari yang dikira sebagai Tasu‘a’ adalah sebetulnya hari ‘Asyura’.

b. Agar umat Islam tidak menyerupai orang Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja.

c. Menyambung puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Asyura’

Meneruskan Puasa Hingga 11 Muharram

Apabila seseorang melaksanakan puasa hari ‘Asyura’, sunat juga menggandingkannya dengan berpuasa pada 11 Muharram, walaupun dia tidak melakukan puasa hari Tasu‘a’.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Puasalah kamu pada hari ‘Asyura dan janganlah kamu menyerupai padanya dengan orang Yahudi. Puasalah kamu (dengan puasa ‘Asyura) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Berdasarkan penjelasan di atas, terdapat beberapa cara melakukan puasa hari ‘Asyura’ iaitu:

i. Berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja.
ii. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) dan pada hari ‘Asyura’.
iii. Berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan pada 11 Muharram.
iv. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) , hari ‘Asyura’ dan 11 Muharram. Gandingan berpuasa tiga hari ini (9,10,11 Muharram) adalah digemari sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah.

2. Menyenangkan hati kaum keluarga

Selain daripada melakukan puasa pada hari ‘Asyura’, orang Islam juga disunatkan menyenangkan dan menggembirakan hati kaum keluarga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang melapangkan (menyenangkan) keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun.”

 (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadis di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya.

Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadis di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya. Adapun apa yang selain daripada dua perkara di atas seperti sembahyang malam ‘Asyura’, mandi hari ‘Asyura’, bercelak mata dan yang lainnya tidaklah ada disebut melainkan pada hadis-hadis dhaif, munkar dan maudhu‘.

Marilah kita bertekad untuk mengisi hari ‘Asyura’ yang datang sekali setahun di bulan Muharram ini dengan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘.

Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja.

Sumber :
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2009/bil343-bhg1.pdf
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2009/bil343-bhg2.pdf


Khamis, 17 Disember 2009

Buku Terbaru Ustaz Mukhlis

Assalamu'alaikum warahmatuLlahi wa barokatuh,

Di bawah ini adalah dua buah buku hasil tulisan Ustaz Mukhlis beserta sinopsisnya, dapatkan di pasaran sekarang!.



















Category:Books
Genre: Religion & Spirituality
Author:Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Sinopsis

“ Mencari Bahagia… Ungkapan ini sering berlegar-legar di benak fikiran setiap manusia. Mengapa bahagia? Kebahagiaan adalah antara nikmat Allah s.w.t. yang terbesar, yang dikurniakan kepada para hambaNya. Ia adalah antara tanda sifat pemurah Allah s.w.t. kepada manusia.


Namun, ramai manusia gagal mencarinya. Mengapa? Ini kerana, manusia cuba mencari makna kebahagiaan selain daripada makna kebahagiaan sebenar. Oleh itu, semakin manusia mendekati makna kebahagiaan ciptaannya, semakin dia menjauhi makna kebahagiaan hakiki dan abadi. Oleh kerana itu, semakin dia mencari “bahagia”, semakin dia temui duka dan sengsara.

Maka, hadirnya buku yang serba ringkas ini, untuk mengajak manusia agar mereka melalui jalan kebahagiaan hakiki, dengan meninggalkan kebahagiaan palsu yang lahir daripada angan-angan dan persepsi. Bahagia itu mulanya pada perjalanan kita menuju bahagia. Kalau seseorang menuju kebahagiaan hakiki dan abadi, maka setiap langkah dalam menuju kebahagiaan hakiki tersebut adalah kebahagiaan, begitulah sebaliknya. Oleh kerana itu, buku ini menyeru ke arah: “Marilah Menuju Kebahagiaan…”.

Ia bermula daripada kita memperbaiki makna kebahagiaan dalam diri kita dengan makna kebahagiaan hakiki, lalu kita terus melangkah menujunya dengan langkah yang teliti berdasarkan petunjuk Ilahi. Pada ketika itulah, kita akan menjalani sebuah kehidupan Rabbani yang membawa kebahagiaan abadi, di dunia ini dan di akhirat nanti.

-Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

Ulasan:

Bismillahir-rahmaanir-rahiim....Alhamdulillah, was-solaatu was-salaamu ‘ala rasulillah, wa ‘ala aalihi wasohbihi wa man waalah, amma ba’du;


Membaca tulisan Ust Mukhlis, hati saya bagai disapa dengan lembutnya ikhlas dan santunnya ilmu. Bait-bait kata yang dibaca, seolah-olah huluran tangan yang menyalami penuh takzim akal budi seseorang insan. Insya Allah, hati yang sakit bisa jadi sembuh; yang lemah bisa jadi kuat; yang hiba bisa jadi tersenyum; yang jatuh bisa bangkit lagi; yang berputusasa bisa jadi sasa. Dengan Rahmaan dan Rahiim Allah, mereka yg hadirkan hati semasa membaca garapan pena ini, akan mendapat suluhan rabbani dalam kehidupan mereka. Saya bukanlah orangnya yang layak untuk memperkatakan tentang buku Ust Mukhlis ini. Saya sendiri insan faqir yang mendapat begitu banyak manfaat daripada Al-Fadhil Ustaz. Apa pun, membaca buku ini serta merta membuatkan saya teringat sabdaan suci Rasulullah s.a.w.; “Berbahagialah orang-orang yang ikhlas. Mereka adalah pelita di dalam pekatnya kegelapan; dan kerana mereka terpadam fitnah-fitnah besar yang gelap.” (HR Al-Baihaqi) Semoga taufik Allah sentiasa bersama kita semua sepanjang jejak dan langkah perjalanan kita menuju Allah Jalla Jalaaluh.


Al-Ustaz Mohd Gunawan Che Ab Aziz

Penulis buku “Masjid Itu Hidupku”

Buku ini boleh didapati dari penulis sendiri khususnya yang tinggal berhampiran Putrajaya atau boleh dapatinya dari Pelima Media Sdn Bhd:

Pelima Media Sendirian Berhad (852961-A),
3-1-1, Jalan Medan Pusat Bandar 4A,
Seksyen 9,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA.

• Nombor Telefon.

Telefon Pejabat • +6 (03) - 8926 7746
Fax Pejabat• +6 (03) - 8927 3479
Telefon Bimbit • +6 (016) - 209 9454

http://www.pelima.com.my/media/






















Category:Books
Genre: Religion & Spirituality
Author:Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
Bismillah... Alhamdulillah... Selawat dan Salam buat Saidina Rasulillah s.a.w...

Amma Ba'd

Suatu ketika, guru kami Al-Murobbi, Sheikh Yusuf Al-Hasani bertanyakan kepada kami, suatu soalan yang akhirnya membuatkan saya yang penuh hina ini berfikir sejenak.

Persoalan yang beliau lontarkan adalah:
"Bagaimana kita yang sudah membahaskan tentang sebahagian sifat-sifat Allah dalam ilmu Tauhid, namun masih tidak menghayati kewujudan Allah dalam kehidupan kita seharian. Sifat Wujud Allah yang menjadi sifat pertama perbahasan dalam ilmu Tauhid sendiri pun tidak dapat dihayati oleh kita, dalam segenap kehidupan kita, bagaimana pula dengan penghayatan terhadap sifat-sifatNya yang lain?"


Jadi, dalam pada sedang memikirkan jawapannya, saya mula berfikir tentang suatu perbahasan Tauhid yang dapat menggabungkan antara ilmu berbentuk teori dan praktikal. Namun, setelah saya yang faqir membaca beberapa karangan ulama' dalam ilmu Tauhid secara meluas, saya dapati di penghujung perbahasan mereka, mereka pasti mengajak kepada mengamalkan ilmu Tasawwuf samada dengan memperbanyakkan zikir ataupun berakhlak mulia.

Maka, saya dapati, kunci sebenar yang membawa seseorang daripada memahami ilmu Tauhid secara teori kepada penghayatan makna Tauhid dalam praktikal kehidupan adalah pada ilmu Tasawwuf itu sendiri. Bahkan, menurut sebahagian ulama' sufi, pelajaran-pelajaran yang disampaikan oleh para murobbi sufi adalah suatu Tauhid Amali iaitu, sebuah tauhid yang terpancar hasil dari hubungan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t..

Maka, Allah s.w.t. membantu saya dengan memberi kesempatan kepada saya untuk mempelajari beberapa kitab-kitab tasawwuf yang membicarakan perbahasan aqidah khususnya karangan Imam Al-Qusyairi (dalam Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah), Imam Ibn Ata'illah As-Sakandari (Al-Hikam dan At-Tanwir), Imam An-Nablusi r.a. (kitab Khamr Al-Khan), Sheikhu Sheikhna Sayyidi Muhammad Al-Hasyimi (Miftah Al-Jannah) dan sebagainya, melalui beberapa guru yang sangat dihargai jasa mereka.

Maka, Allah membantu saya dalam menyusun sebuah kitab yang serba ringkas ini untuk cuba menggabungkan perbahasan ilmu tauhid nazhori (teoritikal) berteraskan manhaj Al-Asya'irah (sifat 20) dengan perbahasan ilmu Tasawwuf yang merupakan sebuah ilmu tauhid Amali.

Perbahasan ilmu Tauhid dari sudut teorinya juga dipermudahkan agar merai kemampuan masyarakat awam khususnya di Malaysia yang jauh daripada tradisi warisan ulama' silam khususnya dalam ilmu Tauhid. Mudah-mudahan Allah s.w.t. membantu urusan umat Islam dalam memperkasa dan memurnikan aqidah dan tauhid mereka agar mereka mampu menjadi Ummah yang terbaik dalam segenap aspek.

Semoga Allah s.w.t. mengampuni kekurangan penulis yang terkandung dalam buku ini dan menerimanya sebagai amal yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Amiin...

Wallahu a'lam...

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

Ulasan:

Bismillah...Alhamdulillah... Selawat dan Salam buat Saidina Rasulillah s.a.w..

Amma Ba'd

Kami amat bersyukur dengan karya yang ditulis oleh Al-Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari ini. Karya tauhid yang beliau tulis amat mudah difahami serta sesuai untuk setiap peringkat usia. Oleh yang demikian, sewajarnya karya beliau ini dibaca terutamanya bagi mereka yang ingin mendalami perbahasan ilmu tauhid.

Lebih menarik lagi, karya beliau ini disulami dengan sebuah penghayatan tasawwuf. Usaha mengintegrasikan ilmu kalam dengan penghayatan tasawwuf adalah suatu usaha yang mulia. Ini kerana, ilmu tauhid yang tidak dihayati secara kesufian hanya akan meletihkan akal tetapi tidak membuahkan iman yang mantap. Usaha murni ini sangat memberi sumbangan dalam masyarakat Islam khususnya dalam memahami perbahasan tauhid lalu menterjemahkannya dalam bentuk penghayatan kerohanian.

Semoga Allah s.w.t. memberkati usaha beliau dan menerima usaha beliau sebagai amal soleh di sisi-Nya. Amiin.


Mohd Nasir bin Mohd Tap
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Penerbitan
Kolej Dar Al-Hikmah

Buku ini boleh didapati daripada penulis sendiri khususnya yang tinggal berhampiran dengan Putrajaya atau boleh dapatkan terus daripada Pelima Media Sdn Bhd untuk lebih mudah.

Pelima Media Sendirian Berhad (852961-A),
3-1-1, Jalan Medan Pusat Bandar 4A,
Seksyen 9,
43650 Bandar Baru Bangi,
Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA.

• Nombor Telefon.

Telefon Pejabat • +6 (03) - 8926 7746
Fax Pejabat• +6 (03) - 8927 3479
Telefon Bimbit • +6 (016) - 209 9454

Selasa, 15 Disember 2009

ULASAN TERHADAP ARTIKEL DR MAZA: SALAH GUNA NAMA IJMAK


Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya diminta untuk mengulas artikel 'Salah Guna Nama Ijmak' oleh Dr. MAZA dalam Utusan Malaysia, 13 Disember 2009 dalam keadaan saya bukan peminat ruangannya. Di sebabkan tajuknya penting dan dalam bidang saya iaitu ijmak, saya rasa, saya perlu juga memberi komen terhadap tajuk ini. Selamat membaca.



Salah guna nama ijmak

Minda Dr. Maza

Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah 'tidak laku' atau menghadapi 'tarikh luput' di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai. Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.

[Komen Dr. Asmadi: Cara biasa MAZA dalam mengkritik orang-orang Tareqat dan orang-orang agama. Dikaitkan agama sebagai sumber pendapatan. Sebenarnya, ulama-ulama terkenal di Persidangan Fiqh Antarabangsa pun membenarkan pengambilan upah terhadap urusan mengajar agama. Bahkan bila menjemput mereka membentangkan kertas kerja, kita bayar juga pada mereka saguhati. Tak tahulah pula kalau MAZA mengajar di USM, dulu jadi Mufti di Perlis, bagi ceramah dan menulis dilakukan secara FOC 'free of charge'. Kalau dia juga ambil gaji, jadi apa bezanya. Yang ini gaji tetap, yang itu tidak tetap.


Tidak baik mengkritik orang Tareqat secara umum. Apa yang saya kenali, ramai orang-orang Tareqat jujur orangnya. Khususkan tareqat yang macam mana dikritik].

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi 'ijmak ulamak'. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijmak. Kesan, membawa kepada kekufuran.

[Komen Dr Asmadi: Orang yang menyanggah MAZA tidak tuduhpun dia kufur. Cuma kata dia bertentangan dengan Ijmak ulama Nusantara].

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut 'kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama'. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijmak atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijmak yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijmak ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

[Komen Dr Asmadi: Kitab Sheikh Wahbah al-Zuhaili itu rujukan kami ketika tahun 1 dan 2 Kuliah Syariah. Ia rujukan sekunder, bukan rujukan utama. Bila tahun 3 dan 4, penulisan guna kitab moden sebagai rujukan tak diberi markah penuh].

kesepakatan

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr 'Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa 'arus perdana' atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.

[Komen Dr Asmadi: Sekiranya MAZA jumpa kitab-kitab usul fiqh silam atau baca kitab-kitab tersebut (sebaiknya mengadap guru), dia akan jumpa dengan istilah Ijmak al-ummah, ijmak ulama ahl al-sunnah, ijmak empat mazhab, ijmak ahl al-Iraq, Ijmak ulama al-Hijaz dan Ijmak ulama al-Madinah lain-lain. Tidak cukup untuk membuat kesimpulan tentang ijmak dengan hanya merujuk kitab-kitab moden.


Untuk faedah pembaca saya perincikan: Ijmak al-ummah ialah ijmak ulama lapan (8) mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Zahiri, Syiah Imami, Syiah Zaidi dan Ibadi (berasal dari serpihan Khawarij). Ijmak ahl al-sunnah ialah kesepakatan keseluruhan 4 mazhab dan Zahiri. Ijmak empat mazhab ialah sepakat empat mazhab yang utama tadi. Jadi kekuatan setiap ijmak tadi ialah bergantung kepada sejauh mana penghujahan setiap kumpulan tersebut.


Oleh itu, boleh kita pakai istilah Ijmak ulama Nusantara atau ijmak ulama India. Cuma kekuatan hujjahnya tidak sekuat ijmak mutlak oleh ulama-ulama setiap tempat di dunia ini].

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

[Komen Dr Asmadi: Ulama sememangnya sepakat, mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya. Tidak wajib mengikut mana-mana mazhab. Cuma dalam konteks kita, ramai ustaz-ustaz yakin dengan cara penghujahan Imam Syafie dan anak-anak muridnya. Lantas, ustaz-ustaz pun mengeluarkan pandangan atas pandangan Imam Syafie, maka orang-orang awam pun mengambil pandangan Ustaz tadi yang berpegang dengan mazhab Syafie.


Kata-kata al-Qardhawi: Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin". Benar, kesepakatan yang diiktibarkan (diambil kira) ialah kesepakatan para Mujtahid.


Tapi kata-kata MAZA: 'kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya'.


Ulama tidak mensyaratkan para mujtahidin mencapai peringkat mujtahid mutlaq (boleh bina Mazhab sendiri) atau mujtahid tarjih, baru boleh diambil kira ijtihadnya. Imam al-Nawawi, mujtahid tetapi tidak keluar dari Mazhab Syafie. Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad adalah mujtahid mazhab, namun tidak keluar dari kaedah Mazhab Hanafi. Justeru, kesepakatan para Mufti yang tahu dalil (walau masih bermazhab) masih boleh diambil kira. Sekiranya diberi kebebasan kepada sesiapa tanpa terikat dengan pandangan Majlis Fatwa, boleh menghuru-harakan masyarakat].

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina 'Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir .

[Komen Dr.Asmadi: Ya, bukan senang mendakwa sesuatu itu ijmak. Perlu kepada banyak pemeriksaan. Hukuman sebat untuk peminum arak adalah sesuatu yang ada nasnya. Ulama hanya khilaf pada mengklasifikasikannya hudud atau takzir].

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijmak (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

[Komen Dr Asmadi: Ya, saya setuju].

Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

[Komen Dr Asmadi: Orang-orang agama ada dua golongan iaitu pertama yang merasakan diri bukan mujtahid, dan kedua: yang merasa diri mujtahid. Kalau tuan-puan memang yakin dengan ilmu ustaz-ustaz yang merasa diri mujtahid tu dan ketaqwaannya, silalah ikut mereka. Masalah saya ialah saya tak yakin dengan ilmu dan ketaqwaan ustaz-ustaz yang merasakan diri mujtahid tadi. Sebab itu saya masih mengeluarkan pandangan kebanyakkannya dalam Mazhab Syafie disebabkan keyakinan saya pada ilmu dan ketaqwaan (kewarakan) Imam Syafie dan anak-anak muridnya Rahimahumullah.


Seorang ulama masih lagi ulama walaupun dia mengikut mazhab. Mereka di atas dari golongan muqallid iaitu digelar 'muhafiz' atau 'muttabi'' (istilah ini ada dalam kitab primer (utama) dan tidak ada dalam kitab moden), iaitu mengikut mazhab dengan juga melihat dalil. Sebagai contoh, batal wudu' apabila menyentuh isteri. Dia menyedari ada hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW menggerakkan kaki Aisyah yang sedang tidur ketika Rasulullah SAW hendak bersolat tahajjud. Dia berpuas hati dengan hujah Mazhab Syafie yang mengatakan Rasulullah SAW memegangnya dalam keadaan berlapik. Kenapa dia berpuas hati dengan demikian? Kerana secara umumnya adab 'tidur bersama isteri' ialah dalam keadaan berselimut. Padanya, mana mungkin Rasulullah SAW dan isteri bertelanjang. Boleh baca nas-nas lain menceritakan adab tidur bersama isteri dan sunnah memakai 'izar' ketika mandi. Apatah lagi, di Timur Tengah, malamnya suhu melampau, bila dibuka selimut kaki, terasa sejuk sampai ke tulang! Cuma bagi sesetengah orang, dia terbayangkan seolah-olah Rasulullah SAW macam dia yang tidur tak berselimut dengan isterinya! Wallahu a'lam.


Selamat menilai artikel ini dan komen-komen saya.


Allahu musta'an.

Abu al-'Izz

Sumber : Http:DrAsmadinet.Blogspot.Com

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu
  • Video Bacaan Hukum Qalqalah - Sekiranya anda telah membaca artikel saya yang lepas tentang hukum bacaan Qalqalah, tentu anda telah pun faham secara teorinya apakah yang dikatakan qalqal...
    4 tahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan