CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Jumaat, 12 Jun 2009

Karamah Para Wali

Soalan :

Saya pernah melihat karamah yang berlaku pada beberapa lelaki yang soleh yang benar-benar menunaikan janji mereka kepada ALlah. Diharapkan kamu dapat memberi satu penjelasan kepada kami berhubung dengan masalah ini. Apakah yang dimaksudkan dengan bantuan-bantuan ghaib daripada orang-orang yang soleh? Adakah ini bertepatan dengan ayat :

أَلَآ إِنَّ أَوۡلِيَآءَ ٱللَّهِ لَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ (٦٢) ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَڪَانُواْ يَتَّقُونَ (٦٣) لَهُمُ ٱلۡبُشۡرَىٰ فِى ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِى ٱلۡأَخِرَةِ‌ۚ لَا تَبۡدِيلَ لِڪَلِمَـٰتِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (٦٤)

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. (63) Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( 64)
Surah Yunus 62-64

Apakah yang dimaksudkan dengan ayat yang ertinya : Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan mereka di dunia?

Jawapan :

Al Karamah ialah perkara yang mencarikkan adat yang dizahirkan oleh ALlah di tangan seorang insan Mukmin yang soleh lagi ikhlas dan bukan untuk riak (tunjuk - menunjuk). Ia menjadi bukti bahawa pegangan agamanya adalah benar dan RasulNya adalah benar. Sekiranya tidak benar apa yang didatangkan oleh RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam, nescaya karamah itu tidak akan berlaku di tangan seorangpun daripada umatnya. Sebab itu para ulama menyebut : Sesuatu yang harus berlaku sebagai mukjizat bagi seorang nabi, maka ia juga harus berlaku sebagai karamah seorang wali, sedangkan ia perkara yang sama yang merupakan mukjizat bagi seorang Nabi.

Ini memang dinyatakan di dalam al Quran, Sunnah Nabawiyah dan athar para sahabat dan tabi'ien. Oleh itu, seorang yang mengingkarinya secara umum sebagai satu prinsip am akan menjadi kufur. Tetapi sekiranya dia mengingkari satu bahagian daripadanya atau satu peristiwa , maka dia tidak lagi jatuh kufur selagimana perkara yang diingkari itu bukanlah diriwayatkan secara mutawattir.

Al Quran sendiri menceritakan karamah-karamah yang berlaku pada umat yang terdahulu. Di antaranya , karamah yang berlaku pada Maryam iaitu wujud buah-buahan musim sejuk pada musim panas dan buah-buahan musim panas pada musim sejuk ketika Nabi Zakaria masuk menemuinya.

Di antaranya juga, seorang lelaki yang dikenali 'Asif bin Barkhaya dapat mengubah takhta Balqis, permaisuri Yaman ke Baitul Maqdis dalam sekelip mata.

Manakala di dalam sunnah, ada disebut beberapa bentuk karamah. Di antaranya : Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari daripada Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu bahawa RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam pernah menceritakan satu kisah kepada para sahabatnya iaitu :

"Pada suatu ketika seorang lelaki menunggang seekor lembu betina. Tiba-tiba lembu itu berpaling ke arahnya, lalu berkata : Aku tidak dijadikan untuk tujuan ini, tetapi aku dijadikan untuk membajak tanah." Lalu RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda : "Saya, Abu Bakar dan Umar mempercayainya".


Kisah tiga pemuda yang terperangkap di dalam gua. Kisah Saidina Umar bersama ketua tenteranya, Sariyah. Malah banyak lagi.

Soalan :

Sekiranya ditanya : Apakah hukum memukul badan dengan alat-alat yang tajam dan menzahirkan perkara-perkara pelik yang lain sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian kumpulan tariqat pada ketika itu?

Jawapanku :

1. Sekiranya yang melakukan perkara itu ialah seorang yang terkenal dengan takwa dan kesolehannya, maka perkara tersebut bukanlah menjadi tegahan sebagai karamah untuknya. Sekiranya perkara tersebut berlaku pada seorang yang fasik, maka perkara-perkara yang pelik itu termasuk di dalam 'istidraj' dan bukanlah boleh dianggap karamah. Istidraj ialah sesuatu yang pelik yang dijadikan ALlah untuknya sebagai penghinaan dalam jangkamasa yang panjang.

Paling kurang dia akan merasai dirinya seorang yang soleh dan telah mencapai darjat di sisi ALlah, sedangkan realitinya yang sebenar adalah sebaliknya.

Mungkin juga perkara itu berlaku kerana ALLah hendak memuliakan seorang yang lain. Contohnya : Saidina Umar berdoa memohon hujan dengan bertawassulkan Saidina Abbas kerana kelebihannya sebagai bapa saudara RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam. Beliau berdoa :
Ya ALlah, kami pernah meminta hujan dengan bertawassulkan NabiMu, dan pada hari ini kami bertawassul dengan Abbas, bapa saudara Nabimu.."
Jadi permohonan Saidina Umar tadi kepada ALlah agar menurunkan hujan sebagai memuliakan kepada Abbas dari sudut beliau adalah bapa saudara RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam.

ALlah memelihara harta dua orang anak yatim dengan memerintahkan Khidir mendirikan tembok atau dinding kerana memuliakan bapa kedua anak yatim yang soleh.

Adakalanya perkara-perkara yang pelik itu berlaku dengan sebab latih tubi sebagaimana yang berlaku pada orang-orang Hindu yang kafir.

2. Diharamkan mezahirkan perkara-perkara yang pelik melainkan pada dua keadaan :

a. Sekiranya terdapat seorang yang mengingkari wujudnya karamah di dalam Islam. Maka dia boleh menzahirkan perkara-perkara yang pelik itu sekiranya beliau berkeyakinan bahawa orang terebut akan menjadi Islam dan beriman.

b. Sekiranya untuk tujuan menguji dirinya atau sebagai latihan, adakah dia mampu menzahirkan perkara-perkara pelik itu sekiranya diperlukan.

Yang dimaksudkan dengan "Berita gembira di dunia", dikatakan bahawa ia adalah mimpi-mimpi yang benar. Dikatakan juga ia adalah kasih sayang manusia kepadanya dan manusia menyebutnya dengan pujian yang baik. Dikatakan juga iaitu: ketika mati yang mana malaikat akan berkata kepada mereka: "Janganlah kamu takut, jangan kamu risau, bergembiralah dengan syurga yang kamu dijanjikannya."

Sumber : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa'adi, Salah Faham Terhadap Bid'ah, al Bid'ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu'man, 2002, Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Jom Menuntut Ilmu !

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan