CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Selasa, 5 Mei 2009

Hukum Binatang Dipengsankan Sebelum Disembelih

Sukacita merujuk salinan keratan akhbar bertarikh 17hb Jun, 1995 mengenai pendapat Profesor Dr. Hamka tentang cara penyembelihan yang mendekati kehendak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di dalam keratan akhbar itu juga tertulis mengenai Pakar Rujuk Khidmat Nasihat, Institut Dakwah dan Latihan Islam Malaysia (INDAH), Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Awang Bunyamin Abu Bakar, mengesahkan bahawa binatang ternak boleh dipengsankan seperti dibius terlebih dahulu sebelum disembelih dengan syarat binatang itu tidak mati kerana dibius sebaliknya mati kerana disembelih. Apakah pandangan Islam mengenai perkara ini?


Jawapan:

Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah rahmat kepada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan bahkan rahmat kepada sekalian yang wujud di alam ini. Firman Allah Ta'ala:

وَمَا أَرْسَلنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلعَالَمِينَ

( الأنبياء: 107)

Tafsirnya:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi sekalian alam.”

(Surah Al-Anbiya': 107)

Cara Islam mengatur hubungan manusia sesama manusia, malah juga hubungan manusia dengan binatang dan seluruh alam ini, adalah bukti kerahmatan itu. Umpamanya sewaktu melakukan penyembelihan binatang, Islam telah memberi garis pandu yang lengkap bagaimana melakukannya. Di antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Ya’la Syaddad Ibnu Aus Radhiallahu ‘anhu:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدَكُمْ شَفْرَتَهُ وَلْيُرِحْ ذَبِيْحَتَهُ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menselesakan binatang sembelihannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Dalam hubungan ini, Islam telah menentukan rukun-rukun dan syarat-syarat sembelihan itu sebagaimana huraiannya yang berikut:

Rukun menyembelih itu ada empat:

i. Penyembelih
ii. Binatang yang disembelih
iii. Alat untuk menyembelih
iv. Penyembelihan (perbuatan menyembelih)

Setiap rukun ini mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu:

1. Penyembelih

Syarat penyembelih itu hendaklah seorang Islam atau Ahli Kitab (yang memenuhi syarat hakiki orang Ahli Kitab sebagaimana yang disebutkan oleh ulama-ulama Al-Syafi ‘eyyah).

Tiada halal sembelihan orang Majusi (penyembah api), penyembah berhala, orang murtad dan lain-lain daripada orang kafir yang tiada mempunyai kitab agama Allah. (Kitab Al-Majmu’ 9/84)

2. Binatang yang disembelih

Syarat binatang yang disembelih itu ialah:

1. Binatang darat yang halal dimakan.
2. Zhann (sangkaan) terhadap binatang, bahawa ada padanya hayâh mustaqirrah pada permulaan penyembelihan kecuali binatang yang sakit.

Adapun binatang yang sakit atau kehausan tidak disyaratkan ada padanya hayâh mustaqirrah ketika menyembelihnya, memadai sahaja padanya harakah madzbûh ketika menyembelihnya. Tetapi tidak halal jika binatang yang hendak disembelih yang nyawanya pada ketika itu di peringkat harakah madzbûh disebabkan oleh memakan tumbuh-tumbuhan yang membawa kepada maut, pukulan, hentakan dan seumpamanya daripada sebab-sebab yang boleh membawa kepada maul. (Kitab Al-Majmu’ 9/1 00, Fath A’-‘Allâm 4/552 dan I’ânah Al-Thâlibîn 2/346)

Yang dimaksudkan dengan hayâh mustaqirrah itu ialah keadaan binatang yang masih bernyawa dan melihat dan bersuara serta bergerak dengan kehendaknya, dan di antara tanda-tandanya ialah pergerakan yang kuat, pancutan darah, suara rengekan kerongkong dan yang seumpamanya selepas disembelih. Manakala yang dimaksudkan dengan harakah madzbûh ialah keadaan binatang yang tiada lagi ada padanya penglihatan, pergerakan, suara dengan kehendaknya (I’ânah Al- Thâlibîn) atau keadaan binatang yang apabila dibiarkan dengan keadaannya yang sedemikian itu, ia akan mati dengan serta merta. (Fath Al-‘Allâm 4/553)

3. Alat untuk menyembelih

Disyaratkan alat untuk menyembelih itu sesuatu yang boleh memotong dengan ketajamannya selain kuku, gigi dan semua jenis tulang. Maka tidak halal binatang yang disembelih menggunakan tiga jenis alat ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Rati’ ibnu Khadij Radhiallahu ‘anhu:


مَا أَنْهَرَ الدَّمَّ وذَُكِِرَ اسْمُ اللهِ عَلَيْهِ فَكُلْ، لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ، وَسَأُخْبِرُكُمْ عَنْهُ، أَمَّا السِّنُّ فَعَظْمٌ وَأَمَّا الظُّفُرُ فَمُدَى الْحَبَشَةِ
(رواه البخارى)


Maksudnya: “Apa-apa yang dapat mengalirkan darah serta disebut nama Allah padanya (waktu menyembelih), maka boleh kamu makan, kecuali gigi dan kuku, dan aku akan khabarkan kepada kamu mengenainya, (kerana) gigi adalah tulang dan kuku adalah pisau orang Habsyah.”

(Hadis riwayat Bukhari)
(Kitab Al-Majmu’ 9/91, Bahr Al-Mâdzi 11/5)

4. Penyembelihan

Disyaratkan penyembelihan itu:

1. Memotong seluruh halqûm (saluran nafas) dan seluruh mari' (saluran makanan dan minuman).

11.Niat untuk menyembelih ketika melakukan penyembelihan. Jika seseorang memegang pisau di tangannya dan terlepas pisau itu daripada tangannya, lalu terkena leher binatang dan terputus seluruh halqûm dan mari’nya, tidaklah dikira sebagai penyembelihan, kerana tidak ada niat untuk melakukan penyembelihan, maka tidak halal memakan daging binatang tersebut. (Mughni Al-Muhtâj 4/276, I’ânah Al-Thâlibîn 2/344)

lll. Hendaklah binatang itu mati semata-mata disebabkan oleh penyembelihan (tidak dilakukan satu perbuatan lain yang boleh membawa maut kepada binatang itu ketika disembelih). (Fath Al-‘Allâm 4/554, Kitab Al-Majmu’ 9/99-100)

Apabila telah cukup segala rukun-rukun dan syarat-syarat penyembelihan yang tersebut, maka halallah binatang itu kecuali sembelihan yang dimaksudkan kepada selain Allah atau disebutkan sewaktu menyembelihnya selain nama Allah, walaupun sembelihan itu mencukupi segala rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah disebutkan. (I’ânah Al- Thâlibîn 2/346, Mughni Al-Muhtâj 4/273)

Dasar perintah ini ialah firman Allah Ta’ala:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ المَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الخَنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللّهِ بِهِ
(سورة النحل:115)

Tafsirnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, dan apa yang disembelih dengan menyebut selain nama Allah.”

(Surah AI-Nahl: 115)

Berdasarkan kepada rukun yang kedua (binatang yang disembelih) dan syarat-syaratnya, maka melemahkan atau memengsankan binatang yang hendak disembelih dengan cara seperti bius, stunning, kejutan elektrik yang tidak membawa kepada maut dan ada padanya hayâh mustaqirrah ketika disembelih, adalah harus pada hukum syara'.

Penggunaan cara bius, stunning atau kejutan elektrik itu hendaklah disahkan dan diperakui oleh orang Islam yang ‘âdil yang pakar atau yang ahli dalam hal ini, bahawa binatang-binatang yang hendak disembelih itu masih dalam keadaan hayâh mustaqirrah, dan tidak menyebabkan penyeksaan terhadap binatang tersebut. Jika perkara melemahkan atau memengsankan binatang itu akan menyeksa binatang tersebut, maka perbuatan yang sedemikian itu adalah haram, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat kepada sesiapa yang melakukan penyeksaan kepada binatang sama ada untuk tujuan menyembelihnya ataupun bukan. Pernah pada
satu masa Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu melihat sekumpulan orang melontar seekor ayam yang sengaja ditambatkan, lalu dia berkata:

مَنْ فَعَلَ هَذَا أَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ مَنْ فَعَلَ هَذَا
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Barangsiapa yang melakukan perkara ini (menyeksa binatang), sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa melakukan perkara ini.”

(Hadis riwayat Muslim)

Adapun hukum daging binatang yang diseksa itu, jika ia mati disebabkan oleh seksaan tersebut atau disembelih ketika nyawanya diperingkat harakah madzbûh, maka ia dihukumkan bangkai, manakala jika ia tidak mati kerana seksaan dan ada (zhann) sangkaan padanya hayâh mustaqirrah melalui salah satu tandanya seperti pergerakan yang kuat, pancutan darah dan sebagainya selepas disembelih maka dagingnya itu halal dimakan. (I’ânah Al-Thâlibîn 2/347)

Begitulah sikap agama Islam terhadap binatang yang hendak disembelih, dilakukan dengan penuh ihsan sebagaimana hadis yang tersebut di atas yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh maka elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia menselesakan kepada binatang sembelihannya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Bahkan ada lagi etika penyembelihan yang amat elok diikuti (disunatkan melakukannya) yang termasuk dalam pengertian ihsan yang disebutkan di dalam hadis tersebut:

1. Memalingkan binatang sembelihannya dan orang yang menyembelih ke kiblat, serta membaca basmalah serta selawat dan salam kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika menyembelih.

2. Mempercepatkan pemotongan halqûm dan mari' ketika menyembelih.

3. Mengiringi binatang sembelihan ke tempat penyembelihan dengan lembut (selayaknya).

4. Memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih.

5. Menajamkan pisau tidak diperlihatkan di hadapannya, dan ianya tidak disembelih di hadapan binatang-binatang yang lain.

6. Memotong wadajân (dua urat darah yang di leher), kerana ia cepat membawa kepada kematian binatang itu.

7. Jika sudah disembelih binatang itu, tidak segera dilapah dagingnya kecuali setelah ia sampai benar-benar mati dan sejuk tubuhnya.

Pada dasarnya agama Islam mengecam segala bentuk kezaliman, sekalipun terhadap binatang. Seorang perempuan dimasukkan ke dalam neraka semata-mata menyeksa seekor kucing sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Radhiallahu ‘anhu katanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِى هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى مَاتَتْ فَدَخَلَتْ فِيْهَا النَّارَ لَا هِىَ أَطْعَمَتْهَا وَسَقَتْهَا إِذْ حَبَسَتْهَا وَلَا هِىَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِِ
(رواه مسلم)


Maksudnya: “Seorang wanita diseksa pada Hari Kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati, kerana itu Allah memasukkannya ke neraka, oleh sebab kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap serangga-serangga yang terdapat di bumi.”

(Hadis riwayat Muslim)

Sebaliknya seorang itu telah diberi ganjaran pengampunan kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِى بِطَرِيْقٍ اشْتَدَّ عَلَيْهِ الْعَطَشُ فَوَجَدَ بِئْرًا فَنَزَلَ فِيْهَا فَشَرِبَ ثُمَّ خَرَجَ فَإِذَا كَلْبٌ يَلْهَثُ يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ فَقَالَ الرَّجُلُ لَقَدْ بَلَغَ هَذَا الْكَلْبُ مِنَ الْعَطَشِ مِثْلُ الَّذِى كَانَ بَلَغَ مِنِّى فَنَزَلَ الْبِئْرَ فَمَلأَ خُفَّهُ مَاءً ثُمَّ أَمْسَكَهُ بِفِيْهِ حَتَّى رَقِىَ فَسَقَى الْكَلْبَ فَشَكَرَ اللهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ، قَالُوا يَا رَسُوْلُ اللهِ وَإِنَّ لَنَا فِى هَذِهِ الْبَهَائِمِ لَأَجْرًا فَقَالَ فِى كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Pada suatu ketika, ada seorang lelaki sedang berjalan melalui sebatang jalan, lalu dia merasa sangat kehausan, kebetulan dia menemukan sebuah telaga, maka dia turun ke telaga itu untuk minum. Setelah keluar dari telaga, dia melihat seekor anjing menjulurkan lidahnya menjilat-jilat tanah kerana kehausan. Orang itu berkata dalam hatinya:

“Alangkah hausnya anjing ini, seperti yang baru aku alami”, lalu dia turun kembali ke telaga, diceduknya air dengan sepatunya, dibawanya ke atas dan diminumkannya kepada anjing itu. Maka Allah berterima kasih kepada orang itu
(diterimaNya amalnya) dan diampuniNya dosanya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini? “ Jawab (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam): “Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala.”

(Hadis riwayat Muslim)

Lain-lain kezaliman yang dicela oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أَنَّ نَمْلَةً قَرَصَتْ نَبِيًّا مِنَ الْأَنْبِيَاءِ فَأَمَرَ بِقَرْيَةِ النَّمْلِ فَأُحْرِقَتْ فَأَوْحَى اللهُ إِلَيْهِ أَفِى أَنْ قَرَصَتْكَ نَمْلَةٌ أَهْلَكَتْ أُمَّةَ مِنَ الْأُمَمِ تُسَبِّحُ
(رواه مسلم)

Maksudnya: “Seekor semut menggigit seorang nabi di antara para nabi-nabi, lalu nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut itu, lalu dibakarlah. Maka Allah mewahyukan kepadanya: “Hanya seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau musnahkan umat yang selalu membaca tasbih.”

(Hadis riwayat Muslim)

Demikian sikap Islam terhadap penyembelihan binatang dan kezaliman. Kedua-duanya sangat berbeza. Oleh kerana itu, jika pejuang-pejuang hak asasi binatang ingin memperjuangkan matlamat mereka, mereka hendaklah menujukan kepada semua bangsa, dan semua agama, tidak hanya melihat Islam semata-mata, bahkan mereka hendaklah mengecam juga masyarakat mereka sendiri (masyarakat Kristian) yang membunuh binatang-binatang sama ada binatang darat atau binatang laut, semata-mata ingin bergaya memakai bulu-bulu binatang itu, atau menggayakan fesyen yang hendak mereka tunjukkan.

Kita tidaklah berhajat mengulas dengan panjang lebar mengenai sejarah keganasan dan kezaliman bangsa Kristian atau bangsa bukan Islam yang bukan sahaja kepada binatang tetapi juga terhadap peradaban manusia, khususnya terhadap umat Islam. Bangsa Tartar (Monggol) telah menghitamkan tamadun dunia dengan pembakaran ribuan kitab-kitab orang Islam yang menjadi sumber tamadun dunia dan tamadun Islam, apabila mereka menakluki negara Islam. Kezaliman bangsa Jepun di dalam Peperangan Dunia Kedua masih dirasakan, khasnya hamba-hamba seks yang menuntut ganti rugi atau pampasan. Tidak kurangnya kezaliman orang Komunis di Rusia terhadap orang Islam di negara-negara yang mereka kuasai, kezaliman orang Yahudi terhadap orang Islam di Palestin, kezaliman yang berlaku sekarang di Bosnia oleh pengganas Serb. Pendeknya banyak lagi bentuk keganasan dan kezaliman yang tidak dapat dipaparkan yang dilakukan oleh manusia bukan Islam. Adakah pejuang-pejuang hak asasi binatang atau pejuang-pejuang hak asasi manusia memperjuangkannya dengan adil terhadap mana-mana konflik keganasan dan kezaliman yang wujud sekarang, atau hanya memilih-milih yang mempunyai kemaslahatan kepada mereka sahaja?

Sebenarnya musuh-musuh Islam atas nama hak-hak asasi itu cuba memburukkan imej agama Islam dengan bertopengkan apa yang dinamakan perjuangan hak asasi binatang atau hak-hak asasi manusia, padahal di negara mereka sendiri berlaku pembunuhan binatang-binatang dengan kejam semata-mata untuk mendapatkan kulit, bulu, tanduk, gading binatang dan sebagainya, tetapi tidak kita mendengar suara lantang pejuang hak asasi binatang itu mengutuk perbuatan itu. Mereka lebih nampak kesalahan orang jika benar-benar kesalahan) daripada kesalahan diri sendiri. Tetapi apabila ianya dilakukan oleh orang Islam, musuh-musuh Islam itu melenting dengan mengaitkan perbuatan kezaliman itu kepada agama Islam dengan mengatakan Islam adalah agama keganasan, tidak berperikemanusiaan dan sebagainya.

Jika seorang itu mengikuti penyembelihan yang disyariatkan oleh Islam dan mengikut adab-adab yang telah dianjurkannya terhadap binatang sembelihan, maka itu sudah menepati akan maksud berbuat ihsan kepada binatang. Adalah belum pasti bahawa melemahkan binatang dengan menggunakan bius atau lain-lain cara yang diamalkan oleh Barat itu lebih menepati apa yang dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Tidak terdapat sebarang arahan syara’ menyuruh binatang-binatang itu dilemahkan atau dipengsankan terlebih dahulu dan kemudian barulah menyembelihnya. Sekiranya melemahkan atau memengsankan itu ialah cara yang dibuat atau dikehendaki oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, nescaya sudah barang tentu ada hadis Baginda menyebut begitu, atau setidak-tidaknya perkhabaran daripada para sahabat yang telah menyaksikannya daripada Baginda.

Sebenamya perbuatan menyembelih ini adalah bukan perkara akal semata-mata. Jika ianya telah mengikut kehendak syara’, maka kezaliman tidak lagi berbangkit. Inilah bahaya jika akal digunakan tanpa timbangan syara’, kerana berpandukan akal semata-mata itulah orang-orang jahil dan musuh-musuh Islam telah menohmah hudûd undang-undang Islam sebagai kejam, ganas dan tidak sesuai dengan masa. Mereka mempertikaikan hukum potong tangan kerana mencuri, rejam dan sebat kerana zina, hukum bunuh balas bunuh (qishâsh) dan lain-lain tohmah yang diasaskan semata-mata kepada akal yang dangkal.

Mereka langsung tidak memahami apa itu syara’, apatah lagi untuk memikirkan di sebalik hukum syara’ itu ada hikmat atau rahsia yang tidak boleh dikesan dan dianalisa oleh akal seratus peratus. Firman Allah Ta'ala:

وَمَا أُوتِيتُم مِّن العِلمِ إِلاَّ قَلِيلاً
(سورة الإسراء:85)

Tafsirnya: “Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.”

(Surah Al-Isra’: 85)

Inilah orang-orang jahil dan orang yang tidak beriman tidak mampu memahaminya.

Umat Islam hendaklah berwaspada terhadap segala tohmahan-tohmahan yang dilemparkan kepada umat Islam yang kebanyakannya bukan sahaja bertujuan memberi keraguan dan gambaran yang buruk kepada penganut selain Islam, malah memberi keraguan kepada umat Islam sendiri, lebih-lebih lagi jika tohmahan itu datang daripada musuh-musuh Islam yang berselindung di bawah pertubuhan-pertubuhan yang kononnya berdasarkan kepada perjuangan hak-hak asasi manusia atau hak asasi binatang.

Sebenarnya apabila musuh-musuh Islam itu membuat kecaman terhadap Islam dan umat Islam atas nama hak-hak, maka yang sebenarnya kecaman itu adalah sebagai merealisasikan permusuhan mereka yang panjang dan lama terhadap Islam, kerana itu Allah telah memperingatkan awal-awal lagi akan bahaya orang-orang kafir itu melalui firmanNya:

وَلَن تَرْضَى عَنكَ اليَهُودُ وَلاَ النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُل إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ العِلمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ
(سورة البقرة:120)

Tafsirnya: “Orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).” Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.”

(Surah AI-Baqarah: 120)

FirmanNya lagi:


لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ اليَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُواْ
سورة المائدة:82 ))

Tafsirnya: “Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.”

(Surah Al-Mâ’idah: 82)

Walau bagaimanapun, orang-orang Islam hendaklah mencerminkan dan menggambarkan sesuatu yang terbaik kepada penganut-penganut agama yang lain, kerana dengan penampilan yang baik itu adalah merupakan salah satu cara dakwah yang akan menjinakkan hati orang-orang yang benar-benar mahu mencari kebenaran, semoga Allah akan memberi hidayat kepada mereka, sesuai dengan firmanNya:


كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الكِتَابِ لَكَانَ خَيْراً لَّهُم مِّنْهُمُ المُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الفَاسِقُونَ
(سورة آل عمران:110)
Tafsirnya: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab itu beriman. tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fâsiq.”

(Surah Ali-‘Imrân: 110)


Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu seri maharaja Dato seri utama Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz
Tarikh Diisu : 1996

Nota: siri18/1996

Tiada ulasan:

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Jom Menuntut Ilmu !

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan