CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Ahad, 18 Januari 2009

Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 2

Hukum Menternak

Ternakan Haiwan yang Dimakan dagingnya

Penternakan: Perihal memelihara dan membiakkan binatang, pemeliharaan dan pembiakan binatang.[10]

Terdapat terlalu banyak dalil mengharuskan penternakan sama ada secara komersial atau tidak jika ternakan itu adalah unta, kambing dan lembu atau dengan kata lain binatang yang dimanfaatkan dagingnya atau belakangnya[11].

*Al-Quran:

1) Firman Allah Taala[12] pada qiraat[13] lain berkenaan permohonan saudara-saudara Yusuf kepada Nabi Yaakob untuk membawa Yusuf keluar:

أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعِ وَيَلْعَبُ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya dia menggembala binatang ternakan dan dia bermain-main dengan bebasnya; dan Sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

Keterangan:

Melatih Yusuf untuk menggembala kambing dan menjadi lelaki sejati. Seketika menggembala seketika bermain kerana masih kanak-kanak. [14]

Berkata Ibn Zaid: Termasuk di dalam maksud menggembala unta;

1) Berlatih menggembala/menternak unta dan menjaga harta atau

2) Memelihara pohon-pohon dan rumput tanah lapang.[15]


2) Firman Allah Taala[16]:

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".

Keterangan: Nabi Allah Musa juga mengambil upah menternak kambing Nabi Allah Syuaib. Sebagaimana disebut di dalam ayat 26-27 pada surah yang sama.

3) Firman Allah Taala[17] berkenaan peristiwa penyembelihan Ismail yang diganti dengan Kibas;

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

Keterangan: Berkata Ibn Abbas D: Binatang tersebut ialah kibas yang dipersembahkan oleh Habil. Dipelihara di dalam syurga sehingga Allah gantikan sembelihan Ibrahim.[18]


*Al-Hadis

Sebagaimana Al-Bukhari[19] dan Ibn Majah meriwayatkan melalui Abu Hurairah;

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ t عَنِ النَّبِىِّ Jقَالَ : مَا بَعَثَ اللَّهُ نَبِيًّا إِلاَّ رَعَى الْغَنَمَ .فَقَالَ أَصْحَابُهُ وَأَنْتَ فَقَالَ نَعَمْ كُنْتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيطَ لأَهْلِ مَكَّةَ

Maksudnya: Allah tidak mengutus mana-mana Nabi kecuali akan menjadi penggembala kambing. Berkata para sahabat: Apakah baginda juga sebegitu? Bersabda Nabi: Ya, aku menggembala kambing penduduk Makkah dengan bayaran beberapa qirat emas.

Jelas di sini disyariatkan memelihara binatang-binatang ternak bahkan ia merupakan perbuatan para Nabi-nabi dan Rasul.

Ternakan Haiwan yang tidak dimakan dagingnya

Sebagaimana kita ketahui setiap makhluk berhak hidup melalui tabiinya yang semula jadi tanpa di ganggu gugat oleh mana-mana pihak. Ada kalanya gangguan kepada habitat semula jadi bagi sesetengah haiwan merupakan punca kepada kepupusannya. Segala makhluk Allah berhak bebas hidup di muka bumi sebagaimana manusia. Ini berdasarkan firman Allah Taala[20];

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ وَلا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلا أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Wajib setiap manusia menghormati semua makhluk ciptaan Allah dan tidak menyakitinya tanpa hak kecuali kategori yang dibenarkan oleh syarak untuk membunuhnya kerana menyakiti dan memudaratkan seperti ular, kala jengking, anjing yang menggigit, helang, gagak, semut, lipas dan lain-lain. Walaupun begitu membunuh makhluk-makhluk tersebut mestilah dengan rahmat dan adab yang diajarkan oleh syarak.

Berbaki persoalan untuk dijawab. Adakah penternakan dengan mengurung lintah di dalam tempat tertentu dibenarkan syarak?

Tiada ulasan: