CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Memuatkan ...

Sabtu, 17 Januari 2009

Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 1

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

LINTAH (العَلَقُ)

MUKADIMAH

بسم الله الرحمن الرحيم

اَلحَمْدُ لله الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالهُدَى وِدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللهِ شَهِيْدًا، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا الله وَحدَهُ لَا شَرِيْكَ لَه، لاَ رَبَّ غَيْرُهُ وَلَا مَعْبُودَ سِوَاهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُه وَمُصْطَفَاه، أَرْسَلَهُ رَبُّهُ مُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا.

اللَّهُّمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ الَّذِيْنَ تَرَكُوا دِيَارَهُم وَأَمْوَالَهُم فِرَارًا بِدِيْنِهِم وَصَوْناً لِأَرْوَاحِهِم. فصَانَهُم اللهُ وأَعَزَّ دِيْنَهُم. أَمَّا بَعْدُ،

Ini merupakan perbahasan ringkas yang disediakan untuk Jabatan Mufti Negeri Kedah berhubung persoalan mengenai lintah. Bahas ini disediakan untuk memberikan rujukan dan maklumat berkenaan lintah sama ada pernah diperbahasakan oleh Ulama terdahulu atau tidak. Disertakan juga maklumat semasa mengenai lintah untuk memudahkan perbahasan ini difahami.



Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan terima kasih kepada kepada Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah bin Haji Abdul Halim, Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang telah memberi kepercayaan dan mendidik kami untuk menyiapkan perbahasan ini. Penghargaan yang sama buat Ayahanda dan Kekanda Ustaz Zakaria Othman, Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir yang banyak penghubung di antara penuntut ilmu di Mesir dengan tokoh-tokoh Ulama serta cendekiawan Malaysia terutama di Negeri Kedah demi memberikan pendedahan kepada anak-anak Kedah di perantauan sebelum turun ke medan sebenar. Penghargaan yang sama tidak lupa ditujukan buat Ustazah Faridah binti Ahmad, Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Kedah serta semua Ahli Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Kedah, secara khususnya buat yang berbahagia Dato’ Syeikh Abd Hamid Tahir dan Yang Berbahagia Syeikh Fadhil Awang yang merupakan guru yang pernah mendidik kami di Maahad Mahmud satu masa dahulu. Dorongan, bimbingan serta semangat yang sentiasa diberikan diucapkan jutaan terima kasih.

Semestinya bahas ini terlonggok seribu satu kekurangan. Mohon agar diperbetulkan. Apa yang baik diharap dapat dikongsi bersama. Semoga segala apa yang dilakukan mampu menjadi pemberat timbangan kebaikan di akhirat nanti.

Disediakan oleh

Muhammad Aidil Azwal Zainudin

Universiti Al-Azhar

Isyak malam Asyura’ 10 Muharam 1439 H – 6 Jan 2009

7 malam, Madinah Nasr

Di Saat Bumi Palestin terbakar...


BAB PERTAMA

DEFINISI LINTAH DAN KEISTIMEWAAN LINTAH

Definisi Ulama Silam:

Imam Dumairi: “Cacing hitam atau merah yang berada di dalam air. Bergantung di atas badan dan menghisap darah. Ia merupakan ubat tekak dan bengkak berdarah kerana ia menghisap darah yang berlebihan pada manusia.[1]

Al-Lihyani: “Cacing hitam yang berada di dalam air”.[2]

Al-Azhari: “Binatang yang berada di dalam air. Ia dipanggil a’laq kerana merah seperti darah”.[3]

Ibn Athir: “Binatang kecil berwarna merah berada di dalam air. Bergantung di badan dan menghisap darah.... [4]

Ibn Abi Syaibah al-Khufi: “Cacing kecil bergantung di tempat bengkak lalu menghisap darah beku yang memenuhi. Jika telah penuh mulutnya dengan darah ia akan membesar dan gugur. Jika seekor lintah tidak mencukupi untuk menghisap darah yang memenuhi kawasan bengkak maka akan ditambah lintah lain” [5]

Definisi Moden:

Lintah: Sejenis binatang dalam kelas Hirudinea, rupanya seperti pacat tetapi lebih besar.[6]

Pacat: Sejenis binatang penghisap darah (Lintah di darat). Haemadipsa javanica. [7]

Maksud Hirudin: (Ubat) bahan anti gumpal yg di ekstrak daripada kelenjar mulut lintah

Definisi di antara Ulama silam dan definisi moden tidak terlalu beza. Hanya apa yang diterangkan di dalam Kamus Dewan mampu menjelaskan kenapa lintah dijadikan nilai komersial berbanding pacat.

Keistimewaan Lintah

1) Air liur lintah mempunyai bahan bius, bahan anti pembekuan darah dan bahan kimia yang membantu penghasilan bahan kimia melalui tisu setempat.

2) Lintah mempunyai bacterium Aeromonan hydrophila. Bakteria ini digunakan oleh lintah untuk mencerna darah dan ia sebenarnya menghasilkan bahan antibiotik untuk membunuh bakteria lain yang mungkin menyebabkan darah yang dihisap tadi membusuk atau membeku.

3) Terdapat lebih daripada 18 bahan aktif biologi yang dikeluarkan daripada lintah bermanfaat di dalam bidang perubatan.

BAB KEDUA

HUKUM HAKAM BERKAITAN LINTAH



Di dalam Bab ini terdapat 5 perbahasan seperti berikut;

1) Penternakan Lintah

2) Perniagaan Lintah

3) Perubatan menggunakan Lintah

4) Makanan daripada Lintah

5) Kosmetik daripada Lintah



PERBAHASAN PERTAMA

PERTERNAKAN LINTAH



Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;

1) Apa itu lintah

2) Jenis-jenis Lintah

3) Tujuan lintah diternak

4) Hukum menternak

4.1 Menternak haiwan dimakan dagingnya

4.2 Menternak haiwan yang tidak dimakan dagingnya seumpama lintah

5) Hukum menternak haiwan mengikut piawaian tertentu

6) Kesimpulan perbahasan

Apa itu Lintah?

Lintah merupakan kategori binatang hermafrodit iaitu mempunyai organ jantan dan betina. Walau pun begitu, ia tidak boleh membiak secara sendiri tetapi perlu mengawan dengan lintah lain untuk membiak. Ia boleh mengawan dengan mana-mana lintah lain. Proses pembiakan lintah menjadi mudah bagi penternak kerana tidak perlu membeli dua induk berasingan jantan dan betina untuk disenyawakan.

Lintah digolongkan di dalam kumpulan cacing tanah atau di dalam bahasa biologinya Filum Annelida (cacing bersegmen) akan tetapi pergerakan lintah lebih laju daripada cacing. Lintah merupakan haiwan penghisap darah. Selepas menghisap darah sehingga kenyang, ia akan mencari tempat yang gelap untuk menghadamkan makanannya. Tempoh penghadamannya agak panjang dan mampu bertahan sehingga berbulan-bulan setelah mendapat makanan.

Kebanyakan lintah merupakan hidupan air tawar akan tetapi ada juga yang hidup di darat. Lintah yang hidup di darat biasanya boleh didapati di hutan hujan tropika. Lintah jenis ini tidak tahu berenang akan tetapi mampu bertahan lama sekiranya tenggelam. Di kawasan yang panas dan kering, lintah akan bersembunyi di dalam tanah atau di tempat yang lembap supaya ia dapat bertahan dan hidup lebih lama. Dalam keadaan ini badannya akan menjadi kering dan mengecut dan ia tidak mampu menyedut darah. Dalam masa 10 minit sekiranya ia terkena percikan air ia akan kembali aktif. Lintah yang hidup di dalam air pula lebih suka air yang tenang atau pun yang mengalir perlahan dan tidak tercemar. Akan tetapi ada juga jenis yang hidup di dalam air yang deras.


Fakta-fakta lain berkenaan lintah;


1) Di dunia terdapat 650 spesies lintah yang tinggal di kawasan paya, kolam, laut dan kawasan berair tetapi hanya satu jenis sahaja yang digunakan dalam industri perubatan farmaseutikal iaitu “hirudo medicinalis” atau lebih dikenali sebagai lintah sawah. Jenis ini yang diternak oleh pengusaha. Perubatan menggunakan lintah dinamakan “Hirudo therapy”.

2) Lintah terbesar dijumpai berukuran 18 inci

3) Kira-kira 1/5 dari spesies lintah hidup di laut yang memakan ikan

4) Lintah mempunyai 32 otak iaitu 31 lebih dari manusia.

5) Lintah Hirudo mengeluarkan anak dalam kokun di mana lintah itu membawa anak-anaknya di atas perut sendiri. Kadangkala mencapai sebanyak 300 ekor.

6) Tidak semua lintah adalah penghisap darah, kebanyakannya adalah pemburu yang memakan cacing tanah dan lain-lain.

7) Lintah Amazon menggunakan kaedah yang berlainan untuk menghisap darah. Ia memasukkan probosis (seperti belalai) panjang ke dalam mangsa tanpa menggigitnya.

8) Gigitan lintah tidak menyakitkan kerana mempunyai bahan bius.

9) Lintah Hirudin menyuntik anti pembekuan serum ke dalam mangsanya untuk mengelakkan pembekuan darah

10) Lintah akan mengembang sendiri sehingga kenyang apabila menghisap darah dan jatuh dari mangsa dengan sendiri.

11) Lintah akan mengembang sendiri sehingga 5 kali berat badannya

12) Pada masa lampau, orang ramai akan berdiri di tepi tasik dan kolam, bila lintah melekat pada kaki mereka, ia dimasukkan dalam bakul untuk dijual. Pada masa kini, lintah Hirudo merupakan spesies terancam

13) Pakar bedah yang asal adalah seorang tukang dan mereka menggunakan lintah untuk memulihkan apa sahaja penyakit bermula dari sakit kepala ke penyakit gaut

14) Sistem saraf lintah mempunyai banyak persamaan dengan sistem saraf manusia

15) Lintah boleh menggigit walaupun pada paha badak air yang tebal.

Zaman dahulu lintah ditangkap dengan cara yang menggelikan. Seorang akan masuk ke dalam air yang mempunyai lintah dan dibiarkan untuk melekat ke kakinya. Dengan menggunakan kaedah tersebut seseorang boleh menangkap 2000 ribu ekor sehari. Apabila mendapati permintaan lintah semakin tinggi dan lintah semakin berkurangan, maka manusia mula memikirkan untuk menternak lintah.

Berdasarkan sejarah, Perancis dan Jerman merupakan yang pertama mempelopori penternakan lintah secara sistematik untuk di jual kepada pihak tertentu. Dahulu mereka memberi lintah minum darah kuda dengan cara dilepaskan kuda ke dalam kolam lintah.

Rusia memberikan lintah memakan darah segar lembu tenusu. Memberi makan lintah merupakan satu kesukaran kerana ia kategori drakula yang tidak akan makan kecuali menghisap langsung darah daripada mangsa.

Jenis-jenis lintah

Lintah dibezakan kategorinya berdasarkan cara ia makan. Terdapat tiga jenis lintah di dunia ini;

1) Gnatbobdellida- Lintah berahang. Mereka menggigit mangsa dengan rahang ini. Sejenis cecair yang dinamakan hirudin dihasilkan daripada sel-sel hidup dan bertindak sebagai cecair anti-kental. Ia amat berbeza daripada pacat.

2) Rhyncobdellida- Mempunyai bahagian umpama jarum (probosis). Lintah jenis ini memasukkan jarum yang agak menonjol seperti belalai ke dalam mangsa dan mengeluarkan enzim hematin[8] bagi melenyapkan pembekuan selepas terbentuk

3) Pharyngobdellida- Tidak berahang atau gigi. Hanya menelan mangsa. Bahan makanan spesies ini terdiri daripada serangga kecil.

Lintah yang diternak untuk tujuan perubatan kebanyakannya terdiri dari kumpulan Gnatbobdellida dan Rhyncobdellida. Terdapat 650 spesies lintah yang ditemui di dunia tetapi hanya 15 sahaja yang sesuai untuk digunakan di dalam perubatan. Adapun di Malaysia hanya terdapat 6 jenis yang dikenal pasti boleh digunakan untuk tujuan perubatan. Hanya dua jenis lintah yang diternak iaitu lintah perut hijau dan lintah perut perang/coklat. Lintah hijau lebih gemar diternak kerana kualitinya.

Berkata Dr Zaleha Kassim[9] – Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu- : “Lintah telah lama digunakan dalam rawatan kesihatan di negara ini yang menyaksikan haiwan itu diadun dengan santan kelapa bagi mendapatkan minyaknya yang digunakan untuk kesihatan seksual lelaki selain membaik pulih tisu dan memperkuatkan otot”.

“Lintah yang hidup dan diternak di Malaysia mungkin tidak sama dengan yang terdapat di negara Barat dan kajian setakat ini menunjukkan terdapat enam jenis lintah di Malaysia”.

Dr Zaleha juga berkata bahan yang terdapat dalam lintah juga boleh digunakan untuk mengeluarkan produk kosmetik dan industri ini wujud antaranya di negara China, Thailand dan kini di Korea Selatan.

"Krim yang dibuat berasaskan lintah turut digunakan untuk menegangkan kulit dan membaiki parut," katanya.

Tujuan Lintah diternak


Mendapatkan saliva lintah yang mengandungi lebih 100 kandungan bioactive yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.

Sukar mendapatkan lintah liar kerana banyak bahan kimia di sungai-sungai dan penggunaan mesin-mesin bajak di sawah menjadikan binatang ini diancam kepupusan.

Digunakan di dalam industri makanan, perubatan dan kosmetik.

Alternatif kepada dadah sintetik dalam perubatan yang memberikan kesan sampingan.

Penternakan lintah yang dilakukan pada hari ini demi tujuan komersial untuk disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Sehingga hari ini kajian mendapati lintah boleh dimanfaatkan di dalam bidang perubatan. Oleh sebab itu, di barat lintah digelar “magical doctor”. Penternakan lintah secara komersial menuntut para penternak mengikut piawai tertentu kepada bahan yang akan diperdagangkan. Penternakan yang dilakukan mesti mengikuti garis panduan, mutu, kualiti yang ditetapkan agar hasil ternakan menepati keinginan pelanggan.

Tiada ulasan:

KONGSIKAN

Jom Ikut Kuliah Agama Secara Online!

Jom Menuntut Ilmu !

Ahli Aqidah/Usuluddin/Tasawuf

Ahli Tafsir/Usul Feqh/Feqh/Feqh Perbandingan

Ahli Hadith

Ahli Mazhab Syafie

Ahli Perubatan Islam

Ahli Psikologi/Kaunseling

Ahli Perbandingan Agama

Ahli Bahasa Arab

Ahli Qira'at / Tajwid

  • Renungan - BERUNTUNGNYA ORANG YANG RAJIN MENGAJI. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: "Barangsiapa membaca surah Alam Nasyrah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil k...
    Setahun yang lalu
  • FAWASIL (SURAH UMM AL-QURAN) - MATAN NAZIMAH AL-ZUHR (MATAN ILMU FAWASIL) KARANGAN IMAM AL-SYATHIBI سورةُ أُمُّ القُرْآن وأُمُّ القُرْآن الكُلُّ سَبْعاً يَعُدُّها ولَكِن ع...
    Setahun yang lalu

Ahli Pemikir Islam

Ahli Kajian Dan Penyelidikan