CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 24 Disember 2008

Imam An Nawawi

Beliau adalah tokoh Islam yang sangat masyhur dan tidak asing lagi di kalangan umat ini. Beliau bergelar sebagai Al Hafiz yang bererti beliau telah menghafaz lebih 100,000 buah hadith. Dan beliau juga diberikan gelaran sebagai Syaikhul Islam yang mengarang berbagai-bagai kitab dalam berbagai tajuk yang penting.

Dan apabila kita menelaah kitab-kitab feqah dalam mazhab syafie rahimahuLlah ta'ala maka kita sentiasa menemui nama beliau di dalamnya. Bahkan ulama mazhab syafie telah bersepakat memuktamatkan pendapatnya dan merajihkannya (mengutamakannya) berbanding dengan pendapat ulama yang lain. Oleh kerana itulah beliau juga digelaskan sebagai Muharriul Mazhab iaitu - ulama yang dapat menghuraikan semula mazhab Syafie dengan kupasan yang sangat mantap sekali.

Nama beliau ialah : Yahya bin Syaraf, kunyahnya ialah Abu Zakaria dan nisbahnya ialah : An Nawawi kerana beliau dilahirkan dan juga meninggal dunia di sebuah tempat yang bernama "Nawa" di Hauran, Syria.

Beliau dilahirkan pada tahun 631 Hijrah di Nawa dan belajar asas-asas ilmu di kampungnya sendiri daripada beberapa orang ulama yang ada di sana.

Bakat Imam Nawawi sebenarnya terserlah sejak beliau masih kecil lagi. Maka adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hati guru beliau yang bernama Syeikh Yasin bin Yusuf Zarkasyi rahimahuLLahu ta'ala melihat Imam Nawawi pada ketika itu berumur 7 tahun bersama dengan kanak-kanak lain di kampungnya. Syeikh Yasin ini melihat kawan-kawannya memaksa beliau untuk bermain bersama-sama dengan mereka, sedangkan beliau tidak mahu berbuat demikian lalu beliau duduk menyepi seorang diri di tepi jalan sambil menangis dan membaca al Quran al Karim.

Melihat keadaan ini guru beliau tadi jatuh hati dan sangat menaruh belas kasihan kepadanya lalu beliau menemui ayahnya dan menasihatkan supaya anak ini (Imam Nawawi) jangan dibiarkan bermain-main bersama-sama dengan kanak-kanak, tetapi hendaklah diberikan penumpuan untuk mengaji di madrasah. Maka adalah diharapkan beliau kelak akan menjadi seorang ulama yang besar pada zamannya.

Setelah kejadian itu, ayah Imam Nawawi terus sahaja memberikan penumpuan supaya anaknya dapat belajar lebih teratur dengan beberapa orang ulama yang ada di sekitar kampungnya, sehingga tibalah masanya untuk beliau dihantar melanjutkan pelajarannya ke Damsyik, ibu negeri Syria, iaitu pada tahun 649 Hijrah.

Di Damsyik Imam Nawawi rahimahuLLahu taala tinggal di asrama MAdarasah Ar Rahawiyyah yang ada di sebelah kiri masjid Bani Umayyah dan teruskan beliau duduk di asrama ini sehingga sampailah nanti saat beliau meninggalkan Damsyik iaitulah pada tahun 676 Hijrah.

Imam Nawawi rahimahuLLahu ta'ala telah berguru kepada beberapa orang tokoh ulamak yang ada di zamannya. Di antaranya ialah :

1. Syeikh al Hafidz Abul Baqa' Khalid bin Yusuf ad Dimasyqi
2. syeikh al Qadhi Abu al Fadhal Abdul Karim bin al Qadhi Abil Qasim al Anshari ad Dimasyqi
3. Syeikh Imam AbduLlah Muhammad bin Abdul MUshin al Anshari ad Dimasyqi
4. Syeikh Abu Fadhal Muhammad bin Muhammad at Tamimi
5. Syeikh al Hafidz Abu Ishaq Ibrahim bin Isa al Muradi
6. Syeikh Abdul Aziz bin MUhammad al Anshari
7. Syeikh Imaduddin bin Abdul Karim al Kharastani

dan beberapa guru yang lain lagi.

Berkata Imam Ibn Athar RahimahuLLahu ta'ala seorang murid beliau yang kenamaan: adalah guru kami (Imam Nawawi) tidak pernah mensia-siakan masanya walau sedikit juapun samada di waktu siang atau malam sehingga beliau juga menggunakan masa berjalan untuk menghafaz ilmu.

Jadi kehidupan beliau dipenuhi dengan kesibukan mencari dan juga menyebarkan ilmu. Beliau sangat sabat dalam hidup yang penuh dengan kesusahan dan ujian. Beliau sangat wara' dalam pakaian dan makanan sehingga beliau tidak mahu menerima sebarang pemberian daripada orang lain kecuali dalam keadaan yang amat memaksa. Apa yang beliau pakai hanyalah pakaian yang dijahit dan dihantar oleh ibunya kepadanya dan makanan beliau pula ialah makanan yang dihatar oleh ayahnya atau keluarganya. Maka dalam hal ini beliau telah sampai ketingkatan warak yang amat tinggi sekali.

sangat banyak kitab-kitab yang beliau karang, dan telah mendapat sambutan daripad akalangan ulama semua mazhab. Secara khusus di dalam mazhab as Syafie rahimaullahu tala karangan Imam Nawawi adalah dirajihkan (dipilih) dan muktamadkan lebih daripada apa yang dikarang oleh para ulama yang lain. Ini berasaskan karangan beliau itu mudah difahami dan disokong oleh hujjah yang kuat dan jelas sekali.

Di antara kitab karangan beliau ialah :

1. Syarah Shahih Muslim
2. Riyadus Solehin
3. Hadith al Arbain (Hadith 40)
4. at Taqrib (fi ulumil hadith)
5. al Idhah (fil manasik)
6. at Tibyan Asma' wal Lughat
7. Bustanul Arifin

dan lain-lain lagi.

Dan beliau telah dilantik menjadi Syaikhul Hadith (guru dalam ilmu hadith) di Darul Hadith al Asyrafiyyah pada tahun 665 hijrah bagi menggantikan Syeikh Abu Syamah yang telah meninggal dunia. Maka teruslah beliau menjadi Syaikhul Hadith di Darul Hadith Al Asyrafiyyah ini sampai ke akhir hayat.

Walaupun pengkhususan Imam Nawawi rahimahuLLahu ta'ala di bidang ilmu pengetahuan, namun beliau juga tidak melupakan tugasnya sebagai seorang ulamak yang menegakkan kebenaran, menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kemungkaran. Beliau sentiasa menghantar surat kepada raja-raja yang memerintah di zamannya supaya mereka berlaku adil dan menaruh belah kasihan terhadap rakyat. Dalam hal ini, beliau tidak takut mengatakan kebenaran dan sanggup menerima risiko yang akan menimpa.

Oleh kerana itu, tepat sekali apa yang diperkatakan oleh Imam syeikh Abul Abbas bin Farah rahimahuLLahu ta'ala :

Imam Nawawi telah sampai ke maqam yang tertinggi dalam tiga perkara, seandainya beliau sampau hanya kepada satu perkara sahaja di antara tida perkara itu, maka beliau telah layak untuk dijadikan ikutan.

Yang pertama - ialah dari segi kedalaman ilmu pengetahuan.
Yang kedua - dari segi kezuhudan terhadap dunia.
Yang ketiga - dari segi menyuruh dengan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.

Di saat-saat terakhir beliau berada di Damsyik terjadilah satu ketegangan antara beliau dengan Sultan yang memerintah ketika itu, iaitu Sultan Zhahir Baibras (625-676H). Ketegangan ini berpunca kerana Imam Nawawi rahimahuLLahu ta'ala tidak mahu mengeluarkan fatwa bersama-sama dengan ulama lain yang mengharuskan Sultan mengambil sebahagian daripada harta rakyat untuk persiapan menghadapi serangan Bangsa Moghul (Tatar).

Keenganan Imam Nawawi ini adalah disebabkan beliau telah mengetahui dengan yakin bahawa sultan memiliki ratusan orang hamba perempuan di istananya, dan masing-masing mempunyai perhiasan yang mahal-mahal dan Sultan juga banyak memiliki hamba lelaki. Imam Nawawi rahimahuLLahu ta'ala berkata :

Seandainya tuanku Sultan menjual semua hamba-hamba itu dan membelanjakan semua barang kemas yang ada pada mereka untuk keperluan perang, dan ternyata masih belum mencukupi, maka saya bersedia mengeluarkan fatwa bersama bagi membenarkan tuanku mengambil harta rakyat.

Tiada ulasan: