CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Rabu, 31 Disember 2008

Hukum Belajar Tanpa Guru

Soalan :

Assalamualaikum, saya nak tanya. Pak cik saya ada kata ada hadis yang menyatakan belajar tanpa bimbingan guru umpama belajar bersama dengan syaitan. Apa pendapat anda? Saya tak pasti akan kesahihannya dan saya rasa sahih kerana pak cik saya seorang ustaz. Namun, mungkin ia ada maksud disebaliknya.Minta penjelasan. Terima kasih~

Jawapan oleh Ustaz Abdul Kadir:

Pertamanya menjawab persoalan yang ditimbulkan di awal thread ini. Adakah benar hadis belajar tanpa guru adalah berguru dengan syaitan? Ana katakan, ana tidak pernah menjumpai matan hadis sedemikian dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Ana katakan "tak pernah jumpa", bukan ana katakan ia palsu tau.

Namun begitu para ulamak biasa menyebut kalam ini di dalam kitab-kitab mereka. Ingat satu perkara yang mesti kita iktiqad, ulamak agung silam takkan dengan sengaja menulis sesuatu mengikut hawa nafsu dan meletakkan sesuatu yang mereka anggap salah. Mereka tentu beranggapan kalam tersebut adalah benar. Hormatilah ulamak dan jangan bersikap kurang ajar dengan mereka.

Lebih-lebih lagi dengan kalam yang lebih sahih iaitu "sesungguhnya ilmu itu didapati dengan dipelajari." Imam Syafie pula pernah menyatakan, "sesiapa yang tafaqquh dari perut kitab, maka dia telah kehilangan hukum-hakam". Para ulamak juga menyebutkan, "antara kebodohan terbesar, adalah menjadikan helaian-helaian sebagai syaikh".

Walaupun kenyataan belajar dengan syaitan itu, tidak didapati sahih dari segi sanadnya (jalur riwayat), tapi ia sahih dari segi maknanya (bagi mereka yang melihat dengan hati yang cerah dan bersikap terbuka).

Ia adalah suatu perumpamaan daripada para ulamak untuk memberi peringatan kepada mereka yang suka menjadikan bahan bacaannya sebagai ilmunya. Jangan difahami secara zahir plak ya. Perlu diingat, buku adalah alat sahaja untuk menimba ilmu. Untuk menggunakan alat, perlu kepada yang pakar untuk menunjuk caranya.

Kita lihat hari ini, salah faham terhadap agama, kebanyakannya berasal daripada golongan yang suka membaca tanpa guru, lantas memahami dengan salah dan menyesatkan pula kefahaman orang lain. Lihat sahajalah ajaran-ajaran sesat yang timbul sekarang, kebanyakannya adalah intepratasi dari kitab-kitab yang sahih. Bukankah ini adalah bukti yang cukup jelas betapa syaitan menyesatkan manusia yang membaca dan belajar tanpa berguru?

Buku yang kandungannya penuh dengan Ayat-ayat Alquran dan hadis-hadis yang kuat pun, boleh disalah fahami lantas menatijahkan kesesatan kepada pembacanya. Oleh kerana itu ulamak zaman berzaman sentiasa menasihati kita agar berjaga-jaga dalam pembacaan buku. Orang yang belajar dengan berguru pun boleh sesat, apatah lagi orang yang tidak belajar dengan guru kan?

Akan tetapi, bukanlah kita menutup terus pintu bacaan kepada Ummat Islam. Malah Ummat Islam sepatutnya menjadi ummat yang paling rajin membaca. Hanyasanya, bacalah buku mengikut tahap kemampuan masing-masing. Kita akan merasa lucu, jika seorang pelajar fizik sekolah menengah, membaca dan membahaskan teori fizik yang ditulis oleh seorang profesor untuk dibahaskan oleh profesor-profesor lain.

Di dalam ilmu agama juga begitu. Tiada masalah untuk kita semua membaca kitab-kitab motivasi agama, sirah para rasul dan sahabat, galakan beribadat dan ancaman terhadap kemaksiatan, dan sebagainya. Namun di sana, ada kitab-kitab yang memerlukan kepada guru yang membimbing. Ada juga yang memerlukan kita membaca, kemudian bertanya kepada guru. Ada juga buku yang boleh dibaca oleh mereka yang sudah mencapai ke tahap pembelajaran yang tertentu. Hukum tak boleh diambil sekadar membaca. Aqidah jauh sekali.

Ini bermakna, memang membaca tanpa berguru itu banyak membawa kesesatan yang disemarakkan lagi oleh syaitan. Namun Islam tetap menggalakkan sikap suka membaca. Islam juga mengajarkan kepada kita adab-adab membaca, cara membaca, apa yang hendak dan boleh dibaca, bila hendak dibaca dan sebagainya, bagi mengelakkan kita menjadi bahan tawa syaitan yang direjam.

-------------------------------------------------------------------------------------

Mengenai Hafiz Firdaus

Polemik kedua yang ditimbulkan di atas, adalah berkenaan Kapten Hafiz Firdaus (moga Allah menunjukkannya dan kita semua ke jalan yang benar).

Ana tersenyum apabila ada yang tak berkenan bila diminta berhati-hati membaca bukunya. Sedangkan bukankah beliau sendiri dan rakan-rakan seangkatannya yang sering menyuruh sidang pembaca berhati-hati dalam membaca? Maka umumkanlah. Jika kitab ulamak agung silam pun mereka suruh kita berhati-hati membaca, mengapa kita tidak perlu berhati-hati membaca tulisan seorang juruterbang moden?

Memang ada dalam bukunya yang mengharam dan membid'ahkan perkara yang para ulamak agung terdahulu telah mengharus dan menggalakkan, namun ana bukan katakan semua yang ditulisnya sesat. Cuma berhati-hatilah, bagai kata sahabat-sahabat yang lain. Lebih-lebih lagi tulisan hukum hakam ditulis oleh seorang yang bukan ahlinya.

Ada yang beranggapan, buku beliau adalah buku yang ringan dan boleh dibaca oleh orang awam. Ringan bagaimana pun, kadang kala ada saja satu atau dua ayat yang ingin menyebarkan ideologi yang salah, maka secara halus tanpa kita sedari kita dihinggapi virus yang salah. Ini yang berlaku kepada ramai yang ghairah membaca. Apabila forummer di sini katakan berhati-hati, bermakna mereka menyayangi kita. Maka berhati-hatilah. Tiada masalah untuk berhati-hati bukan?

Mungkin ada yang menyatakan, saya akan ambil yang benar, dan saya akan tinggalkan mana yang saya ragui. Saya akan ambil mana yang bersumberkan Al-quran dan hadis sahaja. Kita katakan, oleh kerana kita ini masih lagi di tahap "orang awam" dan "pelajar" maka kita sukar untuk membezakan mana yang benar mana yang salah. Takut-takut yang salah itu dikaburi dengan Alquran dan Hadis, lantas kita anggap benar. Maka jadilah kita orang yang sesat dan menyesatkan. Na'uzubillah.

Berkenaan bidang ilmu, dan tulisan seorang yang bukan ahli, dakwah dari seorang businessman dan sebagainya, telah ana tulis di blog lama ana tiga tahun lalu. Rajin-rajinkanlah membaca link di bawah ya:

Bhgn. 1: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/87.html
Bhgn. 2: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/88.html

Wallahu A'lam

---------------------------------------------------------------------------------------------------------


Sedikit penambahan mengenai urusan yang diberikan kepada mereka yang bukan ahlinya :

Firman Allah subhanahua ta'ala dalam surah An-Nisa'ayat 58 yang berbunyi : Maksudnya Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil ".

Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". (Riwayat al Bukhari)

***


Berhati-hatilah.

WaLlahua'lam

*Saya mengolah sedikit jawapan yang diberikan tanpa mengurangkan maksud sebenar yang disampaikan.

5 ulasan:

Zainab berkata...

Ana tersenyum apabila ada yang tak berkenan bila diminta berhati-hati membaca bukunya. Sedangkan bukankah beliau sendiri dan rakan-rakan seangkatannya yang sering menyuruh sidang pembaca berhati-hati dalam membaca? Maka umumkanlah. Jika kitab ulamak agung silam pun mereka suruh kita berhati-hati membaca, mengapa kita tidak perlu berhati-hati membaca tulisan seorang juruterbang moden?

....Ana juga tersenyum dengan kalam anda,bukankah dalam buku2nya beliau hanya menyatakan pendapat ulamak yang setaraf, pendapat yg bertentangan datangnya dari taraf yang sama, begitulah seterusnya...sedangkan anda taksub terhadap hanya guru2 anda...keliru saya dengan anda yg telunjut lurus kelingking berkait...perbahasan hujjah dengan hujjah yang nyata dan anda berhak mengulas setiap buku keluaranya...kerana saya mahu belajar. kalaulah sy tidak berguru masakan sya dapat menulis.....

Admin berkata...

:)

Siapa yang taksub tu Zainab? :) Anda boleh nilaikan sendiri penulisan hafiz firdaus yang ada juga menghukum sesat kepada golongan asya'irah di majalah I (saya tak tahu pula jika ada yang taksub dan menerima bulat-bulat pendapat beliau ini tanpa perlu koreksi)Adakah Hafiz Firdaus sudah mendapatkan kalam ulamak-ulamak lain sebelum berani menghukum perkara sedemikian sebagaimana kata anda?

sedangkan para ulamak, ramai yang mengikuti aliran asya'iroh, bahkan ulamak kontemporari pun mengakui aliran asya'iroh adalah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah.

Berguru dengan buku lain ceritanya dengan berguru dengan manusia? Ye tak? Sebab itu di dalam artikel ini menjurus kepada GURU = MANUSIA/ULAMAK/USTAZ DAN USTAZAH.

Jika anda sudah berguru - baguslah. Ia tiada kena mengena dengan diri anda. Maka janganlah pula terasa dengannya. Jika anda berguru dengan Hafiz Firdaus - maka dia sendiri pernah mengakui gurunya adalah buku-buku yang ditulis oleh para penulis. Jika tidakpun mintalah sahaja senarai nama guru-gurunya, dan oleh kerana ada yang mengatakan dia hebat dalam hadith. Minta pula sanad hadith dari muhaddithin yang mengajarnya. Bukan dengan buku-buku sahaja. Kerana seorang yang pakar dalam hadith tentunya amat memerhatikan dari mana hadith yang ia perolehi. Serta kriteria-kriteria yang melayakkan ia menjadi pakar dalam hadith termasuk thiqah, adil, dhobit dan sebagainya.

Sila kaji semula bagaimana adabnya belajar untuk menjadi seorang yang boleh mengeluarkan hukum, semak sirah ulamak-ulamak muktabar dari dahulu hinggalah sekarang. Adakah dengan belajar dengan buku sahaja?

WaLLahua'lam

Admin berkata...

Sila baca sampai habis jawapan yang telah diberikan. Jangan hendaknya baca sedikit kemudian terus membuat ulasan. Terima kasih ya.

Bacaan tambahan pengakuan dari Hafiz Firdaus sendiri bahawa beliau belajar tanpa guru, tanpa ulamak, dan hanya dari buku yang ditulis oleh penulis:

http://adiko.multiply.com/journal/item/48

Ibn Salleh. berkata...

Hafiz Firdaus berguru dgn pengarang kitab yg dibacanya.Apabila beliau ditanya siapa gurunya dalam rancangan Blog di TV 1, maka itulah jawapannya.Maka dgn itu semua hukum hakam yg dikeluarkan oleh Hafiz Firdaus adalah mengikut hukum akalnya sahaja.Belajar agama perlu adanya guru.Kitab mesti disyarahkan oleh guru dan sebagai orang awam kita masih belum layak untuk menghuraikan kandungan sesebuah kitab tanpa adanya guru.

LH Investments berkata...

Sebenarnya akan perkara ini telah dijelaskan dalam Quran 96:5 bahawa ALLAH jualah yang mengajarkan insan apa2 yang tidak diketahuinya. Kerana itu sebaiknya kita berdoa dengan doa Nabi Ibrahim AlaihisSALAM apabila belajar "Ya ALLAH sekiranya Engkau tiada menunjukki akan daku, nescayalah aku sesat."