CARIAN ILMU DI JOMFAHAM :

Isnin, 22 Disember 2008

Bahaya Anti Hadith Bab 12

(3) PERCANGGAHAN DARI SUDUT AKHLAK

(a) Menghina Peribadi dan Kedudukan Rasulullah s.a.w.

Antara contoh penghinaan tersebut yang dimuatkan dalam penulisan mereka ialah:

(i) "Cuba saudara beri maksud, apabila saudara membaca semasa bertahyat, Betulkah Allah memerintah kita mengucapkan assalamualaikum kepada Nabi semasa Allah memerintah kita BERSOLAT dengannya? Agak-agak saudara apabila memberi salam kepada Nabi Muhammad semasa kita BERSOLAT dengan Allah, Nabi boleh membalas balik SALAM kita atau tidak?" (Petikan surat daripada A. Manan Harun kepada Datuk Abu Hasan Din, 5 Ogos, 1989).

(ii) "Adakah Nabi Muhammad seorang manusia yang berakhlak tinggi, setelah berjuang selama 23 tahun menyeru manusia kepada agama tauhidyang diajar oleh semua nabi, menyuruh umat Islam mengucap dua kalimah syahadah yang mengutamakan beliau sendiri mengatasi nabi-nabi lain?"

"Menyebut nama Nabi Muhammad dalam kalimah syahadah melanggar perintah Tuhan yang menegah kita daripada membeza-bezakan di antara rasul-rasuINya (rujuk 2:285)". (Petikan daripada IQRA'. Jil. 3/Bil. 3) (Muharram 1416H/1995M, hal. 3)

(iii)"Rasul (Muhammad) adalah sama seperti posmen dan dia adalah manusia biasa, tidak perlu didewa-dewakan atau dipertuhankan". (Petikan daripada surat Pn. Kalsom Abd. Rahman isteri kepada Wadan Kassim) yang telah dikemukakan kepada BAHEIS PADA 15-12-94)

ULASAN

Nabi Muhammad s.a.w. adalah Nabi dan Rasul terakhir. Baginda mempunyai peribadi dan akhlak yang terunggul yang diutuskan oleh Allah untuk menjadi contoh teladan kepada umat manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Al-Ahzaab: 21)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia'. (Al-Qalam: 4)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik" (Riwayat Malik)

Di dalam Al-Quran sendiri dijelaskan bahawa Allah sendiri dan para Malaikat berselawat sebagai penghormatan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.), wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Al-Ahzaab: 56)

Sebagai seorang utusan Allah kepada umat manusia, Nabi Muhammad s.a.w. diiktiraf oleh Allah di dalam Al-Quran sebagai manusia teladan yang mempunyai budi pekerti yang luhur dan mulia. Perkara seumpama ini tidak perlu disangsikan lagi dan Al-Quran sendiri menyuruh umatnya supaya meneladani dan mengikuti contoh akhlak Nabi Muhammad s.a.w. yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Oleh yang demikian setiap orang Islam wajib beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan menerima serta menurut hukum hakam dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Kedudukannya sebagai seorang Rasul tidak perlu diragui dan dipertikaikan. Ini dijelaskan oleh hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Dari Abu Hurairah ra. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Demi Tuhan yang diri Muhammad di dalam kekuasaannya! tidak ada seseorangpun dari umat manusia ini sama ada Yahudi atau Nasrani yang mendengar akan perihalku (menjadi utusan Allah) kemudian ia mati sedang ia tidak beriman dengan (agama Islam) yang aku diutus membawanya melainkan ia dari ahli neraka". (Riwayat Muslim)

Mengikut pendapat ijma' ulama' bagi keempat-empat mazhab, orang yang mencaci dan menghina Rasulullah s.a.w. adalah murtad dan hukumnya dibunuh.

Tiada ulasan: